SUDAH jemu Aimi Najwa membuat pelbagai gaya di atas pelamin Gold Wedding. Kadang-kadang malu juga apabila ada pengunjung lain turut mengambil gambarnya sewaktu dia sedang bergaya.
Sepupunya Rizal ditugaskan untuk mengambil gambarnya. Rizal memang bekerja dengan kakaknya sebagai jurugambar dan cuma pada karnival pengantin musim ini sahaja Rizal menjadi model pembukaan memandangkan Juhana tidak sempat mencari model pengantin yang lain. Dan seorang lagi mangsa Juhana adalah Aimi Najwa sendiri.
Juhana begitu gembira apabila ramai pengunjung datang membuat tempahan di booth Gold Wedding. Dia merasakan Aimi Najwa adalah tuahnya dalam mendapat pelanggan yang begitu ramai.
“Rizal, bila nak habis ni? Aku penatlah,” rungut Aimi Najwa perlahan.
Sudah jemu dia berposing pelbagai gaya di hadapan pintu gerbang Gold Wedding.
“Sikit saja lagi,” beritahu Rizal sambil mencuri pandang Rohani yang sedang leka melayan pelanggan yang bertanyakan tentang busana pengantin.
Secara diam-diam dia mengambil gambar Rohani. Tetapi, tindakannya itu dapat dihidu oleh Rohani dan gadis itu tersenyum kepadanya. Rizal turut membalas senyuman rakan sekerjanya itu.
Aimi Najwa hanya tersengih apabila melihat perbuatan Rizal terhadap Rohani.
“Kau suka dia eh?” usiknya.
“Isy, mana ada!” sangkal Rizal apabila perbuatannya disedari oleh Aimi Najwa.
“Habis, kenapa kau ambil gambar dia senyap-senyap? Aku tahu kau suka Rohani, kan?” usik Aimi Najwa sambil ketawa kecil.
“Ada-ada sajalah kau ni. Ermm, kita rehat dululah. Aku pun dah penat,” ujar Rizal seraya melabuhkan punggung di atas kerusi pelamin, di sebelah Aimi Najwa.
“Aik? Tadi cakap ada sikit lagi. Malulah tu.” Aimi Najwa menyakat sepupunya lagi.
Dia dengan Rizal memang sepupu yang amat rapat kerana dia dan Rizal sebaya. Ada sahaja usikan yang selalu dikenakan kepada sepupunya kerana Rizal kadang-kadang seorang yang pemalu.
“Ermm, apa-apa sajalah,” jawab Rizal acuh tak acuh. Sengaja dia berkata begitu supaya Aimi Najwa tidak terus mengusiknya.
Dia begitu maklum Aimi Najwa memang suka menyakatnya sejak mereka kecil lagi. Dan tak kisahlah kalau dia berani melawan sesiapa yang buat dia naik angin. Insiden yang diceritakan oleh Juhana tentang Aimi Najwa petang tadi betul-betul mencuit hatinya
“Rizal, akak dengan Abang Naz nak ke pentas depan. Kejap lagi akan diumumkan butik mana yang menang dalam pertandingan karnival pengantin. Rizal tolong jaga booth ni dengan Ani dan pekerja-pekerja lain ya?” beritahu Juhana.
Dia bersama Nazri sudah pun bersiap sedia untuk ke depan, mendengar keputusan yang akan diumumkan tidak lama lagi.
“Baik, Kak Ju,” jawab Rizal dengan patuh. Gembira juga dia apabila ditugaskan bersama Rohani untuk menjaga booth Gold Wedding.
“Aimi pula macam mana? Boleh Aimi salin gaun ni sekarang? Rimaslah,” rungut Aimi Najwa lalu wajahnya dimasamkan.
Juhana menggeleng.
“Kejap lagi baru boleh salin. Please, tolong Kak Ju kali ni saja. Ramai pelanggan datang sini sebab tengok model Gold Wedding yang cantik jelita ni. Sekali gus menambahkan pendapatan akak. Nanti Kak Ju bagi Aimi komisyen ya,” bisik Juhana lalu tersenyum puas.
Dia tahu adiknya memiliki kecantikan yang asli sepertinya juga. Mengikut uminya, Juhana dan Aimi Najwa lebih mengikut nenek moyang abahnya yang berketurunan Belanda.
Aimi Najwa mula berasa geram dengan sikap kakaknya. Dia merasakan Juhana mengambil kesempatan ke atas dirinya setelah sekali lagi dia bersetuju untuk menjadi model pengantin malam ini. Sebelum sempat Aimi Najwa membuka mulut, cepat-cepat Juhana memberi isyarat kepadanya.
“Tunggu sini. Sekejap saja. Nanti Kak Ju nak ambil gambar Aimi bersama kami di hadapan premis Gold Wedding ni,” beritahu Juhana seraya mengenyitkan mata kepada adiknya. Terus dia hilang di celah-celah orang ramai.
Aimi Najwa mengeluh. Dia sebenarnya rimas dengan situasi begini. Tambahan pula badannya terasa amat letih disebabkan kerja di pejabat yang banyak siang tadi. Tiba-tiba datang seorang kanak-kanak perempuan yang berusia lima tahun ke arahnya. Cukup comel sekali wajahnya.
“Kakak cantik, minta autograf boleh?” tanya kanak-kanak perempuan itu dengan petah. Sekeping kertas dihulurkan kepada Aimi Najwa.
Aimi Najwa tercengang seketika.
“Damia, kamu buat apa ni, sayang?” tegur seorang wanita yang lebih kurang sebaya Juhana kepada anak perempuannya.
“Damia nak minta autograf kakak cantik ni. Wajah dia macam Barbie Damia yang kat rumah tulah. Cantik kan, mama?” beritahu kanak-kanak itu lagi.
Gulp! Aimi Najwa menelan air liurnya. Barbie? Kau samakan aku dengan anak patung Barbie? Eee... tolonglah sikit, budak. Aku dahlah penat macam orang bodoh kat sini, gerutu hati Aimi Najwa.
“Maaflah, adik. Anak akak ni memang macam ni. Maaf ya,” ucap wanita itu lalu menarik tangan anaknya.
Namun, anaknya yang bernama Damia itu tetap tidak mahu berganjak.
“Mama, suruhlah kakak cantik ni tandatangan kat kertas Damia ni.”
Timbul perasaan belas kasihan dalam hati Aimi Najwa apabila melihat kanak-kanak perempuan yang bernama Damia itu mula merengek kepada mamanya. Kanak-kanak itu nampak beria-ia mahu mendapatkan autografnya.
“Damia, tak boleh macam ni, sayang. Nanti mama belikan coklat untuk Damia ya,” pujuk wanita itu lagi.
“Tak mengapalah, kak. Dia kan budak-budak lagi. Ermm, adik comel ni nama apa ya?” soal Aimi Najwa lalu rambut halus kanak-kanak itu diusap perlahan.
“Damia Aisya,” beritahu kanak-kanak itu.
“Cantik nama tu. Tunggu sekejap ya.” Aimi Najwa mula mencari kelibat Rizal dan Rohani di situ untuk meminjam pen.
Mujurlah waktu itu Rizal sedang melayani pelanggan tidak jauh daripadanya. Segera dia melaungkan nama Rizal. Tergesa-gesa Rizal datang ke arahnya.
“Ada apa?” soal Rizal apabila sudah hampir dengan Aimi Najwa.
“Pinjam pen sekejap.”
“Pen? Kau nak buat apa?” soal Rizal terpinga-pinga.
“Adalah...”
Tanpa banyak soal, terus Rizal memberi pennya dan berlalu dari situ untuk melayani pelanggannya semula.
“Maaflah, adik. Anak akak ni menyusahkan adik saja,” ucap wanita itu dengan rasa serba salah.
“Tak mengapalah, kak. Lagipun Damia ni budak-budak lagi,” beritahu Aimi Najwa lalu duduk bertinggung di hadapan Damia.
Kertas kosong yang berada di tangan Damia diambil dan dikembalikan semula dengan tandatangannya.
“Terima kasih ya, kakak cantik,” ucap Damia dengan nada gembira.
“Terima kasihlah, adik. Maaf mengganggu. Kami pergi dulu ya,” ucap mama Damia. Segera mereka berdua berlalu dari Gold Wedding.
Entah di mana silapnya, ketika Aimi Najwa hendak bangun, kakinya terpeleot dan sempat tangannya memegang tubuh seorang lelaki yang berada di sebelahnya. Dengan rasa terkejut, lelaki itu turut memaut pinggangnya. Seperti dalam filem Hindustan pula gaya mereka.
Berderau darah Aimi Najwa apabila melihat wajah lelaki yang menolongnya. Hah! Mamat ni lagi?
“Ashraf, kenapa ni?”
Teguran suara seorang wanita mengejutkan Aimi Najwa. Hah? Cepat-cepat Aimi Najwa memalingkan tubuhnya daripada menghadap lelaki dan wanita yang dimarahinya petang tadi.
“Cik pengantin tak apa-apa ke?” soal lelaki yang menyelamatkannya.
Aimi Najwa hanya kaku di situ tanpa berpaling. Dia berharap lelaki dan wanita ini tidak mengenalinya kerana dia sangat malu dengan keadaannya berpakaian pengantin seperti ini.
“Ashraf, you kenal ke girl ni?” soal teman wanita lelaki itu lagi.
“Kan kita jumpa dia... err...” Kata-kata lelaki itu mati di situ.
Jantung Aimi Najwa semakin berdegup kencang. Dia dapat merasakan lelaki itu masih mengingati wajahnya. Perlahan-lahan kakinya berundur untuk pergi dari situ.
“Cik pengantin!”
Laungan lelaki itu langsung tidak dipedulikan Aimi Najwa. Dia mula menyembunyikan diri di celah-celah pelanggan Gold Wedding dan cuba menyibukkan dirinya, bermesra dengan pelanggan.
Rizal yang melihat kemesraan sepupunya melayani pelanggan sedikit hairan kerana Aimi Najwa tidak pernah berminat dengan kerjaya ini.
Dalam diam Aimi Najwa mengintai lelaki itu sama ada dia sudah berlalu pergi dari booth Gold Wedding. Namun, sangkaannya meleset kerana lelaki itu masih memerhatinya dari jauh. Aimi Najwa semakin rimas.
Sewaktu Rizal berteriak gembira apabila pengacara majlis mengumumkan Gold Wedding sebagai pemenang pelamin terindah, barulah lelaki itu hilang di celah-celah pengunjung yang lain. Aimi Najwa menarik nafas lega.