Sehati Denganku

BAB 5

  • Art
  • Schaslee

BUNYI notifikasi WhatsApp mengganggu konsentrasi aku yang sedang memandu. Ini mesti geng-geng ofis punya chat. Tak henti-henti notifikasi masuk. Kalau tak bergosip, membawang. Itu sahaja kerjanya. Lelaki, perempuan sama sahaja.

Tidak lama kemudian, telefon aku berbunyi. Tertera nama Jacinta di talian. Cuti-cuti pun cari aku lagi. Tak boleh ke dia bagi aku bebas daripada gangguan dia? Sehari pun dah cukup.

“Sakura Arissa binti Yusuf.” Panjang lebar Jacinta menyebut namaku.

Ini mesti ada sesuatu yang dia mahukan.

“Assalamualaikum, Cik Jacinta.” Aku mengawal suara, serius.

“Waalaikumussalam. Hehehe.” Jacinta termalu sendiri.

Aku mengulum senyum. Kan dah kena. Buat lagi perangai selamba dia.

“Kenapa kau call aku? Tak jumpa sehari takkan dah rindu kut?” Selamba sahaja aku berkata.

Keretaku sudah membelok masuk ke kawasan perumahan yang aku sewa.

“Tak ada masa aku nak rindu kau. Baik aku rindu mak aku. Macam ni, lusa geng-geng ofis rancang nak buat potluck. Kau senyap aje dalam group. Jadi, aku call teruslah. Risau info tak sampai. Kau tengah drive ke?”

“Ya. Aku baru nak sampai rumah. Info tak sampai? Kau jangan buat lawaklah. Ingat aku tak reti membaca ke? Cuba kau cakap kau nak apa sebenarnya?” Aku sudah malas hendak main teka-teki dengannya.

“Kau masak sedap.” Kedengaran Jacinta bersuara malu-malu.

Aku tergelak. Kelakar betul si Jacinta ni. Tetapi, aku memang sudah dapat agak permintaannya.

“So? Kau nak request apa? Kau kalau bukan putus cinta, cerita pasal Hussin, pasal makan. Tak adanya kau nak call aku,” bebelku.

Aku sudah masak dengan perangainya. Bukan sehari dua aku kenal dia. Sudah bertahun lamanya.

Jacinta gelak besar. Dia dengan Mida sama sahaja perangai. Happy semacam. Masa kecil-kecil dulu makan apalah budak berdua ni agaknya.

“Ketupat sotong, boleh? Kau buat sedap. Orang Pantai Timur punya air tangan memang pergh! Terbaik,” pujinya melangit.

“Banyaklah kau. Sotong beli sendiri. Aku tolong masak aje. Jangan beli dua ekor macam hari tu. Nanti kang aku buat nasi goreng sotong je,” pesanku.

Jacinta ni kadang-kadang otaknya tak dapat diramal. Aku masih ingat lagi beberapa bulan lepas, dia minta aku masakkan ketupat sotong.

Aku sudah berpesan supaya dia membeli sendiri sotongnya kerana aku malas hendak ke pasar. Kesudahannya, dia beli dua ekor sotong sahaja. Katanya dia mahu makan dua ekor sebab itu dia beli dua ekor sahaja.

Geram sahaja aku tengok dua ekor sotong itu di dalam kuali. Buat habis gas aku sahaja. Tak padan nak masak ketupat sotong cuma dua ekor.

Hesy! Siapa punya idealah tiba-tiba nak buat potluck? Haru betul.

“Yalah. Kali ni aku beli banyak ekor. Thank you, baby. Love you. Muah!”

Panggilan diputuskan. Amboi, Jacinta, mentang-mentang dah dapat apa yang dia nak, terus matikan talian.

Selain daripada kaki gosip, rakan sekerja aku juga kaki makan. Tak hairan kalau dalam sebulan, dua, tiga kali mereka buat makan-makan.

Nasib baik Encik Kamal sporting. Kadang-kadang dia tumpang makan sekali.


AKU melangkah keluar dari kereta. Dari tadi aku bercakap di dalam kereta. Jiran aku sudah terjenguk-jenguk. Mungkin hairan mengapa aku tidak keluar dari kereta lagi.

“Intai apa, kak?” tegurku. Dari tadi aku perhatikan gelagat Kak Habsah.

Soalanku membuatkan Kak Habsah kaget. Mungkin dia tidak sangka kelakuannya dapat ditangkap olehku.

“Eh! Mana ada akak mengintai? Mengarut kau ni.” Sempat Kak Habsah menjawab sebelum berlalu masuk ke dalam rumah.

Tadi bukan main terhendap-hendap. Aku tanya, bengang pula. Kelakar juga perangai Kak Habsah. Kalau Abang Midi, suaminya, ada di luar rumah, aku rela berlama-lama di dalam kereta. Miang mengalahkan keladi.

“Dia risau Abang Midi ada sekali dengan akaklah tu.”

Aku memandang Hussin yang tersengih-sengih sambil mengilap kereta Kelisanya. Oh, lupa. Hussin sebenarnya berjiran dengan aku. Sudah setahun kami berjiran.

“Tak gila aku nak bawa laki dia. Mulut kau kan, aku cepuk jugak dengan kasut ni.” Aku menjeling Hussin.

Dia tahu aku tak suka dengan Abang Midi, lagi disebutnya nama lelaki itu. Dengar namanya sahaja sudah buat aku terbayang senyumannya yang menyeramkan.

“Cik Ta kau nak datang petang nanti. Pakai smart-smart ya,” ujarku seraya berlalu.

Hussin sudah tertunduk malu.

Cis! Malu sangat.

“Dia buat apa datang sini?” tanya Hussin, malu-malu.

Dia sudah mendekati bahagian tepi pagar rumah aku. Sempat tangannya bermain-main dengan tuala kecil yang digunakan untuk mengilap keretanya tadi. Naik menyampah pula aku dengan gelagatnya. Mengada sungguh.

“Hantar sotong. Untuk potluck.” Aku menjawab sambil mengeluarkan kunci dari beg dan disumbatkan ke dalam tombol pintu.

“Saya tak tahulah nak bawa apa. Bawa diri boleh?”

Pertanyaan Hussin mematikan langkah aku untuk masuk ke dalam rumah. Ada-ada sahaja budak ni.

“Kau kalau rasa nak makan tapak kaki aku, buatlah macam tu. Nanti Cik Ta kau bagi double special sekali.”

“Gurau aje, kak. Garang betul. Welcome-welcome kira jadilah, kak? Saya dahlah bujang.”

“Habis tu, kau nampak aku ada laki ke? Macam dia sorang yang bujang. Welcome-welcome? Jemput-jemput?” Muka Hussin aku lihat dengan pandangan tidak percaya.

Budak ni, melampau betul. Kalau Jacinta, elok saja belanja brownies. Kami, dia nak bagi makan jemput-jemput saja.

“Kira onlah, kak. Bukan selalu dapat makan jemput-jemput hasil air tangan saya.” Hussin pandang aku sambil tersengih-sengih.

“Suka hati kaulah. Aku cakap lebih-lebih nanti, sentap pulak.” Aku melangkah masuk ke dalam rumah.

Malas melayan Hussin. Budak itu bukan boleh kira sangat. Makin layan, makin menjadi. Naikkan darah aku saja. Dia dengan Jacinta sama sahaja.