HANAN tidak betah bekerja dalam keadaan dia dan Nawal bermasam muka. Skrin komputer dipandang. Satu kerja pun tidak berhasil disiapkan. Serabut otaknya memikirkan Nawal.
Hanan keluar dari pejabat, menuju ke kaunter.
“Masuk pejabat sekejap.” Hanan memberikan arahan kepada isterinya.
Dia mengetap rahang apabila melihat Nawal sedang membaca buku yang dia yakin milik Khalil.
“Nak buat apa? Cakap kat sini ajelah.” Nawal menjawab acuh tak acuh. Dia masih terasa hati dengan sikap Hanan tadi.
Mulalah otak Hanan bekerja mencari alasan yang logik. “Saya cari fail tak jumpa.”
“Fail apa?”
“Fail rekod barang mentah.”
“Ada aje di desktop. Hujung sebelah kanan atas,” ujar Nawal yang sudah menghafal kedudukan folder fail tersebut.
“Dah cari, tak jumpa pun. Ada sesiapa yang terdelete ke?”
Nawal bangun. Siapalah yang nak delete fail tu? Dia dan Hanan sahaja yang menggunakan komputer tersebut. Kalau terdelete pun, carilah dalam recycle bin. Itu pun nak kena ajar ke?
Nawal mendengus. Menonong sahaja langkahnya menuju ke pejabat.
Qaseh mencuri pandang dari dapur.
“Selalu ke mereka bergaduh?” Qaseh bertanya kepada Kamil.
Kamil menghampiri Qaseh dengan lagak tidak sabar mahu membawang.
“Selalu, kak. Kadang-kadang tu sampai naik kaki dan tangan.”
Qaseh mencerlung Kamil. Apabila anak muda itu cuba menyembunyikan senyum, tahulah dia yang Kamil berbohong.
“Sekejap aje, kak. Nanti baiklah tu. Siap boleh makan bersuap lagi. Kat sinilah. Ni, meja dan kerusi ni jadi saksi.” Kamil bercerita.
Jarinya dituding ke arah kerusi dan meja yang terletak di penjuru dapur.
Qaseh senyum. “Eloklah macam tu.”
“Alah, Abang Hanan tu mana boleh gaduh lama-lama dengan Kak Nawal. Tapi, Kak Nawal tu jenis keras hati. Kalau dia merajuk, memang nahaslah nasib Abang Hanan.” Kamil berjeda sebelum menyambung cerita.
“Kakak tahu tak, mereka pernah gaduh sampai bercerai. Kat sinilah. Lepas tu, Kak Nawal terus pergi. Lama jugaklah Abang Hanan ambil masa nak pujuk Kak Nawal tu.”
Qaseh melopong.
Fahrin yang melangkah masuk mencerlung Kamil.
“Ewah, kau, Kamil. Bukan main lagi cerita hal dalam kain orang.”
Kamil tayang sengih. Ya, dia memang terlebih cerita. Kamil menampar mulutnya beberapa kali.
“Pergi bersihkan meja kat luar tu.” Fahrin menyuruh.
Takut bersambung pula kisah membawang Kamil dan Qaseh itu.
“Akak jangan tanya Kak Nawal pula. Nanti dia marahkan saya.”
“Aisy. Jangan risaulah. Takkanlah akak nak tanya. Tak ada kena-mengena dengan kerja akak pun.”
“Tahu takut,” usik Fahrin.
Kamil menjeling.
“Tapi, ada satu benda yang akak nak tanya Hanan dan Nawal.”
“Apa dia, kak?” tanya Fahrin dan Kamil serentak.
“Ada tak rumah sewa dekat area rumah mereka?”
Kamil menarik nafas lega. “Lega aih!”
“Abang Hanan tu ada banyak rumah sewa di kampung. Cuba akak tanya dia.”
Qaseh angguk. Dia perlu berpindah dari bilik sewanya. Sudah dua kali Edri datang mengganggu.
NAWAL melabuhkan duduk di kerusi Hanan. Dia menjeling seraya menjarakkan sedikit kedudukan mereka apabila Hanan berdiri terlalu rapat di belakangnya.
Cerah sahaja skrin, terus Nawal nampak folder yang kononnya terdelete itu. Dia menoleh, mencari wajah Hanan.
Hanan sengih. “Macam mana abang boleh tak boleh perasan tadi?”
Nawal mencebik. Folder tersebut diklik. Terpapar fail-fail melibatkan rekod kewangan. Terus fail stok bahan mentah diklik.
“Ni, ada aje kat sini. Tak ada siapa nak usik pun.”
Hanan tunduk. Wajahnya rapat ke pipi Nawal. Nawal cuba bangun, namun dihalang oleh Hanan. Hanan memeluk tubuh Nawal dari belakang. Satu ciuman hinggap di pipi kanan isterinya.
Mata Nawal terus menghala ke pintu pejabat. Bimbang perlakuan Hanan dilihat oleh orang lain.
Cekap! Hanan sudah menutup pintu. Bila Hanan melakukannya? Nawal tidak pasti.
“Tepilah, Nawal nak keluar.” Nawal menolak tubuh Hanan daripada terus mengepungnya.
Hanan melepaskan Nawal. Bimbang emosi Nawal terganggu dek kisah silam.
“Sayang marah abang, kan?”
Nawal berpaling. Jarak di antara wajah mereka hanya dua inci.
“Bukan awak ke yang marah saya?”
Hanan senyum. Bila dah keluar perkataan awak dan saya, maknanya marahlah tu.
“Telefon tu abang tertinggal atas meja di dapur. Abang ingat tertinggal dalam kereta. Itu yang suruh sayang cari. Sorrylah.”
Hanan berjeda. Reaksi wajah Nawal cuba dibaca.
“Dah tu, kenapa nak marah-marah Nawal?”
“Tak marah pun. Sayang yang marah-marah abang. Minta tolong cari handphone aje pun.” Hanan tayang wajah sedih yang dibuat-buat.
“Dah tolong cari, kan? Yang awak tuduh saya bukan-bukan tu kenapa?”
“Abang minta maaf.”
Nawal muncungkan bibir tanda tidak menerima permohonan maaf daripada suaminya.
“Sayang nak abang buat apa? Cakap saja. Abang akan buat. Janji sayang tak merajuk lagi. Tak boleh nak buat satu kerja pun kalau sayang marah abang.”
“Apa yang saya nak minta ni tak susah pun. Saya cuma minta awak tak kacau saya. Fail dah jumpa, kan? Buatlah kerja awak.”
Hanan mengeluh. “Sorry.”
Nawal masih jual mahal.
“Cakaplah, sayang nak abang buat apa? Janganlah masam macam ni.”
Nawal pandang Hanan. Lelaki ini macam hulur tengkuk untuk disembelih. Masa inilah dia boleh meminta-minta.
“Nawal nak pergi tengok wayang.”
Hanan buat muka minta disepak. Terus Nawal menyinga kembali.
“Kenapa? Tak boleh nak tunaikan? Bukannya orang ajak pergi bercuti ke Indonesia ke, Turki bagai. Tengok wayang aje pun.”
“Minta yang lain boleh tak?” ujar Hanan.
Bilalah masanya nak menonton? Kalaupun kafe cuti, siapa nak jaga Qadeeja? Takkanlah nak tinggalkan anak mereka untuk dijaga oleh orang lain semata-mata sebab nak menonton wayang?
“Tak apalah, abang. Nawal gurau aje pasal wayang tadi. Nawal maafkan abang.” Nawal pamer senyuman.
Namun, jelas di mata Hanan yang senyuman itu begitu tawar sekali.
Nawal berdiri. Hanan memberikan ruang kepada isterinya.
“Sayang nak tengok filem apa?” tanya Hanan sebelum Nawal melangkah meninggalkan pejabatnya.
Nawal menggeleng. Kolam mata yang semakin penuh cuba diselindungkan daripada dilihat oleh Hanan. Lecehlah, menangis hanya disebabkan perkara yang remeh.