Sehati Denganku

BAB 7

  • Art
  • Schaslee

AKU berpura-pura mengesat air mata apabila mendekati meja. Jacinta memandangku dengan pandangan bersalah. Mida juga sama. Aku tak cakap aku tak pandai berlakon. Aku cuma cakap aku tak pandai menipu. Ada beza di situ.

“Weh, teruk ke kau kena?” Jacinta mendekatiku apabila Haikal berlalu ke biliknya.

Sempat aku menangkap bekas berwarna merah jambu di tangannya.

Aku hanya mendiamkan diri, tidak menjawab pertanyaan Jacinta. Rasakan. Bukan selalu dapat bikin Jacinta kecut perut. Dia mana pernah lihat aku menangis.

Mida sudah menggosok belakangku. Aku menyembunyikan wajahku pada badan Mida. Merah mukaku menahan tawa. Sukanya dapat mengenakan Jacinta.

“Sorry la weh! Aku tak sempat kemas tadi. Kak Nad dengan Hussin blah macam tu je tadi. Arissa, aku minta maaf tau.” Jacinta menarik badanku menghadapnya.

Aku sudah tidak dapat menahan gelak.

Mida sudah mengekek ketawa. Bukan dia tidak tahu badan aku bergegar menahan gelak dari tadi.

“Tak guna kau kenakan aku. Siap kau, Arissa!” marah Jacinta.

Rancangannya untuk mencubitku tidak berjaya apabila dia melihat Haikal keluar dari biliknya. Cepat sahaja dia berlari ke tempatnya. Pandai pula kecut perut bila nampak bos muda itu.

“Arissa, ikut aku.”

Aku tersentak apabila Haikal mengetuk meja kerja aku. Wajahnya gusar. Sempat aku mencapai tas tangan. Beberapa pasang mata turut mengekori pemergian kami.

“Kenapa ni, encik?” soalku apabila kami sudah berada di dalam kenderaan milik Haikal.

Wajahnya nampak resah.

“Mama aku baru call. Dia cakap keadaan papa makin teruk,” ujar Haikal resah.

Aku dapat rasa nada bimbang di hujung suaranya.

“Tapi, kenapa Encik Haikal heret saya sekali ni?” Aku kebingungan.

Aish, takkan lepas dapat ketupat sotong aku dah lembut hati? Betul-betul kena jampi air tangan aku ni. Sempat lagi aku bermonolog dalam hati.

“Aku tak kenal sangat jalan sini, ingat-ingat lupa. So, hari ni kau jadi co-pilot aku.”

Keretanya sudah keluar dari pekarangan bangunan syarikat.

“Alah, encik ni. Google Maps kan ada. Tak pun encik Waze aje, kan senang? Siap ada yang tolong cakap, belok ke kanan, belok ke kiri. 300 meter pusing belakang.”

Haikal memandang aku tajam. Baru aku tersedar celoteh aku mengundang kemarahannya.

Pantas aku menekup mulut. Itulah kau, main cakap lepas saja. Nampaknya ketupat sotong kau tak cukup mujarab untuk lembutkan hati dia.

“Banyak cakap eh kau? Mulut macam mak nenek. Tak reti duduk diam. Aku suruh kau teman aku je kan. Itu pun banyak cakap. Nah, ambil phone aku, tengok Waze kebanggaan kau tu!” Telefonnya dicampak kepadaku.

Kelam-kabut aku menyambut. Nanti kalau telefon itu jatuh, aku juga yang dipersalahkan. Sudahlah telefon mahal. Memang tak sanggup aku nak ganti kalau rosak.

Aku pegang telefon Haikal yang sudah tersedia dengan aplikasi Waze.

“Pusat Perubatan Universiti Malaya.” Bibir aku menyebut perlahan alamat yang sudah tertera pada skrin.

“Apa kau cakap?” soal Haikal.

Kus semangat! Terperanjat aku dibuatnya. Tak menyangka Haikal dapat dengar suara halus aku. Dia ni pakai telinga cap apa agaknya?

“Tak ada apa-apalah, encik.”

“Ye ke? Ke kau carut aku?” Haikal serkap jarang.

“Astaghfirullah al-azim, Encik Haikal. Tak baik menfitnah tau. Saya ni tak adalah jahat sangat sampai nak carut-carut orang.” Aku membela diri.

Dia ni memang jiwa sensitif atau telinga sensitif? Tapi, ini sudah masuk kes mahu fitnah aku ni. Bahaya betul mamat ni.

“Habis tu, kenapa bisik-bisik?”

“Saya baca nama hospital ni je. Tak ada cakap yang bukan-bukan pun.”

“Mana la tahu, kau tak puas hati kena ikut aku pergi hospital. Itu yang duk kumat-kumit mulut tu,” bilang Haikal selamba.

“Eh, mana ada. Tak baik menuduh.” Mendatar suara aku.

Terasa wajahku ditampar dengan kata-katanya itu. Kalau cakap bab tidak puas hati, itu memang betul. Banyak perkara yang aku tidak puas hati dengannya.

“Aku tahu kau tak selesa dengan aku.”

“Mana encik tahu? Saya tak cakap apa-apa pun.”

“Aku tengok muka kau pun aku dah tahu. Tak payah tanya, dengan dalih-dalih kau, itu, ini. Aku dah tahulah,” tembak Haikal.

Nampaknya sasarannya tepat mengenai aku.

Aku gigit bibir, menahan perasaan. Terasa sesak pula di dada.

“Cuba Encik Haikal jujur dengan saya. Encik nak bawa saya pergi hospital ni atas sebab apa ya? Saya peliklah.” Aku kembali mengajukan pertanyaan tadi.

Dalam hati, aku dapat rasakan ada sesuatu yang dirancang oleh Haikal.

“Mama yang nak aku bawa kau. Ada hal penting katanya.”

Aku angguk mendengarkan jawapannya. Tetapi, jauh di sudut hati, aku masih belum berpuas hati dengan jawapannya itu.

“Kan elok cakap macam tu dari awal. Lagipun, alasan encik dah tak logik dah sekarang. Kita ni dah maju dengan teknologi, ada macam-macam. Dah tak perlu orang dah nak tunjuk-tunjuk jalan. Semua tu di hujung jari je...” Bicara aku termati sendiri apabila dapat jelingan maut daripada Haikal.

Mata dia ni memang fungsi untuk jeling orang saja ke?

“Engkau ni, ada je kan jawapan,” ujarnya. Seolah-olah sudah penat melayan percakapanku.