“ARISSA, cepatlah. Mana ketupat sotong aku?” Jacinta sudah buat muka tidak sabar.
Aku baru sahaja sampai di pejabat. Kaki pun belum lagi sampai ke meja kerja. Rasa macam kena samun di tengah jalan pun ada.
“Kau ni macam kebulur sangat dah aku tengok. Tak makan ke?” Aku merungkaikan pegangan tangannya pada lenganku.
Jacinta tayang giginya yang elok berbaris. Wajahnya selamba sahaja. Tak tahu malu betul.
“Memang kebulur sangat-sangat pun. Aku sampai tak boleh tidur sebab teringatkan air tangan kau. Aku dah lama mengidam ketupat sotong kau tau. Sampai termimpi-mimpi. Alaaa, cepatlah.”
“Engkau ni, menipu je kerjanya. Tak boleh tidur konon. Lepas tu, termimpi-mimpi. Kalau tak tidur, macam mana boleh bermimpi? Kau makan apa semalam? Ubat gegat ke apa? Khayal semacam. Pergilah sana.” Aku mula berleter kepadanya.
Macam biasa, Jacinta hanya tayang senyum sumbing. Tangannya pantas mengambil beg kertas yang aku bawa. Sempat dia menghidu dan mencium-cium beg kertas itu.
Aku menggeleng kepala. Apa ke teruknya perangai budak ni? Ini baru mengandung lemak, mengidam lain macam. Kalau mengandung anak, parah betul laki dia. Haih!
Aku memerhatikan Jacinta yang sudah hilang ke pantri. Mida turut mengekor di belakang. Baru balik dari Perak, sudah masuk kerja. Rajin betul. Biasa culas hendak masuk pejabat. Aku kenal sangat perangai sorang-sorang.
“Ehem, ehem...” Seseorang berdehem di belakangku.
Suaranya mampu menaikkan bulu roma aku. Aku tidak lupa wangian ini. Wangian inilah yang melekat pada baju aku. Jenuh aku basuh, masih terlekat sisa baunya.
Mahal sungguh perfume dia. Basuh pun tak hilang. Padahal bukan kami berpelukan pun. Cuma, bersentuhan sedikit.
“Kau tak ada kerja ke tercegat kat sini? Kalau rasa nak jadi gad, aku boleh tukarkan kau sekarang. Nak?” Suaranya dingin dan penuh dengan sindiran.
Aku terus berpusing menghadap Carl. Eh! Penampilannya sudah bertukar. Beberapa hari lepas, aku lihat pemakaian dia sedikit selekeh. Hari ini elok sahaja berpakaian kemas. Berkemeja dan bertali leher. Segak pula aku tengok.
“Termenung apa lagi? Terkejut? Mulai hari ni, aku akan gantikan Encik Kamal. Papa aku masuk hospital.” Carl melangkah pergi selepas selesai berkata-kata.
Aku cuba mencerna kata-kata yang keluar dari mulutnya. Biasalah pagi-pagi, loading lagi.
Encik Kamal masuk hospital? Kenapa aku tak tahu mengenai perkara ini? Mesti orang lain juga belum tahu. Kalau tidak, mesti sudah kecoh dalam grup WhatsApp.
Aku mengekori langkah Carl dari belakang. Bukan ingin bertanya mengenai Encik Kamal, tetapi aku mahu ke mejaku. Mata sudah melilau mencari Jacinta dan Mida.
Bos baru sudah masuk bilik, pekerjanya masih lagi melantak di pantri. Haru betul.
Aku segera berlari anak ke pantri. Kelihatan Jacinta, Mida, Hussin dan Kak Nad sedang menyusun bekas makanan di atas meja. Jacinta sudah menyuap sesuatu ke dalam mulutnya. Jelas pipinya mengembung.
“Weh! Bos dah sampai.” Aku memberitahu, separa berbisik.
Hati sudah tidak senang duduk. Dalam kepala otak aku sudah memikirkan pelbagai kemungkinan.
“Alah! Biarlah dia,” sampuk Jacinta.
Mulutnya penuh dengan makanan. Tak senonoh betul.
“Entah kau ni. Encik Kamal pun takut. Macam tak biasa.” Kak Nad pandang aku.
Bibirnya yang merah sudah sedikit comot.
“Masalahnya sekarang, dalam bilik tu bukan Encik Kamal, tapi anak dia. Aku dah bagi tahu korang tau. Jangan cakap aku tak warning pulak.” Aku bergerak meninggalkan pantri.
Walaupun aku tidak berapa kenal dengan anaknya, namun melalui karakter yang aku lihat beberapa hari lepas, aku sudah dapat menilai. Dan yang pasti, aku tahu mulutnya tersangatlah puaka. Sekian.
BUNYI jeritan Carl memecah kesunyian di dalam pejabat.
Aku tersentak. Sempat aku mengintai ke arah pantri. Aik? Semua orang sudah elok di tempat masing-masing. Apa lagi yang tak kena?
Mataku sempat bertembung dengan anak mata Carl. Kebetulan aku terintai-intai. Tak sangka perbuatanku dapat ditangkap olehnya. Dia tersenyum sinis kepadaku.
Aku bangun, menuju ke arahnya. Sebelum nama aku dijerit dan dilaung, baik aku serah diri.
“Ada apa, Encik Ahmad Haikal?” Aku sebut nama penuhnya.
Nasib tiada bin. Nanti dia cakap aku perli dia pula. Nama itu aku tahu pun kerana si Hussin beritahu di group chat semalam.
Aku pun sudah lupa mengapa hal anak Encik Kamal ini berbangkit dalam group chat kami. Tiba-tiba sahaja semasa aku membaca deretan mesej yang masuk, namanya terselit sekali dalam banyak-banyak mesej yang masuk semalam.
Encik Kamal asyik sebut nama anaknya dengan panggilan Carl. Mati-mati aku ingat nama dia Carlos. Kemain nama omputih. Duk Carl, Carl. Tuannya muka Melayu.
Nasib baik kulit cerah, kalau tidak, tertukar juga dengan geng-geng kontraktor yang buat kerja di bangunan belakang.
“Nampak tak tu? Bersepah. Kemas sekarang!” Mulutnya dimuncungkan ke arah bekas-bekas polistirena yang penuh di permukaan tong sampah kecil.
Cis! Orang lain yang makan, aku pula yang kena!
Aku mencerlungkan mata ke arah Mida dan Jacinta yang turut terintai-intai ke arah kami. Jacinta dan Mida sempat membuat isyarat tangan, memohon ampun.
Aku melangkah masuk ke dalam pantri. Aku kemaskan meja dan menyusun beberapa bekas makanan. Plastik sampah sudah aku ikat kemas. Sepah sikit sahaja, over betul.
Nasib baik kami masih dibenarkan makan di pantri pejabat. Aku risau hak kami ditarik balik oleh bos baru ni. Naya kami.
Telingaku dapat menangkap bebelan Haikal dari luar. Ayat dia memang padu. Tak sanggup aku nak dengar. Aku mengekek ketawa apabila Haikal menyoal Jacinta. Tergagap-gagap Jacinta hendak menjawabnya.
“Apa yang kelakarnya?”
Aku tersentak. Aik, aku fikir dia sudah masuk dalam bilik. Ni apa kes melencong ke sini? Dia fikir aku curi tulang ke? Ingat aku pemalas?
“Tak ada apa-apa.” Aku bangun dari kerusi.
Tidak selesa berdua-duaan dengannya. Risau rahsia akan pecah.
“Hal kita tak settle lagi, Cik Arissa. Duduk dulu.” Haikal menghalang aku keluar dari pantri.
Hal apa lagi? Antara kita tiada apa-apa yang perlu diselesaikan. Saya hanya mangsa keadaan, bisik hati kecilku. Punggung, kembali aku jatuhkan ke kerusi.
“Encik Haikal nak cakap apa lagi?” Aku memandangnya kejap sebelum menjatuhkan pandangan.
Memang aku tidak berdaya untuk bertentang mata dengan Haikal.
“Kau bukan calon isteri papa, kan?” Haikal menyoal aku sambil berpeluk tubuh.
Peluh dingin mulai jatuh di dahiku. Ah, sudah!
“Apa yang Encik Haikal cakap ini?” Aku mengawal suaraku.
Aku memang susah hendak menipu. Terasa air liurku seperti tersekat di kerongkong. Aku hela nafas berat.
“Aku pelik. Bila aku cakap papa masuk hospital, kau langsung tak risau. Biasanya, kalau kita ada hubungan istimewa dengan seseorang sampai tahap nak berkahwin, kita akan kalut, risau bila pasangan kita sakit. Tapi, bagi kes Cik Arissa pula, saya nampak sesuatu yang bertentangan. Tak risau, tak resah. Macam tak ada perasaan. Betul, kan?” Panjang lebar Haikal bersuara.
“Kau bukan bakal isteri papa, kan?” Lagi sekali Haikal menyoal. Hujung ayatnya ditekan-tekan.
Aku buntu. Apa aku hendak jawab ni? Encik Kamal cakap jangan risau, tapi tengok, apa yang jadi? Patutlah aku tak sedap hati. Anak dia ni layak jadi inspektor. Tak pun jadi lawyer. Belum seminggu, sudah berjaya tutup kes.
“Aku tanya, jawablah. Kenapa susah sangat nak cakap?” Suaranya ditekan.
Walaupun nadanya halus, tapi ada ketegasan di situ.
Aku menghembuskan nafas, cuba untuk bertenang. Maafkan saya, Encik Kamal.
“Macam nilah, Encik Haikal. Memang betul saya bukan bakal isteri Encik Kamal. Jujur saya cakap, saya memang langsung tak berminat dengan Encik Kamal. Apatah lagi nak berkahwin dengan dia. Memang tak sama sekali!”
Aku bersandar pada kerusi. Terasa bebanan di dada sudah semakin berkurang.
“Mengaku pun kau. Kenapa susah sangat nak cakap? Berapa banyak papa aku bayar kau?”
Aku mengecilkan mata. Bayar? Dia ingat aku mata duitan sangat ke? Asyik dengan duit, duit.
“Encik Kamal tak bayar pun saya. Saya pun mangsa keadaan. Kalau Encik Haikal nak tahu, semua ni berpunca daripada Encik Haikal sendiri.” Aku menuding jari ke arahnya.
Aku juga punya hak untuk bersuara. Kalau dia mahu pecat aku, ikut suka hati dialah. Aku pasrah.
“Aku tahu,” jawab Haikal selamba.
“Kalau tahu, baguslah,” getusku.
Aku mengerutkan dahi. Eh, sekejap!
“Eh! Encik tahu? Encik tak rasa bersalah ke buat Encik Kamal macam tu?” Tiba-tiba aku rasa mahu naik angin.
Boleh pula dia jawab dengan selamba.
“Kalau aku tak rasa bersalah, aku tak datang pejabat hari ni. Papa masuk hospital pun sebab aku. Semalam kitorang bertekak.”
“Bertekak? Sebab saya?” potongku.
Laju sahaja Haikal menjentik dahi aku.
“Aduh! Sakitlah.” Suka hati mak bapak dia jentik dahi aku.
“Lain kali, jangan potong kalau orang tengah bercakap. Tak ada masa aku nak bertekak sebab kau. Ni pasal syarikat. Dahlah, pergi buat kerja kau. Menyemak!” getus Haikal.
Laju aku bangun dari kerusi. Dia yang datang sini, aku pula yang dikatanya menyemak. Aku pun tidak betah berlama-lama di sini.
“Kalau Encik Kamal tanya, macam mana?” Sempat aku bertanya.
Mata aku memandang Haikal yang berdiri tidak jauh dari tempatku. Aku risaukan perjanjianku bersama Encik Kamal.
“Papa sendiri dah bongkarkan semalam. Aku saja je nak test kau.” Haikal ketawa halus.
Dia nak uji aku? Ingat aku ni apa? Tabung uji? Dah lama aku tak pukul anak orang. Menguji kesabaran dan keimanan betul. Anak dan bapak sama sahaja. Dua-dua bikin pusing.
Aku teringatkan sesuatu. Aku kembali ke meja yang kami duduki sebentar tadi. Haikal memandangku hairan.
Aku mencapai beg kertas dan mengeluarkan satu Tupperware berwarna merah jambu. Aku letak di hadapannya. Baik pulak kau, Arissa. Tak sampai lima minit kau ada niat nak pukul orang, sekarang, beri makanan pula.
“Saya masak untuk budak-budak ofis. Biasanya Encik Kamal akan join kami sekali. Saya tak sangka pulak dia masuk hospital. Jadi, memandangkan dia tak ada, saya bagi encik ajelah.” Aku menolak bekas itu di hadapannya.
Sempat aku intai isi di dalamnya. Nasib baik masih ada. Walaupun aku sudah asingkan bekas, tapi risau dirembat oleh Jacinta.
“Apa ini?” Haikal mengerutkan dahi, hanya memandang sepi bekas itu.
“Ketupat sotong,” ujarku sebelum berlalu pergi.
Niatku hanya mahu bersedekah. Dia mahu makan ataupun tidak, terpulang.