Setelah Terlafaznya Akad 2

BAB 3

  • Art
  • Anna Milia

NAWAL memerhatikan lelaki yang baru melangkah masuk ke dalam kafe melalui ekor matanya. Lelaki yang kelihatan kemas dengan pakaian kerja itu melabuhkan duduk di ruang yang agak terpencil.

Nawal melihat lelaki itu seperti tercari-cari seseorang. Pastinya mahu membuat pesanan. Mana Kamil dan Fahrin?

Keadaan menjadi agak kelam-kabut apabila Roslan bercuti, menguruskan isteri yang yang sedang berpantang.

Nawal mencapai buku menu, lalu menghampiri meja lelaki itu. Lengan kemeja yang disingsing paras siku menyerlahkan bulu lengan lelaki itu. Seksi!

Dari jarak dekat, lelaki itu boleh dikategori sebagai kacak. Tapi, Hanan lagi kacak.

Nawal senyum. Bukan untuk lelaki itu. Sebaliknya senyuman terukir apabila mengenangkan wajah Hanan yang mendamaikan hatinya.

“Selamat datang,” ujar Nawal dengan wajah yang dimaniskan. Buku menu diletakkan di atas meja.

Khalil terpanar saat terpandangkan wajah Nawal. Wau, cantik sungguh gadis di hadapannya ini! Nampak gayanya dah ada tempat lepak selepas waktu bekerja, desis hati Khalil.

“Apa yang menarik di sini?” tanya Khalil seraya mengoyak senyuman paling manis buat Nawal.

Nawal senyum paksa. Jumpa lagi dengan spesies pelanggan yang malas baca buku menu.

“Banyak sangat yang menarik sampai tak tahu nak cerita,” ujar Nawal dengan wajah yang masih manis.

Khalil ketawa kecil. “Apa yang awak paling suka?”

Tidak perlu berfikir untuk memberikan jawapan. Semestinya nasi tomato air tangan Hanan.

“Nasi tomato dan jus tembikai.”

“Okey, saya nak cuba yang itu.”

Nawal senyum. Buku menu diambil, namun Khalil menariknya kembali. Nawal memandang wajah Khalil.

“Saya Khalil.”

Nawal senyum. Ulat bulu mula mengatur kaki. Hati Nawal berdesis. Tapi, dia terpaksa melayan supaya tidak dilabel sombong.

“Saya Nawal.”

“Dah lama kerja sini?”

“Tak adalah lama sangat. Tapi, kiranya dah cuba semua menu kat dalam buku ni. Encik tinggal area sini ke? Tak pernah nampak pun.”

“Panggil saya Khalil. Abang Khai pun boleh.”

Nawal tayang sengih. Ulat bulu sedang cuba naik daun, desis hatinya lagi. Tapi, ulat bulu ni boleh masuk bakul, kategori kacak. Elok sangat kalau dia ‘kenenkan’ Milah dengan Khai ini.

Dari dapur, Hanan memerhati Nawal dan pelanggan yang sah-sah cuba menggatal dengan isterinya. Pergh, main tarik buku menu!

Hanan merasakan seperti ada sesuatu yang menghentak hatinya. Hanan mula rasa tidak sedap hati. Ini mesti kes ingat Nawal tu masih single.

Orang lain mengembang bulat lepas beranak. Nawal pula mengecut. Perlukah dia masuk campur atau membiarkan Nawal menguruskan sendiri pelanggan tersebut?

“Saya pergi buat pesanan dulu. Karang lambat pula awak makan.” Nawal memberikan alasan paling logik untuk beredar dari situ.

Khalil angguk sambil tersenyum lagi. Buku menu dilepaskan.

Hanan terus ke dapur sebelum Nawal sedar dia sedang memerhati.

Ketika masuk ke dapur membuat pesanan, Nawal menegur Hanan.

“Buat apa tu?” tanya Nawal sambil cuba mengintai apa yang sedang dipotong oleh suaminya.

Hanan berpura-pura sibuk memotong timun. Lepas sebiji, sebiji lagi dipotongnya. Soalan Nawal tidak dilayan.

“Sombong!” Nawal geram dengan sikap Hanan.

Kamil dilihat membelakangkan mereka. Dengan selamba dia menampar punggung Hanan.

Hanan yang terkejut mengangkat pisau, lalu dihala kepada isterinya. Nawal ketawa mengekek.

“Kalau di rumah, awak angkat pisau macam ni, jawabnya tak merasalah,” bisik Nawal sambil tersenyum nakal.

Hanan menggeleng. Hek eleh! Di kafe beranilah acah-acah menggoda macam itu. Tunggulah balik nanti, kutuk Hanan dalam hati. Masa itu bukan main lagi Nawal menikus.

“Kamil, kita tutup kafe awal sikit hari ni. Abang ada projek dengan Kak Nawal,” ujar Hanan tiba-tiba. Sengaja mahu mengusik isterinya.

Buntang mata Kamil mendengar kata-kata Hanan. Otaknya sudah menguning.

Nawal membulatkan matanya memandang Hanan. Tak malu ke dengan budak Kamil tu?

“Kau ingat projek apa, Kamil?” Nawal menjegil.

Kamil terkedu. Takkan nak sebut apa yang ada dalam fikirannya?

“Projek besarkan garaj Abang Hanan. Dia beli sebuah lagi traktor.” Nawal berdalih. Dia segera berlalu ke hadapan.

Hanan memandang Kamil yang tersenyum-senyum.

“Apa tengok-tengok? Betullah apa yang Kakak Nawal kamu tu cakap.”

“Alah, abang. Lebih baik buat projek besarkan keluarga daripada besarkan garaj.”

Hanan ketawa lepas.


HANAN menghampiri Nawal. “Sayang dah call Qaseh? Kenapa dia belum start kerja lagi ni?”

“Belum.”

Dari ekor mata, Hanan melihat Khalil sibuk memandang ke arah mereka. Dengan tukang masak yang belum masuk kerja, kerja pengurusan yang tertangguh dan Roslan yang masih bercuti, emosi Hanan dijentik.

“Abang ingat sayang dah call. Handphone tu melekat aje dengan tangan dari tadi.”

Usai menuturkan ayat itu, Hanan masuk ke pejabatnya.

Nawal terpinga-pinga. Tadi elok saja buat lawak. Tiba-tiba muka ketat pula.

Nawal mencari nombor Qaseh.

“Ini semua kau punya pasallah, Qaseh. Kau janji nak mula kerja hari ni. Kau tak datang, tapi aku yang kena marah!” Nawal membebel.

Belum sempat menghubungi wanita itu, pelanggan menghampirinya untuk membuat bayaran. Tertangguh lagi.


KHALIL berdiri di hadapan Nawal untuk membuat bayaran.

“Saya baru aje berpindah ke sini.” Khalil bercerita.

Tak tanya pun, desis hati Nawal.

“Kerja kat mana?” soal Nawal sambil membuat pengiraan.

“Saya kerja di Firma Guaman Lutfi.”

Nawal meluaskan mata dengan kening terjongket. Mengerti akan pandangan itu, Khalil cepat-cepat bersuara.

“Saya kerani aje di situ. Bukan lawyer.”

Nawal angguk. Tahulah sedikit sebanyak pekerjaan itu. Tugas melibatkan penyediaan proses-proses pindah milik dan gadaian melibatkan surat perjanjian jual beli, sewa serta dokumen pinjaman bank.

“Ini mesti singgah sini sebelum pergi pejabat tanah atau pejabat duti setem.” Nawal berseloroh.

Khalil ketawa.

“Dah call Qaseh?” tanya Hanan sambil bersandar pada bingkai pintu.

Sengaja memberikan reaksi seakan-akan mendesak Nawal melakukannya dengan segera.

“Belum.”

Khalil berbisik. “Buatlah kerja awak. Saya tak nak ganggu. Bos dah jeling tu.”

Hanan menapak ke kaunter. Mana boleh tahan kalau ada lelaki lain main bisik-bisik dengan isterinya. Hanan berdiri di sisi Nawal. Dia memerhati urusan jual beli yang berlaku antara isterinya dengan Khalil.

“Jumpa lagi,” ujar Khalil sebelum pergi.

Nawal angguk. Dia senyum juga meskipun dia yakin senyumannya akan kelihatan janggal dek diperhatikan oleh Hanan.


MAK ai, meletop benar tukang masak baru mereka. Mengancam ni! desis hati Nawal. Nawal memandang Qaseh atas bawah. Atas bawah sekali lagi.

Apa yang Nawal tahu, Qaseh seorang janda anak satu. Mulalah Nawal risau.

Hanan melangkah masuk.

“Kenapa awak datang lambat?” tanya Nawal.

Qaseh mula bercerita tentang anaknya yang kurang sihat. Dia datang dari rumah orang tuanya.

Nawal tayang senyuman plastik. Dalam hati, dia mengutuk Qaseh. Alah, alasan saja tu.

“Berapa umur anak awak?”

“Hampir tiga tahun.”

“Sebaya anak kami.” Hanan menyampuk.

Qaseh menuding jarinya kepada Hanan dan Nawal.

“Suami isteri?” tanya Qaseh.

Nawal segera memeluk lengan Hanan. “Ah’ah. Ini suami saya.”

Qaseh senyum. Sama padan. Hatinya memuji.

“Qaseh, jom ikut saya,” ujar Hanan seraya membawa langkahnya menuju ke dapur.

Qaseh angguk. Dia menyaingi langkah Hanan.

Hanan berpaling, memandang Nawal. Tak boleh kalau tidak ditatap wajah itu. Rindu sentiasa membuak-buak.

Nawal menggerakkan dua jari ke matanya, lalu dihala kepada Hanan. Konon-kononnya memberi amaran, I’ll be watching you!

Hanan ketawa sambil kepala digelengkan beberapa kali. Apalah Nawal ni. Dia tahu tak, nak jaga dia seorang pun penat. Inikan pula nak buat hal dengan perempuan lain.

Memang taklah. Nauzubillah.

Apabila tidak ada apa yang perlu dilakukan, Nawal meninggalkan kaunter. Sibuk untuk melihat prestasi kerja Qaseh. Tidak dinafikan, wanita itu tampak tangkas melakukan kerja-kerja dapur. Langsung tidak kekok meskipun ini adalah hari pertamanya.


NAWAL membawa bungkusan mi segera yang masih berbaki empat paket kecil di dalamnya.

“Bila abang beli?”

Hanan menjongketkan bahu. Siap tayang wajah blur. Dalam hati, masak aku malam ni. Tiba-tiba pula Nawal selongkar kabinet, desis hati Hanan.

“Stok lama kut.”

“Stok lama dah lama habislah.”

“Kalau macam tu, pek barulah kut.”

Hanan sambung mengagah Qadeeja. Harap isu mi segera tidak berpanjangan. Dia yang membeli stok makanan itu.

Ini mesti curi-curi makan apabila masakan aku tak kena dengan selera tekak dia tu, teka Nawal dalam hati. Terus emosinya terganggu. Tambahan pula bila teringatkan kepakaran Qaseh memasak. Rasa tercabar.


NAWAL mengambil tempat di ruang tamu setelah kerja mengemas dapur selesai.

Sebaik sahaja Nawal melabuhkan duduk, Hanan tunduk, lalu mencapai muk berisi Milo panas. “Nah.”

Nawal senyum. Setiap malam Hanan akan bancuhkan Milo panas untuknya. Rutin semasa pantang yang berterusan sehingga kini.

“Dah sejuk. Nak abang buatkan yang lain ke?”

Nawal menggeleng. “Qaseh tu okey tak? Dia pandai masak?”

Hanan angguk seraya tersenyum. Teringatkan Qaseh, dia merasa lega. Kerja di kafe menjadi lebih ringan.

“Amboi, senyum sakan nampak.”

Hanan ketawa kecil. Tidak menyangka senyumannya disalah erti oleh Nawal.

“Eh, sayang cemburulah.”

“Memang cemburu. Manalah tahu awak teringin nak rasa orang lain pulak. Dah dapat rasa Hani dan saya, kan?”

“Huish! Awat yang merapu sangat ni?” tanya Hanan seraya mencubit pipi isterinya.

Meskpin dia tidak gemar dengan tuduhan Nawal, dia diamkan sahaja. Seboleh mungkin dia tidak mahu ada bait-bait perbalahan.

“Sebut bab rasa ni kan...” Hanan berjeda.

“Abang macam tak puas lagi rasa isteri abang ni. Banyak lagi yang kita belum...”

Nawal mencubit perut Hanan. Qadeeja diambil daripada dukungan suaminya.

“Lebih baik saya main dengan Qadeeja. Hati pun senang. Tak letih.”

Hanan ketawa lepas.

“Nak main apa sangatlah dengan Qadeeja tu? Kalau dengan abang, macam-macam boleh main. Nak maraton pun tak ada hal. Pahala pun berlipat kali ganda.”

Nawal menjuihkan bibirnya. “Tak kuasa!”

Nawal bangun menuju ke bilik untuk menidurkan Qadeeja.

Hanan tidak menunggu lama. Pintu rumah dikunci, lalu semua suis di ruang tamu dipadam. Kalau lewat, nanti Nawal tertidur. Tak ke rugi?

Hanan melangkah masuk ke dalam bilik. Nawal sudah menggantikan seluar bunga-bunga dan T-shirt putih yang dipakai tadi dengan baju tidur tidak cukup kain. Menarik ni!

Hanan menghela nafas dalam. Kenapa dengan Nawal semuanya indah?