AKU mengemaskan pakaian yang membaluti tubuh. Tudung di kepala juga aku betulkan. Hari minggu adalah hari yang paling bahagia untuk orang bujang seperti aku.
Aku baru 28 tahun, okey? Jiwa masih muda.
Baba pun tak bising aku tak kahwin lagi. Umi? Rindunya. Sudah 15 tahun umi meninggalkan kami berdua. Aku tiada adik-beradik. Hanya aku dan baba sahaja. Tapi, itu sudah melengkapkan hidupku.
Aku memasukkan tuala, T-shirt dan seluar legging ke dalam beg galas. Sebentar lagi aku akan ke studio. Sudah lama aku tidak mengeluarkan peluh.
Sebenarnya, aku suka melakukan yoga dan berzumba. Usia semakin bertambah, jadi terpaksalah aku menjaga penampilan dan kesihatan.
Tapi, aku tidak pernah mengajak rakan sepejabatku. Mampus kalau ketahuan. Tak pasal-pasal aku jadi bahan usikan mereka. Tambah-tambah Jacinta yang suka sangat mengusik aku. Itu belum masuk lagi si Mida, lagi haru. Nanti ada sahaja modal mereka untuk kenakan aku.
Sebut nama Mida, telefon aku berdering menandakan ada panggilan masuk. Panjang umur betul si Mida ni. Macam tahu-tahu sahaja aku sedang fikir tentang dia.
“Assalamualaikum, mama muda.”
Aku tercengang. Ini mesti kerja si Jacinta. Sudah aku pesan jangan buka cerita. Tak boleh pakai betul Jacinta ni. Ini sudah dikira pecah amanah!
“Waalaikumussalam, mama tua.” Aku membalas kembali sindirannya.
Mida ketawa terbahak-bahak di hujung talian. Suka betul dapat kenakan aku.
“Mentang-mentang aku pergi kursus kat Perak, kau pinggirkan aku macam tu je, kan?” Mida bersuara, seolah-olah berjauh hati dengan aku.
Aku menghela nafas berat. Ini seorang lagi nak cari pasal dengan aku. Ada-ada saja perangainya.
“Kau dengan Jacinta je tahu pasal ni. Aku harap habis dekat sini ajelah. Ni olok-olok jelah. Tak gila aku nak kahwin dengan orang tua tu. Lagi satu, kalau aku tak cerita pun, si Jacinta tu ada. Dia boleh jadi tukang sampai cerita. Tak payah tunggu aku buka mulut.” Aku sindir Mida dengan selamba.
Nak merajuk konon!
“Yalah, aku tahu. Jangan risau. Kalau tak pecah hari ni, pecah lusa.”
Aku menggeleng. Tengoklah kawan-kawan aku. Semua tak boleh percaya. Silap hari bulan, satu pejabat tahu.
Mida sambung gelak lagi. Happy semacam saja perempuan ni.
“Kau kenapa? Apa yang lawaknya? Tak habis-habis gelak.” Aku mendengus geram dengan gelagatnya.
Tidak habis-habis ketawa. Aku rasa menyesal pula angkat panggilan telefonnya. Patut aku biarkan sahaja tadi.
“Aku tengah bayangkan muka kau yang tengah bengang. Mesti kau rasa nak cepuk-cepuk Encik Kamal tu, kan?”
Pandai pula Mida meneka. Macam tahu-tahu saja perasaan aku ketika itu.
“Bukan setakat nak cepuk-cepuk, aku rasa nak buka gelanggang gusti sekali. Lagi-lagi anak dia tu. Aku rasa nak tumbuk je muka dia tu. Samseng betul,” tambahku.
Darah aku kembali mendidih apabila teringatkan wajah anak Encik Kamal. Tak pernah-pernah aku rasa mahu memukul seseorang sampai tahap begini.
Mida pula tak henti-henti ketawa. Aku syak otak dia dah miring sebab pergi kursus di Perak. Aku rasa banyak input yang keluar daripada masuk.
Aku mematikan panggilan kerana tidak tahan dengan tawa Mida. Permulaan hari minggu yang tidak begitu tenang. Bikin aku naik hantu saja.
AKU membelok kereta ke deratan bangunan berwarna oren. Terpampang besar papan tanda Bella’s Studio. Sudah hampir sebulan aku tidak menjejak kaki ke sini sejak kesibukan di pejabat melanda. Aku habiskan waktu cuti dengan hanya berehat di rumah.
Minggu ini, baru aku berkelapangan untuk melakukan aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh. Sudah lama aku tidak melakukan yoga. Badan aku pun dah hampir mereput. Asyik menghadap komputer, makan dan tidur.
“Aik, sejak bila ada gim sebelah ni?” Aku mendongak, membaca signboard yang megah tergantung tinggi di sebelah Bella’s Studio.
Dulu, rasa-rasanya hanya bangunan kosong sahaja.
Ramai pula manusia hari ini. Penuh parkir. Kebiasaannya hanya beberapa buah kereta sahaja memenuhi lot parkir di sini. Biasalah, bila kawasan sudah maju, ramai yang ambil peluang untuk bertapak di sini. Kawasan ini juga boleh dikatakan strategik dan kian membangun.
Aku berjalan keluar dari kereta dengan senang hati. Sempat aku menyanyi beberapa kerat lirik lagu yang menjadi runut bunyi daripada drama China yang aku tonton baru-baru ini.
Aku berhenti berjalan dan mengundur semula beberapa tapak. Aku termenung sejenak di hadapan sebuah kereta berwarna biru. Macam pernah tengok saja nombor plat kereta ini, tetapi aku malas berfikir lanjut. Jadi, aku meneruskan perjalanan ke Bella’s Studio.
“Lama tak nampak awak, Sakura. Busy sangat ke?” May menegur apabila aku melangkah masuk ke studio.
May, pemilik studio ini lebih suka memanggil aku dengan nama itu. Katanya barulah sweet girl. Apa yang sweet girl pun aku tak tahulah. Umur dah layak masuk kategori emak-emak orang dah.
“Ya. Banyak kerja di pejabat. Tu yang tak sempat nak datang sini. Mesti awak rindu saya, kan?” Aku mengusik May yang tiga tahun lebih tua daripada aku.
Aku perhatikan sahaja tubuh wanita kacukan Cina-Kadazan itu yang masih menawan seperti anak dara. Pasti orang yang melihat susuk tubuh May tidak akan sangka dia sudah mempunyai tiga orang anak.
“Mestilah saya rindu awak. Awak kan partner yoga terbaik saya. Orang yang terawal masuk kelas saya. So, awak sentiasa di hati.” May membalas usikanku.
Aku hanya mampu tergelak kecil. Comel pula dengar dia menyebut perkataan Melayu dengan sebutan yang sedikit pelat.
“May, sejak bila ada gim sebelah tu?” Aku mengambil tempat di sebelah May selepas siap menyimpan beg di dalam lokar yang sudah tersedia.
“Baru lagi. Dengar-dengar, anak orang kaya owner dia. Buka suka-suka, bukan mahu business betul-betul.” Suara May kedengaran seperti kurang senang dengan kehadiran jiran baru di sebelah.
“Macam tu pun ada ke?” Aku mengerutkan dahi.
Business main-main pun ada? Aku ingat kahwin main-main saja yang ada. Susah juga kalau ada duit banyak.
“Biasalah, budak muda,” sahut May perlahan. (Cek)
Aku mengangguk faham dan melangkah masuk ke dalam bilik yang dikhaskan untuk aktiviti bersenam. May juga sudah meminta diri untuk ke bilik kerjanya.
HAMPIR dua jam berada di kelas yoga, aku sudah kepenatan. Bayar mahal-mahal, tapi badan tidak mahu bagi kerjasama. Akhirnya, aku buat keputusan untuk pulang ke rumah.
Aku memandang kembali kereta biru yang masih elok terparkir di petak yang sama. Kereta biru? Oh, my God! Aku menekup mulut. Mata melilau memandang sekeliling.
Setelah ditilik dan diperhatikan secara dalam-dalam, barulah aku teringat. Kereta ini adalah kereta yang sering dipandu oleh Encik Kamal untuk ke pejabat.
Tetapi, aku pernah terdengar Encik Kamal beritahu kereta ini milik anaknya. Kadang-kadang saja Encik Kamal memandunya ke pejabat kerana anaknya tiada di sini.
Hati aku kuat mengatakan bahawa bukan Encik Kamal yang memandu kereta itu kerana Encik Kamal outstation ke luar negeri. Ini pasti...
“Aku ingatkan siapa. Kau rupanya.” Suara garau memecah kesunyian.
Aku terus memalingkan wajah. Kaget!
“Kenapa kau termenung depan kereta aku? Kau nak cari kekasih hati kau ke? Atau lebih tepat, ATM, kau?” soal Carl sinis.
Aku terpaku sejenak. ATM? Dia ingat aku mata duitan ke apa? Melampau betul!
Mata aku tidak lepas memandang kereta yang aku parkir tidak jauh dari tempat aku berdiri. Dalam kepala, aku sudah buat perkiraan untuk pecut ke sana. Baru sahaja aku hendak membuka langkah, lenganku direntap kasar dan diketatkan pegangannya.
“Mesti kau ingat papa aku yang bawa kereta ni, kan? Eh, kau cakap kau bakal isteri papa. Takkan kau tak tahu mana papa aku pergi?”
Aku memalingkan wajah daripada melihat wajahnya. Sungguh aku jelik dengan perangainya. Menyebalkan hati betul.
Sejak bila aku cakap aku bakal isteri papa kau? Tu semua keluar dari mulut bapak kau. Jangan kau nak putar belitkan fakta! Tak hingin aku jadi mak tiri kau!
Namun, aku hanya berkata-kata dalam hati sahaja.
“Kalau orang bercakap dengan kau, pandanglah sini. Aku bukannya bercakap dengan tunggul kayu.” Carl kembali menguatkan pegangan pada lengan aku.
“Lepaskan tangan saya. Baru saya pandang awak.”
Carl melepaskan pegangan pada lenganku. Dia sudah bersandar pada keretanya. Spek mata hitam menghiasi wajahnya. Kerek betul.
“Saya sibuk. Saya minta diri dulu ya.” Aku cuba berlembut sehabis baik. Tidak mahu menunjukkan amarahku.
Lagi-lagi lelaki ini anak majikan aku. Aku tidak mahu mencari lebih banyak masalah. Cukuplah dengan penipuan yang sedia ada.
Buat sakit kepala aku sahaja memikirkan soal Encik Kamal dan anaknya ini. Anak dengan bapak sama saja!
“Kenapa? Takut?” soal Carl sinis, memeluk tubuh.
Mata lelaki itu tidak lepas memandang aku. Terasa meremang bulu roma aku dibuatnya. Aku tahulah aku cantik, tapi tak payahlah pandang lama-lama.
“Takut? Saya tak ada masa nak takut dengan awak.” Pantas aku berpaling dan berlari ke kereta.
“Aku tak habis cakap lagi!” Carl melaung.
Aku berpaling semula dan senyum mengejek kepadanya. “Awak cakaplah sorang-sorang. Bye!”
Aku menutup pintu kereta dengan perasaan puas hati. Sebelum sesi maki hamun tercetus di situ, baik aku beredar. Sudahlah pandang aku macam hendak telan orang sahaja. Menakutkan betul.
“Tak guna!” Aku menjerit sekuat hati sebaik sahaja kereta meninggalkan kawasan studio.
Malang betul nasib aku. Dalam ramai-ramai manusia, anak Encik Kamal juga yang aku jumpa. Mulutnya boleh tahan juga. Habislah aku nanti.
Aku memang mulut lepas, tapi kalau bab menipu, memang aku gagal. Aku tidak suka ditipu dan menipu. Kalau setiap hari jumpa asyik kena warning saja, aku risau rahsia ini pecah.
Mahu sahaja aku buka mulut mengenai penipuan bapanya itu. Elok juga kalau dia ke luar negara semula. Balik ke Malaysia pun buat semak saja. Menyusahkan aku betul.
Muka sahaja boleh tahan, tapi mulut, nauzubillah. Lenganku pula sudah kemerah-merahan walaupun berlapik dengan lengan baju. Asyik-asyik tangan aku sahaja yang menjadi mangsanya. Silap hari bulan, tangan aku boleh berbalut dikerjakan oleh anak Encik Kamal.