AMAT malas untuk Aimi Najwa ke pejabat hari ini. Mana tidaknya, malunya terhadap teman-temannya masih lagi terasa. Tapi, yang lebih merisaukannya adalah dia sudah tersalah memarahi orang. Orang itu adalah Syed Ashraf. Syed Ashraf yang pernah menerima hamburan kemarahannya di restoran tempoh hari akan menjadi majikannya.
Bagaimana kalau setelah Syed Ashraf menggantikan Datuk Syed Alwi nanti, dia dibuang kerja oleh lelaki itu? Malulah dia kepada teman-teman sepejabatnya. Argh! Biarlah. Apa nak jadi, jadilah, omel Aimi Najwa dalam hati.
Sewaktu Syed Ashraf tiba bersama Datuk Syed Alwi pagi ini, langsung Aimi Najwa tidak memandang wajah lelaki itu. Entah mengapa dia merasakan Syed Ashraf tersenyum menyindir ke arahnya. Haliza pula bukan main lagi menyakatnya. Lebih-lebih lagi semalam dia terpaksa menceritakan apa yang telah berlaku antara dia dengan Syed Ashraf dahulu.
“Aimi, kenapa dengan kamu ni? Dari semalam Kak Ida tengok kamu semacam saja. Kamu ada masalah ke?” tegur Syuhaida sebaik tiba di meja Aimi Najwa. Dia hairan melihat Aimi Najwa yang lebih banyak termenung hari ini. Seperti orang gelisah.
“Tak adalah, Kak Ida. Saya macam biasa saja. Mungkin perasaan akak saja kut,” jawab Aimi Najwa bersahaja. Malu juga dia ditegur begitu. Tidak disangkanya, Syuhaida boleh perasaan keadaan dirinya hari ini.
“Alah, Kak Ida ni. Orang tengah terkena panahan cinta tu. Jangan dilayan,” usik Haliza dengan jenakanya.
Terjegil biji mata Aimi Najwa ke arah sahabatnya itu.
“Dengan siapa? Syukri ke?” tanya Syuhaida tidak sabar-sabar.
“Tak adalah, orang baru,” jawab Haliza lagi.
Aimi Najwa semakin tidak senang dengan kata-kata Haliza. Walaupun dia tahu Haliza memang jujur dalam menyimpan rahsia, tetapi dia bimbang Syuhaida akan menghidu tentang apa yang terjadi antara dia dengan Syed Ashraf. Bagaimana kalau Syuhaida cuba mendesak Haliza untuk bercerita mengapa dia jadi begini. Hati perempuan siapa tahu?
“Kak Ida tak payahlah percaya sangat cakap Haliza tu. Kepala dia tu dah masuk air agaknya. Saya cuma letih sikit,” bohong Aimi Najwa sambil memberi amaran kepada Haliza. Sedangkan sahabatnya itu hanya tersenyum kambing ke arahnya.
“Kesihatan tu kena jaga juga, Aimi. Akak tengok kamu tu kalau dah buat kerja, bukan ingat masa pun. Ermm, kejap lagi time lunch. Akak ingat nak join kamu berdua. Kebetulan Anita puasa ganti hari ni.” Syuhaida bersuara lagi.
“Alah, kalau Kak Ida nak lunch dengan kami bila-bila masa pun boleh,” beritahu Aimi Najwa lagi lalu dengan pantas tangannya mencatat sesuatu di dalam buku catitannya.
“Elok tu. Lebih ramai, seronok sikit,” ujar Haliza pula.
“Okeylah, nanti kita lunch sama-sama ya,” kata Syuhaida sebelum meminta diri untuk kembali ke mejanya semula.
Aimi Najwa menyambung kerjanya yang tertunggak. Kata-kata usikan daripada Haliza langsung tidak dihiraukan. Mujurlah Azmi yang berada ber-sebelahan dengan Haliza tidak hadir ke pejabat hari ini kerana cuti sakit. Kalau dengar dek telinga Azmi, malulah dia. Bimbang juga heboh satu pejabat nanti kerana Azmi boleh tahan juga mulut kepohnya. Mengalahkan perempuan!
Aimi Najwa berasa lega apabila Haliza sudah tidak mengusiknya lagi setelah dia mengambil sikap tidak peduli dengan kata-kata sahabatnya itu. Kali ini dia benar-benar memberi tumpuannya pada kerja-kerjanya. Tentang Syed Ashraf sudah tidak diingatinya lagi.
Aimi Najwa mengerling jam di pergelangan tangannya. 10 minit lagi dia akan keluar makan tengah hari bersama-sama Haliza dan Syuhaida. Dia membetulkan urat-uratnya yang lenguh. Dia cukup lega kerana kerjanya hari ini cepat diselesaikan. Pandangannya dialihkan ke arah Haliza yang masih khusyuk membuat kerja. Tercuit hatinya melihat beberapa fail dibuka di atas meja rakannya itu. Begitulah perangai Haliza kalau sudah kelam-kabut membuat kerja. Habis benda bertaburan di atas meja.
“Aimi, nanti kita keluar lunch sama-sama. Saya bagi awak lima minit untuk bersiap.”
Tersentak Aimi Najwa lalu dipandangnya lelaki yang berada di sisi mejanya. Syed Ashraf? Bila masa pula lelaki ini berada di sini? Tidak salahkah apa yang didengar telinganya tadi? Mulut Aimi Najwa seakan-akan terkunci untuk menanyakan sesuatu. Tetapi, Syed Ashraf sudah pun berlalu ke biliknya.
Aimi Najwa memandang bilik Syed Ashraf yang sudah tertutup rapat. Adakah dia sedang bermimpi? Mengapa pula tiba-tiba Syed Ashraf mengajaknya makan tengah hari bersama? Apa muslihat lelaki itu? Adakah dia mahu membalas dendam atas perbuatannya terhadap lelaki itu tempoh hari?
Cepat-cepat Aimi Najwa memanggil Haliza untuk keluar makan. Lebih cepat dia keluar, lagi baik. Dia tidak mahu Syed Ashraf datang ke sini semula. Hatinya mengatakan Syed Ashraf mahu mengenakannya. Masakan tiba-tiba sahaja dia diajak keluar makan tengah hari dengan lelaki itu.
“Kenapa dengan kau ni, Aimi? Tunggulah, kerja aku ada sikit lagi ni. Kalau dah tak tahan lapar pun, tunggulah Kak Ida sekali. Kan dia nak lunch dengan kita hari ni,” ujar Haliza yang mula hairan dengan sikap Aimi Najwa.
Kebiasaannya, Aimi Najwalah yang selalu ditunggu setiap kali dia mahu keluar makan tengah hari. Tetapi, pelik pula apabila Aimi Najwa sudah tidak sabar-sabar mengajaknya untuk keluar makan. Sedangkan bagi sahabatnya itu, kerja yang harus diutamakan. Makan adalah nombor dua.
“Alah, suruhlah Kak Ida tu cepat sikit,” cetus Aimi Najwa dalam gusar. Sekali-sekala matanya memandang ke bilik Syed Ashraf.
“Cik Aimi Najwa... Masa nak keluar lunch ada lima minit lagi tahu. Sabarlah kejap. Yang kau kelam-kabut ni apa hal? Tak larilah nasi kat restoran tu.”
Pintu bilik Syed Ashraf yang terbuka mengejutkan Aimi Najwa. Hatinya semakin cemas apabila melihat Syed Ashraf sedang melangkah ke arahnya. Cepat-cepat wajahnya dipalingkan ke arah lain. Dia sendiri tidak tahu apa yang patut dibuatnya sekarang. Masakan dia mahu menarik tangan Haliza untuk keluar dari sini. Hatinya tidak putus-putus berdoa agar kata-kata lelaki itu untuk mengajaknya makan tengah hari bersama adalah gurauan semata-mata.
“Boleh kita keluar sekarang?” tanya Syed Ashraf yang sudah berada di hadapan Aimi Najwa. Dan ketika itu Haliza memandang Aimi Najwa yang bagaikan patung di mejanya.
“Cik Aimi? Awak ada masalah ke?” soal Syed Ashraf dengan dahi berkerut apabila mendapati Aimi Najwa hanya diam tanpa sepatah kata.
Aimi Najwa yang bagaikan baru bangun daripada tidur mula memandang Haliza, seakan-akan memohon simpati supaya rakannya itu datang membantu. Kalaulah dia mempunyai kuasa yang hebat, mahu sahaja tubuh Syed Ashraf itu ditendangnya jauh-jauh.
“Err... Tapi, saya dah janji dengan kawan nak lunch bersama,” ujar Aimi Najwa sedikit gugup. Wajah Syed Ashraf langsung tidak dipandang.
“Aduh... Hampir terlupa saya.” Syed Ashraf menepuk-nepuk dahinya sebelum meneruskan katanya kembali.
“Saya minta maaf. Lupa nak cakap tadi. Saya sebenarnya nak ajak awak lunch sama-sama dengan pembekal daripada Syarikat Aman Bakti hari ini. Datuk pun dah bagi kebenaran kepada saya untuk ajak awak. Lagipun saya masih baru lagi di Permai Holding ni. Tak faham sangat tentang selok-belok perniagaan ni,” ujar Syed Ashraf bersahaja.
“Habis, kalau tak faham, kenapa pula tuan nak pergi? Suruh sajalah orang lain. Lagipun mana ada apa-apa janji temu nak jumpa mana-mana pembekal hari ini.” Err... Cepat-cepat Aimi Najwa menutup mulutnya dengan tangan.
Kenapalah mulutnya tiba-tiba boleh berkata celopar begitu? Dia berharap Syed Ashraf tidak mendengarnya. Tapi, mana mungkin. Aimi Najwa memandang wajah anak majikannya itu. Mata hazel lelaki di hadapannya cukup memukau. Syed Ashraf tetap bersahaja. Tiada tanda marah. Hanya senyuman yang terukir di bibirnya. Menambahkan kehairanan dalam hati Aimi Najwa. Adakah mamat ini pekak atau dia sengaja buat-buat tak tahu? Dijeling Syed Ashraf dengan rasa sakit hati.
“Aimi!”
Tersentak Aimi Najwa apabila namanya dilaungkan oleh Datuk Syed Alwi yang baru sahaja keluar dari biliknya. Lelaki itu menuju ke arahnya dan Syed Ashraf.
“Ya, Datuk,” sapa Aimi Najwa dengan penuh hormat.
“Saya minta maaf sebab maklumkan berita ini agak lewat. Saya nak awak temankan anak saya untuk menghadiri meeting dengan pembekal baru kita. Tapi, awak tak perlu bimbang kerana meeting ini tak formal. Cuma makan tengah hari untuk membincangkan kerjasama kita dengan Syarikat Aman Bakti,” beritahu Datuk Syed Alwi.
Aimi Najwa mula memberontak dalam diam sebaik sahaja mendengar penjelasan yang diberikan oleh Datuk Syed Alwi. Kenapa pula dia yang harus menemankan Syed Ashraf? Kenapa tidak Encik Amir atau kakitangan yang lain? Sedangkan dia belum pun sampai setahun bekerja di sini. Sepatutnya Syed Ashraf pergi bersama pekerja Permai Holding yang lebih berpengalaman, bukannya dia. Aimi Najwa mengeluh tanpa sedar.
“Awak ada apa-apa masalah ke, Aimi?” tanya Datuk Syed Alwi sebaik sahaja melihat perubahan pada wajah setiausahanya.
“Tak, tak, Datuk. Saya okey saja,” ujar Aimi Najwa dalam nada kecewa.
“Okey. Kalau macam tu, saya pergi dulu. Ingat, Ashraf. Jalankan tanggungjawab kamu dengan baik,” pesan Datuk Syed Alwi lalu meminta diri.
“Boleh kita pergi sekarang?” soal Syed Ashraf kepada Aimi Najwa.
“Tunggu sekejap.” Segera Aimi Najwa berlalu untuk memberitahu Haliza dan Syuhaida yang dia tidak dapat makan tengah hari bersama mereka.
Tepat sekali dugaan Aimi Najwa sebaik sahaja perkara itu dimaklumkan kepada Haliza, apa lagi, mula merapulah rakannya itu mengenakannya. Lantak kaulah, Liza! desis hati Aimi Najwa lalu keluar bersama Syed Ashraf dengan perasaan geram.