Cinta Yang Tertangguh

BAB 4

  • Art
  • Zaza Qry

HANANIA membuka matanya apabila terasa seperti ada renjisan air mengenai wajahnya. Dia pandang sekeliling. Ada wajah-wajah yang tidak dikenalinya. Dia mencari-cari Afii, tapi Afii tiada di situ.

Hanania pandang wajah lelaki yang sedang meribanya. Ini bukan Afii. Hanania cuba bangun meskipun masih pening.

“Cik boleh bangun ke?” tanya lelaki itu apabila Hanania cuba bangun.

Bimbang dengan gadis yang tiba-tiba jatuh pengsan di depannya. Mujurlah dia cepat mencapai tubuh itu daripada menyembah bumi. Hanania memejamkan matanya dengan air mata yang semakin berjuraian di pipinya.

“Afii,” panggil Hanania perlahan.

Matanya melilau mencari Afii dalam kalangan orang yang mengerumuninya. Dia berusaha dengan kuat untuk jauh daripada lelaki yang sedang berada di sisinya. Hanania tidak selesa apabila lelaki asing yang meriba kepalanya tadi sedang memegang tangannya.

“Cik, saya bukan nak ambil kesempatan terhadap cik. Cik pengsan depan saya. Kalau saya tak sambut, tentu dahi cik tu dah kena bucu meja.”

Lelaki itu berkata. Dia perasan gadis ini mula tak senang dengannya.

“Afii,” panggil Hanania sekali lagi.

Dia berharap agar Afii cepat datang kepadanya. Bau minyak wangi lelaki ini begitu menyesakkan dadanya. Kalau dia tidak berada dalam keadaan sekarang, tentunya bau minyak wangi itu tidak menyesakkan nafasnya.

“Tolong lepaskan saya,” pinta Hanania, cuba meronta perlahan daripada pegangan lelaki itu.

“Sombong. Orang tolong bukannya nak ucap terima kasih,” katanya terus bangun.

Afii menjauh dari situ kerana menelefon kawankawan Arash. Terpaksalah dia meminta tolong lelaki yang menyambut tubuh Hanania tadi meribanya.

“Encik, saya ucapkan terima kasih sebab tolong riba dia. Dia masih tak tentu arah, sebab Abang Arashnya baru meninggal dunia.”

Afii hulurkan tangan kepada lelaki itu untuk bersalaman.

Wajah lelaki itu berubah apabila Afii menyebut nama Arash. Dia tidak jadi melangkah dan memandang kedua-duanya.

Patutlah dia macam kenal saja wajah wanita itu. Wajah yang dia nampak 15 tahun lalu bersama Abang Arashnya. Masih begitu, tidak berubah. Isteri Abang Arash rupanya.

Dia masih mahu bertanya, tapi telefon yang berdering membuatkan dia terpaksa pergi. Lagipun itu panggilan daripada ibu saudaranya.

Afii mencangkung di tepi Hanania.

“Saya dah telefon Kak Nani. Kak Nani di hospital sekarang. Jom kita ke sana,” ajak Afii.

Hanania hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan ke hospital. Dia benar-benar terasa kehilangan sekarang. Bagaimana keadaan kakaknya? Dia sebagai adik ipar pun tidak dapat menerima kenyataan.

Macam mana dengan Syaqer dan Mya? Mereka sudah kehilangan insan yang amat penting dalam hidup mereka.

Dia mengenali Arash sejak dia kecil lagi. Sejak abang iparnya itu menjadi kekasih kepada kakaknya. Melihat Arash, dia tahu masih ada lelaki yang baik. Baik sebagai abang dan ayah kepadanya.

Dengan perlahan dia membuka pintu kereta. Cuba untuk melangkah, namun kakinya bagai dipaku di atas lantai hospital itu.

“Nia tak apa-apa ke?” tanya Afii kerana Hanania masih belum bergerak dari situ.

Afii turut kaku di tepi Hanania.

“Saya tak boleh berjalan,” kata Hanania sambil memegang dinding berdekatan dengan pintu masuk ke dalam kawasan hospital.

Lemah kakinya di saat memijak lantai hospital.

Afii memegang lengan Hanania. Hanania dipimpinnya perlahan-lahan menuju ke rumah mayat hospital. Dari jauh sudah kelihatan kakaknya sedang duduk. Hanania menghampiri kakaknya.

“Nia, Abang Rash dah tak ada Nia,” katanya dalam esakan.

Hanania tidak berkata apa-apa, terus meluru dan memeluk kakaknya. Dia terus menangis tanpa dapat ditahan. Dia perlu kuat demi kakaknya.

“Tak apa, kak. Kak masih ada Nia dan anakanak,” pujuk Hanania.

Padahal dia juga sedang memujuk hati sendiri. Walaupun Arash abang iparnya, tetapi
sikap Arash kepadanya lebih kepada seorang bapa.

“Kak dah kehilangan segala-galanya, Nia.”

Sayu suara itu menusuk ke telinganya.

“Jangan cakap macam tu, kak. Kalau kak tak kuat, macam mana dengan Nia dan anak-anak?” pujuk Hanania lagi.

Hanani diam. Mereka berpelukan lagi.

Afii yang melihat cukup sayu dengan apa yang terjadi. Sejak dia mengenali Hanania, dia tahu Hanania hanya ada Arash dan kakaknya.

Arash meninggal setelah dihempap batu-bata ketika sedang memantau tapak projek.


HANANIA memandang Syaqer yang melayan adiknya bermain dengan permainannya.

Sejak Arash pergi meninggalkan mereka dua bulan yang lalu, mereka tidak pernah berbicara tentang Arash lagi. Bimbang akan menambahkan luka di hati masing-masing. Mereka cukup terluka dengan kehilangan Arash. Tetapi, mereka tetap meneruskan hidup tanpa langsung berbicara tentang Arash.

“Qer, kita pergi jalan-jalan petang nanti nak tak?” tanya Hanania.

Dia berusaha untuk membuatkan semua ahli keluarganya kembali seperti dulu.

“Nak pergi mana mak usu?” tanya Syaqer, memaku pandang kepada Hanania.

“Mana-manalah. Mak usu bosanlah asyik terperap saja.”

Hanania sengih. Boleh juga ambil angin dan melayan hati.

“Boleh juga,” balas Syaqer perlahan.

Mata Syaqer memandang ke bilik utama di dalam rumah tersebut.

“Kita bawa mama sama. Mama tu, Qer tahu dia pura-pura tabah depan kita, tapi belakang kita mama sedih dengan kehilangan papa,” kata Syaqer.

Rupanya budak lelaki yang berusia 15 tahun itu sedar akan kesedihan yang disembunyikan oleh mamanya. Hanani sentiasa tersenyum apabila berada dengan mereka semua. Namun, bila keseorangan, dia akan bersedih.

“Okey, pergi beritahu mama. Mak usu dah janji dengan Pak Su Afii,” beritahu Hanania.

Sekurang-kurangnya jika mereka keluar petang ini, mereka boleh bergembira.


SYAQER mengetuk pintu bilik mamanya. Tiada sahutan. Dia menolaknya perlahan. Mamanya sedang bersembahyang. Syaqer menanti sehingga mamanya selesai menunaikan solat.

“Ada apa Qer?” tanya Hanani sambil mengukir senyuman.

Hanani hulurkan tangannya kepada Syaqer. Syaqer duduk di sisi Hanani. Hanani mengusap-usap belakang tangan anaknya. Muka anaknya itu saling tak tumpah dengan arwah papanya.

“Mama sayang Qer, Mya dan mak usu.”

Hanani senyum sambil mencium dahi Syaqer. Syaqer senyum. Hanania mengusap pipi Syaqer. Syaqer capai jemari mamanya dan menciumnya lama.

“Mak usu ajak kita keluar hari ni. Kita dah lama tak keluar, mama,” beritahu Syaqer.

Jemarinya masih bertaut dengan jemari mamanya.

“Okey. Mama pun rasa dah lama kita menyendiri di dalam rumah sejak papa pergi. Papa dah pergi, tapi kita yang hidup ini mesti meneruskan hidup.”

Hanani sedar setelah sekian lama mendiamkan diri daripada berbicara tentang pemergian suaminya. Dia perlu teruskan hidup.

“Betul, mama. Kata mak usu, kita yang hidup mesti teruskan hidup. Tapi tak bererti kita melupakan papa, kan.” Syaqer senyum.

Hanani mengangguk, mengiakan kata-kata anaknya itu. Petang itu mereka keluar berjalan-jalan. Sekurang-kurangnya dengan berjalan begitu, mereka dapat melupakan kesedihan yang beraja dalam hati.


“NIA,” panggil Hanani.

Sejak tadi Hanania memerhati Afii yang melayan Syaqer dan Mya.

“Ya, kak.” Hanania menoleh ke arah kakaknya.

“Kalaulah kakak juga pergi dulu, Nia janji jangan abaikan Qer dan Mya. Anggaplah mereka berdua seperti anak sendiri ya.”

Hanani pandang wajah Hanania.

“Eh! Kenapa kak cakap macam ni?”

Hanania terkejut dengan kata-kata kakaknya. Dia merenung kakaknya itu lama.

Hanani senyum. Tangan Hanania diraih dan digenggamnya. Belakang tangan Hanania diusap dengan tangannya yang satu lagi.

“Kak tak nak jadi macam Abang Rash. Abang Rash pergi tanpa kata. Kak benar-benar terkilan. Memang itu takdir Tuhan, tapi entah kenapa ada rasa itu dalam hati kak.”

Hanani meluahkan apa yang dia rasa.

“Kak, Qer dan Mya dah macam anak Nia sendiri. Tentulah Nia akan jaga mereka. Dahlah, jangan cakap macam ni lagi. Tak seronoklah. Kita datang nak berseronok kat sini,” kata Hanania.

“Hmm… Tapi Nia janji dengan kak ya, jangan sekali-kali tinggalkan mereka berdua.”

Hanani masih tidak puas menagih janji.

“Okeylah, Nia janji. Kak janganlah bimbang.”

Hanania berjanji dengan Hanani. Kalaupun kakaknya itu tidak menyuruhnya berjanji, dia akan menjaga mereka seperti anak sendiri. Hanania melentokkan kepalanya di bahu kakaknya.