WAHAB melangkah masuk ke bangunan pentadbiran. Dia berhenti di hadapan kaunter pertanyaan.
“Boleh saya jumpa Nafisah?”
“Encik ni siapa?” tanya Amira, kerani yang bertugas di kaunter.
“Kawan lama dia.”
“Boleh saya tahu nama encik?”
“Wahab.”
“Tunggu sekejap.” Amira bangun, lalu menuju ke bilik Nafisah.
“Kak Fisah, ada orang nak jumpa. Nama dia Wahab.”
Berubah wajah Nafisah. “Wahab?”
Amira angguk.
“Apa dia nak?” tanya Nafisah. Jantung berdetak lebih laju.
Amira menggeleng. “Saya tak tanya pulak.”
Nafisah mengintai dari celah bukaan jendela cermin pejabatnya. Dia menelan liur. Nafas turun naik.
“Awak cakap dengan dia yang saya tak ada.”
“Tapi, tadi saya dah cakap akak ada dalam bilik.”
Nafisah semakin cemas. Otak bekerja keras mencari alasan lain.
“Awak cakap saya ada miting. Tak sempat nak jumpa dia.”
“Okey.” Amira melangkah keluar.
Nafisah mengintai lagi. Tenang sedikit apabila melihat Wahab pergi. Tapi, mungkin Wahab akan datang lagi. Nafisah mundar-mandir di dalam biliknya.
Wahab nak apa? Nak balas dendam ke?
TAMAT waktu kerja, Nafisah terus mengemas mejanya, lalu melangkah keluar.
“Awal balik hari ni,” tegur salah seorang rakan sekerja Nafisah.
Nafisah sekadar tersenyum tawar. Kad perakam waktu diketik. Dia terus meninggalkan bangunan itu.
Mata meliar mencari kalau-kalau Wahab ada di situ. Tiada! Nafisah menarik nafas lega!
Nafisah mencampakkan begnya ke tempat duduk belakang. Dia menghidupkan enjin kereta.
Cermin keretanya diketuk dari luar. Terangkat tubuhnya dek rasa terkejut. Berganda perasaan cemas apabila Wahab sedang tunak memandangnya.
Perlukah dia membuka tingkap kereta?
Jangan! Akal menegah.
Kerana panik, Nafisah membuat keputusan melulu. Dia mengundurkan kereta dan memecut meninggalkan kawasan parkir.
Wahab memerhati sehingga kereta Nafisah hilang daripada pandangannya. Nafisah masih cantik seperti dulu.
Wahab menggeleng. Perlukah Nafisah melayannya seperti ini? Macam anjing kurap. Jijik sangat ke? Aku suami kaulah! bentak hati Wahab.
Wahab meraup wajahnya. Sedih. Dia datang untuk meminta maaf. Untuk membetulkan hubungannya dengan Nafisah dan mengharapkan kemaafan daripada Nawal.
EDRI bersandar pada keretanya. Menanti Qaseh pulang dari tempat kerja. Dia berpaling apabila mendengar derap langkah yang menghampiri. Dia tersenyum apabila pandangannya dengan Qaseh bertembung.
“Awak nak apa?”
Edri membuang puntung ke rokok ke tanah, lalu ditenyeh menggunakan kaki kanannya. Dia menghampiri Qaseh.
“Abang nak jumpa Adam.”
“Dia tak ada dengan saya.”
“Jangan tipu aku!” Suara Edri naik beberapa oktaf.
Qaseh mengeluh. “Saya tak tipu.”
“Mana Adam?”
“Ada dengan mak dan ayah saya di kampung.”
Edri mendengus. Memang susahlah nak jumpa Adam kalau anaknya itu bersama keluarga mertua. Tambah lagi bapa mertuanya bengis. Memang tidak merasalah untuk memeluk cium anaknya itu.
“Kenapa tinggalkan Adam dengan mereka? Kalau kau tak nak jaga, biar aku yang jaga dia.”
Qaseh mencerlung bekas suaminya. Wah! Sedar diri ke tak tu? Ikutkan hati, dia mahu ketawa berdekah-dekah, tapi takut. Jaga diri sendiri pun tak lepas, ada hati nak jaga Adam, desis hati Qaseh.
“Bukan macam tu, saya sewa bilik aje kat sini. Macam mana nak bawa Adam sekali?”
“Kalau susah sangat, kita kahwin semula. Kita tinggal di rumah abang.”
Qaseh menggeleng. Itu bukan rumah Edri, tapi rumah mertuanya. Dia dilayan dengan buruk oleh mereka. Kalau diletak parang di leher sekalipun, dia tidak akan kembali ke pangkuan Edri.
“Aku dah bertaubat. Aku takkan pukul kau lagi. Aku dah tak ambil benda haram tu.” Edri memujuk.
Sekali lagi Qaseh menggeleng. “Dulu pun abang dah cakap benda yang sama. Lepas tu abang ulang lagi. Saya tak yakin abang boleh berubah.”
Edri mengetap rahang. Sakit hati dengan jawapan balas bekas isterinya.
Sepi.
“Mana abang tahu saya tinggal di sini?”
Edri tersenyum sinis.
“Tak susah pun nak cari. Kawan aku ramai!” jawab Edri dengan angkuh.
“Cakap dengan orang tua dua ekor tu yang aku nak jumpa Adam.”
Qaseh mengetap rahang. Edri memang kurang ajar.
“Awak tolong hormat mak dan ayah saya.”
Edri mengendur sikit apabila melihat wajah baran Qaseh.
“Aku nak jumpa Adam.” Edri mengulangi permintaannya.
“Saya dengar!” tukas Qaseh.
Aduh, sibuk nak jumpa anak pula. Sebelum ini, Edri langsung tidak kisah tentang anak mereka.
“Nanti saya beritahu mereka,” ujar Qaseh seraya mula membuka langkah.
Edri menghalang. Lengan Qaseh direntap kasar. “Kau nak pergi mana?”
“Nak masuk.”
“Jom, kita pergi makan,” pelawa Edri.
Qaseh menolak. “Saya dah kenyang. Saya masuk dulu.”
Namun, dia masih di situ kerana Edri mengunci kejap lengannya.
“Lepaslah!”
“Teman aku makan dulu.”
“Tak naklah.” Qaseh cuba melepaskan dirinya.
“Kalau kau degil, aku takkan balik. Aku tunggu dalam kereta dan tekan hon. Biar satu rumah ni tak boleh tidur.” Edri mengugut.
Qaseh mengeluh.
“Anggaplah ini cara kau sambut aku yang bersusah payah datang melawat kau di sini. Takkan kau langsung tak rindu aku? Dah lama kita tak jumpa, kan?”
“Kita dah bercerai, Edri!” Qaseh mengingatkan Edri tentang hakikat hubungan mereka.
Edri merenung wajah Qaseh. “Teman aku minum aje pun. Bukan aku ajak kau teman aku tidur.”
Meremang! Kata-kata Edri membuatkan Qaseh panas hati. Kurang ajar! Dia merentap tangannya, lalu berlari masuk ke dalam rumah.
Edri ketawa kecil. Kepala digeleng beberapa kali.
“Tak apa, Qaseh. Nanti aku datang lagi.”