Dia Pengantinku

BAB 7

  • Art
  • Nurfaza Alisya

PAGI ini Aimi Najwa terlewat bangun. Selepas subuh tadi, matanya masih lagi mengantuk. Anggarannya mahu tidur sekejap sahaja, tetapi tak sangka sehingga terlewat begini. Terpaksalah dia meminta bantuan Encik Khalid menghantarnya ke tempat kerja. Mujurlah ada sepasang baju kurung yang sudah digosok di dalam almari. Segera dicapai tanpa berlengah. Rambutnya yang panjang disanggul dengan kemas. Sempat dia berbedak nipis dan memakai secalit lipstik sebelum bergegas mendapatkan Encik Khalid di garaj kereta.

“Hmm... tulah. Abah suruh beli kereta, Aimi tak nak. Kan senang kalau ada kecemasan macam ni,” cetus Encik Khalid kepada anak bongsunya sebaik sahaja keretanya sudah berada di atas jalan raya.

“Alah, Aimi nak kumpul duit dulu. Tak sukalah pinjam melalui bank. Nanti kena bayar faedah lagi. Lagipun, Aimi kerja tak sampai setahun lagi,” jawab Aimi Najwa.

Dalam masa yang sama, dia berharap dia tidak terlewat ke tempat kerjanya yang berada di tengah bandar raya Kuala Lumpur.

“Yalah tu. Abah nak tolong bayar muka kereta, Aimi tak nak. Atau Aimi kumpul duit untuk kahwin?” ujar Encik Khalid lagi. Sengaja dikenakan anaknya dengan berkata begitu.

Ingin juga dia tahu tentang perasaan anaknya. Mana tahu anaknya ini sudah ada pilihan hati. Tapi, menurut isterinya semalam, Aimi Najwa tiada teman lelaki lagi.

“Isy, abah ni. Ada ke situ pula. Kalau Aimi nak kahwin sekalipun, tak payah susah-susah nak kumpul duit. Orang yang nak kahwin dengan Aimilah yang kena kumpul duit banyak-banyak,” jawab Aimi Najwa selamba.

“Bila Aimi nak kahwin? Umur Aimi dah 28 tahun tahu!”

“Alah, abah ni. 28 tu muda lagilah. Aimi baru kerja beberapa bulan kat Permai Holding tu. Dah lama Aimi jadi graduan menganggur. Tentulah Aimi nak fikir soal kerja dulu,” jawab Aimi Najwa lagi.

Baginya, sekarang ini soal kahwin langsung tidak difikirkan. Yang paling utama sekarang ini, dia harus mencapai cita-citanya dahulu. Dia mahu berjaya dalam kerjayanya.

“Tapi, Aimi ni perempuan,” ujar Encik Khalid lalu tersenyum dengan jawapan anaknya.

Dia tahu anaknya yang seorang ini keras kepala. Tetapi, dalam sikap degil Aimi Najwa, ada sikap lemah lembut dalam hatinya. Aimi Najwa cuma degil dalam sesuatu hal sahaja. Lebih-lebih lagi perkara yang dia tidak suka dan jika orang cari pasal dengannya. Dahulu sikap Aimi Najwa tidak seperti ini. Seorang yang penakut dan selalu menangis setiap kali dibuli di sekolah. Tapi, semenjak dia menjejak kaki ke menara gading dan selalu menyertai aktiviti lasak, sikap takutnya itu terus hilang. Anaknya kini lebih berkeyakinan dan bersikap lebih matang.

“Petang ni macam mana? Nak abah ambilkan tak? Petang nanti abah nak bawa Afiq dan Afrina jalan-jalan kat KL ni. Bolehlah kita pergi makan aiskrim sama-sama,” beritahu Encik Khalid sebaik sahaja keretanya berhenti betul-betul di hadapan bangunan Permai Holding yang berdiri kukuh.

“Tengoklah macam mana. Kalau Aimi rasa larat nak pergi, Aimi beritahu abah semula ya. Kalau tak, Aimi balik naik komuter saja,” kata Aimi Najwa lalu tangan Encik Khalid disalam dan dicium.

Tergesa-gesa Aimi Najwa melangkah masuk ke Permai Holding. Dia berasa amat lega kerana sampai ke pejabat tepat pukul 8.00 pagi. Kalau seminit lagi dia terlewat, tentu punch cardnya akan berwarna merah. Aimi Najwa menarik nafas lega. Segera dipakai blazernya yang berada di kerusi. Tampak kemas dan bergaya sebagai setiausaha. Tag namanya dipakai pada bahagian kiri blazer. Dia tahu sangat sikap Datuk Syed Alwi yang mementingkan kekemasan semua pekerjanya.

“Lewat hari ini, Aimi,” tegur Syuhaida yang sedang mengambil beberapa fail yang berada di almari berdekatan Aimi Najwa.

Aimi Najwa hanya tersenyum dengan teguran Syuhaida. Kebiasaannya dia yang terlebih dahulu sampai ke pejabat sebelum Syuhaida. Kesal pula rasanya apabila dia tertidur semula selepas subuh tadi.

“Haliza mana, Kak Ida?” soal Aimi Najwa apabila melihat Haliza tiada di mejanya.

“Ada di pantri tu hah, dengan Syukri. Sarapan agaknya tu,” beritahu Syuhaida sebelum meminta diri ke mejanya.

“Aimi!” laung Syuhaida sebelum sempat fail yang diambilnya tadi dibelek.

“Ya, Kak Ida.”

“Tu hah! Ada puisi bawah keyboard Aimi tu!” beritahu Syuhaida sambil tersenyum nakal.

Aimi Najwa mengeluh. Dia tahu pasti Syukri yang meletakkannya di situ. Kertas puisi yang berada di bawah papan kekuncinya diambil lalu dipandang sekilas sebelum dimasukkan ke dalam bakul sampah. Geram juga dengan sikap Syukri yang suka mengganggunya dengan memberi bunga dan puisi cinta. Cukup merimaskannya. Kalau tidak kerana sekarang ini susah untuk mendapat pekerjaan, mahu sahaja dia berhenti dan mencari kerja di tempat lain.

“Perhatian, semua!” Encik Amir yang baru saja keluar dari biliknya bersuara. Semua mata memandang ke arahnya.

Ketika itu keluar Haliza dari pantri. Keningnya diangkat ke arah Aimi Najwa apabila melihat Encik Amir berdiri di tengah-tengah, seperti mahu mengumumkan sesuatu. Aimi Najwa mengangkat bahunya tanda tidak tahu.

“Mana Syukri?” soal Encik Amir apabila melihat Syukri tiada di mejanya.

“Tengah breakfast kat pantri, Encik Amir,” beritahu Haliza pantas.

“Ooo... Saya cuma nak beritahu kamu semua. Setengah jam lagi kita semua perlu berada di bilik mesyuarat. Datuk mahu memperkenalkan kita kepada anaknya yang baru balik dari Melbourne. Jadi, saya harap kamu dapat beri kerjasama dan tepati masa. Ada apa-apa soalan sebelum saya beredar?”

Kelihatan Fakhrul mengangkat tangan untuk bertanyakan sesuatu. Semua mata memandang ke arahnya.

“Ya, Fakhrul?”

“Anak Datuk tu akan menggantikan Datuk di Permai Holding ke?” tanya Fakhrul.

“Itu saya tak pasti. Kita akan dengar semua tu dalam mesyuarat nanti. Ada apa-apa soalan lagi?” tanya Encik Amir lagi.

Masing-masing sepi. Encik Amir yang sudah faham dengan situasi begini terus meminta diri. Sebelum beredar, sekali lagi dia mengingatkan para pekerja Permai Holding supaya berada di bilik mesyuarat tepat pada masanya.

“Psst... psst... Aimi!” panggil Haliza separuh berbisik.

“Apa dia?”

“Anak Datuk tu lelaki ke perempuan?”

“Isy! Manalah aku tahu. Kenapa kau tak tanya Encik Amir tadi?” jawab Aimi Najwa malas.

“Malulah nak tanya tadi. Apa pula kata kawan-kawan?” ujar Haliza sambil tersengih.

“Hah, Liza, ada yang lucu ke? Mana Syukri? Lama betul dia sarapan kat pantri tu,” tegur Azmi yang berada di sebelah Haliza.

“Tengah makan nasi goreng. Kebetulan mak dia dari kampung datang semalam. Tinggal dengan dia beberapa hari kat sini. Sedap tau nasi goreng mak dia buat.”

“Kau makan nasi goreng dengan dia ke tadi?” tanya Azmi ragu-ragu. Sedangkan semua di sini tahu Syukri itu memang tangkai jering orangnya.

“Yalah.”

“Aik? Baik kau dengan dia. Ada apa-apa ke ni?” soal Aimi Najwa lalu tergelak kecil.

“Isy, apa pulak. Sebenarnya dia bawa nasi goreng tu untuk bagi kau rasa. Tapi, kau lambat datang. Dia asyik tanya kau aje. Naik rimas aku tadi. Alih-alih aku tengok dia pergi pantri makan nasi goreng. Apa lagi, aku mintalah sikit. Lagi aku puji nasi goreng mak dia sedap, lagi banyak dia bagi aku tau! Uuiii… memang sedap,” ujar Haliza sambil membayangkan nasi goreng emak Syukri yang betul-betul memikat seleranya.

“Amboi, sampai macam tu sekali. Entah-entah dia dah letak ubat pengasih dalam nasi goreng dia tu. Sebab tulah kau jadi macam ni kan,” usik Aimi Najwa lagi apabila melihat gaya nakal Haliza yang mencuit hatinya.

Azmi yang berada di sebelah Haliza juga turut ketawa dengan usikan Aimi Najwa.

“Apa-apa sajalah. Yang penting, aku dah kenyang. Bukan senang tau nak suruh Syukri belanja makan. Walaupun nasi goreng dari rumah, kira okeylah,” ujar Haliza lalu tergelak besar.

“Ada-ada sajalah kau ni. Sudahlah, aku nak sambung kerja semalam. Kejap lagi kita nak masuk bilik mesyuarat pula,” ujar Aimi Najwa lalu menekan punat komputernya.

Aimi Najwa sangat senang berkawan dengan Haliza. Hari pertama dia masuk kerja di sini, Halizalah yang mula-mula menegurnya. Keramahan dan kemesraan Haliza memudahkan mereka menjadi kawan rapat. Apatah lagi Haliza seorang yang lucu dan suka berjenaka.


SEMUA para pekerja Permai Holding sudah berada di dalam bilik mesyuarat pada waktu yang dimaklumkan oleh Encik Amir sebentar tadi. Masing-masing sudah tidak sabar-sabar menunggu Datuk Syed Alwi bersama anaknya yang akan muncul di dalam bilik mesyuarat tidak lama lagi.

Sementara itu, terdengar desas-desus mulut pekerja Permai Holding bercakap tentang anak Datuk Syed Alwi, sama ada lelaki atau perempuan. Apabila ditanyakan kepada Encik Amir tadi, dia sendiri juga tidak tahu. Dia hanya mengetahui bahawa itu adalah anak tunggal Datuk Syed Alwi. Lagi pula, tidak ada foto keluarganya di pejabat ini.

Sesetengah pekerja Permai Holding hairan kenapa selama ini Datuk Syed Alwi tidak menonjolkan anaknya di dalam syarikat ini. Kenapa harus sekarang? Bagi menyangkal sangkaan itu, Encik Amir memberitahu bahawa anak Datuk Syed Alwi itu sebenarnya sudah bertahun-tahun berada di luar negara dan baru sahaja menamatkan PhDnya di Melbourne.

Aimi Najwa tidak seperti pekerja lain yang sibuk bertanya itu dan ini tentang anak Datuk Syed Alwi kepada Encik Amir. Apa yang ada dalam fikirannya sekarang, adakah anak Datuk Syed Alwi akan menggantikan tempat ayahnya di Permai Holding? Jika benar firasatnya, dia akan menjadi setiausaha kepada majikan barunya. Apakah sikap anak Datuk Syed Alwi sama dengan ayahnya? Walaupun Datuk Syed Alwi tegas orangnya, tetapi majikannya itu cukup prihatin dan bertimbang rasa jika ada pekerjanya mempunyai masalah.

Apabila teringat kata Encik Amir yang memberitahu anak majikannya ini belajar di luar negara, Aimi Najwa dapat merasakan pasti ada perubahan yang akan dibawanya nanti di Permai Holding. Mestilah budaya yang dikutip dari negara orang. Aimi Najwa mengeluh. Bolehkah dia bekerjasama dengan majikan barunya nanti jika benar anak Datuk Syed Alwi akan menggantikan tempat ayahnya?

Bagaimana jika anak Datuk Syed Alwi adalah perempuan? Kata orang, majikan perempuan amat cerewet. Tetapi, bagaimana pula jika anak Datuk itu lelaki? Apakah dia akan menunjukkan egonya sebagai orang muda? Aduh! Aimi Najwa merintih dalam hati.

Pintu bilik mesyuarat yang terkuak mengejutkan Aimi Najwa daripada lamunannya. Begitu juga dengan para pekerja yang lain.

Kelihatan Datuk Syed Alwi masuk dengan senyuman yang agak manis. Masing-masing mendiamkan diri dan memandang Datuk Syed Alwi dengan seribu tanda tanya apabila melihat majikan mereka masuk ke bilik mesyuarat sendirian.

“Saya minta maaf kepada semua pekerja Permai Holding kerana telah mengambil masa anda semua. Seperti yang saya maklumkan kepada kamu melalui Encik Amir, hari ini saya akan memperkenalkan anak saya yang baru pulang dari luar negara. Sekejap lagi dia datang,” beritahu Syed Alwi dengan senyuman lebar.

Masing-masing mendiamkan diri dan menunggu dengan debaran. Lebih-lebih lagi Aimi Najwa. Bermacam-macam andaian bermain dalam benak fikirannya.

“Maaf, saya terlambat,” ujar seorang lelaki muda tampan yang baru sahaja muncul di sebalik pintu mesyuarat. Mata masing-masing tertumpu ke arahnya.

Aimi Najwa yang membelakanginya turut berpaling.

“Saya kenalkan, ini anak saya, Syed Ashraf Datuk Syed Alwi.” Laju sekali kata-kata itu terbit dari mulut Datuk Syed Alwi.

Berderau darah Aimi Najwa sebaik sahaja melihat Syed Ashraf yang diperkenalkan oleh ayahnya menapak masuk ke dalam bilik mesyuarat. Lelaki ini? Entah di mana harus Aimi Najwa sorokkan wajahnya. Kalaulah dia boleh hilang seperti magis, tentu akan dilakukan sekarang. Mustahil lelaki yang dimarahi di restoran, yang menyambutnya ketika mahu jatuh pada karnival pengantin, yang dimarahi kerana melanggarnya ketika keluar dari lif adalah anak Datuk Syed Alwi. Segala peristwa itu mula terbayang di matanya.

Cepat-cepat Aimi Najwa memalingkan wajahnya ke arah lain. Pandangan matanya bertemu dengan Haliza. Haliza seperti tidak sabar-sabar mahu mengatakan sesuatu kepadanya. Hanya mimik mukanya sahaja yang bergerak untuk memberitahu Aimi Najwa. Aimi Najwa mengerti apa yang mahu dikatakan oleh Haliza. Tetapi, mengapa harus lelaki ini?

Kakitangan wanita Permai Holding terpukau dengan ketampanan Syed Ashraf. Wajah yang bersih, berambut rapi, berkening lebat, berbadan tegap, segak seperti ayahnya.

Syed Ashraf melabuhkan punggung berhadapan dengan Aimi Najwa. Itu sahajalah tempat kosong yang dikhaskan untuknya, duduk bersebelahan dengan ayahnya dan Encik Amir.

Aimi Najwa semakin gelisah. Wajahnya ditundukkan daripada menatap wajah Syed Ashraf. Dia amat berharap lelaki ini tidak mengenalinya. Tangannya bermain-main dengan pen di tangan. Gayanya seperti mencatat sesuatu di dalam buku diarinya. Tapi, bukan itu yang dilakukannya. Hanya contengan untuk menghilangkan keresahan dalam hatinya.

“Baik, saya kenalkan, ini anak saya Syed Ashraf yang baru sahaja pulang dari Melbourne. Untuk makluman semua, anak saya ini akan menggantikan tempat saya sebagai CEO Permai Holding. Tapi, untuk sementara waktu ini, saya masih mengendalikan Permai Holding memandangkan anak saya belum mengetahui selok-belok tentang syarikat kita. Dan Syed Ashraf akan menjadi penolong saya sebelum saya serahkan jawatan ini sepenuhnya kepada dia. Ashraf, kamu ada nak katakan sesuatu?”

Aimi Najwa tersentak dengan pengumuman yang diberikan oleh Datuk Syed Alwi. Ini bermakna dia akan menjadi setiausaha kepada Syed Ashraf tidak lama lagi. Aimi Najwa mula tak senang duduk. Tengkuknya sudah semakin lenguh kerana terlalu lama tunduk. Namun, ditahannya jua.

Syed Ashraf mengangguk sambil tersenyum, sebelum memulakan bicaranya.

“Ya. Ermm... sebelum itu, saya mahu meminta maaf kepada semua kerana mengganggu staf Permai Holding pada pagi ini. Seperti yang dikatakan oleh Datuk sebentar tadi, saya akan menerajui Permai Holding tidak lama lagi. Dan saya amat berharap semua staf di sini memberi tunjuk ajar kepada saya memandangkan saya masih baru di sini. Hmm... saya rasa itu sahaja dan saya harap kita sama-sama akan memajukan syarikat ini nanti. Terima kasih,” ujar Syed Ashraf dengan tenang.

Semua pekerja Permai Holding bertepuk tangan.

Tetapi, Aimi Najwa… Aneh. Dia seperti tidak mendengar tepukan gemuruh daripada teman-teman sekerjanya. Sikapnya itu disedari oleh Datuk Syed Alwi yang berada di sebelah kanannya.

“Aimi... Aimi...”

Panggilan daripada Datuk Syed Alwi memeranjatkan Aimi Najwa. Cepat-cepat dia terbangun dari tempat duduknya. Lagaknya seperti mahu membentangkan sesuatu. Beberapa pekerja Permai Holding tersengih-sengih ke arahnya. Dan waktu itulah wajahnya ditatap oleh Syed Ashraf tanpa dia perasan.

“Awak kenapa? Sakit ke?” soal Datuk Syed Alwi. Hatinya turut tercuit dengan gelagat Aimi Najwa yang bangun secara tiba-tiba setelah namanya dipanggil.

“Err... tak, Datuk,” jawab Aimi Najwa gugup. Dia memandang ke arah staf Permai Holding yang sedang gelakkannya.

Perlahan-lahan Aimi Najwa duduk kembali. Dia cuba meneka apa yang dia buat sehingga orang lain mentertawakannya. Dia sendiri tidak tahu apa yang telah dilakukannya.

“Ashraf, Aimi ni setiausaha di sini. Apa-apa hal berkaitan dengan mesyuarat di dalam mahupun luar, dia akan catatkan masa dan tentukan di mana tempatnya. Segala urusan, kamu boleh rujuk kepada dia,” beritahu Datuk Syed Alwi kepada anaknya.

Gulp! Aimi Najwa menelan air liurnya sebaik sahaja matanya bertembung pandang dengan Syed Ashraf. Lelaki itu hanya tersenyum kepadanya tanpa rasa terkejut. Atau mungkin lelaki ini sudah tidak mengenalinya? Kalau benar, dia cukup lega. Kalau tidak, eii... matilah dia.

Selesai sahaja mesyuarat, cepat-cepat Aimi Najwa melangkah keluar. Tetapi, sebaik sahaja Haliza menceritakan yang dia buat tidak endah sewaktu teman-temannya yang lain bertepuk tangan, terus wajahnya berubah merah padam kerana malu. Kenapalah dia boleh tidak perasan semua itu? Pekakkah aku tadi? gerutu hatinya.

“Aku tak sangkalah, Aimi. Mamat handsome yang langgar kau tempoh hari tu anak Datuk Syed Alwi!” jerit Haliza perlahan.

“Eh, kau jangan cakap kuat-kuat sangat. Nanti orang lain dengar, malu aku tahu tak!”

“Alah, aku tahulah. Patutlah dalam bilik mesyuarat tadi kau semacam saja, kan?” ujar Haliza lagi lalu tergelak kecil.

Dia teringatkan gelagat Aimi Najwa yang bangun secara tiba-tiba tadi. Seperti orang yang baru terjaga daripada tidur.

“Kau nak kutuk akulah tu,” cebik Aimi Najwa seakan-akan merajuk.

“Alah, janganlah macam tu. Aku gurau sajalah. Kau pun apa kurangnya, cantik. Macam artis Malaysia kita tu. Siapa? Hah? Macam Juliana Evans. Wajah kau kan ada iras-iras mat salih. Anak Datuk kita tu pun apa kurangnya. Keturunan Syed campuran Tengku tahu! Memang secocok dengan kau!” sakat Haliza lalu ketawa. Dia cukup geli hati melihat wajah rakannya yang semakin panik.

“Eh, dahlah. Kalau cakap dengan kau ni, setahun pun tak habis. Baik aku sambung kerja aku. Lagi ada hasil,” ujar Aimi Najwa yang semakin rimas dengan gurauan Haliza.

Sudahlah rasa malunya tadi belum habis lagi. Haliza pula menyakatnya begitu. Mujurlah semalam dia hanya memberitahu Haliza dia mengenali Syed Ashraf ketika lelaki itu menumpahkan jus oren ke bajunya. Kalau tidak, lagilah banyak songeh sahabatnya ini.

“Yalah,” ujar Haliza lalu beralih ke mejanya.

Pandangan Aimi Najwa seakan-akan kosong pada tulisan yang tertera di skrin komputer. Inilah kali pertama dia tidak dapat fokus pada kerjanya dengan baik. Kebiasaannya, dia terlalu leka membuat kerja sehingga masa yang bergerak pun tidak disedari. Mengapa harus Syed Ashraf yang menjadi anak Datuk Syed Alwi? Mengapa tidak orang lain? Kalaulah dia boleh mengetahui masa akan datangnya, mahu sahaja dia memperbaiki semula kesalahannya itu.

“Selamat bertemu kembali, cik pengantin.”

Terdengar suara gemeresik itu di telinga Aimi Najwa apabila seseorang melangkah di hadapan mejanya. Dia tersentak. Entah mengapa dirasakan dunianya berpusing dengan ligat sekali. Dia tidak sangka Syed Ashraf masih mengingatinya. Cik pengantin? Argh! Gelaran yang paling dibencinya. Matanya kaku memandang Syed Ashraf yang keluar dari pintu pejabat. Sempat lelaki itu berpaling ke arahnya di sebalik pintu dan mengangkat tangan kepadanya.

Haliza pula melopong melihat adegan itu. Aimi Najwa berpaling ke arah sahabatnya. Dia dapat merasakan Haliza mahukan sesuatu daripadanya. Kali ini rahsianya tidak boleh disimpan lagi.