AKU membetulkan kain baju kurung yang aku pakai sambil berjalan mengekori Haikal yang jauh di hadapan. Laju betul mamat tu berjalan. Tahulah kau kaki kau panjang macam galah, tapi fikir jugalah aku di belakang ni.
Haikal kembali memusingkan badan. Dia tersenyum sinis melihat aku yang jauh ketinggalan di belakang.
“Tulah, siapa suruh kau pakai heels? Tak pasal-pasal kena tinggal.”
Kata-kata itu singgah di telinga aku apabila aku sudah hampir dengan tempat dia berdiri.
“Kalau encik tak heret saya kalut-kalut tadi, sempat saya tukar selipar tau.” Sempat aku membalas kata-katanya.
Bicara yang keluar dari mulutnya sentiasa buat aku rasa menyampah. Aku mencebik kepadanya. Dia tayang muka selamba.
Kaki kami melangkah ke bilik paling hujung.
Haikal mengetuk pintu beberapa saat sebelum membukanya perlahan. Kelihatan Puan Marina dan seorang wanita tua berada di dalam bilik tersebut. Encik Kamal hanya terbaring lemah. Pucat sahaja wajahnya.
Aku melontarkan senyuman apabila mata aku bertembung dengan Puan Marina.
“Eh! Arissa pun ada?” Puan Marina menghampiri kami berdua.
Aku mengerutkan dahi. Sah aku kena tipu dengan Haikal lagi, melihat pada reaksi Puan Marina yang tidak menjangkakan kehadiran aku. Patutlah aku rasa tak sedap hati.
Aku hanya mampu mengangguk dan tersenyum. Segera aku mengalihkan pandangan, melihat Haikal yang bermuka selamba.
“Encik nak kenakan saya ke?” Aku berbisik halus kepada Haikal setelah Puan Marina meminta diri untuk keluar membeli minuman.
Wanita tua yang berada di dalam bilik itu sedang berbicara bersama Encik Kamal. Wajahnya itu seolah-olah pernah aku lihat sebelum ini. Tapi, siapakah gerangannya?
“Kalau aku tak jawab macam tu, mulut kau nanti asyik bunyi.” Selamba Haikal berkata.
Terkena lagi aku! Banyak helah rupanya si Haikal ni.
“Siapa ni, Carl? Wan tak pernah tengok pun?” Wanita tua itu mendekati kami berdua.
Oh, patutlah! Ibu Encik Kamal rupanya. Patutlah aku rasa macam kenal.
“Wan rasa ni siapa?” soal Haikal.
Mataku bulat memandangnya. Boleh pula dia soal nenek dia balik. Tak patut betul.
“Eh! Tanya wan pulak. Mana wan tahu?” Kedengaran suara tua itu ketawa halus.
Mungkin lucu dengan gurauan tidak bertempat cucunya itu.
Aku berdehem kecil sebelum memulakan bicara. Aku tak rasa Haikal akan kenalkan aku kepada neneknya.
“Saya Arissa.” Cepat-cepat aku memperkenalkan diri.
Kalau tunggu Haikal buka mulut nanti, apa pula yang dikatakannya. Otaknya bukan betul sangat.
“Oh! Arissa. Kawan Carl ya?”
“Eh! Tak! Tak! Tak! Saya pekerja Encik Kamal.” Laju sahaja mulutku menidakkan.
Tak kuasa aku nak berkawan dengan cucu dia.
Aku memandang Haikal yang bangun, menuju ke arah bapanya yang baru sahaja terlena selepas mengambil ubat. Dia tidak ambil pusing dengan perbualan aku bersama neneknya.
“Arissa asal mana, tinggal di mana?”
“Saya asal Terengganu. Sekarang saya menyewa di Taman Angsana.”
“Ooo... Orang Pantai Timur rupanya. Patutlah cantik. Ada berapa orang adik-beradik?”
“Saya anak tunggal.” Aku tertunduk malu.
Segan pula bila dipuji. Kembang semangkuk aku dibuatnya.
Kesemua soalan itu berjaya aku jawab walaupun rasa sedikit gugup. Sudah lama aku tidak diajukan dengan soalan-soalan begini.
“Arissa tak ada boyfriend ke? Nak wan kenalkan?” Hajah Nasriah tidak henti-henti membelek jari-jemariku.
“Tak apalah, Puan Hajah. Saya dah ada calon dah.” Tipu sunat tak apa kut.
Perlahan-lahan aku menarik jari-jemariku. Tidak selesa rasanya. Sudahlah tanganku berpeluh. Ini dibelek-belek. Apa agaknya yang hendak ditilik oleh Hajah Nasriah agaknya?
“Janganlah panggil Puan Hajah, panggil wan.” Lembut sahaja suaranya.
“Ala! Ruginya! Tadi wan ingatkan Carl dah bawak calon isteri. Sengaja betul nak bagi wan harapan palsu,” sambungnya lagi.
Aku pula yang jadi serba salah. Padahal bukan salah aku pun.
“Wan, janganlah cakap macam tu. Nanti adalah tu jodoh Encik Haikal.” Aku memujuknya.
Makin tidak betah berlama-lama di sini.
Haikal sudah duduk di samping Encik Kamal. Mungkin dia sedang menyesali tindakannya. Matanya tidak lepas daripada merenung wajah Encik Kamal.
Yang menjadi persoalan, kenapa aku perlu berada di sini? Bukan aku tidak sudi menziarahi Encik Kamal, namun keadaan ini bagaikan sedikit asing bagiku.
“Arissa jangan risau. Dia orang selalu macam tu. Wan pun tak faham. Asyik bergaduh, bertengkar aje kerjanya.”
Lamunanku tersentak mendengar bicara Hajah Nasriah. Mungkin perbuatanku merenung cucunya berjaya ditangkap olehnya.
“Anak dengan bapa sama-sama tak mahu mengalah. Maka, nilah yang terjadi. Wan risau Haikal tu makin baran perangainya. Kalau dia kahwin, mungkin elok sikit perangai. Kan, Arissa?”
“Ha’ah, betullah tu, wan. Kena kahwin agaknya.” Aku menyokong separuh rela.
Kenapa aku pula yang ditanya? Hajah Nasriah ni ada maksud lain ke? Asyik sebut soal kahwin sahaja. Makin risau pula aku dibuatnya. Dia nak minta tolong aku carikan jodoh untuk cucu dia ke apa?
“Wan ni dah tua. Nak juga tengok Haikal kahwin. Kakak-kakak dan abang dia pun dah kahwin.”
“Aduh! Tak habis lagi ke?” gumamku perlahan.
Aku memandang wajah Hajah Nasriah yang sugul.
“Wan carikanlah calon untuk Encik Haikal. Mana tahu, mungkin ada yang dia berkenan.” Pandai-pandai sahaja aku memberi cadangan.
Lantas mataku terpaku melihat Haikal yang memandangku tajam. Eh, lupa. Telinga lintah. Aku menutup mulutku.
Hajah Nasriah hanya ketawa dan mengangguk, mengeyakan kata-kataku.
Sebelum aku sempat bersuara lagi, Hajah Nasriah meminta diri untuk ke tandas. Dia dibantu oleh Puan Marina yang baru sahaja menapak masuk ke dalam bilik.
Haikal lantas berjalan menghampiri dan duduk di sebelahku.
“Wan borak apa dengan kau?” soalnya perlahan.
“Borak-borak kosong aje.”
“Pandai kau eh? Racun Wan aku suruh carikan calon isteri.”
“Saya cakap aje. Tak ada maksud lain pun. Lagipun wan encik tu dari tadi duk cakap pasal kahwin. Saya layankan aje.”
“Bagus. Tulah fungsi aku bawak kau. Kalau tak, aku yang kena soal jawab.” Haikal ketawa.
Aku menggigit bibir menahan geram. Aku dipergunakan rupanya.
“Encik kahwin jelah. Kan senang?” Aku menyandarkan belakang pada sofa dan menghela nafas seketika.
“Kau ingat kahwin ni macam pilih sotong kat pasar?” Haikal turut menyandarkan belakangnya ke sofa.
Dia memandangku sejenak sebelum memandang ke luar tingkap.
Aku turut memandang ke luar tingkap. “Hujan?”
Kelihatan rintik-rintik jernih air hujan bertapak pada cermin tingkap. Tidak menyangka cuaca yang panas terik tadi sudah bertukar wajah.
“Hujanlah. Takkan salji pulak.” Ada sahaja jawapan menjengkelkan daripada Haikal.
“Encik memang nak cari pasal dengan saya, kan?” Aku memandangnya geram.
Mulalah tu mahu cari pasal dengan aku. Tadi seronok mahu menguji aku konon. Kalau aku betul-betul mengaku jadi kekasih bapak dia, baru tahu. Nanti ada yang tak tentu arah.
“Aku buat apa pada kau? Ada aku cubit-cubit kau ke? Tak ada, kan?”
“Hish! Malaslah nak cakap dengan encik.” Aku rasa menyirap dengan perangainya. Sebal sungguh.
Lantas aku bangun dan mendekati cermin tingkap. Aku memeluk tubuh dan memerhatikan air hujan yang makin lebat membasahi bumi. Terasa hembusan nafas hampir dengan tubuhku.
“Kau marah aku ke?” Haikal bertanyakan soalan yang sudah terbukti jawapannya.
“Tak adalah, cuma malas nak bertekak dengan encik.”
“Kalau marah, cakap. Tak payah berdalih.”
“Kata ketua tak baik dilawan.”
“Eleh! Tadi bukan ke kau dah lawan aku?”
“Encik tak penat ke? Saya ni kalau cakap banyak-banyak pun penat tau.” Nadaku sedikit tinggi.
Aku mendengus seketika. Aku menolak tubuhnya menjauhiku. Rimas betul dengan kelakuannya. Tak pasal-pasal ada yang makan siku aku.
“Janganlah cakap kuat-kuat. Papa aku tengah tidur.”
Haikal langsung tidak berganjak dengan tolakanku. Mataku terus melihat Encik Kamal yang sedikit bergerak. Mungkin terganggu dengan suara kami. Aku menutup mulutku rapat.
“Kau rasa papa marah aku lagi ke?” Haikal kembali bersuara. Suaranya sedikit bergetar.
Aku menghela nafas. “Encik tak tanya Encik Kamal sendiri ke?”
Aku kalau bahagian pujuk orang, memang gagal. Memang tak reti.
“Macam mana aku nak tanya? Tengok muka aku pun dia tak mahu. Mama punyalah dua jam pujuk dia makan ubat, dia tak nak makan. Nampak aku, terus dia makan ubat.”
Aku tergelak kecil. Terasa agak lucu dengan kelakuan Encik Kamal.
Haikal memandangku hairan. Aku berdehem seketika.
“Tapi, eloklah tu. Sekurang-kurangnya kehadiran encik boleh buat Encik Kamal makan ubat. Kiranya dapat membantu juga. Encik, boleh saya tanya sesuatu?” Aku bermain dengan jari-jemariku.
Gusar untuk mengeluarkan persoalan yang bermain di minda.
“Sejak bila pandai minta izin? Tanya ajelah. Kau nak tahu kenapa papa aku boleh jadi macam ini?” tebaknya.
Aku segera mengangkat wajah dan mengangguk. Tidak menyangka dia berjaya meneka persoalan yang bermain di mindaku.
“Kalau encik rasa tak selesa, tak payah cerita. Kita bukannya rapat sangat.”
“Rapat macam mana? Macam ni?” Haikal merapatkan badannya ke arahku.
“Encik pernah makan kaki tak? Kalau kasut saya naik ke muka encik, tak pasal-pasal encik baring sebelah Encik Kamal pula.” Aku menjelingnya.
Aku tengah bercakap perkara serius, dia main-main pula.
Haikal sudah mengekek ketawa. Tak guna betul!
“Garang giler kau ni. Kecil-kecil makan apa?” soal Haikal dengan tawa yang masih tersisa.
“Naga,” jawabku sepatah.
Aku membuat isyarat supaya Haikal berhenti ketawa. Makin kuat tawanya. Dia baru sahaja menegur aku supaya tidak bercakap dengan nada kuat. Sekarang, sudah terbalik jadinya.
Aku turut menekup mulut menahan tawa. Terasa lucu dengan telatahnya.
Sebenarnya aku sendiri tidak faham dengan situasi ini. Pagi tadi aku dimarahinya, sekarang aku menemaninya di hospital, kami bertengkar dan sekarang ketawa bersama.
“Amboi, sakan gelak.” Hajah Nasriah menegur kami berdua.
Aku pantas berhenti ketawa. Termalu sendiri apabila perbuatan kami ditangkap oleh mereka.
Hajah Nasriah mengukir senyuman manis.
“Apa yang seronok sangat, Arissa, Carl?” Puan Marina pula bersuara.
Haikal memalingkan wajah. Telinganya memerah dan badannya masih bergegar. Aku tidak menyangka Haikal ini seorang yang suka ketawa.
“Ehem... Encik Haikal ni buat lawak, puan, wan. Saya tak tahu pulak Encik Haikal ni kelakar orangnya.” Sempat aku memerli Haikal.
Tidak lama kemudian, kedengaran telefonku berbunyi. Sebenarnya dari tadi aku perasan telefon aku asyik bergetar. Lantas aku meminta diri untuk keluar, menjawab panggilan.
“Helo?”
“Kau pergi mana? WhatsApp tak berbalas. Aku dengan Mida tunggu kau dari tadi. Dah habis waktu lunch dah ni.” Jacinta berceloteh di hujung talian.
“Sorry. Keadaan kat sini tak mengizinkan aku untuk tengok phone. Aku kat hospital, temankan Encik Haikal.”
“Wah! Wah! Dah pandai berteman sekarang!” sembur Jacinta.
Aku dengar suara Mida galak ketawa.
“Kami datang jenguk Encik Kamal. Kau jangan macam-macam,” jawabku.
Sempat aku ceritakan tentang sesi soal jawab bersama Hajah Nasriah. Makin galak Jacinta dan Mida mengekek di hujung talian.
“Tulah kau. Bagi lagi ketupat sotong. Kan dah sangkut dengan air tangan kau,” usik Jacinta di hujung talian.
“Tak ada maknanya. Kau duk sebut ketupat sotong ni mesti sebab kau nak lagi, kan? Tak cukup ke?” tebakku.
“Ya Allah! Aku bersyukur kawan aku ni memang cerdik orangnya. Betul, weh! Tak cukup. Kak Nad rembat aku punya. Aku dah simpan elok-elok dalam laci. Sikit lagi nak ngap, dia mai daaa..” Jacinta bercerita bersungguh-sungguh.
Ada-ada sahaja perangai lucunya itu. Sebelum aku mematikan talian, sempat aku membuat janji kepada Jacinta. Selagi tak berjanji hendak masak ketupat sotong, selagi itu dia tidak mahu mematikan talian.