HANAN meletakkan topi di atas meja. Dia duduk bersandar di atas kerusi malas di luar rumah. Tidak sampai lima minit, Nawal menghidangkan air sirap limau bersama kek cawan pisang.
“Sayang buat ke?” tanya Hanan.
Memang dia terkejut apabila Nawal yang malas ke dapur, tiba-tiba boleh buat kek.
Nawal angguk. “Tapi, keras sikit. Tak tahulah mana silapnya. Dah betul-betul ikut resipi.”
Hanan senyum. “Terima kasih. Abang makan aje. No problem. Qadeeja mana?”
“Ada dengan tok ma.”
“Petang nanti kita jemput umi di airport ya?”
Nawal angguk. Risau juga mengenangkan umi akan tinggal bersama mereka selama dua minggu. Kemahiran memasaknya belum mencapai piawaian. Kerja rumah pun banyak diselesaikan oleh Hanan.
Kerja utamanya, menyusukan Qadeeja sahaja. Itu pun sebab Hanan tak ada susu badan. Kalau tak, gamaknya Hanan yang menyusukan anak mereka.
Nawal senyum. Otak sudah membayangkan Hanan menyusukan Qadeeja.
Lega Hanan melihat riak wajah manis isterinya. Langsung tidak kelihatan tertekan dengan kehadiran umi. Tidak tahu apa yang bermain dalam minda isterinya.
“Abang letihlah mengemas garaj dan stor. Makan tengah hari nanti abang tapau dari kedai Pak Mat ajelah. Boleh tak?”
Nawal mengulum senyum. “Nawal dah masak.”
Hanan luaskan anak mata. Nak syukur atau mengeluh?
Akhirnya Hanan senyum dan mengucapkan terima kasih. Dalam hati, syukurlah tak perlu keluar beli makanan. Tapi, macam mana kalau apa yang Nawal masak tak boleh melepasi anak tekaknya? Sedang lapar gila ni!
Hanan mencubit kek pisang yang merekah teruk. Bukan kek biasa-biasa, tetapi luar biasa dengan tekstur keras gila. Adalah juga rasa pisang. Okeylah tu.
Hanan gagahkan juga menghabiskan satu cawan. Lapar punya pasal. Lagipun nak bagi peneguhan kepada Nawal. Semoga selepas ini, Nawal semakin rajin ke dapur.
MATA Hanan meliar mencari Rogayah. Nawal tahu apa yang dicari oleh suaminya.
“Tok ma pergi rumah Mak Cik Saodah. Membawang.”
Hanan tersenyum senget.
“Tok ma suruh kita makan dulu.”
Mendengarkan ayat itu, Hanan angkat tudung saji. Menarik! Tiga jenis lauk dan sepinggan potongan buah tembikai.
“Banyak sayang masak.”
Nawal sengih. “Tiga jenis aje pun.”
“Tak, maksud abang, kuantiti setiap lauk tu banyak sangat.”
“Makan sampai malamlah.”
“Kalau nak makan sampai malam, jangan dihidangkan semua. Tinggalkan separuh dalam periuk. Barulah tak diusik.”
Nawal bangun, mengambil pinggan. Lauk dibahagi dua.
Tatkala ayam masak Bali melalui tekak Hanan, dia sedikit terdiam. Rasa ayam itu pedar. Pastinya terlebih bawang putih. Hanan teruskan suapan. Dalam hati, lebih baik aku tapau di kedai Pak Abu saja.
“Sedap tak?”
Hanan tersedak. Nak cakap betul atau bohong?
“Sedap.”
Nawal senyum.
“Kacang ni?” tanya Nawal seraya mencedok lauk kacang buncis yang digoreng bersama telur hancur ke pinggan Hanan.
Hanan merasa. Dia puji sedap meskipun agak masin. Begitulah juga dengan ikan seludu masak asam yang betul-betul masam.
Setelah Hanan merasa semua jenis lauk, barulah Nawal mula makan. Anehnya, wanita itu berselera menikmati air tangan sendiri. Lidah siapa yang bermasalah ni?
NAWAL membukakan pintu untuk Wan Masitah. Beg-beg pakaian wanita itu sedang dipindah masuk ke dalam kereta oleh Hanan.
“Mana Qadeeja?”
Itu soalan pertama Wan Masitah.
“Ada dengan Ida,” jawab Nawal.
“Kenapa tak bawa dia sekali?”
“Kami terus dari kafe.” Hanan terlebih dahulu menjawab.
Wan Masitah tayang wajah cemberut. Dia sudah tidak sabar nak jumpa Qadeeja.
“Umi lapar tak? Kalau lapar, kita berhenti makan di Restoran Anggerik dulu.” Hanan bersuara sebaik sahaja menghidupkan enjin kereta.
Nawal mengerutkan kening. Dia dah masaklah. Buat apa nak membazir?
“Tapi, Nawal dah masak untuk umi,” ujar Nawal.
“Hah, eloklah kalau macam tu. Kita berhenti beli tepung talam untuk minum petang. Boleh bawa pergi rumah Gayah.”
Jeda.
“Malam nanti kita makan nasi.” Wan Masitah membuat keputusan.
Hanan angguk, namun wajah Hanan yang menyeringai tanpa sedar membuatkan Nawal kecewa. Kenapa Hanan beria-ia sangat nak ajak umi makan di luar? Teruk sangat ke masakan aku tadi?
Ikutkan hati, Nawal mahu mengubah rancangan petang itu. Biarlah mereka terus ke restoran untuk makan. Tetapi, dia tidak berani membantah cakap umi.
HANAN menyalakan api dapur. Dia memanaskan kacang buncis goreng. Sebiji telur dipecahkan ke dalam masakan itu untuk mengurangkan rasa masin. Beberapa biji cili api ditambah.
Ayam masak Bali pula dimasukkan ke dalam periuk tekanan. Bimbang kalau-kalau ada bahagian ayam yang belum masak sepenuhnya. Sebelum itu dia telah menambah beberapa bahan untuk mengurangkan rasa pedar.
Lauk ikan juga dia repair.
“Abang buat apa?” tanya Nawal, usai menunaikan solat maghrib.
Biasanya suaminya berada di surau pada waktu-waktu begini.
“Saja, tolong sayang panaskan lauk.”
Nawal angguk. Dia membantu Hanan menyusun pinggan di meja makan. Langsung tidak mengesyaki apa yang cuba dilakukan oleh suaminya.
NAWAL merasakan perbezaan ketara masakan yang tadi dengan yang dipanaskan oleh Hanan. Lauk malam ini lebih sedap. Tahulah Nawal yang suaminya bukan beria-ia sangat hendak memanaskan makanan, tetapi cuba menutup khilafnya.
“Ayam ni kalau kurang sikit rasa pedar, lagi sedap,” ujar Wan Masitah sambil mencedok ketulan ayam yang kedua.
Nawal tersenyum pahit. Macam manalah kalau umi makan lauk versi tengah hari tadi?
Nawal mencuri pandang Hanan. Lelaki itu tunduk sahaja.
“Mujur Abang Hanan repair tadi, umi. Kalau tidak, lagi teruk rasa lauk-lauk ni,” ujar Nawal sambil memaniskan wajah.
Hanan tersentak. Dia meneguk air. Wajah si isteri dipandang. Dia sudah berusaha menutup khilaf Nawal, kenapa perlu Nawal berterus terang?
Meskipun wajah Nawal tersenyum, dia tahu isi hati wanita itu. Dia sudah boleh baca semua reaksi wajah Nawal. Dia tahu mana senyum ikhlas, senyuman paksa dan senyuman marah.
“Kalau hari-hari masak, pandailah.” Rogayah menyampuk.
Baginya, waktu beginilah sesuai menegur Nawal yang malas memasak.
Nawal menjeling Rogayah. Dia menjegilkan matanya kepada wanita itu supaya tidak lagi membuka mulut. Karang tak pasal-pasal pecah tembelang.
“Jangan duk jeling sangat BFF umi tu. Nanti umi cungkil biji mata hang, Nawal.”
Nawal ketawa. “Kalau nak cungkil jangan pakai garpu pulak. Karang jadi Kasim Selamat. Umi guna skup aiskrim yang boleh sungkit tu. Baru cantik keluarnya nanti.”
Laju sahaja umi mencubit lengannya.
Hanan senyum. Perangai menjawab tu tak boleh dibuang meskipun dengan umi, desis hati Hanan.
“Padan muka,” kata Rogayah apabila melihat Nawal menggosok lengannya yang terasa pedih.
“Tahulah yang umi dulu guru besar. Tak payahlah nak tunjuk skil muda-muda dulu kat sini.” Nawal berseloroh.
Hanan pandang Nawal. Dia mengecilkan matanya sambil menggeleng perlahan. Harap Nawal faham isyarat yang cuba disampaikan. Jangan menjawab dengan umi.
Wan Masitah ketawa. Hanan menarik nafas lega.
“Kalau tak nak kena cubit, jangan menjawab.” Rogayah menyampuk.
MASUK dalam bilik, barulah Nawal buat perangai. Hanan menghentikan bacaan. Kitab diletakkan atas riba. Nawal di sebelahnya, dipandang.
“Kenapa muncung sangat mulut tu? Geram pulak abang tengok. Rasa macam sayang sua bibir tu kat abang. Nak minta gigit ke?”
Nawal mencebik pula.
Tanpa berlengah, bibir Hanan memagut bibir Nawal. Tidak sempat puas apabila tubuhnya ditolak.
“Tak sukalah. Kasar.”
“Geram,” ujar Hanan selamba.
Nawal mencubit perut Hanan.
“Sakitlah.”
Hanan memegang kemas kedua-dua pergelangan tangan Nawal bagi mengelakkan cubitan yang seterusnya. Dia tahu cubitan ini akan mempunyai siri yang boleh mengalahkan drama Filipina. Bersambung-sambung.
“Geram.” Nawal mengajuk suaminya.
Hanan ketawa besar. Dengan tangan yang berkunci, apalah sangat yang Nawal boleh buat untuk menghalang aksinya nanti.
Wajah Hanan menghampiri Nawal. Semakin Nawal bergelut untuk melepaskan diri, semakin seronok dia mengunci lengan isterinya.
“Tolong jangan buat Nawal macam ni. Nawal minta ampun.”
Bibir yang dimainkan pada leher Nawal terus terhenti. Segera tangan wanita itu dilepaskan.
Nawal melompat turun dari katil, lalu melangkah ke bilik mandi. Pintu segera dikunci. Wajah Wahab tiba-tiba muncul.
Hanan rasa bersalah. Ya Allah, permainannya melanggar batas emosi Nawal.
“Sayang, buka pintu. Ini abanglah. Abang minta maaf melawak kasar macam tu dengan sayang.” Hanan memujuk.
Daun pintu diketuk beberapa kali. Tiada respons daripada Nawal. Hanan bungkam.
Tiba-tiba Qadeeja menangis. Hanan menapak ke baby cot. Anak itu diangkat, lalu dibawa menuju ke bilik mandi.
“Sayang, Qadeeja lapar ni. Buka pintu.”
Mendengar suara tangisan Qadeeja, barulah Nawal berusaha untuk memulihkan perasaannya yang kacau-bilau tadi. Perlahan-lahan pintu bilik mandi dibuka.
Hanan menarik nafas lega.
Hanan memerhatikan Nawal menyusukan Qadeeja sehingga selesai. Sungguh, dia menyesal kerana bermain dengan api sebentar tadi.
Wajah muram Nawal cukup meresahkan Hanan. Sekali lagi dia memohon maaf. Namun, Nawal tidak memberikan respons. Perlahan-lahan tubuh direbahkan di atas katil.
“Tak nak padam lampu,” ujar Nawal perlahan.
Hanan angguk. Trauma yang disangka sudah hilang selama ini kembali lagi. Dia memeluk tubuh Nawal dari belakang. Apabila Nawal cuba menolak, Hanan segera membacakan ayat-ayat suci al-Quran ke telinga isterinya. Barulah Nawal tenang.