ITULAH pesanan terakhir Hanani kepada Hanania. Hanani pergi dalam tidur. Kata doktor, ada pendarahan di dalam otaknya yang menyebabkan kematiannya. Kata doktor lagi, dia terlalu memendam perasaan selepas kehilangan suaminya.
Dalam sekelip mata mereka bertiga hilang tempat bergantung.
Hanania memandang Syaqer yang sedang merenung gambar ibu bapanya. Apabila sedar dirinya diperhati, Syaqer memandang mak usunya.
“Qer betul-betul tak sangka akan kehilangan mereka selang dua bulan, mak usu,” ratap Syaqer, menyapu air matanya yang mengalir tanpa sedar.
“Kita sama-sama terkejut dengan apa yang berlaku. Tapi semua ini pasti ada hikmahnya. Kita sebagai hamba-Nya patut menerimanya dengan tabah. Mak usu tahu Qer masih lagi memerlukan kasih sayang daripada mereka berdua dan mak usu tahu mak usu tak mampu memenuhinya. Tapi percayalah, Qer dan Mya takkan kekurangan kasih sayang daripada mak usu.”
Hanania berjanji di depan Syaqer dan dirinya sendiri.
“Mak usu jangan bimbang. Qer tahu semua tu. Mak usu dah macam mama Qer,” kata Syaqer.
Dia menghampiri Hanania. Tangan Hanania diraih dan diciumnya.
“Jadi, lepas ni kita tak payah sedih-sedih lagi. Kita teruskan hidup. Tapi tak bererti kita lupakan mereka yang telah pergi. Qer periksa kan tahun ni?” kata Hanania.
“Hmm, lagi dua bulan. Qer janji dengan mak usu, Qer akan dapat keputusan yang bagus dalam peperiksaan nanti.” Syaqer berjanji.
“Itu mak usu pasti sebab Qer memang bijak,” ujar Hanania sambil mengusap kepala Syaqer.
Syaqer senyum memandang mak usunya.
Mya terkedek-kedek menghampiri mereka berdua. Barangkali dia sudah bosan bermain seorang diri. Kasihannya Mya kerana ibu bapanya pergi ketika dia masih kecil.
“Mamma,” panggilnya dalam pelat kanakkanaknya.
“Alah, Mya sayang, mari sini.”
Hanania menghulurkan tangannya kepada Mya. Mya lantas menyambutnya dan duduk di atas riba Hanania.
“Mya sayang, ni mak usulah. Sebut mak usu. M.A.K U.S.U.”
Syaqer mengajar adiknya menyebut satu demi satu perkataan itu. Dia memegang pipi Mya.
“Mamma,” kata Mya lagi.
Hanania ketawa kecil.
“Mak usu, janganlah biar dia panggil mama, nanti apa pula kata orang? Apa kata Pak Usu Afii? Payahlah hidup mak usu nanti.”
Syaqer tidak mahu mereka berdua menyusahkan mak usunya.
“Tak apa. Biarlah, mak usu tak kisah pun. Jika Pak Usu Afii tak boleh terima, mak usu rela tidak bersuamikan dia. Qer dan Mya keutamaan mak usu sekarang,” kata Hanania lagi.
Dia senyum memandang Syaqer dan dalam masa yang sama, dia mencium Mya. Ada sesuatu yang Hanania sembunyikan daripada pengetahuan Afii dan juga Syaqer sebenarnya. Ibu Afii bertemu dengannya sebelum dia kehilangan Hanani dan merayu kepadanya supaya meninggalkan Afii.
“AKU nak kau tinggalkan Afii. Afii tak perlukan perempuan macam kau untuk jadi isterinya. Hidup kau dikelilingi sial,” kata Datin Seri Umiyah.
Tersentak Hanania dengan kata-kata yang keluar dari bibir Datin Seri Umiyah. Tak pernah ada seorang manusia pun yang pernah berkata begitu kepadanya.
“Kami dah lama bercinta, Datin.”
Hanania pandang Datin Seri Umiyah.
“Bercinta tak semestinya kena kahwin. Aku tak suka kau jadi menantu aku. Muktamad. Lagipun, kau tak setaraf dengan Afii,” ujarnya.
“Tapi…” Hanania masih cuba mempertahankan cintanya.
“Kau nak berapa? Aku boleh bagi, asalkan kau tinggalkan Afii. Lagipun kau perlukan duit untuk bayar hutang kan?”
Datin Seri Umiyah senyum menyindir.
“Datin, saya tak mahu harta Datin pun. Saya hanya mahu Afii saja,” balas Hanania.
“Sekarang bolehlah kau cakap macam tu. Tak mahu konon. Perempuan miskin macam kau ni, kalau beri betis, mesti nak paha pula. Tak pernah puas!”
Hanania telan liur. Berbutir bagai pasir ketika itu. Sudah jauh terpesong rupanya Datin Seri ni. Dia tak sanggup nak hadap lagi muka perempuan bongkak macam Datin Seri ini. Kalau Datin Seri ini tak hadap nak buat menantu, dia pun tak hadap nakkan mentua macam Datin Seri. Tak kahwin pun tak apa.
“Datin jagalah anak Datin supaya tak datang cari saya. Saya boleh saja nak lupakan dia. Jangan nanti Datin melutut kat kaki saya sebab anak Datin Seri masih mahukan saya.”
Hanania berkata kasar. Dia ingat dia saja manusia yang berkuasa di dunia ini. Hanania menceceh dalam hati.
“Memang patutlah aku tak mahu bermenantukan kau!” kata Datin Seri Umiyah, mencebik.
“Maaf ya, Datin Seri. Moga-moga kita tak bertemu lagi.”
Hanania bangun dan terus berlalu. Berat, tetapi Hanania terpaksa melakukannya. Dia tak perlu berada di sini hanya untuk mendengar hinaan daripada Datin Seri Umiyah.
Bagi Hanania, lebih baik dia tidak bersama Afii. Sudah terang lagi bersuluh dia akan makan hati berulam jantung jika dia terus bersama Afii. Dia tidak sanggup.
Jika dia masih mempunyai seorang ibu, mungkinkah ibunya akan bersikap seperti itu? Sedaya upaya menahan mana-mana orang yang dirasakan akan menghancurkan hidupnya?
AFII pandang Hanania yang senyap sejak tadi. Selalunya mulutnya akan berceloteh macam-macam. Tapi, hari ini lain pula halnya.
“Nia, kenapa diam?” tanya Afii.
Hanania mendongak dan senyum kepada Afii. Lelaki ini baik, tak pernah meninggalkannya walaupun dia menjadi ibu segera kepada kedua-dua anak saudaranya.
“Lapar.” Sepatah jawapan Hanania. Dia kembali menyuap makanan.
“Seorang Nia bila ada masalah, memang dia akan diam. Jangan sembunyikan apa-apa daripada Afii.” Afii berkata tanpa memandang Hanania.
Hanania mendongak dan memandang Afii sambil senyum. Sedaya upaya tidak mahu Afii tahu dia ada masalah.
Afii menyentuh lengan baju Hanania.
“Nia memang tak ada masalah. Afii ni pandaipandai saja. Afii dah siap sedia nak uruskan syarikat papa Afii?”
Hanania mengubah topik. Lebih baik berbicara tentang Afii. Takut nanti dia tak kuat dan mengadu kepada Afii. Hanania tidak mahu Afii menjadi anak derhaka.
“Nia kenal Afii kan? Cuma, Nia kena sabar tunggu Afii.”
Afii senyum manis kepada Hanania. Dalam terpaksa, Hanania membalas senyuman Afii.
“Lepas Afii kembali dari sana, kita kahwin.” Afii senyum lagi.
Afii sudah berjanji dengan ibunya, jika dia menguruskan syarikat tersebut, hubungannya dengan Hanania akan diakhiri dengan perkahwinan. Ibunya bersetuju. Tapi, dia tak memberitahu berita gembira ini kepada Hanania. Biar menjadi kejutan.
“Afii sayang Nia sangat-sangat.”
Hampir menitis air mata Hanania mendengar bicara Afii. Afii dan dia sudah mempunyai rancangan untuk diri masing-masing.
“Afii, lepas ni Nia nak jalan-jalan lagi dengan Afii. Nanti bila Afii ke sana, Nia dah tak boleh keluar lagi dengan Afii.”
Hanania bersuara manja kepada Afii. Biarlah hari-hari terakhir mereka bersama dipenuhi dengan kegembiraan.
LOCENG rumah yang berbunyi mengejutkan mereka bertiga. Syaqer lantas bangun. Dia menuju ke pintu depan. Seorang wanita berdiri di depan pagar. Matanya memerhati perempuan tersebut.
“Cik cari siapa?” tanya Syaqer.
Dia tidak pernah nampak wanita ini ke rumah mereka.
“Ini rumah Hanania ke? Maksud saya, rumah kakak dia?” ujarnya, senyum kepada Syaqer.
“Ya, betullah tu. Kawan mak usu ya?” tanya Syaqer.
Perempuan itu mengangguk sambil tersenyum.
Syaqer segera membuka pagar. Mempelawa wanita bergaya itu masuk ke dalam rumah. Dengan langkah penuh gaya, dia masuk ke dalam rumah.
“Mak usu, ada tetamu datang nak jumpa mak usu,” beritahu Syaqer.
Hanania yang asyik melayan Mya mendongak. Dia memandang wanita yang berada di depannya. Dengan seluar jean dan juga blaus yang menutupi tubuhnya. Spek mata hitam masih menutupi matanya. Macam mana aku nak kenal? desis hati Hanania.
Wanita itu menanggalkan cermin mata hitamnya. Hanania masih lagi memandangnya. Tidak mengenali wanita yang nampak elegan di matanya ini.
“Ini akulah, Amani,” jeritnya sambil terlompatlompat.
Hilang terus gaya elegannya tadi.
Hanania terlopong. Bukan terkejut sebab dia sudah berubah, tapi pelik kerana ketika mereka di sekolah menengah, mereka bukannya baik sangat pun. Biarpun mereka berempat berkawan, tetapi wanita ini ketika di sekolah selalu sahaja menentangnya. Ada sahaja yang tidak kena.
“Ya Allah. Kau Amani?” Terjerit Hanania apabila tahu itu adalah Amani.
“Kau makin cantiklah,” puji Hanania meskipun masih terkejut.
“Kau bukan tak tahu, aku memang cantik dari dulu,” jawabnya sambil ketawa.
Hanania tersenyum. Amani masih lagi Amani yang dulu. Kalau dia berubah, tentulah bukan Amani namanya.
“Macam mana kau dapat tahu rumah ni? Aku dah lama tak jumpa kau. Dengan kawan-kawan lain pun aku dah tak berhubung.”
Hanania pelik. Dia lebih suka menjauhkan diri daripada semua kawan-kawannya. Ketika dia bercinta dengan Afii pun tiada siapa yang tahu.
“Aku tahu daripada Maira. Dia cakap kau kat sini. Dan kau baru kehilangan kakak dan abang ipar kau. Takziah daripada aku,” sambungnya lagi sambil tersenyum.
“Terima kasih, Amani,” balas Hanania.
“Yang kacak ni anak saudara kau ke?” tanyanya.
Dia memandang orang yang dikatakan kacak itu. Hairan juga dia, kenapalah gadis yang biasa-biasa saja dikelilingi engan lelaki-lelaki yang kacak. Dia yang sememangnya cantik ini payah pula si jejaka kacak mahu melekat. Hendak dapatkan seorang pun susah.
Tapi, syukurlah dapat juga. Cadangnya, dia mahu menayang tunangnya kepada kawan-kawan lama, tetapi apabila mendengar cerita daripada Maira, dia terus mematikan niatnya. Dia pun ada perasaan simpati juga.
“Atau kekasih kau?”
Amani tersenyum-senyum lagi. Dia memandang Syaqer dengan mata galak.
“Amboi! Memanglah dia kacak, tapi takkanlah kau tak dapat nak agak dia muda ke tak,” ujar Hanania tersengih.
“Dia ni anak saudara kaulah?” teka Amani lagi.
Hanania mengangguk.
“Hmm, kalau kau orang jalan berdua, memang orang cakap kau orang pasangan bercinta.”
Amani memberi ulasan. Matanya tidak lepas memandang budak lelaki di depannya ini. Budak sekolah, tapi nampak gaya macam lelaki matang. Handsome pula tu.
“Merepeklah kau ni. Kau buat apa sekarang?” tanya Hanania, menolak bahu Amani.
Syaqer memberi isyarat mahu membawa Mya keluar. Hanania hanya mengangguk.
Apa perkembangan Amani sekarang? Masih mencari-cari calon suami atau sudah bersuami? Daripada gayanya itu, nampak masih lagi belum berubah jika dia masih lagi mencari lelaki kacak.
“Aku? Aku dah bertunang dan aku datang ke sini pun sebab nak jemput kau ke majlis kahwin aku. Dua bulan lagi.”
Amani memberitahu berita gembiranya kepada Hanania. Dia mengeluarkan kad jemputan perkahwinan, lalu diletakkan di depan Hanania.
“Kau tak kerja ke?” tanya Hanania sambil membelek-belek kad jemputan tersebut.
“Kerja kat syarikat bapa aku. Kau pun tahu aku bukan pandai macam kau orang semua. Aku cuma dapat kerja kat syarikat bapa aku ajelah,” katanya merendah diri, terus senyum.
Hanania senyum. Nampak matang pula Amani kali ini. Menarik. Amani yang angkuh dulu sudah pandai merendah diri. Baguslah.
“Tak apalah Amani. Kerja juga kan. Halal lagi,” kata Hanania sambil membelek majalah yang dibeli oleh Syaqer ketika dia ke kedai pagi tadi.
Dia membelek tanpa membaca artikel. Hanya membaca tajuknya saja.
“Kau pula?” tanya Amani.
“Aku macam nilah.”
Hanania tersenyum sambil memandang Amani.
“Mustahillah kau belum ada kekasih.”
Amani mula mengorek cerita. Ingin tahu kisah cinta Hanania. Ketika sekolah dahulu, Hanania memang agak terkenal kerana kemanisan wajahnya. Boleh dikatakan kebanyakan budak-budak lelaki sekolah mereka sukakan Hanania. Masing-masing berebut nak belanja Hanania.
“Kekasih?” Hanania sengih.
Perkataan itu tidak sesuai lagi untuknya. Kerana dia sudah mengambil keputusan untuk tidak meneruskan hubungannya dengan Afii. Jika tiada restu orang tua, tiada makna untuk mereka terus bersama.
Dia tidak mahu menerima nasib seperti arwah kakak dan abang iparnya. Hingga ke akhir hayat mereka, perkahwinan mereka tidak diterima.
Tapi, Hanania mahu mengusik Amani. Nak tahu bagaimana reaksi Amani. Lantas dia menghulurkan majalah yang berada di tangannya. Ada artikel tentang seorang lelaki yang berjaya sebagai pemilik sebuah syarikat landskap. Itu tajuk kecil yang tertulis di situ.
“Kenapa pula kau bagi majalah ni kat aku? Aku tanya pasal kekasih kau.”
Amani cuak dengan sikap Hanania. Tapi, tangannya tetap mencapai majalah tersebut. Matanya memandang majalah itu.
“Itulah bakal suami aku,” kata Hanania sambil menunjukkan gambar lelaki yang sedang bergaya di hadapan sebuah bangunan.
Amani terkejut memandang lelaki kacak itu. Kan dia dah cakap gadis yang manis ini selalu didampingi lelaki kacak. Tapi, buat apa dia nak cemburu? Dia pun dapat lelaki yang hebat juga.
“Bila nak bawa kami jumpa dia?” tanya Amani, terus percaya dengan apa yang dicakapkan oleh Hanania.
Lurus bendul pula si Amani ni, desis hati Hanania.
“Jumpa? Kami?” tanya Hanania terkejut.
“Yalah. Jumpalah. Dengan Maira, aku dan kau.”
Amani buat perancangan. Apalah salahnya masing-masing bawa pasangan untuk berjumpa.
“Dia sibuk sikit. Aku nak jumpa dia pun susah. Sebulan sekali aje kami berjumpa.”
Hanania menipu lagi. Lagipun dia bukan kenal lelaki dalam majalah tersebut. Hanya main-main saja. Entah-entah model antarabangsa yang menguruskan syarikat landskap.
“Kawan-kawan kita tu sibuk dengan hidup masing-masing. Tak payahlah ganggu dia orang hanya sebab nak tunjuk kekasih aku.”
Hanania menolak.
“Ya ke? Nanti bila dah free, kau cakap kat aku. Aku teringin nak jumpa dia. Biarlah kawan-kawan yang lain tak boleh jumpa dia. Aku tetap nak jumpa,” kata Amani lagi.
Ini sudah lebih. Bersungguh pula Amani.
“Kau lama ke kat KL ni?” tanya Hanania, mengubah topik.
Dia tidak mahu menipu lagi. Nanti terlebih panjang pula ceritanya. Padahal dia bukannya pandai mahu memutar cerita.
“Minggu depan baru balik Penang. Bakal suami aku tu datang nak jumpa dengan kawan-kawan dia. Sambil menjemputlah kiranya,” ujarnya.
“Dia orang Penang ke?” tanya Hanania, ingin tahu tentang tunang Amani.
“Hmm, mamak Penang dan ada rangkaian restoran nasi kandar.”
Dengan bangganya Amani memberitahu.
“Wah! Tentu handsome macam pelakon Hindustan.”
Hanania terus terbayangkan wajah-wajah hero Hindustan apabila mendengarkan mamak Penang.
“Bolehlah,” jawabnya sambil tersenyum.
Wajah si tunang yang hampir seiras dengan Ranbir Kapoor itu terbayang di depan matanya. Sebab itulah dia tidak mencemburui kekacakan kekasih Hanania.
“Mana gambarnya, aku nak tengok.”
Hanania sengih. Apalah salahnya dia mahu melihat wajah kacak tunang Amani. Sekurangkurangnya Amani akan melupai wajah lelaki dalam majalah tersebut.
Amani mengeluarkan telefonnya.
“Wah, betul-betul macam hero Hindustan.” Hanania memuji.
Amani sudah kembang setaman dengan pujian itu. Terus saja dia membuka cerita tentang kisah cinta dia dan tunangnya.
Kan dah beritahu tadi, Amani akan lupakan lelaki dalam majalah tersebut selepas bercerita pasal tunangnya.
“Kau jangan lupa, aku nak jumpa kekasih kau tu,” katanya ketika dia mahu pulang.
Hampir terjatuh rahang Hanania kerana Amani masih tidak melupakan hal itu.