Setelah Terlafaznya Akad 1

BAB 4

  • Art
  • Anna Milia

DENGAN sekali lafaz, Hanan sah menjadi suami Nawal. Hanan menghampiri isterinya. Wajah yang disolek cantik itu dipandang. Lawa minah ni, puji Hanan dalam hati.

Hanisah menghulurkan bekas cincin kepada adiknya.

“Sarungkan cincin ke jari manis Nawal,” suruh Hanisah.

“Tahulah. Ini bukan kali pertama Hanan kahwin.” Hanan berbisik di telinga kakaknya. Matanya dibulatkan memandang Hanisah.

Hanisah ketawa kecil. Diyan menyiku perut Hanan.

“Menjawab aje kamu ni.” Diyan menegur adiknya.

Hanan mengeluarkan cincin. Dia mendekatkan jaraknya dengan Nawal.

“Tunggu apa lagi? Hulur tangan kamu.” Nafisah berbisik.

Nawal menghulurkan tangan kanannya kepada Hanan. Ketika Hanan menyentuh jarinya, Nawal merasakan hatinya berdebar-debar. Dapat dirasakan jari Hanan menggigil tatkala menyentuh jarinya.

Nawal memerhatikan cincin ditolak masuk sehingga ke pangkal jari manisnya. Setelah Hanan melepaskan jarinya, dia masih tunak memandang cincin yang tersarung di jari. Entah berapa lama cincin ini akan berada di jari manisnya.

“Salam Hanan.” Rogayah bersuara.

Nawal senyum segaris. Dia menghulurkan tangannya untuk bersalam. Nawal tunduk mencium tangan suaminya. Hanan menarik kepala Nawal agar dekat dengan wajahnya. Dahi wanita itu dikucup sekilas.

“Alah, lajunya cium. Tak sempat nak ambil gambar,” ujar salah seorang ahli keluarga Hanan.

“Sekali lagi,” ujar wanita itu lagi.

“Kita balik rumah dulu. Nak buat aksi macam mana pun boleh. Sekarang ni kita di masjid,” ujar Wan Masitah sambil ketawa kecil.

Hanan tersenyum kelat manakala Nawal tersengih. Nak buat aksi apa? Nak sarung cincin pun menggigil, kutuk Nawal.


HANAN duduk di sebelah Nawal di dalam kereta yang dipandu oleh Rusdi manakala Diyan duduk di kerusi penumpang hadapan. Mereka suami isteri riuh berbual sesama mereka.

Nawal mengangkat tangan kanannya. Kelima-lima jarinya digerakkan sambil dia menatap cincin yang tersarung buat sekian kalinya.

Hanan menggeleng. Macam jakun betul. Tak pernah pakai cincin ke minah ni? Macam monyet dapat bunga saja lagaknya.

“Awat? Cantik sangatkah cincin tu? Duk belek dari tadi.” Hanan bertanya. Pandangannya dihalakan keluar dari kenderaan.

“Masa kita main kahwin-kahwin dulu, awak cuma sarung gelang keychain. Dahlah berkarat, besar pula tu. Jenuh kapit jari-jari ni, supaya tak terlucut.”

Hanan tersenyum sendiri mengenangkan nostalgia zaman kanak-kanaknya. Mudah kahwin pada masa itu. Tak banyak yang perlu difikirkan melainkan isterinya itu berlemuas.

“Banyak juga duit awak, kan? Cincin ni mahal. Mesti dah kering tabung ayam tu.”

“Cincin ni, sekali dengan pakej kenduri disponsor oleh umi. Duit tabung ayam tu masih selamat. Boleh saya guna ketika nak lamar Hani nanti.”

Nawal mencubit perut Hanan. Lelaki itu menjerit kesakitan.

Diyan dan Rusdi serentak menoleh ke belakang.

“Kenapa ni Hanan?” Diyan bertanya.

Rusdi memfokuskan semula perhatian pada pemanduan.

“Tanyalah Nawal. Dia yang buat hal.” Hanan menjawab dalam nada marah.

Diyan memandang Nawal.

“Abang Hanan ni. Ada ke patut dia ajak Nawal masuk bilik sebaik sahaja sampai rumah? Tak menyempat langsung.”

Terbeliak mata Hanan memandang Nawal. Rusdi sembunyi senyum manakala Diyan mencerlung adiknya.

Tahulah gersang, tapi tak mungkin Hanan segelojoh itu. Diyan mengecilkan matanya memandang Nawal sebagai mewakili soalan betulkah apa yang dikatakan oleh Nawal tadi?

Nawal tayang sengih. “Tak, kak. Nawal bergurau aje tadi. Abang Hanan cakap nak anak satu dozen. Itu yang perut dia dapat habuan sebelum perut Nawal yang dapat habuan.”

Diyan ketawa kecil. Ada-ada saja Nawal ni.

Hanan mahu membuka mulutnya untuk menjawab, namun terhalang apabila Nawal menyambung kata.

“Abang Hanan ni memang suka usik Nawal. Masa main kahwin-kahwin dulu, tak berani pula dia cakap benda-benda macam ni.”

“Sebab masa tu saya geli tengok hingus hijau awak tu. Jangan kata nak buat anak, nak pandang pun tak sanggup.”

Rusdi dan Diyan ketawa serentak. Hanan pula tersengih suka apabila melihat perubahan riak wajah isterinya.

Nawal mencubit perut Hanan sekali lagi. Kali ini dipulas lebih kuat. Hanan mencengkam lengan Nawal sekuat hatinya demi menghalang wanita itu daripada terus mencubitnya. Nawal menyeringai kesakitan.

“Hanan.” Diyan menegur. Suaranya agak keras.

“Tahulah kau orang kenal dari zaman sekolah. Tapi, macam tak sesuailah melawak kasar macam ni,” ujar Diyan yang menyangka adik dan iparnya sedang bergurau senda versi kasar.

Rusdi geleng kepala. Macam mana malam pertama mereka berdua? Nawal nampak macam lembut, tapi brutal juga rupa-rupanya. Selamba sahaja mengenakan suaminya.


HANAN mencampakkan baju Melayu yang dipakainya ke atas katil. Dia bergerak ke almari untuk mencari kain pelekat dan kemeja-T.

Melihatkan tubuh Hanan yang terdedah, Nawal menelan liur. Tiba-tiba sahaja dia dihambar rasa gelisah. Nawal berpura-pura sibuk mengemas beg pakaian yang dibawa dari rumah neneknya. Dia mengangkat muka apabila dilihat Hanan menghampirinya.

Nawal mengangkat kepala perlahan-lahan. Pandangannya mula menjalar dari kaki Hanan naik ke atas. Anak matanya statik memandang dua kesan merah pada perut Hanan. Segera dia mendongak. Wajah Hanan dipandang. Rasa takut dan gelisah hilang dek diganti rasa bersalah.

“Nampak?” Hanan bertanya sambil jari telunjuknya dihala ke perut sendiri.

Nawal angguk. Dia menggigit bibir sebelum tersenyum kelat.

“Saya minta maaf. Tak sangka sampai jadi macam ni.”

Hanan masih tunak memandang wajah isterinya. “Ini last warning. Jangan sekali-kali cubit saya lagi. Dulu masa main kahwin-kahwin pun selalu jugak awak cubit saya. Itu tak kira lagi awak mengadu yang bukan-bukan kepada umi. Tambah lagi sakit saya.”

“Eh, mana ada reka cerita. Memang awak buat salah, kan? Lagipun umi dah pesan untuk repot kepada dia. Kalau awak tak nakal, tak adanya umi nak cubit atau rotan awak.”

“Tahulah awak syok dekat saya. Bila saya layan Ida, mulalah awak cemburu. Reka cerita yang bukan-bukan.”

Nawal berdiri. Dia mencerlung wajah Hanan. Perasan lebih mamat ni.

“Ida tu ada kat mana sekarang? Sebab apa awak tak kahwin aje dengan dia? Kalau dia jadi isteri awak, mungkin awak tak menduda dan saya tak terpaksa kahwin dengan awak. Pujuklah janda awak tu cepat-cepat sikit. Eh, nak cepat macam mana, kan? Dah bertahun, tapi tetap tak berhasil. Entah-entah minggu depan sampai kad kahwin janda awak tu dengan lelaki lain.”

Panas hati Hanan mendengar kata-kata Nawal.

“Mulut puakalah awak ni. Sebab tu tak laku-laku. Seorang anak teruna pun awak tak dapat pikat.” Hanan pula cuba menyakiti hati Nawal.

“Hoi! Cakap tu cermat sikit. Tahulah awak tu berkawan dengan lembu dan kerbau aje di sawah. Tapi, dah ada bini ni, belajarlah jaga hati saya sikit. Karang tak berasap dapur, mati kering awak nanti.”

Hanan tersenyum sinis. Macamlah aku tak tahu masak. Habis tu, kau ingat aku makan apa selama ni? Gigit buah padi saja ke?

Pintu bilik diketuk. Kedengaran suara Wan Masitah memanggil Nawal keluar untuk bertemu tetamu yang baru sampai.

“Sekejap umi, Hanan ni tak nak lepaskan Nawal. Umi suruh kawan umi tu tunggu sekejap ya.”

Hanan mendengus. Wajah Nawal dipandang dengan rasa tidak percaya. Spesies apa minah ni? Tak pernah dia jumpa. Tapi, okeylah. Biar umi percaya yang hubungan mereka normal seperti pasangan suami isteri yang lain.

Nawal menapak ke pintu. Pandangan tajam Hanan kepadanya tidak diendahkan. Suka apabila melihat lelaki itu marah. Telinga Hanan akan berubah merah. Comel.

Nawal membuka pintu bilik. Sebaik sahaja pintu dikuak, wajah umi menjengul.

“Jom, jumpa Mak Teh Jamaliah sat. Dia tu sepupu arwah ayah Hanan. Dia ada dengan Kak Nisah hang.”

“Umi tak ikut sekali ke?” Nawal bertanya apabila ibu mentuanya masih tercegat di hadapan pintu.

“Hang pi dulu. Umi nak bercakap dengan Hanan sat. Awatlah tak sabaq sangat anak umi tu? Tetamu duk ramai lagi dalam rumah, dia duk kalut nak buat anak.”

Nawal menelan liur. Matilah aku. Hanan mesti kena marah. Aku pun mesti dapat habuannya nanti. Nawal menggigit bibir. Padan muka kau Nawal. Bergurau tak bertempat. Tak habis-habis nak menyakat Hanan.


SEPERTI yang diramal, Hanan langsung tidak bercakap dengan Nawal. Lelaki itu sibuk menghadap buku tafsiran hadis sejak selesai menikmati makan malam. Sesekali Nawal mencuri pandang suaminya.

Hanan yang perasan tingkah isterinya bersuara.

“Cuba baca ni,” ujar Hanan sambil menolak buku yang dibacanya menghampiri Nawal.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, Rasulullah SAW bersabda yang ertinya, “Barangsiapa menutupi (aib) seorang Muslim maka Allah akan menutupi (aib)nya di dunia dan akhirat.” - (HR Muslim)

Nawal terkedu. Itu aib orang lain. Aku mengaibkan suami sendiri.

“Hari ni sahaja dah tiga kali awak reka cerita dan aibkan saya.”

Nawal menelan liur. “Saya minta maaf. Awal-awal pagi esok saya akan bagi tahu umi dan Kak Diyan yang saya bergurau.”

Hanan diam.

Nawal gelisah bila Hanan tidak memberikan sebarang respons.

“Okey. Saya bagi tahu mereka macam ni. Sebenarnya, Nawal yang tak sabar-sabar nak bermesra dengan abang. Maklumlah secret admirer sejak umur enam tahun,” ujar Nawal dengan suara lunak manja.

Hanan berusaha sembunyi senyum.

“Saya bagi tahu mereka sekaranglah.” Nawal bangun.

Sengaja mahu memancing reaksi suaminya. Ternyata berhasil apabila Hanan menegah.

“Tak payah cakap apa-apa. Saya dah pun maafkan awak.” Hanan mengambil semula buku dari tangan Nawal.

“Sorry.” Nawal meminta maaf sekali lagi sambil tayang wajah comel. Matanya berkelip-kelip beberapa kali memandang Hanan.

Hanan senyum juga akhirnya. “Lain kali jangan buat lagi.”

Nawal angguk. Bibirnya mengoyak senyuman luas. Eh, tak susahlah memujuk lelaki ini, desis Nawal.