KAMI bertiga berjaya masuk ke pejabat sedikit awal sebelum tamat waktu rehat. Aku melihat Kak Nad sudah terpacak di tempat duduknya, ditemani oleh Emilia. Mereka berdua serentak memandang kami bertiga.
“Arissa, baguslah kau dah datang. Emilia nak minta tolong ni.” Kak Nad bersuara.
“Tolong apa tu?” Aku memandangnya hairan.
“Tolong pilihkan tempat untuk family day department kita.” Emilia bersuara halus.
“Kenapa tak Google aje? Tak buat senarai dulu ke?”
“Saya dah Google. Senarai tempat pun saya dah buat. Tapi, semua Encik Haikal tak nak. Dia tolak mentah-mentah cadangan saya,” keluh Emilia.
“Cerewet betullah dia tu. Dia ada mention tak nak tempat yang macam mana?” soalku.
“Saya tak tanya pulak.”
Aku menepuk dahi. Ah, sudah! Emilia pun satu hal.
“Lain kali tanyalah dia, nak tempat yang macam mana? Hutan rimba ke, pulau ke, pantai ke? Ada aktiviti lasak atau macam mana? Nanti senang nak cari. Nak sesuaikan bajet lagi. Tahun ni berapa bajet yang dikeluarkan?”
“Saya tak tanya jugak. Sebab Sue yang handle bajet. Dia cuti lagi.” Suara Emilis sudah bergetar.
Matanya sudah sedikit berair.
“Emilia, saya tak marah awak tau. Saya rasa baik awak jumpa balik Encik Haikal dan bincang dengan dia. Lagi senang.” Aku cuba memujuk Emilia.
Nampaknya dia menampung bebanan yang berat.
“Saya takutlah. Lutut saya dah tak kuat nak berjalan masuk ke bilik Encik Haikal. Arissa tolong saya boleh?” pinta Emilia.
Nada suaranya begitu lemah sekali.
“Tolong apa?” Aku sudah dapat merasakan ada sesuatu yang bakal menimpaku.
“Jumpa Encik Haikal. Please...” Emilia sudah separa merayu.
Sudah aku jangka perkara ini akan berlaku.
“Tapi...” Aku cuba berdalih.
Tidak mahu mencampuri urusan kerja orang lain. Nanti apa pula kata Haikal.
“Tolonglah dia, Arissa. Bukan selalu pun. Biasa kau yang handle program, kan?”
“Betul tu, Arissa. Kali ni aje. Kesian Emilia ni ha...” Kedengaran suara-suara sumbang mencelah perbualan kami.
Mahu sahaja aku cubit mulut-mulut yang berada di depanku ini. Aku bukan tak mahu tolong. Kalau dahulu aku dengan rela hati melantik diri sendiri jadi ketua program. Sekarang, sejak Encik Kamal sudah tidak berkhidmat, semangat aku sudah agak mundur ke belakang.
Emilia memandangku dengan mata yang bersinar-sinar.
Nasib apakah ini?
“Boleh tolong, tapi dengan satu syarat.” Aku sengaja bermain kata dengan mereka.
“Syarat apa?” Serentak mereka bersuara.
“Kalau aku kena maki, korang kena tadah telinga sekali.”
Aku tersenyum kemenangan melihat muka kelat Kak Nad, Jacinta, Emilia dan Mida.
Belum sempat aku bersuara lagi, Haikal sudah melangkah masuk. Masing-masing seperti lipas kudung, pecut lari ke tempat masing-masing. Sempat aku menangkap kata-kata yang keluar dari mulutnya
“Tak habis-habis lagi sembang. Waktu rehat sembang. Waktu kerja pun nak sembang,” bebelnya sebelum melangkah masuk ke ruangan bilik pejabatnya.
Aku dan Jacinta saling berpandangan. Mataku sempat memandang Emilia yang keluar dari bawah meja Hussin. Nasib baik orangnya tiada di meja.
“Sempat kau sembunyi ek?” Mida bersuara.
Terkejut barangkali melihat Emilia merangkak keluar dari tempat persembunyian.
“Saya rasa macam nak tercabut jantung.” Emilia mengesat peluh di dahi.
Rasa kasihan menerpa ke hatiku apabila melihat Emilia. Betul-betul trauma nampaknya.
“Nanti saya jumpa Encik Haikal. Tapi, nanti awak kena follow up tau.”
Wajah Emilia yang sugul berubah menjadi ceria mendengar jawapanku. Laju sahaja dia mengangguk.
AKU menarik nafas dan hembus perlahan. Tak pernah aku berdebar seperti ini. Kali terakhir mungkin ketika aku mahu naik pentas semasa hari konvokesyen.
Aku memalingkan wajah. Sempat aku melihat rakan seperjuangan memberi semangat, seolah-olah aku mahu pergi berperang.
Namun, ini sememangnya peperangan yang begitu sengit antara aku dan Haikal. Mungkin semalam kami boleh ketawa, tetapi hari ini, belum pasti. Risau air mata yang mengalir keluar.
Aku mengetuk perlahan pintu pejabat Haikal. Tertera nama penuhnya, Ahmad Haikal Bin Kamal. Laju betul berganti papan nama pada pintu.
“Masuk.”
Aku menolak pintu apabila mendengar arahan dari dalam. Aku memberikan senyuman manis kepada Haikal.
“Kau dah kenapa tersengih macam tu?” Haikal mengerutkan dahi.
Cepat betul Haikal dapat hidu helah di sebalik senyuman aku.
“Senyum pun tak boleh ke?” Aku bertanya sambil bibir masih mengukir senyuman manis.
Senyuman ini adalah untuk menutup rasa gugup. Tak pernah aku segugup ini. Dia jampi aku ke? Ke dia ada letak apa-apa dalam kuih koci tadi?
Alamak! Sampai ke situ pula aku fikir.
“Boleh, tapi senyuman kau ni mencurigakan. Kau ada buat salah ke?” Haikal seolah-olah cuba memerangkap aku dengan soalannya.
“Buat salah apa pulak? Encik Haikal ingat saya datang kerja nak buat salah ke?” Aku bengang.
Tetapi, mengingatkan tujuan aku datang ke biliknya, aku segera mengambil tempat dan duduk di hadapan Haikal.
“Saya duduk ya.” Aku bersuara sopan.
“Dah duduk baru minta izin.” Sinis Haikal menjawab.
Aku pura-pura mahu bangun.
“Duduk jelah. Tak payah nak acah-acah bangun. Kau nak apa?” Haikal bersuara kembali.
Aku tersenyum sumbing. Memang sengaja aku buat begitu. Bukan aku betul-betul hendak bangun. Sengaja aku mahu mempermainkannya.
“Saya nak bincang pasal family day.” Aku memulakan bicara.
“Bukan Emilia ke yang handle?” Lelaki itu mengerutkan dahi.
Kini, dia memandang tepat ke wajahku. Tadi dia galak melihat skrin telefon bimbitnya. Sekarang perhatiannya sudah fokus kepadaku.
Ah, sudah! Perutku rasa memulas-mulas. Berdebar punya pasal.
“Ya. Memang Emilia yang handle, tapi emmm...” Aku menggaru kepala yang tidak gatal.
“Tapi?” Haikal merenungku dalam.
Matilanak!
“Tapi, emmm... Macam mana ya nak cakap?”
“Cakap jelah. Kau ada mulut, kan? Bukannya bisu.”
“Memanglah saya ada mulut, tapi...”
“Tapi apa, Arissa? Dari tadi tapi, tapi. Kau nak cakap apa sebenarnya?” Haikal sudah meninggikan suara.
Terkejut aku dibuatnya. Seram pula melihat lelaki ini. Wajahnya yang cerah sudah kemerahan. Bengang barangkali dengan aku.
“Emilia minta saya tolong tanyakan sebab dia takut dengan Encik Haikal.” Laju sahaja patah perkataan itu meluncur laju dari bibirku.
Aku menutup mulut kerana baru tersedar dengan keterlanjuranku itu.
“Takut dengan saya? Kenapa?” Haikal memandangku dengan pandangan selamba.
Boleh pula dia tanpa segan-silu tanya kenapa? Kawan tu dah trauma, boleh dia tanya kenapa?
“Nanti Encik Haikal tengok-tengok la dulu planning ni. Kalau ada apa-apa perubahan nanti, maklum pada saya.” Aku cuba mengalih topik.
Fail di tangan aku letak di atas mejanya. Tanpa menjawab soalannya.
“Apa ni?” Haikal mengerutkan dahi.
Aku membuat isyarat supaya dia melihat dahulu.
Aku memerhatikan segenap inci wajah Haikal. Kulitnya bersih, ada kumis nipis menghiasi wajahnya. Terdapat parut di dagu yang terbelah itu. Baru perasan kami mempunyai dagu yang sama. Keningnya tersusun rapi dan tebal. Terdapat tahi lalat kecil di hujung keningnya.
Sekali imbas, seperti pelakon Chen Zheyuan pun ada. Tapi, sikit sajalah. Kalau cakap banyak iras nanti, nampak sangat menipu.
“Dah habis tenung muka aku?” Haikal memandang wajahku.
Aku membuntangkan mata. Tidak menyangka perbuatanku dapat ditangkap olehnya.
“Mana ada. Saya tak tenung encik pun.” Aku menjawab dengan yakin tuduhannya yang sememangnya mengenai sasaran.
Aku kembali membetulkan duduk. Wajahku terasa sedikit membahang.
“Nah! Ambil balik fail ni.” Haikal bersuara malas.
Aku menyambut hulurannya, memandang wajahnya kembali. Menunggu jawapan.
“Apa lagi?” Suara Haikal jelas kedengaran seolah-olah sudah malas mahu melayan aku.
“Takkan tengok je? Feedback? Takkan tak ada?” Aku memandangnya dengan rasa tidak puas hati.
Senang betul buat kerja. Tengok saja? Habis tu, macam mana?
“Proceed!” jawab Haikal sepatah.
“Betul ke ni?” Aku hampir menjerit kegembiraan.
Mengenangkan individu ini yang berada di hadapanku, aku mematikan niat.
“Baik kau keluar sebelum aku ubah fikiran.” Mata Haikal merenungku tajam.
“Terima kasih, Encik Haikal. Saya minta diri dulu.” Sempat aku berterima kasih kepadanya.
Nada suara yang gembira tidak dapat aku sembunyikan. Senyuman lebar aku hadiahkan untuknya. Tiba-tiba aku teringatkan sesuatu.
“Terima kasih juga untuk kuih tadi.” Aku bersuara sebelum meloloskan diri di sebalik pintu.
Aku tidak pasti dia mendengarnya ataupun tidak. Yang pasti, aku sudah mengucapkan terima kasih atas pemberiannya.