ROSLAN menatap wajah Hanan. “Seronok tak dapat bini baru?”
Hanan tersenyum pahit. Teh tarik di dalam gelas besar dipandang. Memang Nawal menjengkelkan, tetapi tidaklah dia bencikan gadis itu seperti 12 tahun yang lalu. Gadis itu tetap menjalankan tugas sebagai isteri dengan sebaik mungkin meskipun mulutnya tak berhenti bercakap. Macam murai dicucuk punggung.
Hanan ketawa. Ya! Bukan murai tercabut ekor, tetapi murai tercucuk punggung. Tak henti-henti berbunyi.
“Hah! Dah senyum sorang-sorang kawan aku. Seronoklah tu. Macam mana kalau dibandingkan dengan Hani?”
Senyuman Hanan mati. Dia tahu apa yang cuba dikorek oleh Roslan. Ini mesti Roslan ingat dia dan Nawal sudah melakukan hubungan intim.
“Lan, aku tak sentuh dia,” bisik Hanan.
Keadaan di warung Pak Mat agak padat pada waktu-waktu begini sebelum pesawah memulakan rutin harian mereka di petak sawah.
Roslan membuntangkan matanya dengan mulut sedikit terbuka. “Hani buat kau mati pucuk ke?”
Hanan mencerlung Roslan. Kalau dia tidak memikirkan mereka yang sudah bersahabat sejak kecil, ringan sahaja mulutnya mahu mengherdik Roslan. Memang tak matang sungguh sahabatnya itu. Patutlah sampai sekarang tak kahwin-kahwin meskipun usia sudah menginjak ke angka 30.
“Aku dah terus terang dengan dia. Aku bagi tahu yang aku masih sayangkan Hani. Tapi, dia tetap nak kahwin jugak. Macam-macam aku kata kat dia, tapi macam itulah! Dia tetap nak kahwin dengan aku. Tak pelik ka? Dia bukan tak lawa, tapi memang tak boleh nak lawan dengan Hanilah.”
Roslan mencebik. Tak habis-habis dengan Hani dia tu. Hanan buta gamaknya. Nawal jauh lebih cantik daripada Hani. Roslan menggeleng.
“Dia tu kan memang dah syok kat hang lama dah? Masa sekolah rendah lagi, kan?”
Hanan menggeleng. “Budak lagilah masa tu. Hingus pun dia jilat.”
Roslan mengerutkan keningnya. Air kopi O ais yang disedut terasa mahu tersembur keluar.
“Apalah kau ni.”
“Yalah, kau lupa masa dia darjah tiga dulu? Aku nampak dia jilat hingus dia tu. Hijau pekat tau.”
Kuih seri muka yang baru dipotong menggunakan sudu dibiarkan di piring. Hilang terus selera Roslan.
Hanan sembunyi senyum. Taktik dia mengena. Padan muka Roslan. Sibuk sangat nak tahu kisah dalam kain orang. Perangai sama macam mak dia juga.
Hanan menarik piring, lalu potongan kuih itu disumbat ke dalam mulutnya. Hanan mengunyah sambil tayang wajah menghayati keenakan makanan itu.
“Dia tak minta kau layan dia ka?”
Hanan geleng. Dia tahu Nawal tidak akan menyuarakan hal itu sekalipun gadis itu inginkan sentuhannya. Awal-awal dia dah bagi warning kepada Nawal tentang batas hubungan mereka.
“Kau pun takkan tak teringin langsung? Tak pernah kucing tengok aje lauk. Kalau tak makan pun, dia usik juga sikit-sikit. Dia golek juga lauk tu kiri kanan.”
“Aku tak nak cari pasal. Macam mana kalau dia kahwin dengan aku sebab dia dah mengandung? Dua kali aku tengok dia muntah. Mana tahu dia nak aku jadi pak sanggup? Kalau aku dah sentuh, mesti dia boleh tuduh aku yang mengandungkan dia. Lagi masalah. Macam mana aku nak pikat Hani semula kalau dia ingat aku dah ada anak lain?”
“Kau ni kan tak habis-habis pasal Hani. Dah dua tahun kau dengan dia bercerai. Setiap bulan kau pergi rumah dia bagi nafkah Qalish tu. Tak adanya dia nak balik dengan kau.”
Hanan tergamam. Apa yang terbit dari mulut Roslan menjerut perasaan. Dia mengeluh sebelum membuang pandangan kepada beberapa orang kanak-kanak yang menunggang basikal.
Betul ke Nawal sudah ditebuk tupai? Siapa tupai tu? Kawan di universiti ke? fikir Roslan. Mungkin betul apa yang Hanan kata tadi. Nawal setuju kahwin dengan Hanan sebab dia telah mengandung anak luar nikah. Kalaulah diikutkan logik akalnya, Nawal boleh cari lelaki lain.
Apa yang ada pada Hanan? Lelaki itu hanya membanting tulang empat kerat untuk mengerjakan tanah sawah milik ayahnya. Memang Hanan berkelulusan diploma dalam bidang seni bina, tetapi apalah guna ilmu itu di petak sawah? Duda anak satu pula tu.
“Melengung apa lagi? Bukan kata nak ambik upah menyulam ka hari ni?” sergah Hanan.
Teh tarik dihirup sehingga habis. Gelas kosong diletakkan kembali di atas piring pelapik. Roslan bangun, lalu menuju ke arah Siti, anak Pak Mat.
“Kira, Siti.”
Siti menghadiahkan senyuman paling manis kepada Roslan.
“Abang makan apa?” tanya Siti lembut.
Hanan yang memandang dari jauh senyum sendiri.
Setelah membuat bayaran, Roslan kembali ke mejanya.
“Dah bayaq ka?” tanya Hanan.
Roslan angguk.
“Alhamdulillah. Aku doakan kau bertemu jodoh dengan Siti tu. Boleh makan free setiap hari.”
Roslan ketawa mengekek. Kalau Siti secantik Nawal, hari ini dia masuk meminang anak Pak Mat itu.
NAWAL melangkah keluar dari kedai runcit Seman. Dia menjinjing dua beg berisi barang dapur.
“Hai Nawal. Nak tumpang, jomlah,” pelawa Roslan.
Nawal melirik basikal tua yang sedang dikayuh perlahan oleh Roslan. Rasa macam mahu terhambur tawanya apabila diajak membonceng basikal tua lelaki itu. Mahu terbeliak mata orang kampung kalau dia menerima pelawaan Roslan. Mana pergi motosikal Roslan?
“Tak mengapalah Roslan. Dah dekat nak sampai rumah pun,” ujar Nawal penuh berbahasa.
Dia mula melajukan langkah. Malas mahu melayan Roslan yang sudah pun terjun dari basikalnya. Lelaki itu menuntun basikal sambil mengejar langkahnya.
“Woi, Nawal. Tunggulah aku. Ada benda aku nak cakap dengan hang ni.”
Nawal menghela nafas berat. Dia berhenti melangkah, lalu menoleh ke belakang.
“Nak bincang apa, Roslan?” tanya Nawal malas.
“Alah! Balik awal pun buat apa? Hanan bukan ada di rumah, kan?”
Selepas balik dari sawah tadi, Hanan menemani Harun ke pekan Jitra membeli mesin rumput.
“Hang tahu depa pi mana?”
Nawal tidak menjawab soalan Roslan. Manalah dia tahu ke mana Hanan pergi? Mereka buat hal masing-masing.
“Hang nak bincang apa ni? Tak elok kalau orang kampung nampak kita berjalan berdua macam ni.”
“Tak payah kisah sangat mulut orang kampung. Apalah sangat berjalan dengan aku kalau dibandingkan dengan apa hang dah buat sebelum ni?”
“Aku buat apa?”
“Aku tahulah rahsia hang. Hanan dah bagi tahu aku pagi tadi.”
Wajah Nawal pucat lesi. Hanan sudah tahukah tentang rahsianya itu? Siapa yang beritahu dia? Mama ke?
Roslan perasan riak wajah Nawal. “Tak payah nak malulah. Kalau lepas kau beranak ni, dia tak mahu anak tu, tak apa, aku akan jaga hang, Nawal.”
“Apa maksud hang ni? Aku tak faham. Anak apa ni?”
“Hanan dah cerita kat aku. Hang mengandung, kan? Aku tak mau tahu siapa bapak budak tu. Aku cuma nak habaq yang aku sanggup ambik hang jadi bini aku.”
“Apa lagi yang dia cakap kat hang?”
“Hang kahwin dengan dia pasai tulah.”
“Eloklah tu! Hangpa dua orang ni sama-sama gila. Patut pun boleh berkawan baik,” ujar Nawal dengan wajah merah padam.
Dia membuka langkah besar agar segera sampai ke rumah.
“Katalah apa pun. Tak payah nak segan sangatlah dengan aku. Ingat noh! Kalau dia cerai hang, aku masuk mintak hang pulak.”
Tiba di rumah, Nawal melemparkan semua barang yang dibeli ke atas lantai. Dadanya berombak menggila. Rasa perut yang mencengkam dek penyakit bulannya terus hilang. Hatinya lebih sakit sekarang ini dan perlu diberi perhatian.
Nawal menarik nafas dalam. Dia cuba untuk menenangkan dirinya.