Dia Pengantinku

BAB 10

  • Art
  • Nurfaza Alisya

TERGELAK Aimi Najwa melihat uminya yang tidak cukup tangan membawa bekal sarapan untuk ke Tasik Permaisuri pada pagi itu. Penuh sarat bakul yang dibawanya. Namun begitu, dia akui nasi lemak sambal kerang uminya memang sedap. Tidak boleh ditandingi di mana-mana kedai di bandar raya Kuala Lumpur ini. Lagi pula, uminya bukan calang-calang orang. Seorang wanita yang memang pakar dalam bidang masakan. Begitulah menurut abahnya.

“Awak ni nak pergi berjoging ke berkelah?” soal Encik Khalid kepada isterinya yang sedang memasukkan bekalan sarapan mereka ke dalam bonet kereta.

“Kedua-duanya sekali. Lepas joging, kita makanlah. Takkan abang tak lapar,” perli Puan Kamariah kepada suaminya.

“Yalah, tapi banyak sangat ni. Dengan nasi lemak, sandwic, cucur ikan bilis lagi. Banyak tu. Hah, silap-silap hari bulan, makin bertambah berat badan suami awak ni.”

“Alah, selama ni pun abang yang tak pandai kontrol makan. Bukan salah saya tau.” Puan Kamariah memulangkan paku buah keras kepada suaminya.

Aimi Najwa dan Juhana tergelak kecil melihat umi dan abahnya bergaduh seperti budak-budak. Walaupun mereka suka bergaduh, tetapi itulah yang mengukuhkan kasih sayang mereka berdua.

“Yalah. Macam mana abang nak kontrol makan. Dah isteri abang masak sedap sangat. Lebih hebat daripada master chef,” ujar Encik Khalid lalu ketawa.

“Nak perli sayalah tu,” ujar Puan Kamariah pura-pura merajuk.

Dia sebenarnya suka apabila suaminya sentiasa menjadikan masakannya makanan yang paling sedap. Tidak hairanlah sewaktu suaminya bekerja sebagai guru sekolah dahulu, sehinggalah dinaikkan pangkat sebagai pengetua, pulang sahaja dari sekolah terus dia menghadap makanan di meja makan. Jika ada sahabat yang mengajaknya makan di luar lepas waktu kerja, biasanya dia akan menolak. Jarang sekali suaminya ini makan di luar, kecuali jika mempunyai hal yang sangat penting. Menurut Encik Khalid, masakan isterinya tidak boleh mengalahkan mana-mana masakan di restoran atau hotel mewah. Puan Kamariah tersenyum sendirian apabila mengingati semua itu.

“Puan Kamariah, apa yang tersenyum sorang-sorang tu? Ermm, cepatlah kita bertolak. Nanti terlewat pula.”

Teguran Encik Khalid mengejutkan Puan Kamariah daripada lamunannya. Terus dia masuk ke dalam kereta diikuti oleh Aimi Najwa dan dua orang cucu kesayangannya. Manakala Juhana dan Nazri menaiki kereta mereka. Juhana terpaksa membenarkan Afiq dan Afrina menaiki kereta Encik Khalid kerana dari tadi kedua-dua anaknya itu merengek mahu bersama dengan datuknya. Lagipun, anak-anaknya itu memang rapat dengan Encik Khalid memandangkan abahnya pandai melayan kanak-kanak.

Perjalanan ke Tasik Permaisuri sedikit pun tidak terasa apabila bermacam-macam kisah lucu dibuka oleh Encik Khalid untuk menghiburkan kedua-dua cucunya. Begitu juga dengan Puan Kamariah dan Aimi Najwa. Tidak kering gusi mereka mendengar celoteh Encik Khalid.

“Dah sampai pun kita. Orang tak ramai lagi ni. Bolehlah kita cari tempat strategik untuk letak sarapan Cef Puan Kamariah ni,” usik Encik Khalid nakal.

Puan Kamariah hanya mencebik.

“Abah ni... Kesian kat umi tau. Nanti abah juga yang nak makan banyak,” usik Aimi Najwa pula.

Kedua-duanya ketawa.

“Memang pun, Aimi. Tengoklah nanti siapa yang paling banyak makan masakan umi ni. Jom, Afiq, Afrina. Bawa tikar tu. Kita cari tempat dulu. Barang yang berat tu biar atuk yang bawa,” ujar Puan Kamariah lalu mengajak cucu-cucunya mencari tempat untuk mereka bersarapan nanti.

Encik Khalid mengangkat tangan tanda menyerah kalah. Aimi Najwa hanya ketawa melihat kelakuan abahnya.

“Biar saya saja yang bawa, abah,” ujar Nazri yang baru tiba dekat Encik Khalid dan Aimi Najwa. Lantas diambil bakul sarapan yang berada di dalam bonet kereta Encik Khalid yang sudah terbuka sebelum Encik Khalid menegahnya.

“Cepatnya umi jalan,” sampuk Juhana apabila melihat umi dan anak-anaknya terkocoh-kocoh mencari tempat untuk mereka berehat dan bersarapan nanti.

“Biasalah, Ju. Umi kamu tu memang macam tu. Jomlah kita ke sana, nanti membebel pula umi kamu kalau kita lambat,” cetus Encik Khalid lalu tergelak kecil.

Terus mereka berempat bergerak menghampiri Puan Kamariah yang sudah membentangkan tikarnya bersama Afiq dan Afrina.

“Macam mana? Okey tak kat sini?” soal Puan Kamariah kepada suami dan anak menantunya.

“Okey sangat, umi,” celah Aimi Najwa cepat-cepat. Dia sudah tidak sabar-sabar mahu berjoging di sekitar Tasik Permaisuri ini.

Puan Kamariah hanya tersenyum mendengar jawapan yang diberikan oleh anak bongsunya. Lantas dia menyuruh Nazri dan Encik Khalid membentangkan tikar di situ. Setelah itu, barulah dia bersama Juhana dan Aimi Najwa menyusun atur bekalan sarapan mereka di atas tikar.

“Okey, dah siap. Afiq dan Afrina duduk sini dengan nenek ya,” pesan Juhana kepada anak-anaknya.

Afiq dan Afrina hanya akur tanpa membantah. Mereka terus duduk bersama nenek mereka di atas tikar. Encik Khalid, Nazri, Juhana dan Aimi Najwa terus meninggalkan mereka bertiga untuk berjoging di sekitar Tasik Permaisuri.

Udara segar pagi ini membuatkan Aimi Najwa begitu bersemangat dan yakin. Hilang segala tekanan kerja yang sentiasa bertimbun di atas mejanya. Aimi Najwa menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan. Fikirannya cukup tenang. Dahulu sewaktu masih belajar di kampus, setiap hari minggu yang terluang selalu sahaja dia berjoging bersama rakan-rakannya Nina, Salwa dan Nurain.

Aimi Najwa mengeluh apabila teringat semua itu. Sudah lama dia tidak menghubungi mereka bertiga. Kali terakhir mereka berjumpa pun ketika majlis perkahwinan Salwa. Itu pun Nina sudah mempunyai anak seorang dan Nurain pula berbadan dua. Itu tiga tahun yang lepas. Dia? Aimi Najwa mengeluh. Hanya dia seorang sahaja yang belum mempunyai ikatan dengan mana-mana lelaki. Kenapalah dia terlalu dingin untuk bercinta? Aimi Najwa tersenyum sendirian.

“Aimi! Tunggulah Kak Ju dulu. Penat tau Kak Ju kejar kamu ni!” pekik Juhana kepada Aimi Najwa yang sudah berada beberapa meter di hadapannya.

“Body Kak Ju banyak sangat lemak. Tulah, siapa suruh tak jaga badan lepas kahwin!” tempelak Aimi Najwa lantas ketawa menampakkan giginya yang tersusun bersih.

Juhana mencebik dengan kata-kata Aimi Najwa. Dia memandang badannya yang nampak sedikit berisi. Aimi Najwa hanya ketawa dengan kerenah kakaknya itu.

“Jomlah, Kak Ju. Abah dengan Abang Naz dah lama tinggalkan kita. Tulah… orang nak joging, Kak Ju pun nak joging juga. Kalau tak, dah lama Aimi boleh menandingi abah dengan Abang Naz tau. Harap kasihankan Kak Ju saja,” ujar Aimi Najwa seakan-akan putus harapan apabila Encik Khalid dan Nazri sudah lama meninggalkan mereka jauh di belakang.

Kalau tidak kerana menunggu Juhana yang selalu sahaja berhenti kepenatan, tentu dia boleh mendahului abah dan abang iparnya.

“Aimi lainlah, selalu joging. Kak Ju ni mana suka sangat nak joging. Lagipun, Kak Ju mana ada masa nak buat semua ni. Hujung minggu pun kena kerja kalau ada orang nak kahwin,” ujar Juhana termengah-mengah sambil bercekak pinggang menahan kepenatan.

“Kalau macam tu, macam mana nak kurus, mak dara oi!” pekik Aimi Najwa lalu ketawa.

“Jomlah, Aimi. Kita rehat sekejap. Kak Ju penatlah.”

“No, no... Kita dah jauh ketinggalan. Cepatlah, Kak Ju!” ujar Aimi Najwa lalu meneruskan lariannya.

“Alah, Aimi... Nantilah dulu!” pekik Juhana yang masih menahan kepenatan.

Aimi Najwa berpaling ke belakang lalu tersenyum ke arah Juhana dengan galak. Entah bagaimana, tanpa disedari, dia hampir terlanggar seseorang di hadapannya. Orang di hadapannya terus melatah terperanjat sebaik sahaja tubuhnya hampir dilanggar Aimi Najwa.

“Oh, oh, ops!”

“Hah!” jerit Aimi Najwa sebaik sahaja dia berpaling ke hadapan. Dia hampir jatuh tersungkur, namun cepat-cepat tubuhnya disambut oleh seorang lelaki.

Cepat-cepat Aimi Najwa menolak tubuh sasa di hadapannya. Mereka berpandangan dan saling terkejut.

“Aimi!

“Tuan Syed!”

“Err... Awak tak apa-apa?” soal Syed Ashraf lalu pandangannya jatuh ke kaki Aimi Najwa. Bimbang juga jika kaki gadis itu terseliuh gara-garanya.

Aimi Najwa memandang majikannya dengan perasaan malu. Mana tidaknya, kali ini dia yang bersalah kerana hampir-hampir melanggar lelaki itu. Tetapi, tidak pula Syed Ashraf memarahinya. Malah prihatin lagi terhadap dirinya.

“Saya tak apa-apa,” jawab Aimi Najwa lembut.

Wajahnya dipalingkan ke arah lain. Perasaan malu masih lagi menyelubungi diri. Malu kerana Syed Ashraf tidak sedikit pun melenting. Bukan sepertinya yang mudah sahaja melepaskan kemarahan apabila orang itu berbuat salah kepadanya walaupun tanpa sengaja.

Kejadian dia memarahi Syed Ashraf di restoran dan di hadapan pintu lif Permai Holding masih lagi segar dalam ingatannya. Rupa-rupanya lelaki yang dimarahinya itu adalah pewaris kekayaan Permai Holding. Sudahlah lelaki ini pernah menyelamatkannya sewaktu dia hampir terjatuh ketika memakai gaun pengantin di PWTC tidak lama dulu. Malu juga dia apabila mengingati semua itu. Argh, biarkan! Mana aku tahu dia anak Datuk Syed Alwi! Aimi Najwa menyedapkan hatinya.

“Awak joging sorang saja ke?” soal Syed Ashraf sekadar berbasa-basi. Dalam diam wajah lembut Aimi Najwa ditenung.

“Aha. Eh, tak dengan famili,” beritahu Aimi Najwa seraya berpaling ke belakang. Kelihatan Juhana sedang termengah-mengah berlari ke arahnya.

“Siapa tu?” soal Syed Ashraf lagi.

“Kakak saya,” jawab Aimi Najwa dalam gusar. Entah mengapa dia jadi tidak selesa bertembung dengan Syed Ashraf dalam keadaan begini.

Berkerut dahi Juhana apabila melihat seorang lelaki tampan berada di sebelah Aimi Najwa. Seperti pernah dilihatnya. Namun, dia lupa di mana. “Boyfriend Aimi ke?”

Pertanyaan Juhana seakan-akan menjerut leher Aimi Najwa. Cepat-cepat lengan Juhana dicubitnya dengan kuat. Juhana menjerit kesakitan.

“Sakitlah, Aimi. Kenapa dengan kamu ni?” Juhana sedikit marah apabila Aimi Najwa mencubitnya.

“Saya Syed Ashraf. Kawan rapat Aimi Najwa masa di kampus dulu.” Laju sekali kata-kata itu meluncur dari mulut Syed Ashraf.

Aimi Najwa tersentak. Tergamak Syed Ashraf membohongi kakaknya. Tetapi, dia juga tidak mahu Juhana tahu bahawa itu adalah anak Datuk Syed Alwi. Anak majikannya. Pandai juga mamat ni cover line untuk aku! bisik hati Aimi Najwa, tersenyum sendirian. Senyumannya itu dilihat oleh Syed Ashraf tanpa disedarinya.

Aimi Najwa menarik nafas lega dengan pengakuan bohong Syed Ashraf kepada kakaknya. Kalau Juhana tahu, pasti kepoh mulutnya memberitahu umi dan abah bahawa dia begitu baik dengan anak majikannya. Aimi Najwa kenal sangat dengan perangai kakaknya. Mana-mana lelaki yang berbual dengannya secara kebetulan, selalu sahaja diandaikan mempunyai hubungan dengannya. Tahulah dia ini susah untuk mencari teman hidup.

“Kawan rapat saja? Betul ke, Aimi?” soal Juhana inginkan kepastian. Dalam diam dia memuji ketampanan Syed Ashraf dan berharap lelaki ini adalah kekasih Aimi Najwa.

Sakit hati Aimi Najwa dengan soalan yang diajukan oleh Juhana. Mukanya semakin tebal menahan malu. Sekilas wajah Syed Ashraf dipandang. Dia amat berterima kasih kerana lelaki di hadapannya ini tidak memberitahu bahawa dia adalah anak Datuk Syed Alwi. Anak majikan di tempat dia bekerja.

“Yalah, Kak Ju. Kami ni kawan sekampus dahulu. Kan, Ashraf? Lagipun, Ashraf ni dah kahwinlah, Kak Ju. Dah anak dua.” Laju kata-kata itu terkeluar dari mulut Aimi Najwa tanpa segan-silu. Entah bagaimana Aimi Najwa mendapat idea untuk membohongi Juhana.

Syed Ashraf hanya mengangkat kening dan menghadiahkan senyuman manis untuk Aimi Najwa.

Aimi Najwa terasa sedikit malu dengan kata-katanya tadi. Tetapi, dia tidak kisah. Asalkan Juhana tidak salah faham tentang hubungannya dengan Syed Ashraf.

Wajah Juhana sedikit terkilan apabila Aimi Najwa memberitahu begitu. Juhana mengeluh hampa. Bilalah agaknya Aimi Najwa akan bertemu jodoh? Itulah yang selalu merunsingkan Juhana dan orang tuanya.

“Oh, maaflah kakak salah faham tadi,” ucap Juhana lalu menghadiahkan senyuman bersalah kepada Syed Ashraf.

“Tak mengapa. Lagipun apa salahnya kalau kakak menganggapnya begitu.”

Gulp! Aimi Najwa menelan air liurnya dengan rasa pahit. Cukup berani Syed Ashraf berkata begitu kepada kakaknya. Apa pula kata Juhana nanti? Ah, miang betul jantan ini. Aimi Najwa semakin geram. Kalau bukan kerana Syed Ashraf adalah pengganti CEO Permai Holding, mahu saja dia memaki lelaki ini sekarang juga. Dia berharap Juhana tidak ambil kisah dengan kata-kata Syed Ashraf. Bimbang jika Juhana salah faham nanti.

“Maaf ya. Kami pergi dulu,” kata Aimi Najwa seraya menarik tangan kakaknya agar segera pergi dari situ. Sakit hatinya dengan kata-kata Syed Ashraf.

“Kenapa dengan kamu ni, Aimi? Minta diri tu biarlah sopan sikit. Terasa hati kawan Aimi tu nanti. Tapi, Kak Ju macam pernah tengok dialah,” tegur Juhana setelah agak jauh mereka meninggalkan Syed Ashraf.

“Isy, mana ada! Kak Ju tak kenal dialah. Alah, bukan kawan rapat pun. Kawan gitu-gitu aje,” jawab Aimi Najwa acuh tak acuh. Dia berharap Juhana tidak mengingati peristiwa dia bergaduh dengan lelaki itu di restoran dahulu.

“Yalah, tapi jagalah perasaan orang. Nanti apa pula kata dia,” nasihat Juhana lagi. Dia sendiri tidak faham dengan sikap adiknya yang suka sangat berkeras.

Aimi Najwa langsung tidak berminat untuk bercakap tentang Syed Ashraf. Lelaki itu bukan siapa-siapa baginya. Dia merasakan Syed Ashraf terlalu ego. Sudahlah semalam mengajaknya berjumpa klien sesuka hatinya. Hari ini pula, senang-senang saja lelaki itu memperkenalkan diri sebagai kenalan lelaki Aimi Najwa.

“Yalah. Aimi minta maaf. Dahlah cakap soal ni. Aimi dah laparlah. Jomlah kita breakfast. Tentu abah dan Abang Naz dah sampai dekat umi.” Aimi Najwa cuba mengubah topik perbualan mereka.

Dia tahu sangat jika Juhana mula menasihatinya begitu. Nanti soal jodohnya akan diketengahkan. Aimi Najwa sudah jemu dengan semua itu. Begitu juga umi dan abahnya, selalu sahaja sibuk tentang dirinya yang lambat bertemu jodoh. Bukan dia tidak mahu berumah tangga seperti rakan-rakannya yang lain. Tetapi, dia belum bersedia untuk semua itu. Tambahan pula, dia baru beberapa bulan bekerja di Permai Holding. Dia mahu berjaya dalam kerjayanya dahulu. Bertahun-tahun dia menjadi graduan menganggur, inilah masanya untuk dia memberi tumpuan sepenuhnya pada pekerjaan yang dijawatnya di Permai Holding. Apatah lagi dia memperoleh pekerjaan di sebuah syarikat yang terkemuka di Kuala Lumpur. Itu adalah rezeki buatnya.