HANAN mengetuk pintu rumah Rogayah.
“Mak Cik Gayah, Nawal ada?” tanya Hanan sebaik sahaja pintu rumah dibuka.
“Kut ya pun hang nak jumpa Nawal, bagilah salam dulu,” tegur Rogayah sambil tersenyum kambing.
“Hang nak sembang apa dengan dia?”
“Nawal ada?” tanya Hanan lagi. Dia merasakan tidak perlu untuk menjawab soalan Rogayah tadi.
Rogayah angguk. “Masuklah dulu. Nanti mak cik panggil dia.”
Hanan tidak bercadang hendak masuk. Dia menunggu di bawah pokok belimbing buluh.
“Nawal tak mahu keluar.”
Hanan yang tunduk sambil kaki menguis-uis batu-batu kecil di bawah pokok rambutan mendongak. Wajah Rogayah dipandang. Hanan menapak semula menghampiri Rogayah.
“Kalau tak mahu jumpa, maknanya dia tak mahu kahwin dengan sayalah, kan?”
“Dak aih! Tak ada kena-mengena dengan kahwin. Dia malulah tu. Tunggu sat noh, mak cik panggil dia sekali lagi.”
10 minit menunggu, Rogayah muncul sekali lagi.
“Hanan masuk sembang dalam rumahlah. Nawal segan nak keluar.”
Hanan berdecit. Macam-macam minah ni! getus hati Hanan.
Hanan melangkah masuk ke ruang tamu. Nawal tidak ada di situ. Hanan melabuhkan punggungnya. Keadaan di dalam rumah Rogayah diimbas sekali lalu. Kemas dan teratur.
“Assalamualaikum,” sapa Nawal dengan lagak selamba.
Hanan terpaku. Wajah Nawal dipandang. Jauh benar apa yang berada dalam gambaran mindanya berbanding figura yang berdiri di hadapannya saat ini. Cantik. Itu perkataan yang muncul dalam benaknya.
Hanan berdeham. Mujur halkumnya tidak menonjol keluar. Jika tidak, mahu Nawal melihat dia menelan liur berkali-kali.
Nawal melabuhkan duduknya. Dia merenung wajah Hanan.
Rogayah hanya memerhatikan gelagat cucunya itu. Tak senonoh! marahnya dalam hati. Ada ke patut tenung lelaki macam tu?
“Saya Hanan.” Hanan memperkenalkan dirinya.
Dia kemudian menggeleng kecil. Entah kenapa itu yang terkeluar dari mulutnya. Macamlah Nawal tak kenal dengannya.
“Saya Nawal,” ujar Nawal sambil tersengih. Gaya suaranya mengajuk Hanan.
“Umi kata awak setuju jadi isteri saya.”
“Ya? Tok ma pulak kata awak setuju jadi suami saya.”
Nawal sembunyi senyum apabila melihat wajah cemberut Hanan. Dia pasti sikap mengajuknya tadi menyakitkan hati Hanan.
“Mak Cik Gayah, boleh tak biar saya sembang dengan Nawal?” pinta Hanan. Wajah wanita tua itu ditatap dengan harapan.
“Bukan tengah sembang ke ni?” tanya Rogayah.
“Dia nak sembang dengan Nawal aje. Tok ma tak boleh dengar. Rahsia ni.” Nawal seolah-olah berbisik, tetapi suaranya dapat didengar oleh Hanan.
Hanan menggeleng. Menyakitkan hati betullah.
“Tok ma pi dapurlah kalau macam tu.”
“Kopi O kaw-kaw satu, tok ma.” Nawal melaung apabila melihat neneknya menuju ke dapur.
Hanan membulatkan matanya memandang Nawal. Rogayah pula langsung tidak menunjukkan tanda dia marahkan Nawal.
“Hanan nak minum apa?” tanya Rogayah dari pintu dapur.
Hanan menggelengkan kepalanya. Dia menolak pelawaan wanita itu.
“Apa yang rahsia sangat tu?” tanya Nawal sambil mata membelek kukunya yang sedikit hitam kerana membantu tok ma menumbuk biji kopi pagi tadi.
“Kenapa awak setuju nak kahwin dengan saya?” Terus Hanan bertanya.
Biar cepat dia dapat jawapan, cepat dia boleh balik.
“Kenapa awak setuju nak kahwin dengan saya?” Nawal ulang soalan yang sama kepada Hanan.
“Boleh tak awak jawab soalan saya dulu? Tak payah nak main ajuk cakap saya boleh tak?” bentak Hanan.
Nawal herotkan bibir ke kiri dan kanan sebelum memberikan jawapan. Jelik Hanan dibuatnya dengan reaksi Nawal itu.
“Saya sayang tok ma. Dia harap sangat kita kahwin. So, kahwin ajelah.”
“Saya ni duda anak satu.”
“Tahu,” tukas Nawal.
“Saya cuma kerja buat bendang saja.”
“Tahu.”
“Saya tak rasa kita boleh bahagia sebab saya masih sayangkan keluarga saya. Saya dalam proses untuk pujuk bekas isteri untuk rujuk semula.” Nada suara Hanan turun hingga paras berbisik.
“Tahu.”
Jawapan ‘tahu’ untuk kali ketiga itu membuatkan Hanan tersentak. Dia tahu? Tapi, kenapa masih bersetuju dengan cadangan orang tua mereka?
“Kalau macam tu, kenapa setuju nak kahwin dengan saya?”
“Sebab saya yakin awak tak berjaya pun pujuk ex-wife awak untuk kahwin semula, kan?”
“Pembetulan, belum berjaya. Bukan tak berjaya.”
“Okeylah kalau macam tu. Kalau berjaya nanti, jangan lupa beritahu saya. Kita berdua pula panjat tangga pejabat agama.”
Jawapan Nawal mengejutkan Hanan.
“Jadi, awak dah tahu risiko yang awak akan hadapi? Awak masih setuju untuk kahwin? Awak sanggup berkahwin semata-mata untuk diceraikan?”
Nawal angguk.
Hanan yakin gadis yang duduk di hadapannya tidak bergurau. Pelik! Kenapa mesti terima aturan jodoh ini jika sudah tahu kesudahannya? Minah ni bunting ke? Aku ni dah masuk perangkap keluarga Rogayah ke? Jadi pak sanggup?
“Pelik! Awak cantik dan ada pelajaran. Kenapa pilih lelaki kampung macam saya?”
“Cantik ke saya? Terima kasihlah puji saya.”
Sebal Hanan dibuatnya.
Rogayah menatang dulang berisi kopi O yang berasap nipis bersama sepinggan kuih karas. “Minumlah, Hanan. Jangan segan-segan.”
Hanan sekadar tersenyum sebagai tanda hormat serta menghargai usaha Rogayah menyediakan minuman untuknya.
“Tok ma, Hanan tanya sebab apa Nawal setuju nak kahwin dengan dia? Dia puji Nawal cantik, pandai. Dia kata Nawal ni memang calon dambaan lelaki-lelaki Malaya. Sebab itulah dia pelik bila Nawal terima dia.”
Melihatkan wajah terpinga-pinga Hanan yang disertai mata membuntang memandang cucunya, Rogayah senyum. Pandai Nawal menyakat Hanan. Merah padam wajah anak Wan Masitah dibuatnya.
“Hanan, mak cik kenal hang dari kecik. Masa mak hang bersalin dulu, mak cik yang mandikan hang pasai dia kata geli nak bagi mandi. Hang tu bersalin kecik. Muka ada besaq kelemboi nyiok,” terang Rogayah sambil mencantumkan kesemua hujung jari tangan kanannya bagi menggambarkan saiz muka Hanan ketika baru dilahirkan.
“Mak cik tau hang anak yang baik. Mak cik tau hang boleh jaga Nawal. Dia ni memang gila-gila sikit, tapi bila hang kenai dia betoi-betoi, hang takkan jumpa dah perempuan macam dia ni.”
Hanan mencuri pandang wajah Nawal. Gadis itu pula tunak memandang neneknya. Gaya Nawal itu seakan-akan dia terharu dengan pujian yang diberikan kepadanya. Kembanglah tu! kutuk Hanan.
Hanan mencapai tangkai cawan. Dia menghirup sedikit kopi. Sedap. Rasanya tidak terlalu pahit dan tidak juga terlalu manis.
“Hanan, saya cuma minta majlis akad nikah di masjid aje. Tak payahlah buat kenduri sambut menantu.”
Hanan angguk. Bagus. Kahwin olok-olok saja. Tak payah membazir.
“Belajar panggil Abang Hanan. Dia kan dah nak jadi laki Nawal,” tegur Rogayah.
Hanan tersedak kopi. Segera dia meletakkan cawan. Geli Mak Cik Gayah oi!
“Kalau macam tu, kira jadilah, kan? Saya nak balik pecah tabung ayam. Nak tengok ada berapa ringgit untuk bayar duit mas kahwin.”
Nawal mengerutkan dahinya. Sengkek sangatkah Hanan ni?
Rogayah ketawa.
“Lawaklah hang ni Hanan,” ujar Rogayah sambil tersengih.
“Saya ni lepasan universiti. Hantaran dan mas kahwin mahal tau...”
Hanan tayang wajah menyampah.