CAHAYA bulan yang terang malam ini mengasyikkan Aimi Najwa yang berehat di halaman sebaik sahaja selesai makan malam. Keriuhan anak-anak saudaranya, Afiq dan Afrina, yang berkejar-kejaran di halaman langsung tidak mengganggunya berehat di situ. Sekurang-kurangnya kedatangan anak-anak Juhana petang tadi tidak menjadikan rumah itu sepi.
Kebetulan malam ini Juhana dan Nazri terpaksa kerja lebih masa memasang pelamin di rumah pengantin. Mereka berdua terpaksa kerja lebih masa kerana siang tadi mereka turut memasang pelamin di tempat lain sehinggalah malam ini. Tambahan lagi, sekarang ini adalah musim cuti sekolah penggal pertama. Jadi, banyaklah tempahan pelamin yang diterima Juhana.
Sudah menjadi kelaziman Afiq dan Afrina tinggal di sini apabila mama dan papanya terpaksa bekerja lebih masa pada waktu malam. Namun, langsung tidak menyusahkan Puan Kamariah dan Encik Khalid. Mereka lebih gembira dengan kedatangan cucu-cucu mereka. Tambahan pula, Encik Khalid baru beberapa bulan bersara sebagai pengetua sekolah. Sekurang-kurangnya kebosanan ini terisi dengan keriuhan cucu-cucu mereka.
“Jauh termenung,” sapa Puan Kamariah kepada Aimi Najwa yang sedang duduk termenung.
“Mana ada,” jawab Aimi Najwa acuh tak acuh. Senyuman masih lagi terukir di bibirnya.
“Afiq, Afrina! Jangan lari, nanti jatuh,” tegur Encik Khalid yang baru sahaja melangkah ke halaman.
Lantas dia menuju ke arah cucu-cucunya yang berusia lapan dan enam tahun itu, turut bermain bersama mereka. Aimi Najwa tersenyum dengan gelagat abahnya melayan Afiq dan Afrina.
“Macam mana dengan kerja Aimi kat Permai Holding tu? Okey?” soal Puan Kamariah lagi.
Wajah uminya dipandang dengan hairan. Tidak pernah uminya bertanyakan soalan seperti ini kepadanya.
“Setakat ni okey lagi,” jawab Aimi Najwa.
“Ermm, tak ada tersangkut dengan siapa-siapa kat pejabat tu?”
Pertanyaan uminya kali ini semakin pelik. Namun, dia dapat mengagak. Pasti uminya mahu berbicara soal jodohnya.
“Ada?” Puan Kamariah mengulangi soalannya.
Pertanyaan Puan Kamariah mengingatkannya kepada Syukri yang selalu memberi bunga dan puisi-puisi cinta kepadanya. Argh! Masakan Syukri pula yang dia kenangkan. Baginya Syukri seorang yang sempoi, kedekut dan merimaskan. Masakan dia suka lelaki sebegitu. Mungkin tidak untuk umi dan abahnya.
“Isy, mana ada, umi. Semua kat pejabat tu suami orang. Kalau ada pun, dah jadi tunang atau boyfriend orang!”
“Betul ke? Baguslah kalau macam tu. Senang hati umi mendengarnya.”
Kata-kata Puan Kamariah membuatkan Aimi Najwa tersentak. Dia hairan mengapa uminya senang hati mendengar dia belum mempunyai teman lelaki. Kalau tidak, ada sahaja yang disuruh Juhana bertanyakannya tentang hal itu.
Puan Kamariah tersenyum senang. Dia berharap kali ini rancangannya bersama suaminya akan berjaya. Dan dia berharap kali ini Aimi Najwa akan mengikut cakap mereka berdua. Namun, mereka sudah sedia maklum dengan perangai Aimi Najwa yang keras kepala.
Itu akan diaturkan bersama suaminya nanti. Kalau anak bongsunya ini membantah, dia bersama suaminya akan mencari jalan lain.
“Pukul berapa Kak Ju balik, umi? Kak Ju dengan Abang Naz tidur sini ke?” tanya Aimi Najwa sekadar berbasa-basi sedangkan dia sendiri maklum kakak dan abang iparnya itu tidak tentu masa pulang.
Dia sendiri tiada topik untuk berbicara. Lagi pula, dia tidak mahu uminya bertanyakan tentang jodohnya.
“Mungkin lewat sikit kut. Lepas pasang pelamin kat Cheras, katanya nak pergi Salak Selatan pula. Mereka nak tidur kat sini. Entah pukul berapa siap pasang pelamin pun tak tahulah,” beritahu Puan Kamariah.
“Hmm...” Aimi Najwa mengiakannya, sekadar bersuara dalam tekak.
Selepas itu, masing-masing sepi. Hanya kedengaran keriuhan Encik Khalid melayani kedua-dua cucunya.
Aimi Najwa memandang cahaya bulan yang terang. Malam ini sungguh indah. Apatah lagi banyak bintang yang bertaburan di langit. Suasana ini membuatkan Aimi Najwa terasa tenang.
“Sudahlah, atuk dah penat. Marilah kita duduk.”
Jelas kedengaran suara abahnya di telinga Aimi Najwa. Tercuit hatinya apabila melihat abahnya seperti kebudak-budakan berkejaran dengan Afiq dan Afrina.
Encik Khalid melabuhkan punggung di sebelah isterinya. Peluh di dahinya dikesat dengan hujung lengan baju.
“Eee... abang ni. Berpeluh-peluh badan tu. Tengok, dah basah baju abang. Macam budak-budak. Afiq, Afrina, berhenti main. Tak elok main malam-malam ni. Mari sini,” panggil Puan Kamariah kepada cucu-cucunya selepas menegur suaminya yang berpeluh.
Segera Afiq dan Afrina berhenti bermain lalu mendapatkan nenek mereka.
“Eee... busuknya bau cucu-cucu nenek ni. Nanti kalau mama tahu, mesti kena marah ni. Masuk dalam, pergi mandi.”
“Alah, nek. Kami nak main lagi,” rungut Afiq, abang kepada Afrina.
“Yalah, nek. Bagilah kami main lagi,” ujar Afrina yang sudah pun tercungap-cungap kepenatan.
“Tak boleh. Nanti kalau mama dan papa tahu, mesti mereka marah nenek. Afiq dan Afrina tak kesiankan nenek ke?” tanya Puan Kamariah sambil menunjukkan wajah sedih.
“Yalah, nek. Kami pergi mandilah,” ujar Afiq dengan nada kecewa.
“Hah, macam tulah cucu-cucu nenek. Dengar cakap orang tua. Lepas mandi terus tidur tau.”
Melihat wajah kecewa cucu-cucunya, timbul pula belas kasihan dalam hati Puan Kamariah dan Encik Khalid.
“Esok kita pergi makan aiskrim nak?” Suara Encik Khalid.
“Hore!” jerit Afiq dan Afrina lalu pipi atuk dan neneknya dicium sebelum mereka masuk ke dalam rumah untuk membersihkan diri.
“Tulah, abah. Orang joging waktu siang, bukannya malam.” Aimi Najwa bersuara setelah kedua-dua anak saudaranya itu berlalu pergi. Lucu juga dia melihat wajah kepenatan Encik Khalid.
Encik Khalid hanya tersengih dengan gurauan anak bongsunya.
“Hujung minggu ni kita joging sama-sama nak?” ajak Encik Khalid kepada Aimi Najwa.
“Kat mana?” tanya Aimi Najwa tidak sabar-sabar.
Tambahan pula sudah lama dia tidak keluar berjoging. Cuma sekali-sekala sahaja dia keluar berjoging dengan Haliza.
“Apa kata kita joging kat Tasik Permaisuri,” ujar Encik Khalid lagi.
“Okey, Aimi ikut saja,” jawab Aimi Najwa riang.
“Hah, kalau macam tu, bolehlah umi buatkan nasi lemak sambal kerang. Sambil berjoging, kita berkelah. Kita ajak Juhana dan Nazri sekali. Lagipun, dah lama kita tak keluar bersama-sama,” sampuk Puan Kamariah.
“Nampaknya, tak kuruslah badan abah ni, Aimi. Baru nak joging kuruskan badan, bawa pula nasi lemak sambal kerang. Aduh... Makan bertambah abah nanti. Kita ni nak joging untuk kesihatan, bukannya nak pergi berkelah, Puan Kamariah oi.”
“Alah, apa salahnya? Joging, joging juga. Lepas joging tentulah lapar. Boleh makan. Tapi, tak adalah makan sampai bertambah-tambah. Kalau tak, macam mana nak kuruskan badan?” perli Puan Kamariah kepada suaminya. Wajahnya sedikit mencuka dengan kata-kata suaminya.
“Janganlah marah. Abang gurau sajalah. Nasib Juhana dan Aimi tak ikut perangai awak yang mudah merajuk. Tapi, awak memang pandai masak, sedap. Sebab tulah saya sayang awak,” pujuk Encik Khalid.
Aimi Najwa hanya tersenyum simpul mendengar kata-kata abahnya. Dia tahu uminya suka merajuk. Tapi, rajuknya tidak akan lama kerana abah memang seorang yang pandai memujuk.
“Malaslah saya nak layan awak. Baik saya pergi tengok cucu-cucu saya,” ujar Puan Kamariah lalu bingkas bangun. Namun, senyuman manis sudah pun terukir di bibirnya.
Aimi Najwa yang perasaan uminya sudah tersenyum segera mengerling abahnya. Lantas Encik Khalid mengenyitkan mata kepada Aimi Najwa. Mereka berdua ketawa.