NAWAL mengelap kesan minyak pada tepi pinggan. Ayam masak kicap yang sudah siap dimasak dipandang dengan rasa bangga.
“Tok Nan, jomlah makan. Nasi dah siap ni.”
Sunyi. Hanya kedengaran suara daripada kaca televisyen.
“Ooo... Tok Nan. Marilah makan. Sudahlah tak tolong masak, nak makan pun kena panggil ulang-ulang. Nak kena hampar karpet merah ke?”
Masih sunyi.
Nawal melangkah ke ruang tamu. Suaminya sedang lena tidak berkutik. Letih gamaknya, baru balik dari sawah. Nawal menggoncang bahu Hanan.
“Makanlah. Orang lain pun bekerja kat sawah. Tapi, tak adalah sampai terbongkang macam ni. Eee, patutlah bini lari.”
Ops! Nawal mengecilkan matanya. Dia sudah tersalah cakap. Isu itu cukup sensitif.
Hanan membuka matanya. Dia mencerlung tajam wajah Nawal. Dia cukup pantang kalau Nawal membabitkan nama Hani. Tak perlu nak berhujah kenapa Hani tinggalkan dirinya.
Nawal senyum kelat. “Makan.”
Hanan bangun dan bersandar malas pada sofa. Minah ni masak pula hari ini? Hurm. Tak tahulah apa yang dimasak oleh Nawal. Hari pertama percubaan Nawal memasak, gagal. Dia terpaksa curi-curi makan Maggi setelah Nawal tidur.
Hanan melangkah ke dapur. Ayam masak kicap dan telur dadar yang berbau hangit dipandang. Seleranya terus mati.
“Ayam ni letak kicap atau dakwat sotong?” soal Hanan semata-mata mahu menyakitkan hati isterinya.
Balas dendam kerana Nawal memetik nama Hani tadi.
Nawal mendengus kasar. Dia menarik kerusi, lalu menghempas punggungnya. Dua hari lepas dia masak sotong tanpa membuang dakwat haiwan itu. Sebenarnya, dia mahu memasak sotong goreng kunyit, tetapi hilang kuning kunyit. Minyak bertukar hitam.
Malangnya masa itu jugalah Hanan berada di dapur untuk mengambil minuman. Makan habuan juga telinganya mendengar leteran lelaki itu. Macam-macam sindiran pedih yang meniti di bibir suaminya itu. Hanan langsung tidak menjamah masakannya.
“Kalau tak nak makan, sudah. Pergi sambung buat air liur basi. Mana tahu kut boleh kenyang.” Nawal mencedok nasi ke pinggan.
Dia tersenyum sinis apabila Hanan melabuhkan duduk. Tahu pula nak makan. Tadi bukan main dia mencebik tengok menu yang aku masak, bebel Nawal dalam hati.
Hanan mencedok nasi. Paha ayam ditapis sebelum diletakkan di atas nasi.
Nawal memerhatikan gelagat suaminya.
“Banyak sangat minyak sampai tak nampak kicap,” komen Hanan.
Dia membaca doa makan, lalu menyuapkan nasi ke dalam mulut. Paha ayam dicubit. Darah mengalir dari celah tepi tulang. Bulat mata Hanan memandang darah ayam. Terus pinggan ditolak ke tengah meja.
“Ayam ni tak masak.”
“Mana ada. Elok aje saya makan,” tukas Nawal.
Hatinya mula geram. Ada sahaja yang tidak kena dengan masakannya.
Hanan memusingkan pinggannya agar paha ayam menghadap Nawal. “Nampak tak? Darahlah tu. Macam mana nak makan?”
“Makanlah isi kat tepi-tepi tu.”
“Puan Nawal. Untuk makluman, bahagian isi pejal dan paha tak sama cara masak. Yang bahagian paha ni kena goreng lebih lama. Api kecil dan ayam tenggelam dalam minyak. Patutlah boleh kahwin dengan duda aje.”
“Ha’ah kan. Lebih-lebih lagi dengan duda sengkek dan berlemoih macam awak ni.”
Hanan bingkas bangun.
“Tak nak makan sudah. Biar awak lapar. Berlagak macam pandai masak.”
Hanan yang mahu keluar dari dapur menghentikan langkah. Dia menatap wajah Nawal sebelum melangkah semula ke dapur. Bahan basah dari dalam peti sejuk dikeluarkan, lalu dimasukkan ke singki.
Nawal memandang ayam di pinggan Hanan. Seleranya hilang. Rasa telur yang pahit menyebabkan ia sukar untuk melepasi kerongkong. Nawal menuju ke singki sambil membawa pinggan nasinya. Nasi yang berbaki dua per tiga dimasukkan ke dalam beg sampah. Dia membasuh pinggan, kemudian berlalu ke dalam biliknya.
Hanan menggeleng. Membazir betullah minah ni. Tadi bukan main berlagak. Alih-alih dia sendiri tak lalu nak makan masakan sendiri. Hanan ketawa kecil. Dia menggelengkan kepala. Nasib kau Hanan. Dapat bini sewel.
NAWAL duduk termenung di dalam bilik setelah terjaga daripada tidur. Memikirkan sikap dingin dan mulut puaka Hanan, dia tidak pasti selama mana dia mampu bertahan. Aku kena buat supaya dia berbaik semula dengan ex dia tu, barulah aku boleh blah dari sini, desis hati Nawal.
Tiba-tiba sahaja bau yang meresap melalui ruang di bawah pintu biliknya menyengat lubang hidungnya. Terus perutnya terasa lapar.
“Dia masak apa hah? Bau sedap ni.” Nawal melirik jam tangannya.
“Ya Allah! Dah pukul 2.30. Dah lebih sejam aku lena.” Nawal melangkah turun dari katil.
“La! Lamanya masak. Tak habis-habis lagi?” tegur Nawal sambil menuang air sejuk ke dalam gelas.
Mencari air kosong hanyalah alasan untuk dia ke dapur. Ingin juga dia tahu apa yang lelaki itu masak.
“Biar lama, janji tak makan darah ayam.”
Nawal menjuihkan bibrinya.
“Tolong cedok nasi,” suruh Hanan.
“Cedok sendirilah.”
Hanan menggeleng. Tangannya sibuk menggaul hirisan timun, bawang besar dan cili merah dalam mangkuk.
Nawal melangkah ke ruang tamu.
Hanan menghidangkan makanan, lalu dia menuju ke ruang tamu.
“Jom makan,” ajak Hanan.
Nawal menjeling suaminya sekilas sebelum matanya difokuskan semula ke kaca televisyen.
“Jomlah makan.” Suara Hanan sedikit mengendur.
Suka Nawal apabila dipujuk.
“Tak payahlah. Saya bukan tolong awak masak pun tadi.” Nawal jual mahal.
“Saya tak kisahlah. Tapi, kalau awak tolong kemas lepas makan, okey juga.”
Nawal tersengih. “Okey.”
Dia terus bangun dan mendahului Hanan ke dapur. Hanan yang menutup suis televisyen.
Hanan memandang Nawal yang berdiri tegak di hadapan meja. Dia tahu isterinya terkedu.
“Duduklah,” pelawa Hanan.
Nawal memandang nasi tomato, ayam masak merah dan acar timun nanas yang terhidang. Mak ai! Dia masak nasi tomato. Aku masak nasi pun tak lepas. Kadang lembik dan adakala kurang air. Darah menyerbu ke muka tatkala teringatkan kata-kata hinaan kepada suaminya tadi.
“Lain kali jangan main sedap mulut saja bercakap. Biar muka tak lawa, tapi bahasa tu cantik. Perangai buruk tu simpan sikit dalam poket. Bukan apa, takut awak juga yang malu nanti. Macam sekarang ni, muka tu lagi merah daripada ayam masak merah saya ni.”
Perlahan-lahan Nawal bangun.
“Tak jadi makan?” tanya Hanan sinis.
Nawal menggelengkan kepalanya. Dia memang tak lepas nak telan masakan Hanan. Kata-kata suaminya itu menikan hingga ke dasar hati.
Hanan rasa bersalah. Tapi, dia tekadkan hati. Dia mula makan.
Nawal membersihkan bekas-bekas yang digunakan oleh Hanan tadi. Bersusun-susun di dalam singki. Semuanya dibasuh dan disusun di atas rak.
“Makanlah. Nanti perut tu masuk angin.” Sekali lagi Hanan mempelawa Nawal apabila isterinya selesai membersihkan perkakas yang dia gunakan tadi.
Nawal menggeleng. Ketika dia melangkah untuk keluar dari dapur, tangan kirinya disambar oleh Hanan.
“Duduk dan makan dulu.” Suara Hanan kedengaran tegas.
Lelaki itu tidak menatap wajahnya, tetapi memandang lurus ke hadapan. Apabila Nawal tetap mengayun langkah, lengan isterinya dicengkam kemas.
“Makan dulu. Degil tu pun simpan sekali dengan perangai buruk yang lain.”
Nawal mengeluh. Dengan berat hati, dia melabuhkan duduk.
Hanan mencedok isi ayam, lalu diletakkan ke pinggan Nawal. Dia menambah acar dan menuang air ke dalam gelas, lalu diletakkan di tepi pinggan Nawal. Dia buat semua itu semata-mata untuk melihat reaksi Nawal. Untuk mengajar Nawal macam mana cara melayan suami.
Ternyata isterinya itu terkejut. Nawal hanya tunduk memandang pinggan nasi. Dia menyedari betapa kerdilnya dirinya saat itu.
“Sedap.” Itu komen Nawal setelah suapan pertama ditelannya.
Lambat sungguh Nawal makan. Dia tidak mahu kelihatan melahap di hadapan Hanan. Lauk yang dimasak lelaki itu memang sangat sedap. Rasanya mama pun tak boleh masak sesedap ini, puji Nawal.
Hanan sudah kenyang, namun dia menambah juga nasi. Tidak tahu kenapa, dia mahu menemani Nawal makan. Mungkin dia mendapat kepuasan melihat minah kerek perasan bagus itu terkedu dan terkelu setelah mengetahui yang dia lebih pandai memasak.
Mereka langsung tidak berbual sehinggalah masing-masing selesai menjamu selera.
“Letaklah pinggan tu. Biar saya yang basuh,” ujar Nawal apabila Hanan meletakkan pinggan ke dalam singki.
“Lap meja sekali dengan dapur dan kabinet.”
Nawal buat muka tak puas hati.