AMANI turun dari keretanya. Hari ini adalah hari terakhirnya berada di Kuala Lumpur. Dia sudah menelefon Hanania sebelum datang. Ingin membawa Hanania keluar makan dengannya. Mana tahu, Hanania mahu mengajak bakal suaminya itu.
Dia pula yang jadi tak sabar nak berjumpa dengan lelaki itu. Ingin tahu bagaimana lelaki tersebut boleh kenal dengan Hanania. Nak dengar dari mulut Hanania, Hanania selalu mengelak.
“Macam mana? Kau minta tak bakal suami kau bayar hutang abang ipar kau tu?” tanya Amani.
“Kau ni, tak habis-habis lagi dengan dia. Aku tak naklah.”
Hanania mencebik. Kenal pun tak.
“Kau ni, hutang tu banyak sangat. Kau tak takut ke?”
Amani memandang Hanania. Pelik dia dengan Hanania. Tak mahu minta tolong bakal suaminya yang kaya itu. Kalau dia berada di tempat Hanania, dia akan gunakan sepenuhnya kekayaan lelaki itu.
“Kau nak ajak aku keluar makan kan? Marilah kita pergi. Tak payah cakap pasal hutang dan dia lagi,” kata Hanania.
Dia menarik tangan Amani. Mya yang sedang mencangkung diangkatnya. Tangan Mya disapu.
“Aku hormati pendirian kau yang nak sembunyikan bakal suami kau tu, tapi tak salah kau minta tolong dia.”
Amani masih tidak puas hati.
Baru saja mereka mahu melangkah keluar, sebuah kereta Toyota Vellfire berhenti di depan mereka. Pintu terbuka, dan muncul lelaki along itu.
“Nasib baik aku cepat!” Dia ketawa.
Terpaku Hanania dan Amani. Peristiwa tiga hari lepas bakal berlaku semula.
“Cepat! Masuk dalam kereta. Aku dah jumpa lelaki tu. Dia tengah tunggu kita,” beritahunya.
Dia mengarahkan kedua-dua orang suruhannya itu membawa Hanania dan Amani masuk ke dalam kereta.
Hanania tidak berani membantah kerana dia memang takutkan lelaki-lelaki itu. Dia sedia maklum lelaki jenis ini sanggup melakukan apa saja. Dia pernah membaca di dalam akhbar, along seperti mereka ini pernah membunuh, malah merogol. Yang paling menakutkan, lelaki tu sudah mengugutnya.
Mya yang berada dalam dukungannya dipeluk erat. Mya yang masih tidak tahu apa-apa mula menangis. Hanania cepat-cepat memujuknya dengan menepuk-nepuk belakangnya.
Kereta itu dipandu laju menuju ke tempat yang mereka maksudkan tadi.
“Kau gila ke, Amani?” bisik Hanania.
Amani membulatkan matanya kepada Hanania. Dia tetap mahu ikut. Kalau orang lain, agaknya dah lari macam lipas kudung.
“Apa pula gila? Kau ni, dapat bakal suami kaya macam tu, memang patut kau minta tolong dia. Aku nak tengok depan-depan muka bakal suami kau tu.” Amani berbisik.
Hairan sungguh, kenapa Hanania tidak mahu mengambil kesempatan dengan kekayaan lelaki tersebut. Sudahlah berahsia. Ini bukan perkara mainmain. Berhutang dengan lintah darat kut!
“Haisy, aku sebenarnya…”
“Diam!” jerkah lelaki yang berada di tepi Amani.
Terus Hanania tersentak. Terkebil-kebil dia memandang Amani. Amani cuma pamer muka selamba. Hairan sungguh. Kenapa Amani tak nampak takut langsung?
Mereka diarahkan menanti di dalam kereta sambil diawasi oleh dua orang rakannya.
“MANA lelaki tu?” tanya bos kepada orang bawahannya.
Lelaki kecil itu menunjuk ke arah seorang lelaki yang sedang berbual dengan seorang perempuan seksi. Mereka berdua menghampiri lelaki itu.
“Encik Adrish?” tanyanya bagi mengesahkan apa yang telah diberitahu oleh orang bawahannya.
Adrish menoleh. Dia terkejut kerana lelaki yang bertanyakan dirinya itu bukannya dia kenal. Adrish pandang lelaki itu atas dan bawah. Mukanya macam muka samseng saja.
“Ya, saya.” Dia bukan lelaki biadab untuk tidak mengakui dirinya.
Dia berdiri menghadap lelaki berbadan sado itu. Tak hairan dengan lelaki yang badannya kecil sedikit daripadanya.
“Saya ada hal nak cakap dengan Encik Adrish. Tapi, bukan dalam ni. Bising,” katanya.
Dia menghulurkan tangan ke arah kiri mereka.
Walaupun waswas, namun Adrish mengekori juga lelaki itu keluar. Daripada gaya lelaki itu, nampak seperti samseng, tapi masih lagi berbudi bahasa. Tidak salah dia mengikutnya. Hairan pula ada yang mengenali dirinya di KL ini. Selalu jika datang ke KL, dia akan ke kelab malam ini.
Hari ini dia kembali lagi kerana dia perlu mencari keluarga abangnya. Hari abangnya meninggal dunia, papa pula diserang strok. Bertimpa-timpa masalahnya. Sebab itulah baru hari ini dia sempat datang ke sini semula.
Adrish memandang pelik dua orang perempuan dan seorang budak perempuan kecil di sisi sebuah Toyota Vellfire. Kelihatannya salah seorang perempuan itu nampak agak takut sementara yang seorang lagi biasa saja wajahnya.
Semakin dekat, dia merasakan dia mengenali perempuan yang nampak takut itu. Adrish mengecilkan matanya. Isteri Abang Rash? Pelik, kenapa pula dia di sini?
“Encik Adrish kenal dengan dia ni?” tunjuk lelaki itu kepada perempuan yang sedang mendukung anak kecil itu.
Adrish ralit memandang perempuan itu. Apa yang membuatkan isteri abangnya ini terlibat dengan lelaki macam samseng ini? Takkanlah baru beberapa bulan abangnya itu meninggal, dia sudah cari lelaki lain?
Adrish pandang lelaki tersebut.
“Eh! Buat tak kenal pula?” katanya lagi.
“Kenapa pula saya buat tak kenal?” tanya Adrish pelik.
Sudah memang nyata dia kenal, tapi tak pernah bertemu mata seperti ini. Sudahnya, lebih baik dia cakap tak kenal. Abang Rashnya baru meninggal dunia, tapi balunya ini sudah terlibat dengan lelaki kelab malam. Dalam kepalanya macam-macam andaian yang muncul.
Tak pernah dia rapat dengan mana-mana perempuan yang bertutup aurat. Semuanya pura-pura saja. Bertutup, tapi bila sampai bab melayan lelaki, sanggup buka semua pakaian yang bertutup itu.
Adrish jelik dengan perempuan begitu. Sekali terkena, selamanya dia akan ingat.
“Encik Adrish kan bakal suami dia,” sahut perempuan yang berpakaian agak moden itu.
Adrish pemandang perempuan yang menjawab itu sebelum matanya beralih kepada perempuan bertutup aurat itu. Bakal suami? Bila pula dia cakap dia mahu berkahwin dengan bekas kakak iparnya?
Namun, dia mendiamkan diri. Ingin tahu apa sebenarnya yang bakal terjadi selepas ini. Adrish tak bodoh.
“Kalau ya pun bakal suami, apa kena-mengena dengan semua orang ni?” tanyanya sambil matanya memandang keempat-empat lelaki itu.
“Macam nilah Encik Adrish, abang bakal isteri encik ni hutang saya RM200 ribu. Dia tak ada duit, jadi sebagai bakal suami dia, enciklah tolong bayarkan,” kata lelaki itu. Jemarinya mengusap-usap dagunya.
Adrish pandang perempuan itu dan lelaki samseng itu bersilih ganti. Pelik, macam mana pula mereka cakap dia bakal suami? Tapi, Adrish masih lagi bertenang.
“Encik, boleh saya bincang dengan encik sekejap?”
Hanania memberanikan diri untuk bersuara. Dia perlu meminta pertolongan lelaki ini. Jika benar lelaki ini kaya seperti yang diberitahu oleh Amani, Hanania perlu cuba untuk menyelamatkan dirinya.
Sungguh, dia tidak tahu akan terjebak dengan pembohongannya sendiri. Jika dia tahu perkara ini akan berlaku, sumpah dia tidak akan berbohong kepada Amani dulu.
Adrish memandang perempuan yang sedang mendukung anak itu. Dia mengangguk. Nampak menarik drama yang berlaku sekarang. Ada apa sebenarnya dengan balu abangnya ini?
“Encik, encik ni betul-betul kaya ke? Saya tahu saya muka tak malu sekarang ni, tapi saya memang perlukan pertolongan encik untuk meneruskan hidup. Kalau encik ada duit sebanyak yang diberitahu tadi, saya minta tolong sangat-sangat. Saya sanggup lakukan apa saja untuk encik.”
Hanania merayu. Dia tidak rela maruahnya tergadai. Biarlah dia malu kerana merayu kepada lelaki yang baru pertama kali ditemui dalam hidupnya. Sekurang-kurangnya, lelaki ini bukan samseng.
Kau ni Nia, dia pun lelaki juga. Buat pula dia minta nakkan kau? Kau nak buat apa? Hatinya menceceh.
“Kalau saya tak nak tolong?”
Adrish bermain kata. Dia sengih sinis. Atas bawah dia pandang Hanania. Si kecil dalam dukungan itu pun dia pandang.
“Tolonglah encik, saya sanggup lakukan apa saja. Saya sanggup dengan sepenuh jiwa raga saya, asalkan nasib saya dan anak-anak terbela,” janji Hanania.
Dia pandang Adrish. Biarlah sekarang ini dia nampak Adrish ada niat tidak baik, tapi sekurangkurangnya dia dapat melepaskan diri daripada along itu.
Adrish diam. Dia pandang si kecil yang sedang didukung. Mata comel itu berkelip-kelip memandangnya. Wajah si kecil itu ada rupa abangnya. Si kecil menghulurkan tangan kepadanya. Adrish sambut huluran tangan si kecil. Tangan kecil itu diusapusap.
“Betul awak sanggup, walaupun awak terpaksa korbankan hidup berkeluarga awak? Ops, awak dah ada anak. Mereka tu tak sebut pun pasal suami. Maksudnya, suami awak dah tak adalah? Jadi, awak ni jandalah sekarang? Baiklah, saya akan tolong awak. Tapi, betul kan awak tak terikat dengan mana-mana lelaki?” tanya Adrish, mahu memastikan rancangannya berjalan lancar.
Dia ada agendanya tersendiri. Perempuan bertudung macam ini perlu dihapuskan daripada hidupnya. Kubur abangnya masih merah, dia sudah terlibat dengan macam-macam perkara.
“Tak,” jawab Hanania sepatah.
Hanania tidak mahu berfikir panjang lagi. Lebih baik bergantung harap kepada lelaki ini daripada along di depan mereka. Dibuatnya mereka menjualnya untuk dijadikan pelacur, lagilah haru. Sekurang-kurangnya, lelaki ini tidak akan berbuat demikian kerana dia dikenali ramai. Kalau dia buat kau perempuan simpanan?
Hanania menggelengkan kepalanya. Tenang Nia, selepas ini, kau selesaikan hal ini.
Adrish mengeluarkan buku cek dari Range Rover Evoque hitamnya. Menulis angka yang telah disebut, lalu menghulurkan kepada lelaki tersebut. Lelaki itu menyambutnya dengan senyuman yang panjang.
“Lupa nak cakap, cek ini termasuk dengan rumahnya sekali.”
Lelaki itu ketawa.
Hanania ternganga apabila lelaki itu berkata begitu. Mereka yang lain berjalan masuk ke dalam kereta.
“Senang berurusan dengan awak, Encik Adrish.”
Lelaki itu menghulurkan tangan kepada Adrish. Adrish menyambutnya.
Hanania terlopong. Selepas ini bagaimana dengan kehidupannya? Bagaimana dengan Syaqer dan Mya? Astaghfirullah al-azim. Hanania pandang Amani yang kebetulan memandangnya. Amani macam tadi, masih dengan muka selambanya. Tak reti takutkah dia?
“Hai! Saya Amani, kawan Nia. Tak sangka pula kita akan bertemu secepat ini.”
Amani terus mahu menyalami Adrish. Tak sangka lelaki ini lebih kacak bila bertentang mata begini.
Ya Allah, kenapalah Amani boleh selamba badak memperkenalkan dirinya kepada lelaki yang baru pertama kali mereka temui? Hanania malu, tapi benda sudah pun berlaku.
“Hai.” Adrish senyum kepada wanita yang bernama Amani ini.
“Boleh hantar kita orang balik? Kereta saya ada kat rumah dia.”
Amani memohon pertolongan. Lagipun, apa salahnya kerana lelaki itu adalah bakal suami Hanania.
“Tak apa, Amani. Dia sibuk. Kita balik dengan teksi.”
Hanania tolong jawab bagi pihak lelaki itu. Hanania pandang lelaki itu sepintas lalu.
“Tak apa. Saya dah habis hal kat sini. Lagipun saya ada hal yang lebih penting. Tak gitu?”
Adrish memandang perempuan yang pandaipandai mengaku dia adalah bakal suaminya.
Hanania menelan liur. Berpasir. Ah! Sudah lari dari mulut buaya, masuk ke dalam mulut anakonda pula. Memang masaklah kau Nia, desis hatinya.
“Jom, saya hantarkan. Lagipun dia dah letih mendukung ni,” kata Adrish lagi sambil memandang si kecil dalam dukungannya yang sudah terlena.
Mana mungkin dia melepaskan perempuan ini dengan senang. Sudahlah RM200 ribu hilang macam air sahaja. Kalau lepas macam itu saja, rugilah dia. Misinya, dia akan ambil anak-anak abangnya daripada perempuan ini. Tapi, bukan dengan paksaan.
“HAIRAN pula aku, Nia. Dia tak pernah datang rumah kau ke?” tanya Amani.
Mana tak hairannya, Hanania menjadi pemandu jalan untuk Adrish.
“Hah?”
Hanania kematian kata. Mahu menipu macam mana pula? Dia bukannya pandai main tipu-tipu.
“Belum pernah datang. Kami masih dalam proses berkenalan. Tapi walaupun baru, dah nak berkahwin,” kata Adrish, mengerling Hanania.
Dia memerli sebenarnya.
“Maksudnya, awak berdua tak bertunang lagi?” tanya Amani.
“Belum, nak kahwin terus.”
Adrish sengih jahat. Dia kerling Hanania yang berada di sebelahnya. Tangan perempuan di sebelahnya itu menggigil. Si kecil dalam pelukannya tiba-tiba bergerak. Ditepuk pula belakang si kecil tersebut.
“Baguslah tu, nanti kita boleh jumpa lagi,” kata Amani.
Kerana mulut Amani, tak pasal-pasal dia terperangkap dengan lelaki asing ini. Tak pernah kenal seumur hidup, tiba-tiba sudah ada perancangan mahu berkahwin.
Turun saja dari kereta mewah Adrish, Amani terus menuju ke keretanya.
“Nia, aku balik dulu. Aku tak mahu ganggu kau dengan bakal suami kau. Bye, Nia. Nanti kita jumpa lagi. Aku akan cakap kepada mereka kita boleh jumpa dengan kau dan bakal suami nanti.”
Amani sengih.
Pandai-pandai Amani saja membuat perancangan sendiri. Hanania menggerutu dalam hati. Kalaulah dia berani cakap kepada Amani lelaki ini bukanlah siapasiapa. Tapi, lidah Hanania kelu.
“Amani, tunggulah dulu…” Hanania tidak berani berdua-duaan dengan lelaki ini.
“Nanti kita jumpa lagi. Aku ada hal ni.”
Amani terus memandu keretanya.
Hanania menggigit bibir. Sampai hati Amani tinggalkannya.