Sehati Denganku

BAB 3

  • Art
  • Schaslee

AKU menapak keluar dari pantri, meninggalkan Jacinta dan Hussin. Malas hendak mengganggu sesi luahan perasaan Hussin. Buang karan saja.

Mata aku melirik seketika kepada Encik Kamal yang sedang beriringan masuk bersama anaknya. Menyesal pula aku memandang. Tak pasal-pasal pandangan mata aku bertembung dengan anak lelaki orang tua itu.

Carl menghadiahkan jelingan maut kepada aku apabila dia melintasi meja yang aku duduki. Macam budak-budak sahaja lagaknya. Geram, aku rasa hendak siku saja lelaki itu.

Aku belum lagi membuat perhitungan dengan Encik Kamal. Berani dia rosakkan nama baik aku. Tak pernah pula aku terfikir dia akan gunakan aku sebagai alasan.

Sampai hati Encik Kamal jadikan aku korban demi kepulangan anaknya ke tanah air. Kalau olok-olok pun, carilah orang lain. Tak pasal-pasal aku pula yang jadi mangsa.

Kalau betul-betul pun, tak hingin aku dengan orang tua itu. Usianya sudah lanjut. Mahu pengsan baba kalau dapat menantu hampir seusia dengannya.

Apa yang aku melalut ni? Memang tak sanggup!

Lagi satu, bagi tahulah awal-awal kalau nak ajak aku berlakon pun. Ini, tiba-tiba sahaja aku kena serang. Buat sakit jantung saja kena makan tempelak anaknya.

Aku mengambil satu fail projek terkini dan membelek-belek isinya. Baru sahaja aku hendak menyambung kerja yang masih belum selesai, satu susuk tubuh tinggi lampai mendekati mejaku.

Aku menghentikan perbuatan aku seketika dan mendongak memandang wajahnya. Terukir senyuman sinis di bibirnya.

Carl pantas menekan permukaan kulit fail dengan tangan dan secara tak langsung, dia menindih tangan aku yang berada di bawahnya. Aku kerut dahi menahan sakit.

Aku angkat wajah dan memandang Carl dengan pandangan tidak puas hati. Sudah gila gamaknya anak Encik Kamal ni.

“Sakitlah! Awak ni dah kenapa? Apa masalahnya?” Aku tepis tangan Carl, lalu menggosok tangan yang kesakitan dengan perlahan.

Mengharapkan rasa itu semakin berkurangan.

“Kau tanya apa masalahnya? Kaulah yang jadi masalah pada aku sekarang ni. Buat-buat tanya pulak.” Bibir Carl tidak lekang dengan senyuman mengejek.

Aku bungkam tanpa bicara. Kalau aku buka mulut, pasti situasi akan jadi semakin tegang.

“Tu baru sikit. Lepas ni, kau tahulah nasib kau. Aku tak habis lagi tau dengan kau. Nak kahwin dengan papa aku sangat, kan? Kau tunggu!” Carl beri amaran keras.

Mamat kerek itu berjalan keluar dari ruangan pejabat kami. Aku memandangnya dengan pandangan tidak percaya.

Anak Encik Kamal ini samseng gamaknya. Suka sangat warning aku. Macamlah aku takut sangat dengan dia. Mulut aku sudah terkumat-kumit menghantar jampi kepada lelaki muda itu. Tangan pula mengepal penumbuk.

Mata aku tidak lepas memandang belakangnya sehingga tubuh itu menghilang di sebalik pintu. Dada aku sudah turun naik menahan amarah yang membuak-buak. Sakit sungguh hati aku!


AKU menarik kerusi di hadapan Encik Kamal dan melabuhkan punggung di situ. Aku perhati segenap inci wajah tua itu. Wajahnya muram sahaja.

Bergaduh dengan samseng itukah tadi?

“Ada apa encik panggil saya?” soalku malas.

Aku membelek jari-jemariku di bawah meja. Masih tersisa kesan merah akibat ditindih di bawah fail tadi.

“Arissa marah saya?” Encik Kamal memandangku serba salah.

“Eh! Mana ada saya marah. Saya okey aje. Tersangatlah okey. Sangat!” Aku perli depan-depan.

Jangan main-main dengan aku. Tadi aku diam sebab aku terkejut. Sekarang, sel-sel otak saraf aku sudah berhubung.

“Saya terpaksa. Saya betul-betul minta maaf dengan apa yang berlaku hari ni. Maafkan saya, ya? Arissa jangan risau. Isteri saya pun dah sepakat dengan rancangan awak. Jadi, saya turutkan aje. Saya tak sangka rancangan awak menjadi. Terima kasih, Arissa.”

Aku merasakan Encik Kamal betul-betul maksudkan apa yang dia cakap. Habis tu, aku ni macam mana? Aish! Serba salah pula.

“Encik tak terus terang ke dengan anak encik? Saya dah kena warning dengan dia tau.” Sempat aku mengadu kepada majikanku itu.

Persis anak kecil yang mengadu ada rakan membulinya di sekolah.

“Saya kena pastikan Carl betul-betul tinggal dengan kami di Malaysia, baru saya berterus terang. Jadi, saya nak Arissa teruskan aje rancangan kita. Boleh?”

Aku terkedu. Kenapa mesti aku? Kenapa tak orang lain? Sebab ni kau punya pelan, Arissa. Aku tergelak hampa. Sudah terlambat hendak berpatah balik.

“Kalau anak encik tahu kita tipu dia, macam mana?” Aku bersuara, separa berbisik.

Encik Kamal termenung sejenak. Mungkin berfikir kemungkinan besar perkara itu bisa terjadi.

“Macam nilah. Arissa buat kerja macam biasa. Tak perlu nak berlakon lebih-lebih. Hal lain, biar saya yang uruskan. Pasal anak saya, awak tak perlu risau. Tahulah saya nanti. Tapi, saya nak Arissa rahsiakan perkara ni daripada orang lain. Boleh?”

Aku mengangguk faham. Setakat ini hanya Jacinta yang tahu. Aku hanya perlu tutup mulut Jacinta sahaja sekarang.

Aku tarik nafas lega. Sekurang-kurangnya aku tak perlu nak berlakon bercintan-cintun dengan orang tua ini.

“Sebelum saya terlupa, Puan Marina kirim salam. Dia minta maaf sebab susahkan awak,” ujar Encik Kamal.

Aku menjawab dalam hati. Sebenarnya, bila Encik Kamal cakap aku tak perlu risau pasal anak dia, aku sudah tidak sedap hati.


AKU tarik perlahan pintu bilik majikan aku dengan perasaan bercampur baur. Aku tersentak melihat Hussin yang sedang tersengih di meja Emilia.

“Lama betul akak kat dalam? Lulus projek juta-juta ke?” Hussin menegur dengan fail di tangan.

Mungkin dia sudah lama menunggu untuk berjumpa Encik Kamal.

“Banyaklah kau projek juta-juta. Akak ni tak payah bentang kertas kerja, duit masuk berkepuk-kepuk,” ujarku selamba.

Emilia, setiausaha Encik Kamal, tergelak kecil.

Hussin hanya menggeleng kepala. Mungkin dia menyesal menegurku.

“Orang cantik apa pun boleh. Kan, Emy?” Hussin membalas kata-kataku sebelum melangkah masuk ke dalam bilik Encik Kamal.

Aku hanya balas dengan cebikan. Tetapi, mahu saja aku mengeyakan perkataan cantik itu. Hehehe.

“Emy, awak dah kerja sini berapa lama?” soalku.

Emilia yang sedang mencatat sesuatu, mengangkat muka memandangku.

“Kenapa? Awak dengar Encik Kamal nak ganti setiausaha ke?” tanyanya takut-takut.

Aku menepuk dahi. Sampai ke situ dia fikir. Aku salah bagi soalan ke?

“Bukanlah. Saja saya tanya,” ujarku sambil tergelak kecil.

Emilia membetulkan kaca matanya. Dia menggosok dada, lega.

Dia ingat dia nak kena buang kerja ke? Serba salah pula aku buat dia salah faham.

“Baru dua tahun. Kenapa?”

Aku membuat pengiraan. Maksudnya, aku bekerja lebih lama di syarikat ini. Sudah lima tahun aku berkhidmat di bawah Encik Kamal rupanya. Sekejap sahaja masa berlalu. Nampaknya usia aku sudah semakin bertambah.

Aku meninggalkan Emilia yang termangu-mangu menunggu jawapanku. Biarlah dia. Rasanya tak penting untuk aku jelaskan kepadanya.

“Kalau dia baru kerja, mana dia nak tahu pasal keluarga Encik Kamal. Aku yang kerja lama pun tak tahu pasal keluarga Encik Kamal.” Aku berdesis perlahan.

Niat untuk mencungkil rahsia tentang keluarga Encik Kamal terpaksa aku kuburkan.