Sehati Denganku

BAB 2

  • Art
  • Schaslee

AKU meneguk air min uman dengan rakus sekali. Mengharapkan rasa dahaga dan perasaan marah kembali surut.

Tak patut betul orang tua tu buat aku begini. Aku main-main sahaja itu hari. Tidak kusangka dia betul-betul terima cadangan aku. Hampeh punya orang tua!

“Kau apa hal? Minum air macam tak minum setahun. Dah kemek dah botol tu. Dahaga sangat ke?”

Aku tergamam apabila mendengar suara nyaring menegur aku secara tiba-tiba. Bikin aku sakit jantung sahaja dengan nada suaranya itu.

Aku memandang sekeliling. Jacinta turut meniru aksiku. Turut sama terhendap-hendap.

Jacinta mengerutkan dahi dan memandang aku penuh kehairanan. Mungkin pelik dengan kelakuan aku.

“Encik Kamal dah keluar?” Aku bertanya dengan suara separa berbisik.

Bimbang jikalau ada yang masuk ke pantri saat ini. Soalan Jacinta aku biarkan sahaja tergantung tanpa jawapan.

“Dia dah keluar dengan Puan Marina tadi. Anak dia ada sekali. Tak pernah pulak aku nampak anak dia yang ni. Handsome giler kut!” Jacinta bersuara riang.

Keluar sudah perangai gedik minah ni. Pantang betul nampak lelaki yang kacak. Mulalah mahu cuci mata.

“Baguslah dah keluar. Handsome saja buat apa kalau perangai macam samseng? Mulut tak ada insurans langsung. Geram betul aku dengan Encik Kamal tu!” Aku menghamburkan.

Dari tadi aku menahan geram, akhirnya terletus jua.

“Kenapa, weh? Ceritalah dekat aku.” Jacinta mula berbisik.

Kalau bab bergosip, nombor satu. Seronok betul dia mahu mendengar.

“Kau ingat tak, aku pernah sebut pasal Encik Kamal cerita tentang anak dia. Yang tak nak balik Malaysia tu?”

“Ingat, ingat. Apesal?” Jacinta terangguk-angguk.

Sempat kami memandang sekeliling. Risau ada yang mencuri dengar perbualan rahsia kami.

Setelah memastikan keadaan sudah selamat, aku berdehem untuk memulakan cerita. Membetulkan nada dan tona suara supaya sesuai dengan jalan cerita yang hendak disampai kepada Jacinta.

Aku mula mengimbau kembali kejadian di bilik Encik Kamal tempoh hari.


“ARISSA...”

Aku mengangkat muka memandang Encik Kamal yang berada di hadapanku. Dokumen yang aku minta dia tandatangan juga sudah kembali ke tanganku.

“Ada apa encik?” soalku.

Sempat aku memandang lelaki tua ini. Segak sahaja berkemeja, tetapi mukanya sudah dimamah usia. Rambutnya sedikit beruban. Namun, tetap segak.

Mungkin dia bekerja tanpa memerlukan kudrat yang banyak. Sangat berlainan dengan baba. Sempat aku membayangkan wajah tua baba yang memakai pakaian lusuh.

Setiap pagi baba ke kebun, membersihkan kebun kelapa sawit miliknya. Ah, rindu pula pada baba dan arwah umi! Rindu kampung!

“Saya tengah runsing sekarang ni.” Kedengaran suara tua itu mengeluh.

Encik Kamal menyandarkan badannya ke kerusi. Kerutan jelas terbentang di dahi.

Jarang sekali Encik Kamal hendak beramah mesra dengan pekerjanya. Kalau aku minta dia menandatangani sesuatu, jarang sekali dia mahu berbual-bual. Sekadar bunyi pen sahaja yang kedengaran.

Kadang-kadang dia menyoal tentang perkara penting sahaja. Selepas itu, bunyi pintu yang menandakan aku sudah keluar dari biliknya kedengaran. Itu sahaja.

Kali ini, nada suaranya jelas menunjukkan dia dilanda masalah. Masalah besar. Itu sahaja telahan yang aku mampu beri sekarang.

“Anak saya.” Lemah sahaja suaranya.

“Hah! Kenapa dengan anak encik?” Aku bertanya kembali.

Terasa pelik sungguh. Tak pernah-pernah dia mahu bercerita soal anak-anaknya. Tiba-tiba sahaja.

Mataku sempat melirik pada jam berwarna merah di pergelangan tangan. Lagi 15 minit waktu pejabat akan berakhir. Cepatlah, Encik Kamal, kalau nak bercerita. Aku mahu pulang ke rumah. Dalam kepala aku sudah nampak katil aku yang empuk. Kaki aku pun sudah tidak duduk diam. Terasa benar ingin pulang.

Beberapa hari kebelakangan ini, aku banyak kerja lebih masa. Jadi, hari ini aku mahu berehat dengan secukupnya tanpa sebarang gangguan.

Aku sudah mula membayangkan tubuh aku yang berguling di atas katil, ditemani selimut gebu berwarna merah jambu dan bantal peluk. Ah, asyik sekali.

Khayalan aku terganggu apabila mendengar suara Encik Kamal.

“Anak saya dah tak nak balik Malaysia. Dah puas saya pujuk. Macam mana ya?” Sedih sahaja nada suara Encik Kamal.

Aku memandang sayu wajah lelaki tua itu, serba salah. Drama pukul berapa pula anak Encik Kamal mahu tiru?

Susahnya kalau jadi anak orang kaya. Hidup senang di negara orang, tapi tinggalkan keluarga. Apa nak jadi? Aku kalau dapat keluarga senang macam ni, memang tidaklah aku mahu tinggalkan rumah.

“Anak encik yang mana ya?” Aku buat-buat berminat ingin tahu.

“Anak saya yang lelaki, bongsu. Kakak-kakak dan abang dia dah kahwin. Saya tak kisah sangat. Ni yang bujang. Entah apa la dia buat di negara orang. Saya risau...”

Ah! Lelaki! Aku mati-mati ingat perempuan. Lantak dia la. Dah besar, ada otak, boleh fikir sendiri. Mahu sahaja aku berkata begitu. Tetapi, apabila memikirkan perasaan majikanku, aku kuburkan sahaja kata-kata itu dalam hati.

“Apa kata, encik cakap encik nak kahwin lain? Insya-Allah, anak encik balik. Kalau susah sangat, suruh wife encik yang call. Lagilah menjadi. Saya minta diri dulu,” ujarku bersahaja.

Fuh! Betapa leganya aku ketika dapat keluar dari bilik Encik Kamal.


BUNYI ketawa daripada mulut Jacinta membuatkan aku berhenti bercerita. Melihat Jacinta yang sakan mengesat air mata dengan hujung lengannya membuatkan hati aku tambah mendidih.

Hendak marahkan Jacinta pun tiada guna. Bukannya dapat selesaikan masalah. Salah aku juga main cakap sahaja. Nasi pun dah jadi bubur. Sekarang, aku tidak senang duduk dibuatnya.

Jacinta makin galak ketawakan aku. Tak guna punya kawan. Aku sudahlah tengah bengang. Boleh pula dia sakan gelakkan aku!

“Tulah kau, Arissa. Lain kali cakap pakai otak. Kan dah kena. Encik Kamal tu tengah terdesak nak anak dia balik Malaysia. Kau pulak pergi bagi cadangan macam tu. Helok sangatlah tu. Terkena batang hidung sendiri.” Enak saja mulut Jacinta mengutuk aku.

Kecil besar sahaja aku pandang Jacinta. Mahu sahaja aku cekik-cekik makhluk Tuhan yang berdiri di hadapan aku ketika ini.

“Tapi, baguslah idea kau. Anak dia betul-betul balik, kan?” Selamba sahaja Jacinta bersuara.

Aku memandang Jacinta dengan pandangan kosong. Malas hendak mengeyakan perkara itu.

“Masalahnya, muka aku ni dah kena cop nak jadi bini muda, mama muda, mak tiri, penyondol dan yang sewaktu dengannya. Kau rasa? Aku main-main je masa cakap tu. Tak sangka orang tua tu ambil serius. Kalau ya pun, janganlah libatkan aku. Aku dahlah tak ada orang yang nak. Kena pulak macam ni. Sedihnya rasa,” luah aku tiba-tiba.

Apa punya malang nasib aku. Tak pasal-pasal dapat title bakal isteri nombor dua Encik Kamal.

Makin galak Jacinta ketawa.

Aku melangkah ke singki untuk mencuci tangan. Malas hendak melayan Jacinta. Buat sakit hati aku sahaja.

“Amboi, bahagianya Cik Ta. Sampai ke luar dengar awak gelak.” Hussin menapak masuk ke dalam pantri.

Jacinta buat muka malu-malu kucing. Aku mengulum senyum sinis kepada Jacinta.

“Eh, Hussin...” Aku buat-buat terkejut.

Jacinta mencerlung mata ke arahku.

“Eh, Kak Arissa pun ada sekali la. Tak perasan pulak.” Hussin bersuara riang.

Dia memandangku dengan wajah pura-pura terkejut.

Aku tergelak. Menipu benar kalau dia tak nampak aku berdiri di singki.

“Tahu la minat Cik Ta, tapi agak-agaklah kalau tak nampak akak. Melampau betul kau, Hussin.” Aku mencebik.

Jacinta sudah buat muka pasrah. Dia tahu dia bakal diusik oleh aku. Mulut aku pun boleh tahan kepohci juga.

“Ada-ada aje akak ni. Malu saya.” Hussin tertunduk malu.

Dia meletakkan kotak segi empat di atas meja.

“Apa tu?” Aku melirik nakal ke arah Jacinta.

Tangan mula memegang kotak tersebut. Sengaja aku berperangai gelojoh. Mahu mengusik Jacinta dan Hussin.

“Eh! Ada brownies. Alaaa, jahatlah Hussin. Tahu-tahu aje kan akak tengah diet. Ni mesti kes nak bagi Cik Ta makan sorang, kan?” Aku menolak kotak tersebut ke arah Jacinta.

Sempat aku mengerling manja ke arahnya. Tangan Jacinta yang mahu mencubitku sempat aku elak. Tadi sibuk gelakkan aku. Sekarang, suara pun tak berbunyi. Padan muka!

“Korang makanlah ya. Tapi, untunglah Cik Ta. Hujung bulan macam ni kalau tak dapat makan nasi, makan brownies pun jadi. Tak gitu, Cik Ta?” Aku perli Jacinta lagi.

Muka Hussin dan Jacinta sama-sama merah padam. Tawa yang aku simpan akhirnya terletus jua. Ini bukan kali pertama mereka diusik sebegini rupa. Sudah menjadi rutin harian kami di sini.