SEPANJANG perjalanan, bermacam-macam andaian bermain di kepala Aimi Najwa. Dia berharap Syed Ashraf tidak membalas perbuatannya dahulu. Sekali-sekala Aimi Najwa mengerling Syed Ashraf yang sedang tenang memandu Toyota Harrier miliknya. Kenapalah dia yang harus keluar bersama Syed Ashraf? Kenapa tidak Syuhaida, Encik Amir atau orang lain sahaja? Tanpa sedar dia mengeluh. Keluhannya itu didengari oleh Syed Ashraf. Namun, lelaki itu hanya diam tanpa sepatah kata.
“Jom!” ajak Syed Ashraf.
Perlahan-lahan Aimi Najwa turun dan menutup pintu kereta.
Syed Ashraf melangkah masuk ke dalam restoran.
Dengan rasa malas Aimi Najwa mengekori lelaki itu dari belakang. Baru hari pertama lelaki ini masuk kerja, dia sudah pun diminta untuk menemani Syed Ashraf berjumpa pembekal di luar. Kenapalah dia tersangkut dengan semua masalah ini?
“Encik, boleh saya bantu?” soal pelanggan restoran menghampiri mereka berdua.
“Saya cari meja nombor 13,” beritahu Syed Ashraf.
“Sila ikut saya.”
Syed Ashraf dan Aimi Najwa mengikut pelayan itu menuju ke meja nombor 13 untuk berjumpa dengan pembekal daripada Syarikat Aman Bakti.
“Silakan, encik.”
“Terima kasih,” ucap Syed Ashraf sebelum pelayan itu beredar.
“Maaf... Encik ni daripada Syarikat Aman Bakti, kan?” soal Syed Ashraf kepada seorang lelaki yang sedang membaca akhbar di meja 13.
“Ya, saya Kamil. Encik... Eh, Ashraf?”
Syed Ashraf memandang lelaki di hadapannya. Dia juga turut terkejut.
“Kamil? Apa kau buat di sini? Takkan kau... Aku macam tak percaya ni!” ujar Syed Ashraf bagaikan tidak percaya.
“Jadi, kau yang nak berjumpa dengan aku tu? Hei, bila kau balik?” soal Kamil teruja.
Lantas mereka berjabat tangan. Aimi Najwa hanya menjadi pemerhati.
“Aku baru saja pulang. Tak sangka boleh berjumpa dengan kau.” Syed Ashraf bersuara gembira.
“Silakan duduk. Tak sangka aku, rupanya Permai Holding tu kau yang punya. Kalau macam ni, lagi senang kita nak berbincang,” ujar Kamil dengan rasa gembira.
“Belum lagi. Masih daddy aku yang uruskan. Duduk, Aimi,” suruh Syed Ashraf. Lantas kerusi ditarik di sebelahnya.
“Terima kasih.” Aimi Najwa sedikit segan apabila Syed Ashraf menarik kerusi untuknya.
“Ini siapa?” soal Kamil sebaik sahaja melihat gadis cantik bersama Syed Ashraf. Diperhati wajah peranakan Aimi Najwa. Berhidung mancung dan bermata coklat yang mempesonakan. Cukup sempurna. Syed Ashraf memang beruntung, desis hatinya.
“Oh, ni aku kenalkan, Aimi Najwa. Setiausaha aku,” beritahu Syed Ashraf.
Meluat pula Aimi Najwa dengan sikap Syed Ashraf. Bila masa pula dia dilantik menjadi setiausaha lelaki ini? Dia masih setiausaha kepada Datuk Syed Alwi. Huh, berlagak betul!
“Ooo... setiausaha. Ingat ada apa-apa hubungan istimewa tadi. Pandai kau pilih setiausaha yang cantik,” puji Kamil seraya matanya dikerling ke arah Aimi Najwa.
Aimi Najwa mula tidak senang duduk.
Syed Ashraf hanya tersenyum. Memang dia akui kejelitaan yang dimiliki oleh Aimi Najwa. Tapi, bukan mudah untuk sesiapa jatuh hati kepada gadis ini. Maklumlah, orangnya sedikit garang. Itulah anggapan Syed Ashraf terhadap Aimi Najwa.
“Kau nak makan apa? Boleh kita oder sekarang? Sambil makan, boleh bincang soal bisnes. Macam mana?” soal Kamil lagi.
“Aku ikut saja.”
“Waiter!” panggil Kamil seraya tangan diangkat kepada seorang pelayan restoran ini.
Seorang pelayan datang membawa senarai menu kepada mereka. Hanya Syed Ashraf dan Kamil sahaja yang begitu sibuk meneliti senarai menu. Aimi Najwa pula hanya sekadar membelek. Seleranya untuk makan tengah hari benar-benar hilang.
“Bagi I jus kiwi dengan nasi goreng pataya,” beritahu Kamil kepada pelayan itu.
“Bagi saya jus epal, nasi putih dan tomyam Thai,” beritahu Syed Ashraf pula.
“Cik pula?” soal pelayan itu kepada Aimi Najwa.
“Jus oren. Tu aje.”
Syed Ashraf memandang Aimi Najwa yang berada di sebelahnya. Masakan gadis ini hanya mahu minum sahaja? Tidak laparkah dia?
“Waiter, please wait!” Syed Ashraf menahan pelayan lelaki yang mahu berlalu.
“Awak tak nak makan apa-apa ke, Aimi? Tak lapar?” soal Syed Ashraf pula.
“Saya masih kenyang,” ujar Aimi Najwa.
“Takkan Cik Aimi nak tengok kami makan saja? Saya pesankan awak nasi goreng pataya juga ya.” Kamil bersuara tiba-tiba.
“Tak mengapa. Saya benar-benar sudah kenyang,” beritahu Aimi Najwa geram. Kenapa pula Kamil sibuk tentang dirinya? Ah, lelaki!
“Bagi Cik Aimi ni nasi goreng pataya juga ya,” beritahu Kamil kepada pelayan itu.
Terjegil mata Aimi Najwa mendengar pesanan yang dibuat untuknya. Meluat pula dia dengan rakan Syed Ashraf yang tidak reti bahasa. Sesuka hatinya sahaja membuat keputusan untuk dirinya.
“Ada apa-apa lagi?” soal pelayan itu lagi.
“Itu saja. Terima kasih.”
Segera pelayan itu beredar.
Aimi Najwa memandang Kamil yang asyik memandangnya. Dia sedikit tidak selesa dengan lelaki ini. Dari tadi lelaki itu tersenyum kepadanya dengan senyuman yang cukup berlainan. Dia cukup rimas dengan semua ini.
Sebentar kemudian, pesanan mereka sampai. Aimi Najwa memandang tomyam Thai Syed Ashraf yang masih berasap. Terliur pula dia melihat tomyam Thai lelaki ini.
“Jemput makan, Miss Aimi,” pelawa Kamil ramah.
Aimi Najwa menjamah nasi gorengnya. Sekilas dia memandang Syed Ashraf yang enak menghirup kuah tomyam. Berselera sekali lelaki itu menikmati makan tengah harinya.
Syed Ashraf dan Kamil mula membincangkan soal perniagaan mereka. Aimi Najwa pula lebih suka berdiam diri kerana tidak minat dengan semua ini. Maklumlah, dia ke sini kerana terpaksa.
Daripada hal perniagaan, mereka beralih pada soal cerita mereka di kampus pula. Semua itu menjemukan Aimi Najwa. Dia mula naik berang. Mahu sahaja dia meminta diri untuk pulang ke pejabat, tetapi dia datang ke sini dengan kereta Syed Ashraf. Dia harus banyak bersabar.
“Aku harap kita boleh mulakan kerjasama ini dengan cepat. Aku akan cuba siapkan dokumen tu secepat mungkin. Ermm, mungkin minggu depan,” beritahu Kamil setelah perkara yang agak membosankan bagi Aimi Najwa itu habis diperdebat.
“Really? Tak begitu cepat ke?” soal Syed Ashraf bagaikan tidak percaya dengan kata-kata sahabatnya.
“Tentulah. Kau kan sahabat lama aku. Aku yakin dengan kau,” ucap Kamil dengan penuh yakin.
“Okey, kalau macam tu, aku tunggu kontrak dari Aman Bakti,” ujar Syed Ashraf dengan nada gembira. Lalu tangannya dihulur kepada Kamil, tanda persetujuan kedua-dua belah pihak.
Secara tidak langsung huluran tangan Kamil beralih kepada Aimi Najwa. Aimi Najwa tersentak. Dirasakan Kamil hanya mahu mengambil kesempatan ke atas dirinya. Syed Ashraf yang berada di sebelah hanya memerhatikan sahaja gelagat Aimi Najwa.
Huluran tangan Kamil langsung tidak disambut Aimi Najwa. Sebaliknya hanya anggukan dan senyuman sahaja yang diberikan kepada Kamil. Itu pun senyuman yang pahit. Kelihatan Kamil sedikit kecewa dengan penolakan Aimi Najwa. Lambat-lambat tangannya diturunkan.
“Saya harap kita boleh bekerjasama dengan baik di masa akan datang,” ujar Kamil ke arah Aimi Najwa. Sekali lagi Aimi Najwa tersenyum hambar kepadanya.
“Okey, kalau tiada apa-apa lagi, kami minta diri dulu,” ujar Syed Ashraf pula.
Terus Aimi Najwa bangun dari tempat duduknya. Terasa tenang sedikit sebaik sahaja dia berdiri. Lenguh satu badannya kerana duduk terlalu lama. Sebelum dia pergi, sempat Kamil membisikkan sesuatu kepadanya tanpa didengari oleh Syed Ashraf.
“Harap kita berjumpa lagi.”
Aimi Najwa hanya menjeling Kamil tanpa sepatah kata. Terus dia menuruti langkah Syed Ashraf ke tempat letak kereta.
“Mengapa awak tak sambut huluran Encik Kamil tadi?” Sengaja Syed Ashraf memancing soalan begitu kepada Aimi Najwa sebaik sahaja mereka masuk ke perut kereta.
Tersentak Aimi Najwa dengan pertanyaan Syed Ashraf. Mengapa pula tiba-tiba lelaki ini bertanya begitu kepadanya? Tadi, sewaktu perjalanan mahu berjumpa klien di restoran Selera Rasa, sepatah kata pun tidak keluar dari mulut anak majikannya. Hanya diam sepanjang perjalanan. Adakah Syed Ashraf terasa martabatnya jatuh kerana dia tidak menyambut huluran tangan sahabatnya tadi? Aimi Najwa mula tidak senang dengan bicara Syed Ashraf. Benar sekali sangkaannya, Syed Ashraf yang belajar di luar negara sudah membawa budaya barat dalam sektor pekerjaannya. Tidak seperti ayahnya, Datuk Syed Alwi. Aimi Najwa menduga begitu.
“Atas sebab apa pula saya perlu sambut huluran tangannya? Hanya kerana kita dapat kontrak dari Aman Bakti?” soal Aimi Najwa dengan berani.
Syed Ashraf tersenyum dengan soalan yang dilontarkan oleh Aimi Najwa kepadanya. Dia tidak menyangka ada juga gadis seberani Aimi Najwa. Sekilas pandang saja memang sesiapa pun boleh terpikat dengannya. Aimi Najwa seorang yang cantik. Begitu juga Kamil. Dia perasan dengan jelingan mata sahabatnya kepada Aimi Najwa tadi. Tetapi, mengapa sikap Aimi Najwa tidak lembut seperti gadis lain? Mudah sangat melenting.
Apabila teringat kisahnya yang mula-mula menumpahkan jus oren di baju gadis ini, Syed Ashraf tersenyum sendirian. Apatah lagi pada malam itu juga dia telah menyelamatkan Aimi Najwa daripada terjatuh sewaktu di karnival pengantin tempoh hari. Cukup jelita gadis itu dalam buasana pengantin. Seketika dia terpesona dengan wajah Aimi Najwa.
Tetapi, hari ini, tanpa diduganya, Aimi Najwa sebenarnya bekerja di syarikat daddynya. Semua itu bagaikan satu kebetulan buatnya.
“Kenapa senyum? Awak ejek saya, kan?” soal Aimi Najwa lagi apabila soalan yang diajukan kepada Syed Ashraf lenyap begitu saja tanpa menjawab.
“Nothing,” jawab Syed Ashraf selamba lalu radio di dalam keretanya dipasang. Dan waktu itu siaran radio Hot FM memainkan lagu Tahajjud Cinta nyanyian Datuk Siti Nurhaliza.
“Saya suka lagu ni. Awak suka tak?” soal Syed Ashraf tiba-tiba.
Aimi Najwa memandang wajah Syed Ashraf bersahaja. Lantas pandangannya dilontarkan ke luar tingkap kereta. Malas untuk berbicara dengan Syed Ashraf lagi. Gara-gara lelaki ini, dia sudah lambat masuk ke pejabat. Lebih baik dia berdiam diri daripada berbual dengan lelaki ini. Dia berharap Syed Ashraf tahu bahawa dia sedang marah.
Melihat Aimi Najwa yang tiada mood untuk ber-bicara dengannya, Syed Ashraf meneruskan perjalanannya tanpa bersoal jawab lagi.
SEWAKTU mereka tiba di Permai Holding, tergesa-gesa Aimi Najwa turun dari kereta Toyota Harrier milik Syed Ashraf. Dia tidak mahu bergandingan masuk ke pejabat dengan lelaki itu. Dia tidak mahu Haliza mengenakannya lagi. Namun begitu, lif yang lambat terbuka membuatkan Syed Ashraf sudah berada di belakangnya. Aimi Najwa mengeluh. Nampaknya, terpaksalah dia bergandingan masuk ke pejabat dengan Syed Ashraf nanti.
Syed Ashraf tersenyum dan membiarkan Aimi Najwa masuk ke dalam dahulu sebaik pintu lif terbuka. Aimi Najwa hanya diam tanpa sepatah kata. Sebaik sahaja pintu lif terbuka kembali, sempat Syed Ashraf membisikkan sesuatu di telinganya.
“Saya suka dengan tindakan awak di restoran tadi,” ucap Syed Ashraf lalu berlalu masuk ke pejabat Permai Holding dan meninggalkan Aimi Najwa yang masih terkulat-kulat di hadapan pintu lif.
Aimi Najwa memandang Syed Ashraf yang sudah menghilangkan diri dengan seribu pertanyaan.