Dia Pengantinku

BAB 5

  • Art
  • Nurfaza Alisya

DATUK SYED ALWI dan isterinya, Datin Tengku Faridah masih menanti anak tunggalnya untuk bersarapan bersamanya pada pagi itu. Semalam, setelah mereka berdua menyambut kepulangan Syed Ashraf dari KLIA, terus anaknya itu meminta diri untuk meneroka bandar raya Kuala Lumpur yang sudah bertahun-tahun ditinggalkannya.

Pada mulanya, mereka agak keberatan untuk membenarkan Syed Ashraf terus bersiar-siar sebelum pulang ke rumah. Tetapi, apabila melihat anaknya yang begitu terdesak, Tengku Faridah dan suaminya terpaksa akur.

“Mak Wan dah panggilkan Ashraf supaya turun makan?” soal Datin Tengku Faridah kepada pembantu rumahnya.

“Sudah, Datin. Dia beritahu sekejap lagi dia turun,” beritahu Mak Wan lagi.

“Mak Wan marilah sarapan dengan kami sekali,” ajak Datuk Syed Alwi ramah.

“Mak Wan dah makan dah tadi. Datuk pun tahu Mak Wan biasa makan awal,” jawab Mak Wan mesra.

“Tak apalah, Mak Wan. Marilah makan dengan kami sekali lagi,” ajak Datin Tengku Faridah pula.

“Mak Wan dah kenyang, Datin. Mak Wan ni dah tua, makan kena berjaga-jaga. Tak boleh banyak-banyak,” ujar Mak Wan seraya meminta diri untuk melakukan tugasnya di dapur.

“Abang tengoklah. Dah dekat pukul 9.00 pagi, tapi tak turun-turun lagi anak teruna kita sorang tu,” omel Datin Tengku Faridah kepada suaminya.

“Kejap nanti turunlah tu. Kan Mak Wan dah beritahu tadi,” jawab Datuk Syed Alwi sambil membelek surat khabar hari ini.

“Memanglah. Macam mana dia nak gantikan abang bekerja di Syarikat Permai Holding tu kalau nak bangun pagi pun payah,” bebel Datin Tengku Faridah tidak senang hati. Hanya itulah satu-satu anak yang dia ada.

Datuk Syed Alwi berhenti daripada pembacaannya. Dia akui kata-kata isterinya itu benar. Tetapi, memandangkan anaknya baru sahaja tamat belajar di Melbourne, dia harus memberi sedikit masa untuk Syed Ashraf memahami selok-belok syarikatnya. Dia sendiri maklum Syed Ashraf adalah satu-satunya pewaris Permai Holding dan kekayaan yang dimilikinya.

“Good morning, mummy, daddy.” Syed Ashraf yang baru sahaja turun untuk bersarapan bersuara.

Lebih mengejutkan Datin Tengku Faridah apabila anaknya itu masih berbaju tidur. Suaminya hanya bersikap selamba kerana sudah faham dengan sikap anak teruna mereka itu.

“Ashraf, kenapa tak bersiap lagi? Hari ini daddy nak ajak kamu ke pejabat.”

“What? Betul ke, daddy? Tapi, Ashraf kan baru balik,” ujar Syed Ashraf dengan perasaan terkejut.

“Ya, betul tu. Mummy kamu yang suruh daddy ajak kamu ke pejabat untuk melihat keadaan di sana. Pukul 10.00 pagi nanti daddy ada meeting dengan Setia Jaya. Daddy bagi kamu masa 20 minit untuk bersiap,” beritahu Datuk Syed Alwi lalu meneguk kopi di hadapannya.

“But, mummy, daddy... I...”

“No! No! Mummy tak nak dengar apa-apa alasan. Semua yang Ashraf nak, mummy dan daddy dah ikut. Ashraf nak sambung Masters hingga PHD kat Melbourne, kami dah bagi kelonggaran kepada Ashraf. Cuba tengok Ashraf sekarang. Umur Ashraf dah 30 tahun. Ashraf banyak habiskan masa dengan belajar saja, kan? Sekarang adalah masa untuk Ashraf terjun dalam bidang kerja pula,” beritahu Datin Tengku Faridah dengan panjang lebar.

“Tapi, takkan hari ni, mummy. Bagilah Ashraf masa untuk berehat, tenangkan diri dulu sebelum Ashraf melibatkan diri dalam dunia perniagaan. Lebih-lebih lagi dunia korporat macam daddy ni. Please, mummy...” Syed Ashraf cuba membela diri.

“Mummy tak setuju. Ashraf satu-satunya anak kami. Ashraf tak fikir ke nak kerja, berumah tangga? Look at your friends. Mereka dah ada dua tiga orang anak, Ashraf. Takkan Ashraf nak hidup membujang saja sampai ke tua?”

Datuk Syed Alwi semakin berminat dengan kata-kata isterinya. Teringin juga dia untuk menimang cucu. Tambahan pula Syed Ashraf adalah satu-satunya anak mereka. Bukan dia dan isterinya tidak mahu anak yang ramai, tetapi itu sahaja rezeki yang dikurniakan kepada mereka.

“Ermm, daddy setuju dengan kata-kata mummy tu, Ashraf. Kalau boleh, sekarang juga daddy nak kamu kahwin. Daddy dan mummy ni dah tua. Sepatutnya masa untuk enjoy dah tak ada dalam kamus hidup kamu tu,” cetus Datuk Syed Alwi pula.

“Payah nak cari perempuan yang baik zaman sekarang ni, daddy,” jawab Syed Ashraf acuh tak acuh.

Hanya dia seorang yang tahu kenapa dia begini. Semuanya kerana dia kehilangan cinta pertamanya. Diambil sekeping sandwic lalu disuap ke dalam mulut.

“Daddy boleh carikan untuk kamu,” ujar Datuk Syed Alwi sambil mengangkat kening ke arah isterinya.

Hampir terbelahak Syed Ashraf menelan sandwicnya. Cepat-cepat jus oren dicapai. Seketika dia terbatuk-batuk sebelum bersuara. “No, daddy. Mana boleh macam tu.”

“Okey, kalau Ashraf tak nak, tak mengapa. Ikut daddy ke pejabat sekarang.”

Kata-kata Datuk Syed Alwi seakan-akan ugutan buat Syed Ashraf. Syed Ashraf seperti tidak ada pilihan untuk membuat keputusannya sendiri.

“Tapi, Ashraf ada janji temu dengan teman-teman lama. Nanti apa pula kata mereka kalau Ashraf tak pergi. Jatuhlah maruah anak daddy ni.” Syed Ashraf cuba memohon simpati Datuk Syed Alwi.

“Nampaknya daddy dan mummy tak ada pilihan. Okey, kalau Ashraf tak nak pergi ofis lagi, tak mengapa. Jodoh Ashraf biar daddy dan mummy carikan. Itu keputusan muktamad kami,” ucap Datuk Syed Alwi seraya memohon diri untuk ke pejabat.

“Daddy tak boleh buat Ashraf macam ni. Daddy!” Laungan Syed Ashraf seakan-akan tidak didengar oleh daddynya yang sudah berlalu keluar.

“Please, mummy...”

Datin Tengku Faridah hanya menggeleng sambil tersenyum nakal. Hatinya lega kerana nampaknya suaminya itu bersungguh-sungguh mengambil berat tentang anak tunggal mereka ini. Dia tersenyum puas.


SUASANA di pejabat Permai Holding semakin lengang apabila seorang demi seorang keluar makan tengah hari. Kini, hanya tinggal Aimi Najwa, Haliza dan Syukri di pejabat.

Haliza masih menunggu Aimi Najwa untuk menyiapkan sedikit kerjanya sebelum mereka berdua keluar makan. Syukri, sudah sedia maklum. Seorang yang payah untuk keluar makan. Sebab itulah dia digelar mamat tangkai jering oleh Syuhaida.

“Okey, dah siap. Jom.” Aimi Najwa bersuara kepada Haliza yang termangu di mejanya.

“Syukri, kau tak nak keluar makan ke?” tanya Haliza sekadar berbasa-basi.

Syukri hanya tersengih memandang Haliza. Kemudian pandangannya dialihkan ke arah Aimi Najwa. Aimi Najwa hanya berlagak selamba.

“Aku puasalah hari ni, Liza,” beritahu Syukri sambil tersengih.

“Puasa? Kau puasa apa? Kalau nak kata puasa sunat, hari ni kan hari Selasa. Puasa sunat kan Isnin dengan Khamis.” Sengaja Haliza mengenakan Syukri.

“Err... puasa ganti kut,” beritahu Syukri ragu-ragu.

“Puasa ganti?!” laung Haliza dengan kuat. Terus dia dan Aimi Najwa ketawa.

“Kalau kau puasa, tak mengapalah. Kami baru saja nak belanja kau makan. Kami pergi dulu,” sakat Haliza seraya menarik tangan Aimi Najwa.

“Belanja? Betul ke?”

“Kau kan puasa!” Cepat-cepat Haliza menjawab.

Dia faham sangat dengan sikap tangkai jering Syukri. Tapi, bila ada orang yang mahu belanja makan, bukan main lagi dia mahu ikut.

Syukri sedikit hampa. Kesal pula dia berbohong kepada Haliza dan Aimi Najwa. Kalau tidak, tentu dia dapat makan tengah hari bersama buah hatinya, Aimi Najwa. Walaupun dia seorang yang sangat kedekut, dia hanya sanggup keluarkan wang untuk Aimi Najwa sahaja.

Masalahnya, Aimi Najwa selalu sahaja keluar makan tengah hari bersama Haliza. Itu menyukarkannya untuk mengajak Aimi Najwa keluar berdua dengannya. Masakan dia mahu menghabiskan wangnya untuk Haliza pula?

Argh! Jangan harap dia akan habiskan wangnya untuk orang lain selain Aimi Najwa, gadis yang paling diminatinya di Permai Holding. Walaupun dia tahu Aimi Najwa menyampah dengannya.

“Kami pergi dulu. Kau tolong tengok-tengokkan ofis ni. Daa...” Sempat Haliza mengejek Syukri sebelum melangkah keluar bersama Aimi Najwa.

“Aku hairanlah dengan Syukri tu. Kenapa kedekut sangat nak keluarkan duit untuk makan tengah hari? Kalau aku dapat boyfriend macam si Syukri tu, alamatnya kebulurlah aku,” cetus Haliza sewaktu mereka berdua berada di dalam lif.

“Tahu pun kau,” balas Aimi Najwa tanpa minat.

“Tapi, untuk kau, sanggup pula dia habiskan duit beli bunga. Kalau aku jadi dia, baik aku beli makanan. Lagi kenyang.”

“Ya, aku tahu kau memang kuat makan. Aku rasa kau lebih sesuai dengan dia. Seorang kurus, seorang tembam,” gurau Aimi Najwa lalu tertawa kecil.

Terjegil mata Haliza mendengar kata-kata Aimi Najwa. Beberapa saat kemudian, terletus ketawa mereka.

Sebaik sahaja pintu lif terbuka, terburu-buru seorang lelaki yang memakai jaket hitam masuk ke dalam lif. Pada ketika itu, Aimi Najwa yang beriringan keluar dengan Haliza dilanggarnya. Aimi Najwa jatuh terduduk dan lelaki itu hampir sahaja mahu menindih tubuhnya.

Aimi Najwa yang terperasan dengan situasi itu, cepat-cepat menolak tubuh lelaki itu dengan kasar. “Eh! Buta ke, hah!”

Haliza yang turut terkejut dengan situasi itu, cepat-cepat membantu Aimi Najwa bangun.

“Maaf, cik. Saya tak sengaja. Saya nak cepat tadi,” ucap lelaki itu seraya mahu sama-sama membantu Aimi Najwa bersama Haliza.

“Tak payah pegang saya!” marah Aimi Najwa dengan kuat.

Setelah dia berdiri dengan bantuan Haliza, dia menggosok-gosok bahunya yang sakit akibat dilanggar oleh lelaki tadi.

“Tapi, saya betul-betul minta maaf. Saya...” Kata-kata lelaki itu mati di situ sebaik sahaja terpandangkan wajah Aimi Najwa.

“Cik pengantin? Ingat saya lagi? Di restoran semalam?”

Kata-kata lelaki di hadapannya membuatkan Aimi Najwa terpanar. Diamati wajah lelaki itu. Terus wajah Aimi Najwa berubah. Lelaki inilah yang telah menyelamatkannya semalam daripada terjatuh di hadapan orang ramai. Dan lelaki ini jugalah yang telah membasahkan bajunya dengan jus oren.

“Tak sangka kita akan bertemu lagi,” jawab lelaki itu dengan wajah tersenyum.

Tiba-tiba tangannya dihulur kepada Aimi Najwa untuk memulakan perkenalan.

Terus Aimi Najwa berasa jengkel dengan lelaki itu. Mudah saja dia menggunakan kesempatan ini untuk berkenalan dengan perempuan. Itulah tanggapan Aimi Najwa.

“Eh, saudara. Saya tak teringin pun nak kenal dengan awak. Awak tahu tak, awak ni menyusahkan hidup saya. Ada saja perkara yang tak baik setiap kali saya berjumpa dengan awak!” marah Aimi Najwa dengan rasa geram.

“Err... Apa pula yang saya dah buat?” soal lelaki itu terpinga-pinga.

“Awak ni menyusahkan saya. Atau awak ni pekak? Biar saya ulang balik. Awak ni menyusahkan saya. Faham!” tengking Aimi Najwa dengan kuat.

Beberapa pekerja lain yang lalu di situ turut melihat adegannya memarahi lelaki tersebut. Tapi, Aimi Najwa langsung tak ambil kisah asalkan hatinya puas.

“Harap muka saja cantik, tapi garang macam singa,” perli lelaki itu perlahan.

“What? Watch your mouth!”

Sebelum sempat lelaki itu membuka mulutnya, pintu lif pun terbuka. Terus kakinya melangkah ke dalam lif dan sempat matanya dikenyit kepada Aimi Najwa sebelum pintu lif itu tertutup kembali.

Sakitnya hati Aimi Najwa dengan kelakuan lelaki itu. Haliza yang berada di sebelahnya masih kaku memandang pintu lif.

“Apa yang kau tengok?” tanya Aimi Najwa apabila melihat mata Haliza tidak berkelip memandang lif yang sudah menelan lelaki yang menyakiti hatinya sebentar tadi.

“Eh, Liza, aku tanya ni. Kenapa kau diam?” tanya Aimi Najwa lalu bahu Haliza ditampar dengan kuat.

“Aduh, sakitlah!” jerit Haliza lalu menggosok bahunya yang pedih.

“Kau tu tercegat macam patung, kenapa? Bukannya nak tolong bela aku tadi.”

Teguran Aimi Najwa membuatkan Haliza tersengih seketika.

“Handsomelah mamat tu tadi, Aimi. Aku rasa macam nak peluk saja dia. Kalau aku dapat dia...” Haliza menyentuh kedua-dua pipinya dan mula memasang angan-angan bersama lelaki yang menyebabkan Aimi Najwa terjatuh sebentar tadi. Dia benar-benar terpikat dengan ketampanan lelaki itu.

“Dahlah, Liza. Mamat tu kau cakap handsome? Not my tastelah. Dahlah berlagak. Jomlah, pergi lunch. Makin lama kat sini, makin hilang selera aku, tahu tak.”

“Eh, tunggu dulu, Aimi. Macam mana kau boleh kenal dengan mamat tadi tu? Kawan kau ke?” soal Haliza sambil berjalan beriringan keluar dari bangunan Permai Holding.

“Sorrylah. Aku tak ada kawan yang menyusahkan macam tu tau!”

“Alah, Aimi... ceritalah kat aku. Mana tahu aku boleh kenal dengan dia lebih rapat lagi.”

Hampir meletus ketawa Aimi Najwa dengan kata-kata sahabatnya. “Nantilah aku ceritakan. Kita cari tempat makan dulu.”


SYED ASHRAF sedikit hampa apabila mendapati Datuk Syed Alwi tiada di pejabat. Menurut mummynya tadi, daddynya akan tamat mesyuarat dengan firma Setia Jaya pada pukul 12.00 tengah hari.

Tetapi, apabila dia sampai di sana tepat waktu jangka mesyuarat itu tamat, didapati Datuk Syed Alwi sudah beredar dari restoran tersebut. Dia cuba menelefon daddynya, namun hampa apabila peti simpanan suara sahaja yang berbunyi.

Syed Ashraf memandang meja setiausaha daddynya yang tertulis nama Aimi Najwa. Kalaulah dia sempat bertemu dengan setiausaha daddynya sebelum keluar makan, tentu dia tahu di mana Datuk Syed Alwi berada sekarang.

Dia tahu kata-kata daddynya pagi tadi benar-benar serius. Tak pernah dia melihat wajah daddynya serius seperti itu. Benarkah Datuk Syed Alwi dan Datin Tengku Faridah sudah mencari jodoh untuknya?

Hari ini dia terpaksa datang ke Permai Holding untuk menyuruh Datuk Syed Alwi menarik balik kata-katanya. Walaupun dia tidak berpakaian pejabat hari ini, dia berharap kemunculannya di sini akan menarik semula kata-kata Datuk Syed Alwi pagi tadi.

“Encik cari siapa?” soal seorang lelaki yang baru sahaja muncul dari pantri.

Syed Ashraf sedikit terkejut. Diperhati tag nama yang dipakai oleh lelaki itu. SYUKRI.

“Err... Bila ya Datuk Syed Alwi akan masuk ke pejabat semula?”

“Saya rasa hari ini Datuk tak masuk ke pejabat. Sebab lepas meeting pagi tadi, dia ada urusan di rumah kebajikan anak-anak yatim. Itu pun saya dengar cakap-cakap daripada setiausaha dia. Ermm, ada apa-apa yang saya boleh bantu?” soal pekerja bernama Syukri itu.

“Boleh saya tahu dia ke rumah kebajikan anak-anak yatim di mana?” soal Syed Ashraf lagi.

“Maaf, encik. Itu saya tak tahu.”

“Oh, macam tu. Tak mengapalah. Mungkin esok saya datang semula. Thanks ya,” ucap Syed Asraf sedikit hampa lalu berlalu dari situ.

Esok terpaksalah dia memulakan kerjanya di syarikat Permai Holding ini.

Ketika dia menekan butang lif, teringat pula dia kepada gadis yang dilanggarnya tadi. Dia cuba meneka dalam fikirannya, adakah gadis garang itu bekerja di sini atau dia ke sini kerana mempunyai urusan dengan Permai Holding. Tekaannya mati di situ apabila telefonnya berbunyi dan dilihat nama Maya yang tertera pada skrin telefonnya.

Maya lagi? Hatinya berbisik. Entah berapa kali wanita itu menelefonnya untuk mengajaknya keluar bersama sejak pagi tadi. Deringan telefon sengaja dibiarkan berbunyi tanpa berangkat.