Dia Pengantinku

BAB 2

  • Art
  • Nurfaza Alisya

HALIZA ketawa berdekah-dekah sebaik sahaja mendengar cerita Aimi Najwa pagi itu. Patutlah sebaik sahaja Aimi Najwa sampai ke pejabat pagi tadi wajahnya masam mencuka. Pada mulanya pertanyaan Haliza tidak dijawab oleh Aimi Najwa. Tetapi, apabila berkali-kali Haliza mendesak, barulah Aimi Najwa membuka cerita semalam.

“Tengok, tu yang aku malas nak cerita,” kata Aimi Najwa sambil menarik muncung panjangnya.

“Sorrylah, tapi aku tak tahan dengar cerita kau tadi. Macam manalah kakak dengan abang ipar kau boleh tak ingat tentang kasut pengantin tu? Kalau semalam aku datang tengok kau posing atas pentas, tak tahulah aku nak gelak macam mana,” usik Haliza sambil ketawa.

“Nasib kau tak datang. Buat malu aku saja. Ingat tau, kau jangan cerita kat teman-teman lain. Kalau tak, nahas kau aku kerjakan,” ugut Aimi Najwa sekadar bergurau.

Dia berharap Haliza tidak akan bercerita kepada teman-teman sepejabat yang lain. Kalau tidak, malu dia nanti.

“Yalah, takkan aku nak cerita kepada kawan-kawan kita pula. Lebih-lebih lagi admirer kau tu,” usik Haliza lalu ketawa lagi.

“Eee! Kau ni. Aku tak sukalah Syukri tu. Merimaskan!” Aimi Najwa mencebik.

“Alah, apa salahnya? Sekurang-kurangnya ada juga orang sukakan kau. Bukan macam aku ni!”

“Isy, diamlah. Nanti orang dengarlah,” marah Aimi Najwa apabila sudah ada beberapa teman sekerja memandang mereka.

Memang Aimi Najwa tidak suka kepada Syukri kerana lelaki itu selalu sahaja memberi bunga kepadanya. Bahkan jika ada kelapangan, selalu sahaja lelaki itu mencipta puisi-puisi jiwang untuknya. Geli Aimi Najwa setiap kali Syukri bergaya seperti seorang penyajak cinta di hadapannya.

Seketika kemudian, tiba Syuhaida dengan wajah masamnya. Syuhaida merupakan pekerja yang paling tua dalam kalangan rakan sepejabat mereka. Tetapi, dia seorang yang baik hati dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja.

Haliza mencuit bahu Aimi Najwa apabila melihat wajah keruh Syuhaida. Aimi Najwa hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu.

“Kenapa ni, Kak Ida? Masam semacam aje. Tadi dahlah Aimi datang dengan wajah yang masam. Kak Ida pun macam tu juga. Agaknya hari ini hari masam sedunia kut,” tegur Haliza sekadar bergurau.

Syuhaida menggeleng-geleng. Satu keluhan berat dilepaskan.

“Kenapa, Kak Ida?” tanya Aimi Najwa pula.

“Akak geram betul dengan Syukri ni. Dah seminggu akak bagi masa, suruh dia siapkan tugasan projek di Klang tu. Kalau Datuk Syed Alwi tanya nanti, apa akak nak jawab? Syukri tak datang lagi ke?” tanya Syuhaida sambil mencari sesuatu di atas mejanya.

“Kalau dia lambat datang, Kak Ida faham-faham sajalah. Tentulah dia pergi beli bunga untuk si buah hati dia ni,” kata Haliza sambil menjeling nakal ke arah Aimi Najwa.

“Tolong sikit,” marah Aimi Najwa dengan nada geram.

Sememangnya dia tidak suka Haliza mengusiknya mempunyai hubungan dengan Syukri. Baginya, Syukri bukanlah lelaki pilihannya. Kadang-kadang Syukri bersikap sentimental apabila bunga dan puisi yang diberikan kepadanya langsung tidak dihirau.

Masih lagi dia teringat hari pertama dia masuk kerja di Permai Holding. Tidak lepas-lepas Syukri memandangnya sehinggakan dia naik rimas. Bertalu-talu soalan diajukan kepadanya sehingga berkait sama ada dia sudah ada teman lelaki ataupun belum.

Dan semakin merimaskan apabila Syukri mula menghadiahkan dia bunga dan puisi-puisi cinta keesokan harinya. Baginya, mamat poyo itu telah banyak mendatangkan masalah kepadanya di sini.

“Hah, jauh termenung. Fikirkan bunga apa Syukri nak bagi nanti ya?” usik Haliza lagi.

“Eh, kau ni! Tolong sikit. Siapa yang suka mamat poyo tu? Dahlah kurus kering. Aku rasa Syukri tu sesuai sangat dengan kau. Sebab kau suka makan banyak, dia tu pula tangkai jering!”

“Kalau aku couple dengan dia lagilah slim badan aku ni.” Seketika Haliza ketawa sebelum meneruskan kata-katanya.

“Tapi dengan kau, dia tak jadi tangkai jering pula. Aku hairanlah dengan Syukri tu. Nak tengok dia lunch pun payah. Untuk kau ada pula duit dia nak beli bunga.”

“Alamatnya, siapa yang dapat suami macam Syukri tu payahlah. Kena fikir 100 kali. Masa nak pikat gadis yang dia suka saja, sanggup habiskan duit. Dah kahwin nanti, jadi tangkai jeringlah dia. Dahlah keluar jumpa klien hari tu akak yang kena belanja dia. Lelaki apa macam tu?” bebel Syuhaida.

Haliza dan Aimi Najwa ketawa sebaik sahaja mendengar cerita Syuhaida. Syuhaida pula hanya menggeleng kepala apabila teringatkan sikap tangkai jering Syukri.

Ketawa mereka reda sebaik sahaja Datuk Syed Alwi masuk ke pejabat. Tiba sahaja di meja Aimi Najwa, dia berhenti di situ.

“Aimi, tolong batalkan janji temu saya dengan Setia Jaya petang ni. Tunda ke hari esok. Sebab petang nanti saya nak ke airport sambut kepulangan anak saya,” beritahu Datuk Syed Alwi dengan mood yang agak baik.

“Baik, Datuk,” jawab Aimi Najwa dengan patuh.

“Syuhaida, mana kertas kerja yang saya suruh siapkan minggu lepas?” tanya Datuk Syed Alwi kepada Syuhaida pula.

Sedikit gementar Syuhaida mahu menjawab pertanyaan majikannya. Semua pekerja di sini tahu, Datuk Syed Alwi amat pantang jika kerja yang diberi tidak disiapkan pada waktunya.

“Err... ada dengan Syukri, Datuk. Nanti saya minta padanya.”

“Baiklah. Nanti tolong letakkan atas meja saya,” beritahu Datuk Syed Alwi lalu masuk ke biliknya.

Syuhaida menarik nafas lega memandangkan mood majikannya amat baik pada pagi ini. Jarang sekali Datuk Syed Alwi bersikap begini. Kalau tidak, mahu bergegar Permai Holding jika kerja yang diminta tidak dapat disiapkan pada waktu yang ditetapkan.

Dalam kegarangan Datuk Syed Alwi, dia masih mempunyai sifat-sifat positif. Setiap tahun ada sahaja bonus dan ganjaran diberi kepada pekerja yang berkualiti dalam menjalankan tugasan. Yang penting, pekerjanya harus menepati masa dan menyiapkan tugasan yang diberi tanpa bertangguh.

Tanpa membuang masa, Aimi Najwa terus mendail nombor Syarikat Setia Jaya untuk membuat pindaan janji temu pada hari ini.

“Good morning, princess,” tegur satu suara garau sebaik sahaja Aimi Najwa meletak gagang telefon.

Aimi Najwa sedikit tersentak. Tangan yang disembunyikan di belakangnya dikeluarkan bersama jambangan bunga ros merah yang mekar. Meluat Aimi Najwa melihatnya.

“Bunga untuk awak,” beritahu Syukri sambil tersengih.

“Awak ni, dah berapa kali saya cakap, tak payah belikan bunga untuk saya. Saya tak suka!”

“Tapi, saya suka. Lagi awak marah, lagi nampak cantik. Ermm, cantik baju kurung awak hari ini. Warna ungu. My favourite colour,” balas Syukri sambil tersengih.

Mahu termuntah Aimi Najwa menerima pujian daripada mamat poyo di hadapannya. Bunga yang masih berada di tangan Syukri masih tidak disambutnya.

“Hai, ada orang dapat bunga lagi,” tegur Encik Amir, pengurus besar syarikat itu.

Dia hampir sebaya dengan Syuhaida, berusia awal 40-an. Seorang yang baik dan mesra. Walaupun pangkatnya lebih besar daripada pekerja lain, tetapi dia tidak pernah sombong. Dia lebih akrab dan senang berkawan dengan pekerja bawahannya.

“Nampaknya macam tulah, Encik Amir,” sahut Fakhrul yang sedang berbincang mengenai kerja di meja Anita. Mereka tersenyum.

Terus Encik Amir berlalu ke biliknya.

Secara senyap-senyap, Syuhaida melangkah ke meja Aimi Najwa. Jari telunjuknya diletak ke bibir agar Aimi Najwa atau sesiapa pun tidak memberitahu kehadirannya di belakang Syukri. Haliza menekup mulut dengan tangan untuk mengelak ketawanya daripada meledak.

Tiba-tiba Syukri merasakan kesakitan pada telinganya. Dia menjerit kesakitan. Haliza yang sudah tidak tahan melihat adegan itu terus ketawa besar. Begitu juga dengan Aimi Najwa.

“Aduh... Sakitlah, Kak Ida. Apa ni main tarik telinga kita? Kita bukan ada buat masalah dengan Kak Ida pun,” kata Syukri sambil menggosok telinganya yang sakit.

“Tak ada masalah kamu kata? Eh, mana kerja yang akak bagi kamu minggu lepas? Kamu cakap dua tiga hari lagi kamu nak bagi akak, kan? Ni dah lewat beberapa hari dah. Tadi Datuk dah tanya pasal kertas kerja tu. Mujur mood dia baik hari ni. Kalau tak, boleh bergegar bangunan pejabat ni,” bebel Syuhaida sambil bercekak pinggang.

“Nantilah, kita nak bagilah ni. Ganggu feel jiwang orang sajalah Kak Ida ni.”

“Kau nak akak beritahu Datuk Syed Alwi sekarang ke?” ugut Syuhaida.

Mendengar kata-kata ugutan daripada Syuhaida, cepat-cepat jambangan bunga diletak di atas meja Aimi Najwa. Bagaikan lipas kudung, Syukri menuju ke mejanya untuk mencari kertas kerja yang diminta oleh Syuhaida.

Aimi Najwa menarik nafas lega kerana kemarahan Syuhaida telah menyelamatkannya daripada berasa rimas dengan Syukri.

“Kak Ida, ada sikit lagi belum siap. Bagi saya sedikit masa lagi. Nanti saya letakkan atas meja Kak Ida ya!” laung Syukri agar didengar oleh Syuhaida yang berada selang beberapa meja dari tempatnya.

“Setengah jam!” jawab Syuhaida dengan garang.

“Setengah jam? Mana cu...”

Sebelum sempat Syukri meneruskan kata-katanya, jari telunjuk Syuhaida menuding ke bilik Datuk Syed Alwi. Mahu tak mahu, terpaksalah Syukri menyiapkan kerja itu dalam masa setengah jam. Kelam-kabut dia membelek kertas kerja di tangannya.

Mahu sahaja Aimi Najwa ketawa melihat wajah Syukri yang sedang cemas ketakutan. Itulah padahnya. Suka berjiwang, tetapi menangguhkan kerja.

Dia memandang jambangan bunga ros merah di hadapannya. Belum sempat dia memegang jambangan bunga itu, telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada mesej yang diterima. Aimi Najwa mengeluh sebaik sahaja membaca mesej daripada Juhana.

Juhana memintanya untuk datang ke PWTC selepas habis kerja. Malam ini merupakan malam penutupan karnival pengantin. Entah apa pula yang Juhana suruh dia lakukannya. Yang pastinya, dia berharap bukan menjadi model pengantin lagi!