QASEH tersenyum lebar apabila ayam masak Bali yang dimasaknya menerima pujian Kamil dan Fahrin. Sekarang, dia menantikan respons daripada Hanan.
Hanan sekadar angguk. Tak mahulah nampak beria-ia memuji Qaseh.
“Setuju tak kalau kita masukkan resipi ni dalam menu kita?” tanya Qaseh.
“Nanti saya fikirkan. Tetapi, Qaseh, ayam ni akan lagi sedap kalau kurangkan sedikit belacan.”
Terjongket kening Nawal.
Menu kita? Seriously? Weh, kau baru dua minggu kerja kat sini kut. Nawal pandang wajah Qaseh, kemudian beralih ke wajah suaminya. Hati tiba-tiba terasa seperti ingin memberontak.
Nawal atur langkah keluar dari dapur. Lebih baik beredar sebelum dia lontarkan ayat makan dalam.
“Nawal tak nak rasa?” tanya Qaseh.
Nawal menoleh.
Hanan memandang isterinya. Dapat dihidu api cemburu Nawal. Dia suka Nawal cemburu kerana itu tandanya sayang. Namun, terselit juga rasa bimbang. Bukan boleh diramal sangat isterinya itu.
“Tak apa. Ada customer kat depan.”
Qaseh angguk. Langsung tidak syak yang Nawal merajuk.
Hanan panjangkan leher untuk melihat benar ke tidak alasan yang Nawal bagi. Isterinya menipu.
Hanan menapak ke kaunter. “Baca apa tu?”
Nawal buat-buat tidak dengar. Helaian seterusnya diselak. Memang hobi Nawal membaca apabila mempunyai masa terluang.
“Awat moody aje sayang abang ni?”
“Tak payahlah nak sayang-sayang kat sini. Tadi berkasih-kasih kat belakang. Ini menyemak pula kat sini.”
Hanan ketawa lepas. Rasa macam nak gigit saja hidung mancung Nawal.
“Dah nama dia Qaseh. Nak buat macam mana?”
Nawal mencebik.
“Panggil Qas aje,” ujar Nawal dengan mata dibesarkan.
Hanan tergelak.
Khalil melangkah masuk ke dalam kafe.
Nawal mencapai buku menu. Menggunakan buku itu, dia menolak sedikit tubuh Hanan supaya memberi laluan kepadanya. Nawal menyusun langkah, menghampiri Khalil.
Hanan memandang dari jauh. Rasanya sudah beberapa hari dia tidak melihat lelaki itu di kafe. Tiba-tiba hari ini lelaki itu datang lagi.
Khalil hulurkan sebuah buku dalam bungkusan plastik kepada Nawal. Nawal pula serahkan buku menu kepada lelaki itu.
“Buku yang awak cakap hari tu eh?”
Khalil angguk.
Mata Hanan melirik buku yang terletak di atas meja kaunter. Buku dengan judul Travelog Mr. Traveller itu ditatap. Rasanya buku ini bukan dalam stok bahan bacaan di kafe mereka.
Kulit buku dibuka. Tertera nama Khai Zahri. Hanan melepaskan keluhan.
“Dah tak cukup sangat gamaknya buku dalam kafe ni sampai pinjam yang orang punya.” Hanan membebel.
Dua manusia di hujung kafe dipandang lagi.
“Buku yang hari tu pun belum habis baca,” ujar Nawal.
Khalil memandang Nawal.
“Nipis aje buku tu.” Khalil memberikan komen.
Nawal senyum. “Curi-curi baca di sini aje. Saya tak bawa balik ke rumah.”
Khalil senyum. Dia memesan makanan yang sama seperti selalu.
Nawal meletakkan menu di atas meja kaunter. Hanan yang sedang memandangnya tidak dipedulikan. Sengaja dia menunggu sehingga makanan yang dipesan oleh Khalil disiapkan oleh Qaseh.
“Apa lagi yang dibualkan Nawal dan lelaki itu?” Hanan bercakap sendiri.
Hanan perasan kali ini Nawal dan Khalil berbual sekejap sahaja. Mungkin sebab aku memerhati kut, desis hati Hanan.
“KENAPA duduk di sini?” tanya Nawal kepada suaminya setelah menghantar makanan kepada Khalil.
Biasanya Hanan sibuk di dapur atau menguruskan akaun di pejabat. Jarang sangat nak tercongok di kaunter bayaran.
“Awak rehatlah di pejabat. Semalam kan Qadeeja buat perangai,” suruh Hanan.
Dia memang ikhlas menyuruh Nawal berehat. Namun, tidak dinafikan dia berharap Khalil tidak berlama-lama di kafe bila Nawal tidak kelihatan di kaunter.
Ikutkan hati, nak sangat dia cungkil biji mata lelaki itu. Macamlah dia tak perasan Khalil acap kali mencuri pandang Nawal.
Nawal mencemik. “Tak perlu. Sekejap lagi saya nak balik awal. Nak qada tidur.”
Hanan senyum. “Ada pulak nak qada-qada. Puasa bolehlah qada. Tapi, elok juga tu. Kelmarin Ida dah jaga Qadeeja sampai ke malam.”
“Saya nak balik tidur. Kalau kena jemput Qadeeja, macam mana nak rehat? Lagipun kita bayar kan, kalau Ida jaga lebih masa?”
“Yelah. Yelah. Sementara ada masa ni, pergilah rehat.”
“Saya okey ajelah,” tukas Nawal.
“Cubalah jangan degil sangat.” Hanan menegur.
Bisikan suara jahat memberitahu yang Nawal suka melayan Khalil. Itu yang sanggup duduk tercongok di kaunter.
“Bukan degil, tapi kasihankan orang lain. Roslan belum masuk kerja. Takkanlah saya nak goyang kaki aje dalam pejabat? Saya bukan jenis macam tulah.”
“Kalau macam tu, pergi tutup akaun bulan ni.”
“Tak naklah. Hari tu abang kata Nawal buat silap. Akaun tak tally.”
“Sebab itulah cuba buat lagi. Lama-lama pandailah.”
“Okey!” ujar Nawal dengan muka masam.
Dia melangkah ke pejabat Hanan. Komputer dihidupkan. Fail kewangan yang disimpan di desktop komputer dicari.
Angka-angka yang terpapar membuatkan Nawal berasa bosan. Suhu yang terlebih dingin di bilik kecil itu membuatkan Nawal mula rasa mengantuk.
Beberapa minit kemudian, dia tertidur.
KHALIL berhenti di hadapan kaunter. Wajah Hanan dipandang. Jelas muka di hadapannya ini cemberut. Macam cicak tertelan kapur.
Menurut Nawal, lelaki yang berada di kaunter ini adalah pemilik kafe. Patutlah kerek semacam, desis hati Khalil, cuba membaca wajah Hanan.
“Berapa?” tanya Khalil dalam nada dingin.
Kalau tauke kedai sombong, apatah lagi dirinya yang merupakan pelanggan. Customer is always right.
“16 ringgit 30 sen.”
Khalil meletakkan not 50 ringgit di atas meja kaunter.
“Ada 30 sen?” tanya Hanan.
Khalil menggeleng. Matanya meliar sekeliling kafe, mencari kelibat Nawal sementara menunggu wang baki.
“Cari siapa?” tanya Hanan sambil menjongketkan kening.
“Tak ada cari siapa-siapa pun.” Khalil berdalih.
Mujur Khalil tidak mengaku. Hanan sebenarnya sudah bertekad tadi. Kalau lelaki itu memberitahu yang dia mencari Nawal, maka dia akan memberitahu yang Nawal adalah isterinya.
Hanan menyerahkan wang baki.
“Kerja area sini ke?” Hanan bertanya.
Khalil angguk. “Pejabat Guaman Lutfi.”
Khalil senyum melihat reaksi Hanan. Mesti tauke kafe ingat dia adalah peguam. Biarlah. Boleh acah-acah bagus. Khalil bermonolog.
“Asal sini ke?”
“Tak, saya orang Melaka. Baru pindah sini.”
“Dah kahwin?”
Khalil kerut kening. Soalan jenis apa ni? Nak tahu detil pasal aku?
“Maksud saya, pindah sini dengan keluarga ke?”
Hanan membetulkan soalan, tapi tujuannya tetap sama. Nak tahu sama ada lelaki itu sudah berkahwin ataupun sebaliknya.
“Tak. Saya masih single and available. Sedang cari calon.”
Hati Hanan tiba-tiba terbakar. Cara Khalil senyum seakan-akan bertujuan menyakiti hatinya. Tangan kanannya diayun persis mengusir Khalil.
Hanan melihat lelaki itu terpinga-pinga apabila dilayan begitu. Dia tersedar akan keterlanjuran tingkahnya.
“Sorry, boleh bagi laluan untuk akak ni bayar?” ujar Hanan supaya Khalil tidak terasa dengan perbuatannya tadi.
Ini tempat dia mencari rezeki. Sikap seperti tadi harus dielakkan.
Khalil merenung tajam wajah Hanan. Kalau tidak disebabkan Nawal, tak ada maknanya dia nak datang makan di kafe ini. Nak berniaga, tapi sombong nak mampus.
“Oh ya, saya ada satu kompelin,” ujar Khaldi sebelum memberi laluan kepada pelanggan lain untuk membuat bayaran.
Hanan memandang Khalil. “Apa dia?”
“Suhu aircond tu boleh kut kalau turunkan sikit. Baru selesa nak membaca. Tak adalah mahal sangat kut bil elektrik kalau turunkan suhu.”
Hanan sengih paksa. Dalam duk tak selesa pun hang mai lepak berjam-jam. Kalau sejuk, silap-silap angkut bantal selimut bagai mai kafe aku, kutuknya dalam hati.
HANAN melangkah ke dapur.
“Kamil, kau tolong jaga kaunter sekejap.”
Hanan menuju ke pejabat. Nawal perlu ditegur tentang Khalil. Lelaki itu dah mula ajak dia main kasar. Silap-silap ada juga yang kena belasah dengannya nanti.
Nawal yang tertidur, dipandang. Terbang terus rasa marah yang membelit hatinya tadi. Terasa mudah saja belitan itu terungkai. Longgar terus hatinya yang ketat tadi.
Ada hikmahnya Nawal tertidur. Jika tidak, mungkin dia akan menegur isterinya dalam keadaan beremosi. Bimbang juga Hanan andai dia tersalah cakap.
Pengalaman lalu banyak mengajarnya. Bukan mudah untuk memujuk Nawal andai hati isterinya terluka. Sungguh, Hanan tidak sanggup untuk menghadapinya. Biarlah dia telan meskipun pahit.
Hanan menghampiri Nawal. Kain pelekat yang digunakan untuk solat dibalut ke tubuh wanita itu. Kepala Nawal dikucup penuh kasih.
Hanan memandang skrin komputer yang telah gelap. Dia senyum tatkala mata memandang data yang tertera apabila tetikus digerakkan.
“Apa pun tak siap,” ujar Hanan sambil menggelengkan kepala.
Senyuman masih menghiasi wajahnya.
“Tak nak goyang kaki konon. Nak panggil apa macam ni? Hurm?” Hanan bersuara lembut.
Mulut Nawal yang sedikit terbuka dipandang. Sepasang bibir itu membangkitkan pelbagai rasa. Dia benar-benar khayal dengan Nawal.
Hanan beristighfar. Dia meninggalkan pejabat. Pintu ditutup rapat.
Hanan mula memikirkan semula cadangan umi dan tok ma supaya Nawal menumpukan perhatian kepada Qadeeja sahaja. Pendek kata, menjadi suri rumah sepenuh masa.
Hanan menolaknya kerana dia mahu Nawal sentiasa ada di sisinya. Namun, apabila cemburu mula bertapak dalam hatinya, dia rasa cadangan umi tu perlu dipertimbangkan.
Mungkin inilah masanya. Sampai bila nak harapkan Ida? Macam mana kalau suatu hari nanti Ida berumah tangga? Minggu lepas gadis itu dirisik oleh orang kampung sebelah.