USAI menghenyakkan punggung di kerusi empuknya, Carl pandang lama bekas Tupperware berisi nasi goreng pemberian Rania.
27 tahun dia hidup, tak pernah ada seorang pun yang sediakan bekal untuknya. Tup-tup hari ini gadis bernama Rania dah melakar sejarah tersendiri dalam hidupnya, walaupun cuma nasi goreng. Biar betul.
Baru saja kenal, dia dah buat semua ini. Agak-agak kalau dah lama nanti, apa pula yang dia buat?
Hari ini jadualnya sangat padat. Pagi ini dia perlu mengetuai mesyuarat bersama dengan ahli lembaga pengarah untuk membincangkan perkembangan syarikat. Bukan itu saja, tengah hari ini juga dia perlu turun melawat tapak projek perumahan yang sedang diusahakan oleh mereka.
Fuh! Silap hari bulan, memang dia tak sempat makan.
Tapi, dia dah lali dengan jadual kerja yang sibuk begini. Sudah hampir tiga tahun dia mengambil alih jawatan CEO ini daripada bapanya, Tan Sri Megat Rahman yang meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Sejak itu, kesibukan sudah menjadi darah dagingnya sehingga dia langsung tidak punya masa untuk diri sendiri. Dia tidak mampu mengeluh. Sebagai anak tunggal, siapa lagi yang lebih layak untuk menyandang jawatan ini kalau bukan dia?
Tok! Tok! Tok!
Pintu kamarnya diketuk. Carl tersentak. Lantas lamunannya mati sendiri.
“Masuk!” Dia memberi arahan dengan nada tegas.
Serentak dengan itu, pintu kamar terkuak sebelum kelihatan seorang wanita melangkah masuk ke dalamnya.
“Good morning bos. Ini kopi bos,” sapa Yanti setiausahanya.
Carl angguk sahaja.
Sudah menjadi rutin Yanti untuk menyediakan kopi untuknya setiap pagi. Harinya tidak akan sempurna tanpa secawan kopi.
“Thanks Yanti,” ucap Carl perlahan.
“Hai bos, bawa bekal ke hari ni? Tak pernah-pernah pulak bos bawak bekal sebelum ni,” tegur Yanti sebaik matanya terpandangkan Tupperware di atas meja Carl.
“Tak ada apa-apa dah, kan? Jadi, awak boleh keluar sekarang.” Carl renung tajam muka setiausahanya.
Yanti pantas mengangguk.
“Bos jangan lupa tau mesyuarat kita setengah jam lagi.” Sempat Yanti mengingatkan sebelum dia keluar dari situ.
“Yanti,” panggil Carl sebaik wanita itu sudah bersedia untuk keluar.
“Ya bos?” 
“Tolong cek department mana ada staf baru bernama Melissa Rania. Lepas tu, bagitahu saya,” arah Carl sambil membetulkan posisi duduknya.
“Kenapa bos? Ada apa-apa masalah ke?”
“Jangan banyak tanya boleh tak? Buat saja apa yang saya suruh.” Keras nada Carl ketika itu.
Yanti telan air liur.
“Okey bos,” jawabnya akur.
Sebaik Yanti beredar, mata Carl beralih pada Tupperware di atas mejanya. 
Nak makan ke tak nak? Makan ke tak? Makan ke tak? Carl berkira-kira dalam hati. 
Kalau makan, takut malam nanti tak boleh tidur termimpikan minah itu pula. Manalah tahu kut-kut dia dah bomohkan bekal ni ke. Tapi, kalau tak makan, perutnya tengah berkeroncong sekarang.
Ah, bedal sajalah. Tak mungkin minah tu pandai bomohkan orang. Tengok muka macam naif saja.
Carl capai Tupperware itu lalu membuka penutupnya. Serentak dengan itu, wangian harum menyerbu masuk ke rongga hidungnya.
Baunya pun dah buat Carl telan air liur. Belum rasa lagi. Sekali pandang nampak macam sedap. Rugi pula kalau tak cuba. Bak kata Rania tadi, rezeki depan mata tak baik ditolak.
Dia menyudu nasi goreng itu, lalu menyuapnya ke dalam mulut. Satu suapan sudah selamat mendarat dalam mulut dengan jayanya. Dia kunyah nasi goreng itu perlahan-lahan. Boleh tahan juga rasanya.
Sudu yang kedua. Pergh! Rasanya ini bukan boleh tahan lagi. Ni dah gerenti sedap. Semua rasa ada. Paling penting, pedas.
Rania ni pernah kerja cef kat mana-mana hotel lima bintang ke apa? Nasi goreng saja pun. Sumpah sedap!
Usai mengunyah, Carl suap lagi ke dalam mulut. Sedar-sedar satu bekas itu licin!
Haisy, apa sikit sangat minah ni buat? Macam tak cukup pulak rasanya. Carl hirup pula kopi di dalam cawan. Sesudah itu, dia menyandar kekenyangan di kerusi empuknya.
