“CARL, kenalkan ni bakal isteri papa.”
Aku terpaku sejenak. Cuba untuk menghadam kata-kata yang keluar dari mulutnya. Bakal isteri? What?!
Aku memandang tepat ke arah lelaki yang hampir seusia dengan baba yang sedang duduk di sofa empuk berwarna coklat itu.
Encik Kamal hanya tersenyum memandangku.
Aku membesarkan biji mata kerana terkejut sekali gus meminta penjelasan dengan omongan yang kedengaran agak keterlaluan. Tapak tanganku sudah mula berpeluh.
Sang jejaka yang duduk di hadapan Encik Kamal pantas berpaling dan memandangku. Matanya tajam menikam anak mataku.
“What? This is nonsense. No matter what happen, Carl tak setuju. Tidak sama sekali! Walau mama setuju sekalipun, pernikahan papa dan perempuan ni tak akan terjadi. Titik!” Lelaki itu membentak sekeras-sekerasnya.
Aku hanya mampu berdiri statik, tidak bergerak. Macam tiang elektrik pun ada. Tegak sahaja. Mulutku yang mahu berkata-kata sudah terkunci rapat.
Ah, sudah! Matilah aku kali ini!
Lelaki yang menggelarkan dirinya Carl itu merenungku tajam.
Aku mengalihkan pandanganku ke arah lain. Tidak sanggup membalas pandangannya yang nyata penuh dengan api kemarahan. Fail di tangan aku tarik rapat ke dada untuk menghilangkan rasa gugup.
“Carl setuju atau tak, keputusan papa adalah muktamad!” Encik Kamal bersuara tegas.
Aku merasakan suasana bilik ini semakin membahang. Bulu romaku sudah berdiri tegak.
“Encik...” Baru sahaja aku ingin bersuara, pintu dibuka dari luar.
Kelihatan seorang wanita anggun menapak masuk ke dalam bilik.
Aku tersenyum manis dalam kegugupan. Drama apa pula kali ini?
“Ma, are you sure about this? Papa nak kahwin lain. Mama boleh terima bulat-bulat macam ni?” Suara yang keras tadi semakin kendur.
Lalu, dia bangun dan menarik tangan wanita anggun itu menuju ke sofa.
Puan Marina hanya mengangguk.
Aku terpanar. Semua mata memandangku. Apa aku nak buat ni?
Aku terkulat-kulat memerhatikan mereka. Dalam hati, hampir sahaja mahu menghamburkan kata-kata yang tidak sepatutnya. Sabar, Arissa. Sabar. Aku urut dada perlahan-lahan.
“No! Walau apa pun yang terjadi, Carl tetap tak setuju. Kenapa papa nak kahwin sangat dengan dia? Apa istimewanya dia di mata papa? Papa dah tak sayang mama ke? Tak cukup ke mama seorang sampaikan nak ada yang kedua?”
Bertalu-talu soalan itu menyerang Encik Kamal. Lelaki tua itu menghela nafas seketika.
“Bukan masalah cukup ke tak, cuma papa rasa papa perlukan Arissa sebagai teman hidup,” ujar Encik Kamal dengan wajah serius.
Aku mahu sahaja tergelak besar di situ. Encik Kamal ni dah gila ke apa? Dia perlukan aku sebagai teman hidup? Itulah perkara paling mengarut yang pernah aku dengar sepanjang hidup aku. Memang lawak betul orang tua ni.
Aku rasa Encik Kamal patut jadi pelakon, tak pun pelawak. Itu lagi sesuai berbanding kerjayanya sekarang. Geli hati sungguh aku dibuatnya. Buat bulu roma aku meremang pun ada.
Aku sorok wajah di sebalik fail. Nanti kalau aku ketawa, apa pula kata Encik Kamal. Tak pasal-pasal mereka cop aku gila sebab ketawa dalam situasi yang tegang ini.
Aku jatuhkan fail dan angkat wajah kembali. Senyuman aku yang masih tersisa mati begitu sahaja apabila Carl merenung tajam wajahku.
Gulp! Aku telan air liur. Seram sahaja pandangan matanya menikam anak mata aku.
“Seronok? Seronok dapat hancurkan rumah tangga orang lain? Kau memang tak tahu malu, kan?” Suara Carl kembali meninggi.
Aku kembali menunduk. Hati kembali kecut dengan kata-katanya. Aku tidak berani untuk membuka mulut.
Sungguh, aku tidak pernah diherdik sebegini rupa sepanjang hidup aku. Ini adalah kali pertama. Rasanya sangat memedihkan telinga dan menyakitkan hati.
“Carl!” Encik Kamal memanggil nama anak lelakinya itu.
Puan Marina turut menarik lengan anaknya. Mahu memenangkan Carl yang dilihat naik hantu setelah mendengar berita itu.
“Kau jangan mimpi nak kahwin dengan papa aku!” bentak Carl lagi.
Jari telunjuknya dihala tepat ke wajahku. Amarahnya semakin membuak-buak. Aku mati kutu di situ.
Aku tidak menyangka akan terlibat dengan drama yang direka tanpa skrip oleh pasangan tua ini. Sungguh jiwa aku terseksa dibuatnya. Matilanak!