SELEPAS menjemput Mya dari taska, Hanania terus pulang. Keletihan dalam bekerja dan menjaga Mya membuatkan dia berada dalam dunia itu sahaja. Tiada lagi Afii.
Bukannya Afii tidak cuba menghubunginya, dia yang tidak mahu menjawabnya. Walaupun dia tahu bila-bila masa saja Afii boleh pulang dan mencarinya. Tapi, jika Afii pulang, itu hal lain. Dia akan bersemuka dengan Afii.
Sekali dia mengambil keputusan itu, dia tidak akan berpatah balik. Biarlah Afii menyalahkannya nanti.
Afii menguruskan syarikat keluarganya yang membuka cawangan di negara jiran. Kalau direstui oleh Datin Seri Umiyah, Hanania sanggup. Kalau tidak, dia lebih rela melupakan cinta itu. Lagipun, Mya dan Syaqer lebih penting sekarang.
Pertemuannya dengan ibu Afii pun tidak diberitahu kepada Afii. Dia tidak mahu Afii bergaduh dengan ibunya disebabkan hal itu. Macam mana mahu meneruskan apabila dia sudah berjanji mahu meninggalkan Afii? Biarlah Afii berfikir dia akan menunggu.
Ibunya fikir dengan memisahkan mereka, Afii dapat hidup bahagia. Biarlah jika begitu. Hanania tidak mahu menjadi punca Afii dan ibunya bertelagah. Syurga di bawah telapak kaki ibu. Dia tidak mahu Afii mengalami nasib yang sama dengannya.
Hanania sedar kerana dia sudah kehilangan orang tuanya sejak kecil. Menumpang kasih pada kakak, tapi kakaknya juga telah dijemput Ilahi.
Pagar yang digoncang mengejutkan lamunannya yang panjang. Mya yang sudah tertidur terkejut sedikit. Hanania menepuknya perlahan. Mya kembali lena.
Hanania melangkah ke depan. Dia menjenguk. Siapa pula yang datang petang-petang macam ni? Ada dua orang lelaki yang berpakaian kemas di depan rumah, tapi dengan muka bengis. Silap rumahkah?
“Ya, ada apa yang boleh saya bantu?” tanya Hanania lembut.
“Ini rumah Arash bin Reza?” tanya salah seorang lelaki itu.
“Ya, kenapa?” tanya Hanania hairan.
Abang iparnya itu ada teman yang macam samsengkah? Muka bengis macam gengster. Hanania kerutkan keningnya.
“Baguslah ada orang yang masih hidup lagi. Aku ingatkan semua dah mati,” katanya sambil ketawa.
Besar pula ketawanya. Yang lain ikut ketawa. Lelaki yang pertama itu berhenti ketawa dan yang lain masih lagi ketawa. Dia menjegilkan mata. Serta-merta lelaki-lelaki yang lain berhenti ketawa. Masing-masing menikus.
“Ada apa ya?” Dia bertanya lembut.
Dia tidak tahu kenapa lelaki itu ketawa besar. Hanania pandang kiri kanan. Bimbang ada yang keluar jika mendengar ketawa besar mereka berempat.
“Ada apa ya? Aku dengan orang-orang aku datang ni nak beritahu, rumah ni dah dicagarkan kepada aku oleh abang kau tu!”
Suara ejekan itu bertukar menjadi kasar.
“Hah! Macam mana pula boleh jadi macam tu?” tanya Hanania lagi.
Dia sudah merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Patutlah lelaki-lelaki ini datang dengan penuh angkuh sekali.
“Macam mana? Abang kau tu ada hutang dengan kami. Bukan abang kau, tapi kawan abang kau yang hutang dengan kami. Kawan dia cakap kalau dia tak dapat bayar hutang, abang kau yang akan bayar,” katanya lagi.
Menerangkan maksud yang sebenar.
Maksudnya, Abang Arash jadi penjamin kawannya? Hanania pegang kepalanya yang tiba-tiba terasa berat.
“Hah! Ada ke macam tu?” tanya Hanania terkejut.
“Abang kau jadi penjaminlah, bodoh!” katanya, terus ketawa.
“Aku nak kau pindah sekarang juga!”
Belum sempat dia menghabiskan kata-katanya, kedengaran suara seorang perempuan menjerit. Keempat-empat lelaki itu menoleh.
“Oh! Ada penyelamat!”
Lelaki itu senyum sinis kepada Amani yang sedang melangkah ke arah mereka. Amani ni buta ke apa? Mereka ini samseng. Takkanlah dia tak kenal samseng.
“Kau orang buat apa kat rumah kawan aku? Nak aku telefon polis?” ugut Amani yang tidak tahu hujung pangkal cerita.
Hanania menarik tangan Amani. Amani membawa keluar telefon yang berada di dalam beg tangannya, sudah berura-ura mahu menekan nombor kecemasan.
“Empat orang lelaki yang besar-besar, tapi buli orang perempuan. Ish! Ish! Memang muka tak malu,” katanya lagi sambil menggelengkan kepalanya.
“Amani, janganlah masuk campur,” tegah Hanania.
“Mana boleh tak masuk campur. Aku pantang betul kalau ada orang lelaki buli orang. Nak pula perempuam macam kita ni!” kata Amani lagi.
Dia terus menekan nombor kecemasan.
Lelaki itu ketawa lagi. Dia menghampiri Amani. Amani menjauh sedikit. Tangan Amani ditarik dan dikilas ke belakang. Amani menjerit kesakitan. Telefon yang dipegang Amani dirampasnya.
“Oh! Ada hati nak tolong. Kalau macam tu, kau tolong bayar hutang dialah. Kau ada duit RM200 ribu?” tanya lelaki itu lagi sambil sengih jahat.
“RM200 ribu?!”
Hanania dan Amani menjerit serentak.
Amani telan liur. Hanania serupa nak pengsan waktu itu juga. Di mana dia mahu mencari duit sebanyak itu? Dalam simpanan pun mungkin ada satu atau dua ribu saja.
“Ha! Baru tahu jumlah tu banyak.” Dia mengejek sinis.
“Aku tak ada, tapi bakal suami dia ada,” kata Amani tiba-tiba.
Dia tuding jari kepada Hanania.
Terlopong mulut Hanania. Bakal suami apa pulak? Afii? Tak sanggup dia meminta tolong Afii. Gila pula Amani ni.
“Amani!” Hanania menjerit.
Siapa pula yang dimaksudkan oleh Amani? Dia menjegil kepada Amani. Bakal suami mana pula? Aku mana ada kekasih pun sekarang, desis hati Hanania.
“Oh! Dah nak bersuami!” ejeknya lagi.
Lelaki yang lagaknya sebagai ketua itu menghampiri Hanania. Pipi Hanania cuba dipegang. Hanania segera mengelak.
Lelaki itu memegang rahang Hanania. Dia pandang mata Hanania. Eh! Budak ni lawa juga, desis hati lelaki itu.
“Siapa bakal suami kau?” tanyanya kepada Hanania.
“Mana ada,” kata Hanania bersungguh.
Dia memang tidak tahu siapa yang dimaksudkan oleh Amani.
“Alah, Nia... Minta tolong dialah. Aku tahulah dia tu pewaris syarikat landskap tu,” kata Amani yakin.
Amani yakin kerana sebaik saja dia mengetahui tentang itu, dia segera mencari maklumat di Internet. Memang mudah kerana banyak carian tentang lelaki itu di Internet. Mungkin disebabkan pernah ada artikel tentangnya di dalam majalah.
“Hah!” Hanania terlopong.
Pandai pula Amani mereka cerita. Hampir saja dia tergelak, tetapi Hanania takut dengan lelaki-lelaki di depannya. Nanti tak pasal-pasal ditarik masuk ke dalam kereta mereka.
“Tak percaya! Kau Google Adrish Haqiey bin Reza,” kata Amani kepada lelaki-lelaki tersebut.
Nama apa pula macam tu? Pelik betul nama tu. Tak pernah sekali pun nama Adrish Haqiey itu singgah dalam benaknya. Siapa pula lelaki yang Amani maksudkan?
“Kau Google, tengok betul ke tak budak ni cakap,” arahnya kepada orang suruhannya itu.
Tidak lama selepas itu, lelaki yang tadi datang semula.
“Betul, bos. Ini orangnya. Memang betul apa yang kawan dia cakap.” Orang bawahannya mengangguk.
Lelaki yang berupa ketua itu melihat telefon.
Hah! Lagilah Hanania terkejut beruk. Dia mana kenal mana-mana lelaki bernama Adrish Haqiey. Yang dia tahu Syaqer, Abang Rash dan Afii. Yang lain mana dia tahu. Kalau tahu pun, bukannya rapat dengan dia.
“Mana nombor telefon dia?” tanya lelaki itu lagi.
“Mana ada,” jawab Hanania cepat.
Dah memang dia tidak kenal dengan lelaki itu, mana mungkin dia mempunyai nombor telefon lelaki itu.
“Oh! Nak tipu ya! Kau nak aku rogol kau baru kau nak cakap? Masa tu kau dah tak ada apa-apa dah!”
Lelaki itu mengugut sambil ketawa. Dia mendekatkan wajahnya ke muka Hanania. Hanania cuba melarikan diri, namun lelaki itu lebih cepat mengunci kakinya.
“Kau orang cari lelaki ni sampai jumpa,” arahnya kepada lelaki yang mencari nama lelaki tersebut.
“Kau selamat buat masa sekarang. Aku akan cari bakal suami kau ni sampai jumpa!” juihnya siap dengan pakej meludah lagi.
Hanania tidak berkata apa. Dia tidak tahu apa yang bakal terjadi selepas ini. Jauh di sudut hati, dia mahu mereka berjumpa lelaki tersebut. Sekurangkurangnya jika dia berhutang pun, bukan dengan along.
Tapi, mahukah lelaki itu membayar hutangnya?
“Kau ni, ada bakal suami kaya pun tak mahu minta tolong.” Amani merungut.
Hanania diam. Dia tak tahu nak balas apa.
“Kesian kat kau. Tak sangka pula arwah abang ipar kau terlibat dengan along.”
“Kawan dia yang buat pinjaman.” Hanania membetulkan fikiran Amani.
“Sabarlah ya, Nia.”
Hanania diam saja.