MENU pada papan hitam kekuda yang diletakkan di hadapan kafe dipandang. Nawal tidak jadi melangkah masuk. Hanan yang melangkah keluar dari kereta hairan melihat Nawal statik di situ.
“Kenapa ni, sayang?” tanya Hanan lembut seraya membukakan pintu kafe untuk Nawal.
“Ayam Bali? Abang tak cakap apa-apa pun pasal menu ni.”
“Kenapa? Sayang tak suka ke?” jawab Hanan.
Masih belum dapat mengesan mood Nawal yang dah mula goyang.
Nawal berdecit. “Bukan masalah suka atau tidak. Nawal cuma hairan sebab Nawal tak diberitahu pun pasal hal ni.”
Hanan merapatkan semula pintu kafe. Bimbang perbualan mereka didengar oleh pelanggan atau stafnya.
“Abang lupa nak beritahu sayang. Budak-budak tu pun suka dengan menu ni.” Hanan memberi penerangan.
Apabila Fahrin dan Kamil setuju, Hanan merasakan mereka mempunyai kesepakatan dalam hal ini. Tak sangka pula Nawal akan terasa hati.
“Siapalah Nawal, kan?”
“Janganlah macam ni. Kita cuba dulu. Bukannya abang masukkan dalam buku menu pun. Display kat sini je.”
Nawal mendengus. Dia menonong masuk ke dalam kafe.
Hanan menggeleng. Mungkin emosi Nawal masih belum stabil ketika ini. Mungkin kisah semalam masih mengganggu mood isterinya itu.
Hanan membiarkan Nawal dengan rajuknya. Dia terus menuju ke dapur. Nawal pula mengambil tempat di kaunter bayaran.
Gadis manis yang melangkah masuk dan terus menemuinya di kaunter dipandang pelik. Satu kotak putih bersaiz lebih kurang sekaki diletakkan di atas meja kaunter.
“Qaisara ke?” tanya Nawal.
Gadis itu angguk.
“Ini sample yang awak cakap tu?”
Qaisara senyum seraya mengangguk.
“Jomlah kita ke dapur.” Nawal mengambil kotak tersebut, lalu menuju ke dapur.
“Assalamualaikum, rakyat jelata. Marilah kita merasa cupcakes daripada resipi home-made Cik Qaisara ni,” ujar Nawal.
Cupcakes diagihkan kepada semua yang berada di dapur.
“Sedap.” Nawal memuji. Dia memang penggemar setia makanan jenis manis-manis ni.
“Kalau sedap macam ni, jangan kata nak iklan kat luar tu saja. Sekejap lagi saya terus cetak buku baru untuk masukkan menu pencuci mulut ni.”
Hanan senyum. Sempat Nawal menyindir.
KHALIL tersenyum tatkala ternampak Nawal di kaunter. Terus langkah dibawa ke sana. Meja kaunter diketuk dengan jari-jarinya.
Nawal angkat wajah.
“Khalil, awal sampai hari ni,” tegur Nawal, sekadar berbasa-basi.
Khalil angguk. “Rindu sangat. Tak boleh tahan.”
Melihatkan perubahan riak wajah Nawal, Khalil membetulkan ayatnya. Mungkin dia terlalu gopoh menyatakan isi hatinya. Kerana itu Nawal terkejut.
“Dari rumah teringat-ingat ayam masak merah, tetapi nak masuk tadi ternampak pula menu baru, ayam Bali.”
Nawal senyum segaris. “Jadi, yang mana satu pilihan awak?”
“Bagi saya nasi tomato dengan dua jenis ayam. Yang masak merah tu nak paha dan ayam Bali nak sayap.”
Nawal angguk. “Minum?”
“Air tembikai.”
Nawal menghantar pesanan Khalil melalui Fahrin.
Khalil masih berbual dengan Nawal sementara menunggu pesanannya sampai.
Hanan memerhati dari dapur. Meluat dia melihat Khalil bertenggek di meja kaunter.
“Awak pergilah duduk dulu. Nanti saya hantarkan makanan.”
Khalil kurang senang apabila Nawal seperti mengusirnya daripada terus berada di situ. Dia tunduk, menghela nafas sebelum mengangkat semula wajahnya. Dia menatap wajah Nawal. Rindu setelah tiga hari tidak bertemu dirasakan sedikit terubat.
“Buku pertama dah khatam?” Khalil menukar topik.
Mungkin dengan topik baru ini dia boleh berlama-lama di kaunter. Dia tahu Nawal minat membaca.
Nawal senyum. Renungan Khalil pagi ini lain macam. Dia merasakan dia perlu berterus terang tentang statusnya meskipun Khalil tidak bertanya.
“Di rumah sibuk dengan suami dan anak. Saya cuma boleh curi-curi baca kat sini je.”
Seperti yang dijangka, riak wajah Khalil bertukar mendung. Dia merenung dalam wajah Nawal dan mengharapkan gadis itu bergurau.
Hanan mengetap rahang. Rasa macam nak tumbuk sahaja wajah Khalil. Biar bersepai gigi lelaki itu. Dia melangkah ke pejabatnya. Daun pintu dihempas kuat.
Beberapa pelanggan saling memandang.
Nawal menggeleng. Rasanya kali ini mereka akan bergaduh besar. Jarang Hanan bersikap seperti ini.
“Awak tak bergurau, kan?”
Nawal angguk. “Saya dah kahwin dan ada seorang anak perempuan.”
Asalnya Khalil mahu bertanya sudah lamakah Nawal berkahwin. Tetapi, apabila Hanan tayang perangai buruk, lain pula soalan lelaki itu. Macam sudah tahu siapa suami Nawal.
“Siapa suami awak?”
Nawal senyum. “Yang baru hempas pintu tadi.”
Khalil senyum dengan hidung terangkat. “Dah agak.”
Khalil memicit pangkal lehernya. Patutlah lelaki itu macam ada isu dengan aku. Dia mengeluh. Kalau belum membuat pesanan, sudah pasti dia terus pulang ke pejabat.
Khalil mengambil tempat di ruang yang agak terlindung sementara menunggu pesanannya sampai.
Nawal melabuhkan duduk. Sesekali dia memandang Khalil yang kelihatan muram di tempatnya. Dia mengeluh. Barangkali sikap aku yang buatkan Khalil menyimpan perasaan terhadap aku.
Eh, Khalil ada perasaan terhadap kau ke? Perasan betul kau ya. Nawal mengutuk diri sendiri.
Kali ini Khalil tidak berlama-lama di kafe. Usai makan, dia terus menuju ke kaunter.
“Jujur, saya kecewa bila tahu awak dah kahwin,” ujar Khalil sambil tersenyum tawar.
Dia memicit leher. Reaksi spontan apabila berasa segan.
Nawal memaksa bibirnya mengukir senyuman. Itu sahaja reaksi yang dapat dia pamerkan kepada Khalil. Dia tahu lelaki itu kecewa.
Betullah, Khalil memang ada perasaan kat aku, desis hati Nawal.
“Berapa?” Khalil mengeluarkan dompet.
“Tolong ambil handphone abang. Tertinggal dalam kereta,” ujar Hanan yang baru keluar dari pejabatnya.
Nawal angguk. Dia menyatakan jumlah bayaran yang perlu dibayar oleh Khalil.
Hanan masih mematung di situ sehingga urusan pembayaran selesai.
“Terima kasih, Nawal. Jangan lupa khatam buku yang saya bagi tu,” ujar Khalil yang berusaha mempamerkan kemesraan antara dirinya dengan Nawal.
Sengaja mahu menyakiti hati Hanan.
“Lebih baik khatam Quran,” ujar Hanan perlahan, namun cukup untuk sampai ke telinga Nawal dan Khalil.
Nawal menjeling Hanan yang berada di belakangnya.
“Saya pergi dulu. Assalamualaikum,” ujar Khalil.
Sentap jugalah dengan kata-kata Hanan tadi. Tak semestinya orang yang baca buku tidak membaca al-Quran. Tapi, dia malas mahu berhujah.
Nawal senyum seraya mengangguk. Apabila Khalil melangkah pergi, dia berpaling menatap wajah Hanan.
“Daripada tercegat di situ, lebih baik abang pergi cari telefon abang. Tak pun mengaji.” Nawal menyindir.
Hanan memilih untuk tidak memberi respons pada kata-kata isterinya. Buku yang tercatat nama Khai Zahri di atas meja kaunter, dipandang lama.
Nawal menghulurkan tangan, meminta kunci kereta. Hanan menyerahkan kunci, lalu melangkah masuk ke dapur.
Nawal mencari telefon bimbit Hanan. Semua kawasan diselongkar. Tiada. Biar dia dail nombor Hanan. Mudah sikit kerja mencarinya nanti.
Nawal menyeluk poket seluarnya. Dia berdecit apabila telefon bimbitnya tiada dalam poket. Lupa yang benda alah itu telah diletakkan di dalam laci meja.
Nawal kembali ke kafe. Dia terus ke belakang untuk menemui Hanan. Hatinya tiba-tiba panas apabila melihat Hanan sedang menggunakan telefon.
Nawal merampas telefon dari tangan Hanan, lalu dimatikan. Lantaklah dengan siapa Hanan sedang berurusan.
“Kenapa ni?” Suara Hanan sedikit tinggi.
Sungguh dia tidak suka Nawal bertindak kasar dan tidak menghormatinya seperti tadi.
Qaseh yang turut berada di dapur tersentak.
“Berpeluh ketiak Nawal cari handphone abang. Kenapa tak cakap dah jumpa?”
“Tak sempat.”
Nawal mencerlung Hanan. Gaya bahasa tubuhnya seperti mahu mengajak lelaki itu berlawan.
“Qaseh, kecilkan api dapur tu,” suruh Hanan apabila tersedar kuah yang sedang dipanaskan akan hangit.
Hanan kembali memandang Nawal.
“Apa lagi yang sayang tak puas hati?”
“Sengaja aje kan, nak susahkan Nawal.”
“Yang sayang marah sangat ni kenapa? Marah sebab ganggu sayang bersembang dengan Khalil atau tak sabar nak khatam buku dia tu?” tuduh Hanan.
Sebaik riak wajah Nawal yang bertukar keruh, Hanan tunduk. Mata dipejam. Dia terlepas cakap! Rasa macam nak gigit sahaja lidah sendiri.
Qaseh mengulum senyum. Kes cemburulah ni.
“Dia dah balik. Esoklah Nawal tunggu dia datang,” tukas Nawal.
Dia sendiri tidak tahu kenapa ayat itu yang keluar dari mulutnya. Mungkin sebab sakit hati kerana Qaseh senyum apabila dia dimarahi.
Jawapan Nawal merentap hati Hanan.
Nawal meninggalkan dapur.
Hanan menggenggam kejap telefonnya sambil memujuk hati agar bersabar.