“NAH!”
Aku memandang bekas kecil berwarna merah jambu yang diletakkan oleh Haikal di atas mejaku. Jacinta dan Kak Nad sudah terintai-intai dari tempat duduk masing-masing. Suka betul nak ambil tahu.
“Terima kasih,” jawabku ringkas.
“Perli nampak.” Suara garau menyapa telingaku.
Aku tersentak. Memang sudah jadi tabiatku mengucapkan terima kasih apabila menerima sesuatu. Sesungguhnya insan bernama Sakura Arissa ini tiada niat mahu memerli anak majikannya.
“Apa pulak perli? Encik pulangkan barang kepunyaan saya, kan? Saya ucaplah terima kasih.”
“Yalah tu. By the way, thank you.” Haikal melontarkan senyuman sebelum berlalu pergi.
Nampak sangat senyuman tidak ikhlas.
Fokusku kembali pada bekas makanan tersebut. Kelihatan seperti ada sesuatu di dalamnya. Aku memandang bekas itu dengan ragu-ragu.
“Encik Haikal bagi kau apa?” celah Jacinta.
Matanya kelihatan seperti tidak sabar untuk melihat isi di dalam bekas tersebut.
“Sibuklah kau ni.” Aku menolak bekas tersebut menjauhi tangan Jacinta yang mahu mencapainya.
Tak dan-dan pula dia.
“Cepatlah buka!” gesanya lagi.
Aku menghela nafas sebelum mencapai bekas tersebut. Malas mahu bertekak dengan Jacinta. Nanti tak pasal-pasal kecoh satu pejabat disebabkan Tupperware merah jambu.
Aku faham benar perangai Jacinta. Selagi tidak dapat jawapan yang dia mahukan, makin menjadi-jadi perangainya.
“Apa dalam tu? Cepatlah buka. Akak dari tadi tunggu korang buka, tak pula dibukanya.”
Aku mendengar bebelan Kak Nad yang juga tidak sabar.
“Hah! Tengok puas-puas. Nampak?”
Aku hidangkan bekas tersebut di hadapan muka Jacinta dan Kak Nad. Sibuk betul mahu ambil tahu.
Jacinta mengekek ketawa. Kak Nad berlalu pergi. Hampa barangkali.
“Kenapa akak lari? Mehlah kita kongsi sama-sama.” Sempat aku perli Kak Nad.
Elok sahaja terletak empat biji kuih koci berwarna merah jambu di dalam Tupperware tersebut. Haikal ni betul-betul mahu perli aku ke apa?
Memanglah aku minat warna merah jambu, tapi tidaklah taksub sampai makanan pun hendak warna merah jambu.
“Sweet siot! Kuih koci warna pink. Ni mesti beli dengan Kak Jue dekat simpang depan tu, kan?” Jacinta sambung ketawa lagi.
Aku membulatkan mata kepada Jacinta. Sempat aku melirik ke bilik Haikal yang tertutup rapat pintunya.
“Mimpi apa agaknya malam tadi tiba-tiba bagi aku kuih?” gumamku sendirian.
Biarlah, orang berbudi, kita berbahasa. Rezeki hari ini dapat makan kuih koci. Alhamdulillah.
JAM sudah menunjukkan hampir pukul 12.30 tengah hari. Masing-masing sudah bersiap-siap mahu keluar makan tengah hari. Aku masih lagi menongkat dagu di meja Jacinta. Menanti kepulangan sahabat aku dari medan perang.
“Arissa, kau tak keluar makan ke? Ke kenyang makan kuih koci?” Kak Nad menyapaku dengan nada kuat.
“Amboi, kak. Volume kasi kuat lagi. Biar satu pejabat dengar.” Aku menjawab selamba.
“Akak tanya je sebab nampak kau relaks betul. Macam tak nak keluar makan. Biasa waktu-waktu macam ni kau dah sampai depan lif.” Baik punya Kak Nad perli aku.
Kak Nad memang begitu. Kalau bercakap memang tak berlapik langsung. Kadang-kadang menyakitkan hati juga.
“Saya tunggu Cik Ta, kak. Akak turunlah dulu.”
“Mana budak tu?”
“Tuuu...” Aku memuncungkan mulut ke bilik Haikal.
“Mida pergi mana?”
“Sekalilah dia orang.”
“Akak lapar tahu tak? Pagi tadi sempat makan sikit je.” Kak Nad menarik kerusi dan duduk di mejaku.
“Akak turun dengan Hussinlah. Tu dia nak turun dah tu.” Aku menunjukkan jari telunjukku ke arah Hussin.
“Tak kuasa aku nak makan dengan Hussin. Budak tu dahlah banyak mulut.”
“Akak pun dua kali lima dengan dia. Sama aje,” gumamku perlahan.
“Hah! Apa dia, Arissa?”
“Tak, saya cakap dia orang tu lama betul kat dalam sana.”
Kak Nad hanya mengangguk sebelum menyambut panggilan telefon. Aku hanya memerhatikan Kak Nad yang sudah tersenyum sumbing. Barangkali suaminya yang menelefon.
“Suami akak datang la. Akak pergi dulu ye.”
Aku memandang dengan ekor mata, melihat Kak Nad berlalu pergi. Tepat tekaanku.
“Encik Haikal ni tak makan ke apa? Apalah agaknya yang tak kena kat dalam tu?” Aku mengeluh.
Kakiku mendekati bilik Haikal. Kedengaran jelas suaranya membebel. Aduh! Masalah apa pula ni?
Tidak lama kemudian, kedengaran tombol pintu dipulas dari dalam. Cepat-cepat aku menyembunyikan diri. Jacinta dan Mida melangkah keluar dengan longlai.
“Korang okey tak ni?” Aku mendekati mereka berdua.
“Aku tak tahu nak cakap apa. Aku masuk tadi rasa lapar gila. Sekarang tiba-tiba aku rasa dah kenyang. Dah tak rasa dah nak makan nasi ayam penyet yang aku mengidam. Kau rasa aku okey tak?” Mida menyandarkan tubuh di kerusinya.
Dia menghempaskan fail yang dibawa keluar dari bilik Haikal. Marah sangat gayanya.
“Aku pun sama, weh!” Jacinta terduduk longlai.
“Habis tu, nak makan ke tak ni?” soalku.
Mata melirik jam di pergelangan tangan yang sudah menunjukkan hampir pukul 1.00 tengah hari.
“Makan! Hidup kena makan. Gila tak makan!” Mida mengambil beg dan berlari ke lif.
Aik, tak sampai satu minit dah ubah fikiran? Lapar betul tu.
“Jom! Jom!” Jacinta menarik tanganku untuk menyertai Mida.
Kasihan betul. Kebulur anak orang dibuatnya.
KAMI bertiga mengambil tempat paling hujung dan tersorok. Itu adalah port paling selesa di dalam kedai ini. Lagi-lagi kalau mahu bergosip dan sesi luahan perasaan. Tak perlu pandang kiri kanan dah.
“Aku geram betul. Asyik-asyik ada aje yang tak kena.” Mida membebel dengan mulut penuh.
“Betul, weh! Ada aje yang tak kena. Aku tak tahulah apa yang dia nak sebenarnya. Aku rasa kita patut bagi dia minum air Yasin untuk lembutkan hati. Nampak baran sangat dia tu,” sambung Jacinta.
“Eloklah tu. Bagi dia lembut hati sikit, sejukkan rasa amarah tu.” Mida menyokong cadangan Jacinta.
Helok sangat perangai mereka berdua ni.
Aku menyuap nasi ke mulut tanpa mempedulikan mereka. Daripada masuk lif sampai ke kedai makan, tak henti-henti mulut mereka berkata-kata soal Haikal.
“Baru korang tahu macam mana aku rasa?” Aku mencelah dengan selamba.
Selama ini aku tahan sahaja segala cemuhan dan kata-kata yang keluar dari mulut lelaki itu.
“Encik Haikal tu tak penat ke asyik membebel? Aku rasa taik telinga aku dah cair dengar dia membebel.”
“Pengotor betul perempuan ni.” Jacinta sudah buat aksi geli dengan apa yang dituturkan oleh Mida.
Aku dan Mida tergelak melihat reaksi Jacinta.
“Ni encik kuih koci pink kau punya pasal la ni.” Selamba Mida berkata.
Aku tersentak seketika. “Jangan nak libatkan aku. Aku tak ada kaitan dengan hal korang, okey?”
“Panjang betul umur dia. Cuba korang tengok meja depan sana tu.” Jacinta menunjuk ke satu arah.
Mata kami sepakat melihat dua orang lelaki yang sedang menarik kerusi.
“Dalam banyak-banyak tempat, kat sini juga dia makan.” Mida mencemik.
“Kau ajak dia eh?” sambung Mida lagi.
“Agak-agaklah aku nak ajak dia. Kalau aku ajak dia, mesti dia duduk semeja dengan kita, bukannya duduk meja sana. Lagipun, mana aku layak nak makan satu meja dengan dia. Kita ni kuli, dia bos,” balasku.
Tidak pernah terfikir mahu makan satu meja bersama Haikal. Tidak sama sekali.
“Entah kau ni, Mida. Fikirlah logik sikit,” sampuk Jacinta.
“Eleh, manalah tahu kut-kut dia dah terjatuh hati pada kau. Mula-mula bagi kuih koci. Lepas tu, terbagi hati pulak.”
Jacinta dan Mida sepakat ketawa mengekek.
“Kau janganlah merendah diri sangat, Cik Arissa oi. Dalam ramai-ramai manusia di pejabat ni, kau aje yang pernah rasmi naik kereta dia. So, kiranya kau lagi istimewa daripada yang lain.” Jacinta bersuara sedih yang dibuat-buat.
Macam-macam ragam dua orang ni. Penat aku mahu melayan.
“Apa kaitannya kereta dia dengan aku?” tanya aku selamba.
Naik kereta pun jadi isu ke?
“Kalau orang yang kau tak suka naik kereta dengan kau, kau okey tak?” Mida bersuara kembali.
Aku menggeleng perlahan. Jacinta dan Mida sudah saling berpandang. Ada sahaja idea mahu mengenakan aku.
“Ha... Tahu pun! Kereta tu kan barang peribadi. Orang yang selayaknya atau istimewa sahaja yang layak naik kereta dengan kita. Lagipun, mesti kau duduk sebelah dia. Betul tak?” Jacinta menekankan perkataan istimewa dengan penuh perasaan.
“Mestilah aku duduk depan, sebelah pemandu. Kalau duduk belakang kan dah jadi cerita lain. Tak pasal-pasal dia ingat aku nak jadi mem pulak.” Aku menjawab.
Bengang pula dijadikan topik bualan mereka.
“Korang tak payahlah nak mengarut. Aku istimewa? Weh! Jangan buat lawak boleh tak? Aku ni nyaris-nyaris nak kena blacklist dengan dia tau,” sambungku lagi.
“Bukan blacklist, tapi special list. Mula-mula calon bini olok-olok bapak dia. Mana tahu suatu hari nanti, kau jadi calon bini anak dia plus menantu bapak dia pulak.”
Makin galak mereka berdua gelak.
Amboi, galak sungguh! Tadi bukan main moody.
“Baik korang makan cepat sebelum singa belakang tu keluar api.” Aku menyuap suapan terakhir.
Malas berlama-lama di sini. Bukan aku tidak perasan Haikal dan rakannya asyik memandang ke arah kami. Apa yang dibualkan oleh mereka, aku pun tak tahu. Atau mungkin kami yang terlalu bising sehingga menarik perhatian mereka.