“MALASLAH, akak. Aimi penatlah,” ujar Aimi Najwa dengan rasa malas. Permintaan Juhana amat mengejutkannya.
Sudahlah dia bergegas ke sini dengan pakaian kerja yang tidak bersalin sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan daripada Juhana. Rupa-rupanya kakaknya itu memintanya untuk bergaya di atas pelamin Gold Wedding untuk malam terakhir karnival dan gambarnya itu akan dijadikan poster untuk ditampal di Butik Gold Wedding nanti.
Menurut Juhana, setelah Aimi Najwa memakai gaun pengantin pada majlis pembukaan Karnival Pengantin, ramai pelanggan mula menempah pakej perkahwinan di booth Gold Wedding.
Aimi Najwa pula bagai tidak percaya dengan cerita Juhana kerana baginya ia adalah satu perkara yang amat memalukan. Sudahlah pada waktu itu dia bergaya di atas pentas dengan berkaki ayam. Masakan gara-gara dia memakai gaun pengantin hari itu, ramai yang suka dengan gaun pengantin yang dipakainya? Amat mustahil baginya.
Rambutnya yang dilepas sewaktu bekerja tadi sudah pun disanggul ke atas kerana bahang cuaca yang sangat terik pada hari ini. Kalaulah dia tahu Juhana menyuruhnya ke sini kerana mahu menyuruhnya memakai gaun pengantin sekali lagi, tentu dia tidak akan datang ke sini. Sedikit rasa geram timbul dalam hatinya apabila kakaknya menggunakan taktik begini terhadapnya.
“Tolonglah Kak Ju, Aimi. Please... Kali ni saja. Takkan Aimi tak kesiankan akak? Akak betul-betul terdesak ni. Please...”
Aimi Najwa memandang wajah Juhana dengan penuh simpati. Itulah satu-satunya saudara kandung yang dia ada. Tak sampai hati pula dia mengecewakan kakaknya sendiri.
“Yalah...” Akhirnya Aimi Najwa terpaksa akur jua.
“Betul ni?” tanya Juhana inginkan kepastian.
“Betullah. Tapi, kali ni saja, tahu. Kak Ju tahu kan Aimi tak suka jadi model macam ni. Memalukan saja,” ujar Aimi Najwa lagi.
“Okey. Walaupun Aimi tak suka, tapi Aimi pandai posing,” cetus Juhana dengan rasa gembira.
“Nak perli Aimilah tu,” cebik Aimi Najwa apabila teringat dia bergaya di atas pentas tanpa memakai kasut pengantin semalam.
“Mana ada. Mujur Aimi pandai cover masa kat atas pentas tu. Hari ni Kak Ju belanja Aimi makan. Okey?” Juhana cuba memujuk adiknya.
“Alah, nak ampu Aimilah tu, kan? Jomlah, Aimi dah lapar sangat ni,” rungut Aimi Najwa sambil menekan perutnya yang sedang berkeroncong.
“Okey, tunggu sekejap. Kak Ju nak ajak Abang Nazri sekali dan minta Ani dengan Rizal jagakan booth ni,” ujar Juhana lalu berlalu mencari suaminya.
“LAPAR sangat ke, Aimi?” tegur Nazri apabila melihat adik iparnya begitu bersungguh-sungguh menikmati nasi goreng ayam di hadapannya.
“Tentulah lapar, Abang Naz. Lunch tadi tak sempat nak makan, banyak kerja. Alih-alih ada orang suruh datang sini pulak,” perli Aimi Najwa sambil menjeling Juhana yang sedang tersenyum kepadanya.
Memang tengah hari tadi dia tidak sempat makan kerana Datuk Syed Alwi memberi dia tugasan baru yang perlu disiapkan dengan segera. Tambahan pula, Datuk Syed Alwi mahu dia menyiapkannya sebelum majikannya itu keluar untuk menyambut kepulangan anaknya di KLIA pukul 2.00 petang tadi.
“Betul apa yang Kak Ju cakapkan tu. Gaun pengantin yang Aimi pakai masa atas pentas tu betul-betul menarik perhatian pengunjung kat sini. Tadi pun ada yang bertanyakan Aimi,” beritahu Nazri bersungguh-sungguh.
Aimi Najwa berhenti menyuap nasi ke mulutnya. Dia memandang abang iparnya dengan dahi berkerut.
“Ada orang tanyakan Aimi? Apa hal pulak?” tanya Aimi Najwa dengan dahi berkerut.
“Pasal adik kakak ni cantik sangat bila pakai gaun pengantin tu. Macam babydoll. Ramai yang cakap macam tu,” cetus Juhana pula.
Aimi Najwa mencebik mendengar kata-kata kakaknya.
Juhana hanya tersenyum melihat wajah adiknya yang masam mencuka. Dia faham benar dengan perangai adiknya ini. Seorang yang mudah melenting dan tidak suka orang memberi pujian terhadapnya. Juhana sendiri tidak faham kenapa Aimi Najwa berkelakuan begitu.
Malah, dia juga hairan mengapa gadis secantik Aimi Najwa susah mempunyai teman lelaki. Tidak seperti sewaktu dia sebaya dengan Aimi Najwa, dia cukup suka apabila ada lelaki yang cuba memikatnya. Walaupun perbezaan umur mereka dua beradik jaraknya lima tahun, namun mereka berdua amat rapat. Seperti rakan karib walaupun kadangkala ada juga berlaku perselisihan faham antara mereka.
“Bila Aimi nak kahwin?” Entah bagaimana soalan itu terlucut dari mulut Juhana.
Terbeliak mata Aimi Najwa memandang kakaknya. Tiada ribut tiada taufan, tiba-tiba sahaja soalan itu ditanyakan kepadanya. Malu juga Aimi Najwa apabila soalan itu ditanya di hadapan abang iparnya. Nazri pula memandangnya seakan-akan ingin tahu jawapannya.
“Isy, Kak Ju ni. Kenapa tanya Aimi soalan macam tu pula?” tanya Aimi Najwa seakan-akan merajuk.
Juhana berharap adiknya itu akan berkahwin suatu hari nanti. Dia bimbang kerana dua tahun lagi adiknya akan memasuki umur 30 tahun. Umi dan abahnya selalu sahaja bertanya Juhana tentang adiknya yang lambat bertemu jodoh.
Bukan tidak ada yang mahukannya, tetapi setiap kali ada orang bertanyakan Aimi Najwa, cepat-cepat adiknya itu menyuruh uminya memberitahu bahawa dia sudah bertunang. Alasannya, dia mahu cari jodohnya sendiri dan sebelum berkahwin dia harus mengenali diri lelaki itu.
Tetapi, apabila uminya, Puan Kamariah dan abah-nya, Encik Khalid, memberi peluang kepada Aimi Najwa untuk mengenali lelaki yang menyukainya, lain pula alasan yang diberi. Ada-ada saja alasan untuk mengelak daripada bercakap soal jodoh.
“Aimi, umur kita ni semakin lama semakin tua. Takkan Aimi nak hidup membujang saja seumur hidup?” Juhana cuba menasihati adiknya. Dia berharap kali ini hati adiknya terbuka dalam soal jodoh.
“Betul apa yang Kak Ju cakapkan tu. Aimi tak nak ada anak macam kami ni ke?” cetus Nazri pula.
Anak? Isy, apalah Abang Naz ni. Soal anak pula dia bicarakan. Menyesal pula aku datang sini. Aimi Najwa mengomel dalam hati.
“Kejap ya, Kak Ju, Abang Naz. Aimi nak ke toilet sekejap.” Aimi Najwa meminta diri tiba-tiba.
Juhana dan Nazri saling berpandangan. Nazri mengangkat bahu ke arah isterinya. Mereka faham benar, macam-macam alasan dan topik yang selalu diubah apabila soal kahwin diajukan kepada Aimi Najwa.
Tidak sampai seminit Aimi Najwa meminta diri, mereka dikejutkan dengan suara Aimi Najwa yang nyaring memarahi seseorang dengan agak lantang. Segera mereka berpaling.
“Aimi!” Terjerit Juhana apabila melihat adiknya bergaduh dengan seorang lelaki yang berada tidak berapa jauh di belakang.
Segera Juhana bangkit dan meninggalkan suaminya di meja makan.
“Awak ni buta ke? Tak nampak ke saya tengah jalan ni?” marah Aimi Najwa sambil memegang bajunya yang basah terkena jus oren.
“Aimi, kenapa ni?” soal Juhana dengan cemas apabila melihat adiknya mengamuk begitu.
Mujurlah pada waktu itu tidak ramai pengunjung di restoran ini.
Lelaki yang berkot hitam kemas yang masih memegang gelasnya hanya terkaku di hadapan Aimi Najwa kerana terkejut dimarahi gadis di hadapannya yang seperti singa kelaparan. Sebenarnya dia tidak sengaja menumpahkan air pada baju gadis ini.
Sebentar tadi dia mahu bertukar tempat apabila rakannya yang berada di sebelah meja menegurnya. Disebabkan dia teruja kerana sudah lama tidak bertemu rakan wanitanya itu, terus dia bangun tanpa memandang ke arah lain. Sehinggalah berlaku insiden yang tidak disengajakan ini.
“I’m sorry,” ucap lelaki itu perlahan, masih lagi kaku dengan kegarangan gadis di hadapannya.
Seketika hatinya memuji kecantikan gadis ini dan seketika hatinya menyindir kegarangan gadis ini.
“Kenapa ni?” Muncul seorang gadis berpakaian tanpa lengan dan skirt separas lutut.
Lengan lelaki itu dipaut sesuka hatinya. Lelaki itu kelihatan terkejut dengan tindakan rakannya yang drastik itu. Namun, dibiarkan saja kerana dia sedang berhadapan dengan gadis yang cukup garang. Situasi ini menjengkelkan hati Aimi Najwa.
“Lain kali kalau nak jalan tu, tengoklah kiri kanan dulu. Ni tak, main redah saja.” Aimi Najwa melontarkan kemarahannya.
“Aimi, sudahlah tu,” pujuk Juhana.
Dia sebenarnya tidak suka adiknya berkelakuan begini di tempat umum kerana dia tahu Aimi Najwa mudah melenting.
“Hei, you ni tak faham bahasa ke? Kan kawan I dah minta maaf dengan you tadi!” bela gadis yang berpakaian seksi di sebelah lelaki itu.
Terbeliak mata Aimi Najwa apabila teman wanita lelaki itu menengkingnya tiba-tiba. Membuatkan hatinya semakin mendidih.
“Yang awak nak menyampuk urusan saya ni apa hal? Ni antara saya dengan mamat nilah!” Aimi Najwa mula melenting apabila ada orang lain mula mencampuri urusannya.
Terkejut Juhana mendengar tengkingan adiknya kepada teman wanita lelaki itu. Tangan adiknya mula ditarik agar tidak meneruskan pergaduhan ini. Tapi, Aimi Najwa masih tidak mahu berganjak.
“Enough. Biar I yang settlekan semua ni,” bisik lelaki itu kepada rakan wanitanya, tapi masih lagi dapat didengar oleh Aimi Najwa.
Dia sebenarnya tidak selesa dengan kekecohan yang berlaku. Apatah lagi sudah ada mata-mata yang memandang mereka.
Seketika lelaki itu menyeluk saku seluarnya. Dikeluarkan beberapa keping wang kertas 50 ringgit kepada Aimi Najwa. “Ambik wang ni sebagai ganti baju awak yang terkena jus tadi.”
Terlopong Aimi Najwa apabila wang itu dihulurkan kepadanya. Hatinya semakin panas. Dirasakan lebih panas daripada tengkingan teman wanita lelaki itu sebentar tadi. Dia merasakan lelaki di hadapannya cuba menjatuhkan harga dirinya di hadapan teman wanitanya. Ego sekali lelaki ini. Mudah sahaja menyelesaikan masalah dengan wang.
“Hei! Tolong sikit. Saya ni bukannya peminta sedekah tahu. Awak ingat saya ni tak ada duit ke?”
“Kalau you tak nak duit, sudahlah. Tak payah nak kecoh-kecoh kat sini. You ingat restoran ni bapak you punya ke?” sampuk teman wanita lelaki itu lagi, seperti tidak berpuas hati.
Lelaki di sebelahnya pula tercengang apabila tiba-tiba rakan wanitanya itu menyampuk.
“Eh, perempuan. Kau cakap baik-baik sikit. Teman lelaki kau ni dah kotorkan baju aku, tahu tak! Yang kau nak sibuk dalam urusan aku ni apa hal?”
“Aimi! Dahlah tu. Malu orang tengok. Mari kita balik!” Juhana sedikit menjerit apabila melihat Aimi Najwa masih berkeras. Malu rasanya apabila ada mata-mata yang memandang ke arah mereka berempat.
“Mana boleh, Kak Ju. Orang macam ni kena ajar cukup-cukup!”
“Akak malulah macam ni, Aimi. Malu orang tengok. Marilah kita balik,” pujuk Juhana lagi.
“Ooo... Jadi ni adik-beradiklah ya. Ermm, elok sangatlah bawa adik you ni beredar segera dari sini. Mengganggu ketenteraman orang saja,” perli wanita itu lagi.
Lelaki yang melanggar Aimi Najwa tadi mula gelisah dengan sikap temannya yang mula mencampuri masalahnya dengan Aimi Najwa.
“Hei, perempuan! Jaga sikit mulut kau tu ya. Kau tu yang suka menyampuk urusan orang!” Tiba-tiba kemarahan Aimi Najwa semakin meledak.
“Maya, dahlah. Biar I yang settlekan semua ni. Ni semua salah I,” beritahu lelaki itu dengan rasa tidak senang hati.
Dalam masa yang sama, dia mula rimas dengan kegarangan Aimi Najwa. Tangannya yang dipaut Maya tadi ditarik keluar. Maya sedikit terkilan.
Tiba-tiba datang pengurus restoran untuk cuba meleraikan pergaduhan mereka.
Juhana semakin gelisah. Rasa menyesal pula dia membicarakankan soal jodoh kepada adiknya tadi. Kalau tidak, tentu Aimi Najwa tidak akan berubah topik untuk ke tandas dan insiden seperti ini tidak akan berlaku. Tapi, semua ini bukan boleh dijangka.
“Tolong jangan buat bising di sini, encik, cik. Saya mohon tolong selesaikan masalah ini di luar. Pergaduhan saudara-saudari sekalian mengganggu pelanggan di sini. Saya tak nak pelanggan lain rasa terganggu,” mohon pengurus restoran itu dengan resah.
“Maafkan saya. Ya, kami akan beredar dari sini. Saya minta maaf sebab menimbulkan kekecohan di sini,” beritahu lelaki yang telah menumpahkan jus oren ke baju Aimi Najwa sebentar tadi.
“Cik, saya minta maaf banyak-banyak. Saya tahu saya salah. Maafkan saya atas kesalahan yang tidak saya sengajakan tadi,” mohon lelaki itu lagi.
“Hah, memang salah awak pun. Lain kali jalan guna mata!”
Telinga lelaki itu mula panas dengan tengkingan Aimi Najwa kepadanya. Bukan dia tidak mahu meminta maaf kepada gadis ini. Sebelum dia membuka mulut memohon maaf atas kesilapannya, terus Aimi Najwa memarahinya membabi buta. Tidak faham dia dengan sikap wanita masa kini.
“Aimi, dah!” Kali ini Juhana sudah hilang sabar dengan adiknya. Dengan kasar tangan Aimi Najwa ditarik dengan kuat.
Hampir terjatuh Aimi Najwa dengan tindakan kakaknya itu. Cepat-cepat dia mengimbangi badannya. “Kak Ju, lepaslah. Sakit tangan Aimi ni.”
Juhana langsung tidak menghiraukan permintaan adiknya. Dia mahu cepat-cepat membawa adiknya keluar dari restoran ini. Baginya, Aimi Najwa sudah melampau.
“Abang, jom keluar,” beritahu Juhana sebaik sahaja dia mendekati suaminya.
Pegangan tangan Juhana yang kuat pada lengan Aimi Najwa telah berjaya membawa adiknya keluar dari restoran itu.
Nazri yang faham dengan situasi itu, terus membayar harga makanan tanpa banyak soal.
“Kak Ju, sakitlah tangan Aimi ni!” laung Aimi Najwa setelah mereka berada di luar restoran.
Segera tangan Aimi Najwa dilepaskan oleh kakaknya. “Hah, tahu pun sakit. Yang Aimi suka cari pasal dengan lelaki tadi tu apasal? Tak pasal-pasal pengurus restoran tu datang leraikan pergaduhan tadi. Aimi tak malu ke orang lain tengok?”
“Dia yang cari pasal dengan Aimi dulu. Dia dah kotorkan baju Aimi ni.”
“Dia kan tak sengaja. Kan dia dah minta maaf pada Aimi tadi.”
“Yalah, tapi yang paling Aimi sakit hati, ada ke patut dia bagi Aimi duit untuk gantikan baju Aimi yang dah kotor ni. Nak-nak bila girlfriend dia tu masuk campur. Meluat Aimi tengok.”
“Meluat ke cemburu?” Dalam ketegangan, Juhana cuba menyakat adiknya.
Aimi Najwa mencebik dengan usikan kakaknya. Masakan dia mahu cemburu dengan lelaki yang tidak dikenalinya.
Sewaktu Nazri mendekati mereka, lelaki tadi turut keluar bersama teman wanitanya tadi. Sempat lelaki itu menghadiahkan senyuman buat Aimi Najwa manakala teman wanitanya hanya menjeling ke arahnya dengan pandangan tajam.
Aimi Najwa merasakan senyuman lelaki tadi adalah sindiran buatnya. Baru sahaja dia mahu membuka mulut, niatnya itu dihalang oleh Juhana. Aimi Najwa semakin radang.