“Aku nak gaji aku. Selama mana aku bekerja. Kalau tidak, aku repot ke pejabat buruh. Kata kau dera aku. Kerah tenaga aku selama 12 jam dan diberhentikan mendadak tanpa sebab yang kukuh.”
Sally mencebik.
Adel menahan marah. Okey, cara ugutan tak jalan. Aku guna cara yang lebih ganas. Agak-agak kalau aku tumbuk muka dia yang mekap 10 inci tebal tu, apa jadi? Kutlah dia boleh jadi sado pula lepas terima tumbukan padu aku.
Adel menyeringai. Pantas dia mendekatkan diri ke meja Sally.
Meremang bulu roma Sally melihat senyuman yang terukir di bibir Adel. Liur yang ditelan terasa berpasir saja.
“You... you nak bu... buat apa ni?” soal Sally terketar-ketar.
“Kalau aku tumbuk kau, apa jadi eh? Aku teringin sangat nak tumbuk muka kau yang ‘lawa’ tu,” ujar Adel bersama senyuman penuh makna.
“Hei! You ja... jangan berani sentuh muka I.”
Adel tergelak melihat wajah Sally yang pucat tidak berdarah.
“Okey, kalau kau tak mahu muka kau lebamlebam, serahkan duit gaji aku. Kalau kurang walau satu sen pun, aku akan tuntut,” ugut Adel lagi.
Seronok benar Adel lihat wajah Sally ketika ini. Pucat yang teramat sangat. Andai ditoreh pisau pasti setitik darah pun tidak mengalir keluar. Dia tersenyum geli hati.
“Nah! Kiralah sendiri,” ujar Sally.
Adel menarik sampul yang dipegang oleh Sally. Kemudian, dia merengus geram melihat Sally yang seakan-akan tidak mahu melepaskan sampul berwarna coklat itu.
Melihatkan renungan tajam Adel, akhirnya Sally akur. Walaupun berat hati, dia lepaskan juga sampul tersebut.
Adel tersenyum melihat sejumlah wang yang berada di dalam sampul tersebut. Setelah berpuas hati, dia menapak keluar dari pejabat itu. Namun, dia berpatah kembali untuk memberikan beberapa ‘pesanan’ kepada Sally.
“You nak apa lagi?” tanya Sally sambil menutup wajahnya.
Takut kena penumbuk.
Adel mencebik bibir sambil mata dijulingkan ke atas.
“Aku nak pesan dekat kau. Lain kali jangan tuduh sembarangan. Aku kurang ajar dengan pelanggan tadi sebab dia pandang hina kepada aku. Dia kata aku ni tak ubah macam jantan. Itu aku boleh terima lagi. Tapi, bila dia kata aku ni kurang didikan agama, aku panas hati.
“Lagi satu, aku nak ucapkan terima kasih. Kau dah bagi aku peluang kerja dekat sini. Aku bersyukur. Walaupun sebulan je kerja, tapi aku seronok. Dahlah, benda dah jadi. Aku pun dah kena buang kerja. Okeylah, Aku cau dulu. Assalamualaikum.”
ADEL memilih untuk duduk di tepi tingkap. Sengaja dia memilih sudut itu kerana mahu melihat pemandangan dari tingkat atas restoran KFC itu.
Adel menyedut air Pepsinya sehingga habis. Pinggan yang telah licin itu ditolak ke tepi. Perutnya yang sudah penuh digosok perlahan.
“Burbbb...” Spontan Adel sendawa, sudah kekenyangan.
Beberapa pasang mata memandangnya sambil menggeleng kepala. Ada juga yang tersenyum-senyum. Namun, sedikit pun tidak memberi kesan di hati Adel.
Dia yang baru hendak bangun, terkejut apabila tak semena-mena tubuhnya disimbah dengan air Pepsi. Hampir jatuh rahangnya ketika itu.
“Sorry,” ucap lelaki itu dan terus berlalu.
“Kuang ajaq! Ni yang aku bengang ni. Kau ingat minta maaf aje cukup ke bro? Isy! Angin betul aku macam ni. Kenapalah dengan nasib aku hari ni eh? Hari ni memang hari suwei aku ke, hah?” omel Adel seraya mengesat sisa air Pepsi di bajunya.
Dia merengus kuat. Nak juga tengok muka mamat yang baik hati menyimbahnya dengan air Pepsi itu, namun entah ceruk mana mamat itu duduk pun dia tidak perasan. Huh!
ADAM melabuhkan punggung di sisi Adib. Dia baru saja selesai membuat pesanan lain. Air Pepsinya tadi telah tertumpah ke atas seseorang. Kerana itulah dia membuat pesanan lagi.
Adam tersenyum melihat wajah teruja anakanaknya yang sedang menikmati KFC.
“Makan banyak-banyak ya sayang-sayang papa. Nanti dah kenyang baru kita pergi tengok wayang. Anak-anak papa nak pergi tengok The Incredibles 2 kan?”
Adam memancing anak-anaknya untuk bersuara. Jika sudah dapat makan ayam KFC, papa mereka pun tak dilayannya.
“Nak,” jawab Airin teruja.
“Okey. Kalau macam tu, makan cepat sikit. Kejap lagi papa bawa sayang-sayang papa pergi tengok wayang. Tapi, makan jangan sampai comot. Kalau tidak, papa tak mahu bawa,” ujar Adam dengan nada tegas.
Airisya, Adib dan Airin membuat tabik hormat kepada Adam.
Adam tergelak kecil melihat keletah anakanaknya. Jauh di sudut hati, Adam mengucap syukur. Syukur dikurniakan anak-anak yang comel dan bijak. Kepada Allah dia memohon agar diberi kekuatan untuk membesarkan anak-anaknya ini.
USAI duduk di kerusi, Adam menghulurkan popcorn kepada anak-anaknya.
“Kakak, abang, duduk diam sikit.” Tegas suara Adam.
Tiba-tiba bilik yang tadinya terang-benderang menjadi gelap-gelita.
Airin memeluk erat lengan Adam. Antara ketigatiga anaknya, Airin lebih ketara takut pada kegelapan.
10 minit berlalu, maka bermulalah tayangan filem The Incredibles 2. Sedang asyik menonton, tibatiba seseorang duduk di sebelah Adam.
Hidungnya disapa dengan haruman yang amat memikat hatinya. Sukar untuk dia jelaskan bagaimana bau haruman tersebut. Yang dia pasti, baunya harum dan sedikit keras. Boleh juga dia katakan ia adalah haruman lelaki.
Harumnya, detik hati kecil Adam. Dia menelan liur. Jantungnya tiba-tiba berdebar, entah sebab apa. Dia tidak lagi menumpukan perhatian pada skrin besar di hadapannya. Perasaannya menjadi libang-libu.
Sesekali Adam menjeling sebelahnya dengan ekor mata. Dia menelan liur. Puas dia mengintai insan di sebelah, namun wajah itu terselindung di sebalik topi yang tersarung di kepalanya.
Spontan Adam meletakkan telapak tangannya di dada. Dia tidak mengerti dengan dirinya kini. Hatinya berdebar tiba-tiba sepertimana kali pertama dia jatuh cinta kepada Ika.
Adakah ini maknanya cinta?
Tapi, mustahil! Mana mungkin dia jatuh cinta kepada gadis di sebelahnya itu. Erk? Gadis ke atau... Isy, Adam. Husnuzon.
Adam terus berperang dengan perasaannya sehingga panggung yang tadinya sunyi sepi menjadi hingar-bingar. Suasana yang gelap kini terangbenderang.
Adam mencuri pandang figura insan di sebelahnya. Namun, sayang seribu kali sayang, insan tersebut sudah jauh melangkah ke hadapan. Adam melepaskan keluhan berat.
ADAM hanya menelinga saja mendengar perbualan anak-anaknya. Fikirannya melayang lagi. Sebelum mereka pulang, dia sekali lagi terlihat figura insan yang memikat hidungnya dengan haruman lelaki yang dipakainya.
Baru saja dia mahu menegur, tiba-tiba Airin merengek mahu ke tandas. Terpaksalah dia melupakan hasratnya mahu mengejar insan tersebut. Entah mengapa hatinya terselit rasa hampa.
“Seronok sangat ke cerita tadi? Sampai sekarang tak habis bercerita ni erm?” tanya Adam sambil memandang ketiga-tiga anaknya silih berganti.
Rasa kecewanya sebentar tadi ditolak ke tepi.
“Seronok, papa,” jawab Adib dengan wajah ceria.
Adam mengangguk.
“Nanti kalau ada masa free, papa bawa putera dan puteri-puteri kesayangan papa ni tengok wayang lagi. Ataupun... papa bawa pergi mandi di waterpark nak?”
Bersinar anak mata Airisya, Adib dan Airin mendengar kata-kata papa mereka.
“Nak! Mesti seronok kan papa? Tapi, kalau nak mandi kolam dekat rumah pun boleh. Kan ada swimming pool dekat rumah kita.”
Adam ketawa kecil. Dia mengusap perlahan kepala anak sulungnya, Airisya.
“Dekat rumah lain. Kalau dekat waterpark, kakak, abang dan adik boleh mandi sambil bermain. Kan seronok tu? Ke kakak nak pergi mandi pantai?” soal Adam sambil menjongketkan keningnya.
“Erm... seronok juga. Tapi, kita bawalah Nek Jah sekali. Barulah seronok,” ujar Airisya dan Adib serentak.
Airin sudah terlena di kerusi penumpang belakang.
“Okey sayang. Nanti kita rancang semula ya?” Adam tersenyum kepada anak-anaknya.
ADAM melambai kepada anak-anaknya yang sedang bermain di gigi air. Dia tersenyum melihat wajah ceria anak-anaknya. Sesungguhnya tiada apa yang lebih penting baginya selain keluarga dan kebahagiaan anakanaknya. Kerana itulah dia sanggup berkorban apa saja demi mereka.
“Kamu tak mahu kahwin lagi Adam?” soal Puan Halijah kepada anaknya.
“Errr... kalau tak kahwin pun tak apa mak. Adam dah cukup bahagia dengan hidup Adam sekarang. Bahagia dengan anak-anak, dengan mak. Tu pun dah cukup bagi Adam.”
Puan Halijah mengeluh mendengar tutur kata Adam.
“Kamu masih tak boleh lupakan perbuatan Ika?” tanya Puan Halijah, cuba menyelami dasar hati anaknya.
Adam menarik nafas dalam-dalam. Lutut ditarik rapat ke dada dan memeluknya sambil mata tidak lepas memandang anak-anaknya.
“Adam boleh lupakan perbuatan dia, cuma Adam tak mampu untuk berhadapan dengan dia. Setiap kali Adam nampak muka dia, pasti Adam akan rasa jijik. Entahlah mak. Adam tak tahu nak cakap macam mana.”
“Kamu kena fikirkan budak-budak tu. Kalau kamu pergi kerja, siapa yang nak jaga mereka? Takkan selamanya kamu nak bergantung kepada mak? Kalau mak ni sihat walafiat, mak tak kisah jaga cucu-cucu mak. Tapi, kamu tahu sendirilah, mak ni dah senja. Banyak penyakitnya.”
Adam meraup mukanya. Telinganya sudah lali diterjah dengan soal kahwin.
“Bagilah masa untuk Adam fikirkan semuanya mak.”
“Fikir, fikir, fikir. Sampai bila kamu nak berfikir? Sampai mak dah tak ada lagi baru kamu nak cari pengganti bekas isteri kamu tu?”
Adam mengeluh buat ke sekian kalinya. Perlahan dia bangkit. Tidak tahan mendengar leteran mak kesayangannya itu.
“Ha, tu nak ke mana pula? Baru cakap sikit kamu dah buat muka. Tak fahamlah mak dengan kamu ni Adam.”
Adam terus berlalu meninggalkan maknya keseorangan. Dia perlukan ketenangan. Dia memerlukan ruang untuk memikirkan baik dan buruk andainya dia kembali berumah tangga.
Langkah kaki dibawa ke kerusi batu yang tersedia di situ. Dari jauh dia memerhatikan anak-anaknya yang sedang bergelak ketawa sebelum dia hanyut dengan dunianya sendiri.