NAWAL bertekad untuk belajar memasak.
Sebaik sahaja kedengaran bunyi motosikal Hanan meninggalkan kawasan rumah, Nawal melangkah keluar dari biliknya. Dia mahu mencari apa lauk mentah yang ada di dalam peti sejuk untuk dibawa ke rumah tok ma. Dia mahu meminta pertolongan nenek untuk mengajarnya memasak.
Nawal terus menapak ke dapur. Pandangannya menjamah bekas plastik bertutup yang berada di atas meja. Dah agak suaminya menyediakan sarapan kerana dia dengar bunyi kelentang dan kelentung di dapur selepas subuh tadi.
Nawal merapati meja. Tudung bekas dibuka. “Cucur apa ni? Cucur udang kut?”
Nawal mengunyah perlahan. Sedap. Terus dia menarik kerusi, lalu melabuhkan duduk. Sebiji lagi cucur dicapai. Aik! Makin makan makin sedap ni. Nawal membelek cucur yang dikoyak. Apa bahan yang Hanan masukkan dalam adunan tepung? Entah! Makan sajalah.
Berselera Nawal makan. Dia yang kekenyangan hanya mampu memandang dua biji cucur yang berbaki di dalam bekas. Perutnya tidak mampu lagi menerima isi, tetapi mulut masih berselera untuk terus makan.
Nawal mengusap perutnya sambil bersandar pada kerusi. Kenyang sungguh. Sedap sungguh.
Hanan melangkah ke dapur. Pandangannya dengan Nawal bersabung. Tangan yang mengusap perut terus terhenti. Hanan melirik pada bekas cucur di atas meja. Bulat matanya apabila melihat bekal yang mahu dibawanya ke sawah hanya tinggal dua biji cucur sahaja.
“Bukan ke tadi awak dah pergi kerja?”
Hanan tunak memandang wajah Nawal.
“Saya dengar bunyi motosikal awak tadi. Ingat kut dah pergi sawah.”
“Memang dah pergi sawah. Tapi, saya patah balik. Lupa bawak bekal air ni,” bohong Hanan sambil tangan mencapai bekas air berisi kopi O yang berada di sebelah bekas cucur.
Nawal diterpa rasa bersalah. Dia berdiri.
“Cucur ni pun nak dibawa ke sawah ke?” tanya Nawal dengan wajah cukup bersalah.
Jatuh kasihan pula kepada Hanan yang memandangnya.
Hanan senyum segaris. Tidak tergamak untuk menjawab ya.
“Nak lagi tak ni?” tanya Hanan sambil mengangkat bekas cucur.
Nawal tersenyum kelat seraya menggeleng.
Melihat gelengan Nawal, Hanan memakan baki dua biji cucur tadi. Bekas dimasukkan ke dalam singki. Hanan terpandangkan besen yang mengandungi adunan tepung yang berbaki. Dia sengaja membiarkan adunan itu untuk digoreng oleh Nawal. Bolehlah gadis itu makan cucur panas-panas.
“Kat sini ada sikit lagi tepung. Kalau nak makan, goreng, kalau tak mahu, letak dalam peti sejuk,” pesan Hanan sebelum berlalu keluar.
Nawal masih kaku berdiri di tempatnya. Dia malu. Baru dia sedar yang dia telah menghabiskan bekalan makanan suaminya ke tempat kerja.
Sebaik sahaja Hanan keluar, Nawal melabuhkan kembali punggungnya. Dia termenung di situ, namun sekejap sahaja. Dia menapak ke peti sejuk, mengeluarkan bahan mentah di dalam bahagian sejuk beku, lalu dibawa ke rumah Rogayah.
DENGAN bantuan Rogayah, Nawal berjaya menyiapkan daging masak kicap, ikan kembung sumbat kelapa dan sambal belacan berserta ulam.
“Nawal balik dulu, tok ma.”
Rogayah tersenyum apabila bahunya dipeluk mesra. Tangan yang mengelap kabinet dapur terhenti. Rogayah menoleh mencari wajah cucunya.
“Amboi! Dah siap masak terus nak balik?”
Nawal tersengih. “Nak hantar makanan ni kat Hanan.”
Rogayah senyum gembira. Namun, dia tidak gemar dengan panggilan nama yang digunakan oleh Nawal kepada suaminya.
“Abang. Berapa kali tok ma nak habaq? Hang kena hormat laki hang tu. Tak baik panggil nama dia saja.”
“Yalah, yalah tok ma oi, Nawal nak balik pasai nak pi hantaq nasi kat Abang Hanan,” ujar Nawal dengan loghat bahasa Kedah disertai intonasi percakapan Siam.
Rogayah ketawa kecil sambil menggelengkan kepala.
“Terima kasihlah tinggal lauk ni kat tok ma. Tak payahlah tok ma masak tengah hari ni,” ujar Rogayah sebelum Nawal pergi.
Nawal mengenyitkan mata kirinya seraya tersenyum manis.
“Mestilah kena upah tok ma. Esok lusa nak kacau tok ma lagi. Lagipun tak jadilah menu hari ni kalau tok ma tak tolong.” Nawal bagi ayat bodek sebelum keluar dari dapur Rogayah.
Nawal menjinjit bekas makanan sambil berjalan melalui denai yang menghubungkan rumah tok ma dengan jalan utama kampung. Dia mengharapkan ada sesiapa yang sudi menumpangkannya ke sawah. Lebih kurang satu kilometer juga untuk sampai ke sawah. Penat juga kalau dia mahu berjalan kaki.
Pucuk dicita, ulam mendatang. Roslan memberhentikan motosikalnya. Dia kenal lelaki ini. Roslan adalah kawan kepada suaminya sejak kecil. Dia juga selalu bermain combat dengan Roslan.
“Hang nak pi mana ni, Nawal?”
“Aku nak pi sawah. Nak hantar makanan kat Hanan.”
Belum sempat Roslan mempelawa Nawal membonceng motosikalnya, kereta Milah membunyikan hon.
Milah menurunkan cermin keretanya. “Amboi Nawal, bawa bekal nampak. Masak untuk laki ka?”
Nawal tersengih sambil mengiakan soalan Milah.
“Jomlah naik kereta. Akak tumpangkan Nawal.”
Nawal tersenyum kepada Roslan sebelum meminta diri. “Aku pi dulu.”
“Rajin hang masak,” puji Milah sebaik sahaja Nawal masuk ke dalam kereta.
“Taklah rajin sangat, kak.”
“Aisy! Boleh masak, lepas tu hantar pula kat laki. Kira rajinlah tu.”
Tak banyak yang dibualkan kerana jarak perjalanan yang terlalu pendek apabila menaiki kereta. Nawal mengucapkan terima kasih kepada Milah sebelum melangkah keluar dari kereta wanita itu.
DARI jauh, Hanan memerhatikan Nawal yang menyusun langkah melalui batas sawah. Dia tersenyum sendiri apabila melihat Nawal mengangkat tinggi bekas makanan untuk ditayangkan kepadanya.
“Buat apa susah-susah? Saya dah beli nasi kat kedai Pak Mat tadi.”
“Tak apa, aku makan nasi Pak Mat,” sampuk Roslan yang menyaingi langkah Nawal.
Hanan keluar dari petak sawah. Dia melabuhkan duduk di atas batas. Topi besar ditolak ke belakang badannya.
Nawal memerhatikan wajah Hanan yang bermandi peluh. Dalam keadaan berpeluh macam tu pun Hanan tetap kelihatan menarik. Lelaki ni kalau tak buat kerja bendang, gamaknya mesti lagi putih, kan?
Hanan mengerutkan keningnya apabila Nawal dilihat sedang ralit menilik wajahnya. “Awak tengok apa? Ada lumpur ka kat muka saya? Atau ada pacat, lintah?”
Nawal tersentak apabila ditegur oleh Hanan. Roslan yang berada di sebelah Hanan pula sibuk menilik wajah putih bersih milik Nawal.
“Masih banyak pacat dan lintah ke kat sini?”
“Dah namanya pun bendang. Sah-sah ada benda alah tu.”
“Saya tahulah.”
“Dulu, ada seorang budak montel jatuh dalam sawah. Dia punya lari macam orang gila. Kalah Usain Bolt. Rupanya nak suruh nenek dia buang lintah di kaki. Masa tu kami semua orang ingat budak tu kena rasuk zombie.”
Nawal menjuihkan bibirnya apabila cerita zaman kanak-kanaknya disingkap.
“Awak nak makan?”
Hanan menggeleng. “Awal lagi. Nanti kalau dah kenyang, tak larat nak buat kerja. Ni, awak nak balik dengan siapa pula?”
“Boleh tak Nawal tunggu sini?”
“Nak buat apa? Tangkap lintah?”
“Nawal tolong buat kerja, boleh?”
Hanan menatap wajah Nawal. Bosan sangat ke di rumah sehinggakan Nawal mahu duduk melengung di sawah?
“Tak payahlah. Awak tu lembik. Bukan boleh buat kerja bendang pun,” kutuk Hanan. Dia masuk semula ke dalam petak sawah.
Nawal yang geram dikatakan lembik turut masuk ke dalam petak sawah. Tanah sawah yang tidak rata menyebabkan Nawal gagal mengawal koordinasi tubuhnya. Segera dia mencapai lengan sasa Hanan.
Hanan berpaling. La! Degilnya minah ni. Ketegaq! Namun, Hanan tidak menarik tangannya. Sebaliknya dia membantu Nawal ke tengah sawah.
“Kita nak buat apa ni?”
“Nyanyi lagu Hindustan,” jawab Hanan selamba.
Nawal ketawa. Dia menampar bahu Hanan.
Walaupun bergurau, boleh tahan juga bisa tangan Nawal. Hanan menggeliat sedikit untuk menghilangkan rasa pedih.
“Elok-eloklah. Saya nak tolong ni.”
“Boleh ka?”
“Tengok kakilah,” ujar Nawal sambil mengangkat kaki kanannya.
Bunyi cebur membuatkan Hanan segera menoleh. Hanan tidak sempat berbuat apa-apa. Dia baru sahaja mahu menegur tindakan Nawal yang mengangkat kaki sebentar tadi. Namun, belum sempat diberikan amaran, punggung Nawal sudah selamat mendarat di dalam air.
Hanan mencapai lengan Nawal, lalu isterinya ditarik. Hanan sempat melihat kain batik Nawal yang mula longgar. Segera dia menangkap gulungan kain pada perut Nawal. Tindakan itu membuatkan Nawal terkejut.
Roslan pula memandang dari jauh.
“Kain awak nak terlondeh ni.” Laju sahaja Hanan bersuara apabila melihat wajah terkejut isterinya.
Sebelum Nawal menuduh dia cuba mencabul atau ditampar, lebih baik dia bersuara.
Nawal memegang kemas tangan Hanan yang berada di perutnya.
“Saya pakai seluar track kat dalam,” ujar Nawal sepatah demi sepatah sambil matanya dibuntangkan kepada Hanan.
Hanan terus menarik tangannya.
“Pergi balik. Satu kerja pun tak jadi selagi awak ada kat sini,” marah Hanan bagi menutup rasa malu.
Biarlah Nawal pulang. Biarlah dia bertenang sekejap setelah jiwanya bergelora tadi dengan adegan sentuh-menyentuh.
Nawal tarik muka. Dia melangkah ke batas semula dengan bantuan Hanan. Setelah Nawal melabuhkan duduk, Hanan menapak ke tali air. Satu tong air dibawa kepada Nawal.
“Nah, basuh belakang awak tu. Penuh lumpur dah tu. Kering nanti lagi susah nak basuh.”
“Alah! Awak tolonglah siram.”
Hanan menggeleng. Namun, dijirus juga air perlahan-lahan di belakang tubuh Nawal. Baju kurung Kedah yang dipakai oleh Nawal melekat pada tubuh gadis itu sehingga menampakkan tali baju dalamnya. Hanan menghela nafas. Macam-macam hal minah ni.
“Jangan balik lagi,” pesan Hanan.
“Kenapa? Tadi halau orang. Sekarang tak bagi balik pula. Awak dah mula suka saya ada kat sini, kan?”
Hanan berpaling. “Banyaklah awak punya suka. Tunggu sampai kering baru balik. Tak pasal-pasal buat show percuma pula dalam kampung.”
Nawal mengerutkan keningnya. Apa maksud Hanan?
“Tak faham,” ujar Nawal jujur.
“Cuba tunduk, tengok dada awak.”
Nawal buat seperti yang disuruh. Laju dia menyilang kedua-dua belah tangannya untuk menutup dada yang terdedah. Wajahnya merah. Sempat matanya mencari kedudukan Roslan. Mujur lelaki itu berdiri jauh daripada mereka.
Hanan membuang kemeja yang tersarung di tubuhnya, lalu dihulurkan kepada Nawal. Nawal tayang wajah geli-geleman. Kemeja itu mesti busuk dengan peluh Hanan. Melihatkan hulurannya tidak bersambut, Hanan menggulung kemeja itu, lalu dibaling ke wajah Nawal.
Nawal mendengus. Tapi, eh! Wangi saja baju Hanan ni. Sekali lagi dia menghidu. Nawal menyarung kemeja Hanan sambil matanya melirik pada tubuh sasa Hanan yang hanya bersinglet putih. Seksi. Eh, tak. Seksa jiwa aku.